Aqidah

Terimalah Ajaran Rasulullah Saw Sepenuhnya

RASULULLAH Sallallahu‘alaihiwasallam adalah زعيمنا (pemimpin kita) di dunia dan akhirat. Baginda adalah pemimpin umat pilihan Allah Subhanahuwata‘ala. Baginda diberikan bimbingan oleh Allah Subhanahuwata‘ala untuk menghukum dan membuat keputusan di kalangan manusia.  Firman Allah-Nya:

إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang yang khianat

(Surah An-Nisa’ : 105)

Jelaslah bahawa Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam, di samping baginda seorang rasul pilihan Allah Subhanahuwata‘ala, baginda juga adalah pemimpin dan pemerintah yang melaksanakan hukum-hukum yang diperintahkan (dikehendaki) oleh Allah Subhanahuwata‘ala, bukan mengikut kehendak hawa nafsunya sendiri.

Kita sebagai orang yang beriman, tidak seharusnya  mendahului Allah dan Rasul-Nya, atau membelakangkan hukum  Allah dan Rasul-Nya, seperimana firman-Nya :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُقَدِّمُواْ بَيۡنَ يَدَيِ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٞ

Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Hujurat : 1)

Dalam صفوة التفاسير , As Syeikh Muhammad ‘Ali As-Sabuni  telah menukilkan  kata-kata Imam Al-Baidhawi ( البيضاوى):

اى لا تقطعوا امرا قبل ان يحكم الله ورسول به

Janganlah kamu memutuskan sesuatu hukum sebelum Allah dan Rasul-Nya menghukum dengannya (yakni jangan membuat sesuatu keputusan sebelum merujuk kepada hukum Allah dan Rasul-Nya ).

Ini semua mengisyaratkan  kepada kita orang yang beriman agar tidak membuat sesuatu keputusan,  polisi dan peraturan-peraturan yang bercanggah dengan ajaran Allah Subhanahuwata‘ala dan Rasul-Nya.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam diutuskan oleh Allah Subhanahuwata‘ala untuk ditaati dan dipatuhi, bahkan Allah Subhanahuwata‘ala mewajibkan orang mu’min mematuhi baginda. Firman-Nya:

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ

Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah, dan bertaqwalah kepada Allah.

(Surah Al-Hasyr : 7)

Adab utama kita terhadap Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam seperti yang telah dijelaskan oleh  As Syeikh Abu Bakar Jabir al Jaza-iri  dalam kitabnya   منهاج المسلم   ialah  beriman dan menerima dengan penuh keyakinan apa jua yang telah disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, meliputi urusan din dan dunia, dan perkara yang ghaib (المغيبات), di dunia dan akhirat.

Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam  adalah bersifat ‘universal’ atau   عالمى  bukan bersifat  tempatan  (محلى). Islam adalah satu-satunya din  yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala  untuk hamba-hamba-Nya. Semua bangsa dan  negara dituntut untuk mengikuti ajaran yang satu ini, iaitu Islam – Din Allah Subhanahuwata‘ala yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam.  Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ

Barangsiapa mencari agama (din) selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (din itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang yang rugi.

(Surah Ali-Imran : 85)

Islam telah disempurnakan, sepertimana  telah ditegaskan oleh  Allah Subhanahuwata‘ala di dalam ayat 3, surah Al-Maidah:

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agama (din)mu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu sebagai agama (din) bagimu.

(Surah Al-Maidah : 3)

 Oleh kerana din Islam telah sempurna dan diredhai Allah Subhanahuwata‘ala, maka ia tidak perlu tokok tambah lagi.  Tidak perlu lagi kepada din yang lain.  Hanya Islam sahaja ajaran yang  menyelamatkan semua makhluk sampai ke hari kiamat (Akhirat). Maka terimalah Islam sepenuhnya.

Rujukan:

Khutbah  Jumaat oleh Ustaz Omar Haji Salleh  (17 Rabiulawal 1425H / 7 Mei 2004)

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button