PENDAHULUAN
Menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk mencintai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam melebihi cintanya kepada semua makhluk lain.
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam adalah manusia pilihan Allah Subhanahuwata‘ala yang diutuskan kepada umat manusia untuk membimbing mereka kepada hidayah, berbuat makruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepada-Nya.
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:
الٓرۚ كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ
Alif, laam raa. (Ini adalah) kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Rab mereka, (iaitu) menuju jalan Rab Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.
(Surah Ibrahim : 1)
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah dan khurafat, dan mengajak manusia kepada pengabdian yang akan membebaskan mereka daripada segala bentuk ikatan yang lain. Dia mengembalikan kepada mereka kebahagiaan hidup yang sebenar. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:
ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِيَّ ٱلۡأُمِّيَّ ٱلَّذِي يَجِدُونَهُۥ مَكۡتُوبًا عِندَهُمۡ فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ يَأۡمُرُهُم بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَىٰهُمۡ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡخَبَٰٓئِثَ وَيَضَعُ عَنۡهُمۡ إِصۡرَهُمۡ وَٱلۡأَغۡلَٰلَ ٱلَّتِي كَانَتۡ عَلَيۡهِمۡۚ
(Iaitu) orang yang mengikut rasul, nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka daripada mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka.
(Surah Al-A’raf : 157)
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berda’wah dan mendidik umat dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Baginda bersabar menghadapi segala tentangan, siksaan dan halangan. Baginda membangunkan umat berdasarkan aqidah yang benar dan mengembangkan da’wah ke segenap penjuru alam, sehinggalah kita dapat menikmati nikmat Islam pada hari ini.
Kewajiban Mencintai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam
Berikut adalah huraian ringkas mengenai kewajipan mencintai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:
- Kewajipan mencintai Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam melebihi cinta kepada diri sendiri
Imam Bukhari meriwayatkan:
عَن عَبْد اللَّهِ بْنَ هِشَامٍ ، قَالَ : كُنَّا مَعَ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم وَهْوَ آخِذٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ ، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِلأَنْتَ أَحَبُّ إِلَىَّ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ إِلاَّ مِنْ نَفْسِى .
فَقَالَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم:
لاَ وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ .
فَقَالَ لَهُ عُمَرُ : فَإِنَّهُ الآنَ وَاللَّهِ لأَنْتَ أَحَبُّ إِلَىَّ مِنْ نَفْسِى .
فَقَالَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم : الآنَ يَا عُمَرُ .
Daripada Abdullah bin Hisyam Radiallahuanhu bahawa beliau berkata: Kami pernah bersama Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, sementara baginda memegang tangan Umar bin Khatthab Radiallahuanhu, maka Umar berkata kepada baginda: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri.
Maka Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: Tidak, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, hinggalah kamu lebih mencintai aku daripada dirimu sendiri.
Umar berkata kepada baginda: Sesungguhnya sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.
Nabi bersabda: Saat ini wahai Umar (benarlah cinta kamu)
(Riwayat al-Bukhari)[1]
- Kewajipan mencintai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam melebihi cinta kepada orang tua (ibubapa) dan anak
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ
Daripada Abu Hurairah Radiallahu’anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
Demi zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, tidaklah di antara kamu beriman sehingga aku lebih dicintai daripada orang tua dan anaknya.
(Riwayat al-Bukhari)[2]
- Kewajipan mencintai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam melebihi cinta kepada seluruh manusia lain
Imam Bukhari meriwayatkan:
عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Daripada Anas Radiallahuanhu, berkata, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia seluruhnya
(Riwayat al-Bukhari)[3]
- Kewajipan mencintai Allah Subhanahuwata’ala, Rasululullah Sallallahu’alaihiwasallam dan berjihad di jalan-Nya melebihi cinta kepada segala yang lain
Firman Allah Subhanahuwata‘ala:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ
Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik
(Surah At-Taubah : 24)
Imam Al-Hafiz Ibnu Kathir berkata dalam menafsirkan ayat di atas:
Apabila semua perkara dan urusan di atas lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah maka tunggulah datangnya bencana dan azab daripada Allah yang akan menimpa kamu
(Mukhtasar Ibnu Kathir – Syeikh Nasib Ar-Rifa’i)
Buah Daripada Mencintai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam
Bagi mereka yang mencintai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, akan mendapat hasil atau natijah yang baik samada di dunia mahupun di akhirat, antaranya ialah:
- Cinta kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam akan mendatangkan rasa manisnya iman
Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik Radiallahuanhu bahawa Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاوَةَ الإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لا يُحِبُّهُ إِلا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّار
Tiga perkara, sesiapa yang ada padanya, nescaya dia akan mendapat kemanisan iman.
