Islam menyeru kepada kebaikan
Islam adalah manhaj kehidupan yang terang, jelas dan terbaik. Manhaj ini sudah cukup untuk membimbing manusia mencapai tahap yang tinggi dan melayakkannya menjadi khalifah Allah Subhanahuwata’ala di muka bumi ini.
Ramai manusia yang tersesat, melakukan maksiat dan terseleweng daripada jalan yang terang dan jelas, sama ada disebabkan kejahilan, terpengaruh dengan suasana, tunduk kepada hawa nafsu atau terpesona dengan seruan yang sia-sia.
Penyelewengan-penyelewengan ini menurunkan darjat manusia dan menghalangnya daripada kesucian dan ketinggian. Akhirnya, jatuhlah nilai dirinya dan lemahlah tenaganya. Dan juga jatuhlah ia ke dalam suasana yang menghalangnya daripada mengikuti kebenaran.
Bilamana manusia sampai ke tahap ini, tiadalah rasa izzah terhadap risalah Islam yang tertinggi, cita-cita yang mulia dan contoh yang baik. Seluruh tenaganya adalah untuk kepentingan dirinya, memuaskan nafsunya, mengutamakan dirinya dan menolak kepentingan orang lain. Di saat ini dunia kehilangan jiwa-jiwa dan contoh-contoh yang baik. Manusia bertarung dengan sedahsyat-dahsyat pertarungan, lebih buruk daripada pertarungan di antara haiwan-haiwan yang buas.
Islam sentiasa menyeru manusia berpegang kepada kebenarannya serta berpaut dengan talinya agar tidak tersesat di perjalanan dan tidak tersilap di dalam matlamat. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
فَٱسۡتَمۡسِكۡ بِٱلَّذِيٓ أُوحِيَ إِلَيۡكَۖ إِنَّكَ عَلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ ٤٣ وَإِنَّهُۥ لَذِكۡرٞ لَّكَ وَلِقَوۡمِكَۖ وَسَوۡفَ تُسَۡٔلُونَ ٤٤
Maka berpegang teguhlah kamu kepada agama yang telah diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar satu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu dan kelak kamu akan diminta pertanggungjawaban.
(Surah az-Zukhruf: 43-44)
Bertaubatlah di atas kesalahan
Kadangkala manusia tersesat kerana ia lemah, jiwanya terlena dan rohnya tertidur, manakala hawa nafsunya terbebas dan mengaburi matlamatnya. Ketika itu terhentilah pertarungan antara rohnya dan hawa nafsu tersebut.
Dalam keadaan yang teruji ini, janganlah kamu berkata kepada diri kamu sendiri bahawa kamu bukanlah dijadikan sepertimana malaikat yang suci lagi bersih serta bukan juga seorang manusia yang ma’sum (terpelihara). Katakanlah kepada diri kamu sendiri bahawa kamu hanya seorang manusia yang sentiasa berperang di antara kebaikan dan kejahatan. Kadangkala roh kamu menang lalu meningkat tinggi dan kadangkala nafsu kamu menang lalu kamu jatuh ke tempat yang rendah.
Kamu hendaklah memperbetulkan kesilapan kamu apabila tersilap dan merawat kesakitan kamu apabila terjatuh sakit. Kamu hendaklah membersihkan jiwa kamu daripada karat-karat jahiliah yang terlekat di jiwa kamu dengan cara bertaubat dan hendaklah kamu memulakan hidup yang baru. Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiawasallam:
كلُّ بني آدمَ خطَّاءٌ ، وخيرُ الخطَّائينَ التَّوَّابونَ
Setiap anak Adam melakukan kesilapan, tetapi sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat.
(Riwayat al-Baihaqi)[1]
إن اللهَ عز وجل يبسطُ يدَه بالليلِ ، ليتوبَ مسيءُ النهارِ . ويبسطُ يدَه بالنهارِ ، ليتوبَ مسيءُ الليلِ . حتى تطلعَ الشمسُ من مغربِها
Sesungguhnya Allah Ta’ala membuka (Tangan-Nya) di waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan kesilapan di siang hari dan membuka (Tangan-Nya) di waktu siang untuk menerima taubat orang yang membuat kesilapan di waktu malam sehinggalah tiba hari akhirat.
