Fiqh Harakah

Ciri-Ciri Keistimewaan Bergerak Secara Organisasi (Ciri 1)

CIRI 1: WUJUDNYA PEMBENTUKAN UKHUWAH ISLAMIYAH

Antara keistimewaan berdakwah secara gerakan organisasi ialah wujudnya pembentukan ukhuwah (persaudaraan) dan kasih sayang kerana Allah Subhanahuwata’ala, yang diasaskan atas ikatan akidah. Ikatan akidah merupakan sekukuh-kukuh ikatan atau asas, iaitu beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala dan prinsip-prinsip keimanan yang lain.[1] Ukhuwah ini menghasilkan sifat tolong menolong dan bekerjasama dalam melaksanakan ketaatan dan pesan memesan dengan kebenaran serta pesan memesan dengan kesabaran. Pemilik-pemilik ukhuwah ini akan sanggup menghadapi sebarang kesusahan dalam perjalanan dakwah untuk membina masyarakat dan ummah Islamiyah.

Dengan wujudnya pembentukan ukhuwah ini dapatlah gerakan organisasi memperlihatkan contoh dan mempersaksikan Islam yang didakwahkan dalam bentuk yang lebih praktikal. Para da’i akan bersama-sama menjadi hamba-hamba Allah Subhanahuwata’ala yang bersaudara dan bersatu hati. Mereka bekerjasama menjadi perajurit kepada kebenaran dan saling membantu dalam berdakwah kepada manusia.

Tanpa ukhuwah dan kasih sayang, tanpa mengutamakan sahabat lebih daripada diri sendiri, kerja yang amat besar dan berat ini tidak mungkin dapat dipikul. Pembinaan dan pembangunan masyarakat Islam bergantung kepada asas ukhuwah dan kasih sayang kerana Allah Subhanahuwata’ala, yang lahir daripada proses tarbiah yang dijalankan. Hanya orang beriman bersaudara. Firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Hujurat, ayat 10:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ

 Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara

Contoh yang jelas dalam hal ini dapat kita lihat pada generasi awal didikan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di mana orang Muhajirin dan Ansar hidup bersaudara dengan penuh rasa kasih sayang dan mengutamakan sahabat lebih daripada diri sendiri.

Hakikat ukhuwah ini digambarkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam sabda-sabda baginda, yang bermaksud:

Seorang mukmin dengan mukmin yang lain seperti bangunan, sebahagiannya menguatkan bahagian yang lain.[2]

Perumpamaan kaum muslimin di segi cinta-mencintai dan berkasih sayang antara mereka adalah seperti tubuh yang satu…[3]

Seorang Islam adalah saudara kepada seorang Islam (yang lain), tidak menzalimi dan tidak pula menyakitinya…[4]

Kerana amat pentingnya ukhuwah maka Hasan al-Banna telah menjadikannya sebagai salah satu daripada rukun bai’ah yang sepuluh, yang ditafsirkannya:

Bahawa hati dan jiwa terjalin dengan ikatan akidah dan akidah adalah merupakan sekuat-kuat ikatan. Ukhuwah adalah saudara (yang tidak boleh dipisahkan) dengan iman, perpecahan adalah saudara kepada kekufuran. Minima kekuatan adalah kekuatan bersatu yang tidak mungkin wujud tanpa kasih sayang. Minima kasih sayang pula adalah bersih hati terhadap saudara dan setinggi-tingginya adalah mengutamakan saudara. Sesiapa yang terpelihara daripada kekikiran dirinya maka mereka itulah orang yang berjaya[5].

Seorang saudara yang jujur memandang saudaranya lebih utama daripada dirinya sendiri. Ini kerana jika beliau tidak bersama mereka, maka sama sekali tidak mungkin bersama orang lain. Jika mereka tidak bersamanya maka mereka bersama orang lain. Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang bersendirian. Dakwah kita ditegakkan atas tiga dasar: kefahaman yang halus (al-fahmu al-daqiq), iman yang mendalam dan kasih sayang yang teguh. [6]

Rasa persaudaraan, kasih sayang, baik sangka terhadap sahabat dan mengutamakan sahabat lebih daripada diri sendiri tidak akan lahir tanpa pembentukan, asuhan dan didikan dalam jama’ah yang jelas matlamat dan jalannya, yang diasaskan atas asas iman dan yakin terhadap Islam sebagai sistem hidup yang mutlak. Tanpa pembentukan, tidak akan lahir ukhuwah seperti ini, biarpun dilaung supaya bersatu padu dan dicurahkan kesenangan dan kemewahan.[7]