(Pertama) Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada sesuatu selain keduanya, dan
(Kedua) dia mengasihi seseorang, tidak dikasihinya orang itu melainkan kerana Allah, dan
(Ketiga) dia tidak suka kembali kepada kekufuran sepertimana dia tidak suka (dirinya) dicampakkan ke dalam api
(Riwayat al-Bukhari)[4]
Erti manisnya iman, sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama’, adalah merasakan lazatnya segala ketaatan dan bersedia menderita kerana din (agama) serta mengutamakan itu semua daripada seluruh materi dunia (kenikmatan dan harta benda dunia)
(Fathul Bari 1/61).
- Orang yang mencintai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam akan tinggal bersama baginda di akhirat nantiDaripada Anas bin Malik Radiallahuanhu, dia berkata:
أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
مَتَى السَّاعَةُ يَا رَسُولَ اللَّه
قَالَ: مَا أَعْدَدْتَ لَهَا
قَالَ: مَا أَعْدَدْتُ لَهَا مِنْ كَثِيرِ صَلَاةٍ وَلَا صَوْمٍ وَلَا صَدَقَةٍ وَلَكِنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
قَالَ: أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ
Bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam: Bilakah hari kiamat terjadi wahai Rasulullah?
Baginda menjawab: Apakah yang telah kamu persiapkan untuknya?
Lelaki itu menjawab: Aku tidak mempersiapkan banyak solat, puasa atau pun sedekah, namun aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.
Baginda bersabda: Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai.
(Riwayat al-Bukhari)[5]
Anas Radiallahuanhu berkata: Kami tidak bergembira setelah masuk Islam lebih daripada mendengar sabda baginda: Sesungguhnya kamu bersama orang yang kamu cintai.
Anas Radiallahuanhu berkata: Saya mencintai Allah, Rasul-Nya, Abu Bakar dan Umar, dengan harapan saya dapat berkumpul bersama mereka walau pun saya tidak beramal seperti mereka.
Tanda-Tanda Orang Yang Mencintai Nabi Sallallahu’alaihiwasallam
Antara tanda-tanda mencintai Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam – adalah seperti yang dinyatakan oleh Al-Aadhi ‘Iyadh:
Termasuk tanda mencintai Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam adalah membela sunnahnya dan menegakkan syari’atnya serta ingin bertemu dengannya. Maka untuk mewujudkannya, seseorang akan mengerahkan jiwa dan harta kekayaannya
(Syarah Sahih Muslim – An-Nawawi).
Ibnu Hajar berkata:
Termasuk tanda cinta kepada Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam di atas, adalah bahawa seandainya (seseorang) disuruh memilih di antara kehilangan dunia atau kehilangan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, kalau itu memungkinkan, maka ia lebih memilih kehilangan dunia daripada kehilangan kesempatan untuk melihat baginda, ia merasakan lebih berat kehilangan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam daripada kehilangan kenikmatan dunia, maka orang seperti itu telah mendapat sifat kecintaan di atas, dan siapa yang tidak mencapai sedemikian maka tidak berhak mendapat bahagian daripada buah cinta itu. Yang demikian itu tidak hanya terbatas pada persoalan cinta sahaja, bahkan membela sunnah dan menegakkan syari’at serta melawan para penentang, termasuk amar makruf dan nahi mungkar.
(Fathul Bari)
[1] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 6632
[2] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 14
[3] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 15
[4] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 16
[5] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 6171