Zikrullah adalah siraman bagi pokok iman
Kita berdoa kepada Allah Subhanahuwata‘ala semoga kita terus diberikan hidayah oleh-Nya dan istiqamah di atas jalan-Nya agar kita dapat terus mentauhidkan-Nya, beriman dan ber’ubudiyyah hanyasanya kepada-Nya.
Hendaklah kita menyedari bahawa aqidah tauhid yang betul akan menghasilkan buah-buah (natijah-natijah) yang baik. Ia ibarat pokok yang baik (طيبة), maka sudah tentu akan mengeluarkan buah yang baik.
Perhatikanlah Firman Allah Subhanahuwata‘ala di dalam Surah Ibrahim ayat 24 – 25:
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا كَلِمَةٗ طَيِّبَةٗ كَشَجَرَةٖ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٞ وَفَرۡعُهَا فِي ٱلسَّمَآءِ ٢٤ تُؤۡتِيٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِۢ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ ٢٥
Tidakkah engkau lihat bagaimana Allah membuat perumpamaan perkataan (kalimah) yang baik (طيبة) adalah seperti pohon yang baik, akarnya teguh (dibumi) dan cabang-cabangnya menjulang tinggi ke langit. Mendatangkan hasilnya (buah-buahnya) sepanjang masa dengan izin Rabnya dan Allah membuat perumpamaan ini untuk manusia semoga mereka mengerti (mengambil peringatan)
(Surah Ibrahim: 24-25)
Menurut penjelasan al Ustaz Said Hawwa di dalam kitabnya غِذَآءُالعُبُودِيَّة bahawa pokok yang baik apabila disirami selalu, akan mengeluarkan hasil (buah-buah) yang baik dan berkualiti tinggi.
Siraman utama kepada pokok iman itu ialah dengan zikrullah [ذكر الله – الأذكار]. Kerana zikrullah itu memberi kehidupan dalam ertikata sebenarnya kepada orang yang beriman sepertimana ungkapan al-Ustaz Said Hawwa:
الذِكْرُ هُوَ الحَيَاةُ.
Beliau membawa suatu hadits yang dikeluarkan oleh al-Imam al-Bukhari bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
مَثَلُ الَّذِى يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِى لاَ يَذُ كُرُ رَبَّهُ كَمَثَلِ اْلحَىِّ وَالمَيِّت
Bandingan orang yang sentiasa zikrullah dengan orang yang tidak ada zikrullah adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati.
(Riwayat al-Bukhari)[1]
Pelbagai bentuk zikrullah
Zikrullah itu terdiri daripada berbagai bentuk dan cara. Semuanya diibaratkan air siraman bagi pohon (pokok) iman. Sesiapa yang banyak zikrullah maka bererti ia mendapat habuan yang baik daripada kehidupan ini dan sebaliknya sesiapa yang tidak zikrullah maka bererti ia kehilangan banyak habuan yang baik daripada kehidupan.
Solat adalah bentuk zikir yang utama. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكۡرِيٓ ١٤
Dan dirikanlah solat untuk zikir (ingat) kepada-Ku (Allah Subhanahuwata‘ala)
(Surah Taha: 14)
Solat itu juga merupakan bentuk zikrullah yang tertinggi, yang memperlihatkan darjat ketundukan dan kepatuhan yang tinggi kepada Allah Subhanahuwata‘ala dan membawa implikasi yang amat baik. Solah membentuk kehidupan yang baik lagi suci. Firman Allah dalam ayat 45 Surah al Ankabuut:
ٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ ٤٥
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solah. Sesungguhnya solah itu mencegah daripada (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah (solah) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat-ibadat yang lain), dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
(Surah Al-Ankabut: 45)
Seterusnya tilawah al-Quran adalah zikrullah, doa-doa yang dipohon kepada Allah Subhanahuwata‘ala adalah zikrullah dan wirid-wirid (الأوراد) yang dibaca setiap masa (pagi dan petang) adalah zikrullah. Melaksanakan segala perintah Allah Subhanahuwata‘ala dan meninggalkan segala larangan-Nya adalah termasuk juga dalam zikrullah (الذِكِربالجَوَارِح). Semua zikir ini dikira makanan atau siraman yang menyuburkan tauhid atau iman kepada Allah Subhanahuwata‘ala (غذاءالتوحيد).
Telitilah, apabila kalimah tauhid لا إله إلا الله yang diulang-ulangkan, maka ia akan menjadi wasilah bagi memperbaharui tauhid dan Iman seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam di dalam haditsnya:
جَدِّدُوا إيمَانَكُمْ قِيْل: وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانِنَا يَا رَسُولَ الله ؟
قَالَ: اُكْثِرُوا مِن قَوْلِ لآ إله إِلاَّ الله
Hendaklah kamu memperbaharui keimanan kamu. Rasulullah ditanya: Bagaimana kami hendak memperbaharui iman kami Ya Rasulullah?. Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda: Hendaklah kamu banyak menyebut
لآ إله إِلاَّ الله. (Maksudnya tiada ilah (معبود ) yang berhak diperhambakan diri melainkan kepada Allah Subhanahuwata’ala).
(Riwayat Albani)[2]
Apabila kita bertasbih سبحانالله bererti kita mengenali Allah Subhanahuwata‘ala, mentauhidkan-Nya dan mensucikan-Nya daripada segala sifat yang tidak layak dengan keagungan-Nya.