Sifat-sifat ini (rasa persaudaraan, kasih sayang, baik sangka terhadap sahabat dan mengutamakan sahabat lebih daripada diri sendiri) adalah merupakan natijah iman, nikmat anugerah Allah Subhanahuwata’ala kepada hamba-hamba-Nya yang beriman[8] dan meyakini Islam sebagai sistem hidup. Justeru itu Sa’id Hawwa, dalam bukunya al-Madkhal Ila Da’wah al-Ikhwan al-Muslimin, menjelaskan:

Orang yang hidup di luar jama’ah hilang banyak daripada akhlak-akhlak penting, yang tidak mungkin wujud kecuali jika ia hidup dalam jama’ah dan banyak pula kandungan-kandungan Islam yang tidak mungkin dirasa dalam ertikata sebenarnya kecuali jika ia berada dalam jama’ah. [9]

Seseorang itu boleh mendapatkan ilmu Islam di luar jama’ah dengan cara menghadiri majlis ilmu yang ada dalamnya keberkatan dan kebaikan, serta pesan-memesan dengan kebenaran dan kesabaran. Namun kesempurnaan Islam hanya akan diperolehi dengan berada dalam jama’ah. Kerana itu umat Islam dituntut supaya sentiasa berada dalam jama’ah Islam dan imam mereka.

Tanpa ukhuwah dan rasa kasih sayang sesama saudara muslim, maka umat Islam kini menjadi seperti hidangan yang dimamah oleh musuh-musuhnya.

Dr. Yusuf al-Qardhawi pernah menjelaskan tentang tajuk persaudaraan ini, katanya:

Orang beriman memperolehi kekuatan kerana saudara-saudara yang sama-sama beriman. Merasa bahawa semua untuk seorang dan seorang untuk semua. Setiap tentera di kalangan seribu orang beriman, masing-masing merasa bahawa beliau berperang dengan seribu orang beriman, bukan sendirian. Walaupun mereka hanya seribu dari segi jumlah tetapi dari segi kekuatan moral mereka telah menjadi seribu kali seribu, iaitu satu juta.[10]

Demikianlah agungnya keistimewaan dan peranan persaudaraan dan kasih sayang kerana Allah Subhanahuwata’ala dalam membangunkan ummah yang beriman.

Orang yang berukhuwah, mereka bersama-sama mendapat naungan Allah Subhanahuwata’ala di dunia dan akhirat. Hal ini pernah disebut oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maksudnya:

Sesungguhnya Allah berfirman di hari kiamat nanti: di mana orang yang berkasih sayang? Dengan kebesaran-Ku di hari ini, akan Ku naungi mereka di bawah naungan-Ku, di hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Ku.[11]

 


[1] Yakan, Fathi, Musykilat al-Da’wah wa al-Da’iyah, h. 207-209

[2] Lihat Muslim, Imam Abi al-Husain, al-Jami’u al-Sahih, jilid 4, juzu’ 8, h. 20

[3] Ibid., h. 20

[4] Ibid., h. 11 dan 18

[5] Lihat al-Qur’an, Surah al-Taghabun, 64 : 16

[6] Lihat al-Qardawi, Yusuf, al-Tarbiah al-Islamiyah wa Madradsah Hasan al-Banna, h. 93

[7] Firman Allah yang bermaksud: “Walaupun kamu belanjakan segala kekayaan yang ada di bumi nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allahtelah mempersatukan hati mereka, sesungguhnya Dia Maha Berkuasa Lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Anfal, 8 : 63)

[8] Firman Allah yang bermaksud: “Maka Allah melembutkan hati-hati kamu lalu jadilah kamu dengan nikmat-Nya bersaudara.” (Surah Ali Imran, 3 : 103)

[9] Hawwa, Sa’id, al-Madkhal Ila Da’wah al-Ikhwan al-Muslimin, h. 52

[10] Al-Qardhawi, Yusuf, Iman dan Kehidupan, cetakan 1, terjemahan, (Jakarta, Penerbit Bulan Bintang, 1977), h. 236

[11] Abi al-Husain Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim al-Qaisyari al-Nisaburi, al-Jami’ al-Sahih, al-Majainad al-Rabi’ (8), h. 12

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button