(Riwayat Muslim)[2]
Dengan ini terhapuslah segala kesilapan InsyaAllah. Jiwa kamu kembali kuat, hati menjadi sejahtera dan akan menanglah kekuatan roh dan tewaslah kehendak-kehendak hawa nafsu.
Allah Subhanahuwata’ala Maha Mengetahui tabiat manusia yang lemah. Ia tidak mentaklifkan ke atas manusia supaya ‘ismah (suci daripada dosa), kerana taklif ini tidak mampu disempurnakan oleh manusia. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡهَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرٗا كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٢٨٦
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): Ya Rab kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Rab kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang yang sebelum kami. Ya Rab kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami.Engkau Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.
(Surah Al-Baqarah: 286)
Allah Subhanahuwata’ala mentaklifkan manusia supaya berusaha ke arah ‘ismah setiap kali diri mereka lari daripada-Nya, dan supaya mereka membersihkan diri setiap kali mereka melakukan dosa. Nabi Adam Alaihissalam juga pernah melakukan kesilapan. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمۡنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٢٣
Kedua-duanya berkata: Ya Rab kami, kami telah mengianiaya diri kami sendiri dan jika engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami nescaya kami termasuk di dalam orang yang rugi.
(Surah Al-A’raf: 23.)
ثُمَّ ٱجۡتَبَٰهُ رَبُّهُۥ فَتَابَ عَلَيۡهِ وَهَدَىٰ ١٢٢
Kemudian Rabnya memilihnya, maka Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk.
(Surah Taha: 122)
فَتَلَقَّىٰٓ ءَادَمُ مِن رَّبِّهِۦ كَلِمَٰتٖ فَتَابَ عَلَيۡهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ٣٧
Kemudian Adam menerima beberapa kalimat daripada Rabnya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubatnya lagi Maha Penyayang.
(Surah Al-Baqarah: 37)
Islam sentiasa membuka pintu harapan
Islam sentiasa membuka pintu harapan dan mengajak mereka yang telah melakukan dosa supaya bertaubat dan meminta keampunan daripada Allah Subhanahuwata’ala (dengan beristighfar kepada-Nya). Allah Subhanahuwata’ala mengampuni mereka walau sebesar mana sekali pun dosa mereka. Firman AllahSubhanahuwata’ala:
۞قُلۡ يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ٥٣
Katakanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, sesunguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semua. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah Az-Zumar: 53)
وَمَن يَعۡمَلۡ سُوٓءًا أَوۡ يَظۡلِمۡ نَفۡسَهُۥ ثُمَّ يَسۡتَغۡفِرِ ٱللَّهَ يَجِدِ ٱللَّهَ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ١١٠
Dan barangsiapa yang melakukan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun daripada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah An-Nisa: 110)
Firman AllahSubhanahuwata’ala di dalam sebuah hadits al-Qudsi:
قال الله تبارك وتعالى يا ابن آدمَ إنّكَ ما دعوتَني ورجَوْتَني غفرتُ لك َعلى ما كانَ فيكَ ولا أُبَالِي يا ابن آدمَ لو بلغَتْ ذنوبكَ عَنَانَ السماءِ ثم استغفرتَنِي غفرتُ لكَ ولا أبالي يا ابن آدمَ إنك لو أتَيتَنِي بقُرَابِ الأرضِ خطايا ثم لقِيتَنِي لا تُشْرِكْ بي شيئا لأتَيتُكَ بقُرَابِها مغفرةً
Allah berfirman: Wahai anak Adam, selagi engkau berdoa terhadap-Ku dan bergantung harap kepada-Ku, Aku akan mengampunimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam walaupun dosamu memenuhi awan di langit, kemudian engkau memohon ampun daripada-Ku, Aku akan mengampunimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi dan engkau berjumpa dengan-Ku dalam keadaan engkau tidak syirik pada-ku sedikitpun, maka Aku akan datang kepadamu sebanyak itu juga dengan keampunan.