Apabila kita menyebut الحمد لله maka itu adalah suatu pengiktirafan kita terhadap segala nikmat yang kita perolehi, semuanya daripada Allah Subhanahuwata‘ala dan kita bersyukur kehadhrat-Nya.
Seterusnya apabila kita menyebut اللهُ اكبر maka ini adalah takzim kita hanya sanya kepada Allah Subhanahuwata‘ala. Kita mengagungkan Allah Subhanahuwata‘ala dalam semua perkara.Tidak ada yang lebih agung daripada-Nya. Bagi orang mu’min tiada yang lebih tinggi melainkan Allah Subhanahuwata‘ala dan apa yang ditentukan-Nya (hukum-hakam-Nya).
Zikrullah adalah wasilah ketenangan hati
Pendek kata semua ibadah dalam Islam yang dilaksanakan semata-mata kerana Allah adalah dikira zikrullah. Dan zikrullah, dalam segala bentuk yang disyara’kan ( lisan, hati dan perbuatan), adalah satu-satunya wasilah untuk mencapai ketenangan kepada hati dan jiwa ( طمأنينة القلب ). Firman Allah Subhanahuwata‘ala dalam surah ar-Ra’d ayat 28:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ ٢٨
(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.
(Surah Ar-Ra’d: 28)
Seterusnya ketenangan jiwa (طمأنينة القلب) yang berpaksikan keimanan itulah tanda kejayaan di sisi Allah Subhanahuwata‘ala dan jalan bagi mencapai keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala seperti firman-Nya dalam ayat 27 – 30 Surah al Fajr:
يَٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَئِنَّةُ ٢٧ ٱرۡجِعِيٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةٗ مَّرۡضِيَّةٗ ٢٨ فَٱدۡخُلِي فِي عِبَٰدِي ٢٩ وَٱدۡخُلِي جَنَّتِي ٣٠
Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Rab kamu (ya’ni Allah Subhanahuwata‘ala) dengan redha dan diredhai. Maka oleh itu masuklah dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan silalah masuk ke dalam syurga-Ku (Syurga Allah Subhanahuwata‘ala).
(Surah Al-Fajr: 27-30)
النفس المطمئنة– jiwa yang tenang dan teguh beriman itulah yang seharusnya dicapai oleh orang yang beriman. Wasilah atau jalannya ialah melalui zikrullah.
Zikrullah adalah bahtera penyelamat
Firman Allah dalam Surah al Baqarah ayat 152:
فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ ١٥٢
Oleh itu ingatlah kepada-Ku (zikrullah), nescaya Aku ingat kepada kamu (Allah tidak akan biarkan mereka) dan hendaklah kamu bersyukur kepada-Ku (kepada Allah) dan jangan sekali-kali kamu kufur
(Surah Al-Baqarah: 152)
Sehubungan dengan ini al-Ustaz Fathi Yakan di dalam sebuah kitabnya (قوارب النجاة فى حياة الدعاة) berkata:
قارب ذكرالله وهوقارب النجاة من الغرف فى بحر الشكوك والوساوس والقلق والاضطراب وسائر الأمراض النفسية
Bahtera zikrullahitu adalah bahtera penyelamat daripada tenggelam lemas di dalam lautan hidup ragu-ragu, was-was, gelisah, terumbang ambing dan selamat daripada penyakit-penyakit lain (berbagai penyakit lain).
Maksudnya orang mu’min yang sentiasa berada di dalam bahtera zikrullah itu, akan hidup dengan matlamat yang jelas dan melalui jalan yang jelas kebenarannya, yakni melalui jalan Islam dengan ber’ubudiyyah/beribadah kepada Allah Subhanahuwata‘ala semata-mata.
Zikrullah adalah tenaga pendorong
Seterusnya zikrullah itu mempunyai tenaga pendorong (dengan izin Allah Subhanahuwata‘ala). Ia melahirkan sifat-sifat berani dan bersedia untuk berjihad di jalan-Nya dengan penuh keimanan dan kesabaran. Juga sanggup menghadapi berbagai cabaran, rintangan dan kesulitan dengan penuh yakin kepada pertolongan Allah Subhanahuwata‘ala.
Ini bermakna bahawa amalan zikrullah itu tidak sekadar melahirkan insan soleh (صالح) seorang diri sahaja (untuk diri sendiri semata-mata), bahkan melahirkan insan mu’min soleh (صالح), musleh (مصلح) dan mujahid yang teguh pendirian dan berpegang teguh kepada din Allah Subhanahuwata‘ala (din yang berpandukan kepada sumber yang terjamin iaitu al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam).
Ingatlah amaran Allah Subhanahuwata‘ala di dalam al-Quran ayat 124 – 126 Surah Taha:
وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِكۡرِي فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةٗ ضَنكٗا وَنَحۡشُرُهُۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ أَعۡمَىٰ ١٢٤ قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرۡتَنِيٓ أَعۡمَىٰ وَقَدۡ كُنتُ بَصِيرٗا ١٢٥ قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتۡكَ ءَايَٰتُنَا فَنَسِيتَهَاۖ وَكَذَٰلِكَ ٱلۡيَوۡمَ تُنسَىٰ ١٢٦
Dan barangsiapa berpaling daripada peringatan-Ku (zikrullah), maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: “Ya Rabku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?”. Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan”.
(Surah Taha: 124-126)
Rujukan:
Khutbah Ustaz Omar Haji Salleh
(9 Syaaban 1425H, 24 September 2004)
[1] Sahih Al-Bukhari, no.hadits: 6407
[2] Dhoif At-TArghib, no.hadits: 925