(Riwayat At-Tirmizi)[3]
Cara bertaubat
Taubat dalam Islam tidak berhajat kepada sumpah seperti yang dilakukan oleh agama Kristian. Tidak juga berhajat kepada syeikh atau guru dan tidak juga pergi ke suatu tempat yang tertentu. Taubat dalam Islam ialah suatu kesedaran jiwa untuk melakukan perubahan. Menyedari dirinya telah melakukan penyelewengan daripada manhaj hidup yang betul dan berusaha untuk kembali serta tetap di atasnya.
Selama mana orang yang bertaubat itu memohon ampun kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan jiwa itu sedar, memperbaiki kesilapan yang lalu dan berusaha untuk kembali kepada apa yang sepatutnya, maka itulah sebenarnya taubat yang disukai oleh Allah Subhanahuwata’ala. Kerana itulah Allah Subhanahuwata’ala mengampuni dosa-dosa yang telah dilakukan. Firman-Nya:
وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٣٥ أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغۡفِرَةٞ مِّن رَّبِّهِمۡ وَجَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ وَنِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَٰمِلِينَ ١٣٦
Dan apabila orang yang melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka. Dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa mereka selain daripada Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji tersebut sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasan mereka keampunan daripada Rab mereka dan balasan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kekal mereka di dalamnya, itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.
(Surah Ali ‘Imran: 135-136)
Oleh itu Allah Subhanahuwata’ala memberi peluang kepada orang yang mengakui keburukan, kesalahan dan kezaliman yang mereka telah kerjakan apabila mereka mengingati Allah Subhanahuwata’ala. Serta mereka menyedari bahawa mereka tidak berkuasa ke atas kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala kerana terlalu sedikit kemampuan yang mereka miliki. Di kala mereka menyedari kesilapan, mereka terus merasa pedih, sakit dan sedih yang amat sangat, maka mereka terus berlari kepada Allah Subhanahuwata’ala dan memperbaiki kesilapan dengan segera. Inilah sebenarnya tanda hati yang sihat dan jiwa yang hidup. Manakala orang yang berdegil tetap melakukan dosa dan berterusan dengannya, ini membuktikan jiwanya kosong dan mati. Degil adalah sifat orang yang kafir. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَبۡلَ ذَٰلِكَ مُتۡرَفِينَ ٤٥ وَكَانُواْ يُصِرُّونَ عَلَى ٱلۡحِنثِ ٱلۡعَظِيمِ ٤٦
Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah dan mereka terus menerus melakukan dosa yang besar.
(Surah Al-Waqi’ah: 45-46)
Allah Subhanahuwata’ala meletakkan syarat taubat yang diterima ialah taubat itu hendaklah dilakukan dengan segera dan tidak meneruskan lagi kesilapan yang lalu. Firman-Nya:
إِنَّمَا ٱلتَّوۡبَةُ عَلَى ٱللَّهِ لِلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلسُّوٓءَ بِجَهَٰلَةٖ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٖ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَتُوبُ ٱللَّهُ عَلَيۡهِمۡۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمٗا ١٧
Sesungguhnya taubat di sisi Allah ialah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima oleh Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
(Surah An Nisa’: 17)
Orang yang bertaubat hendaklah bersegera melakukan amal soleh. Maka amal soleh itu menghapuskan kejahatan seperti cahaya matahari menghapuskan kegelapan malam. Dan apabila amalan yang dilakukan itu disertai dengan keikhlasan dan keyakinan yang sepenuhnya, semua ini akan mebersihkan jiwa dan mensucikannya.
Sebenarnya keampunan yang dianugerahkan Allah Subhanahuwata’ala akan menghilangkan semua dosa sama sekali. Oleh itu taubat hendaklah sentiasa diiringi oleh amal soleh. Firman Allah Subhanahuwata’ala.
وَإِذَا جَآءَكَ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بَِٔايَٰتِنَا فَقُلۡ سَلَٰمٌ عَلَيۡكُمۡۖ كَتَبَ رَبُّكُمۡ عَلَىٰ نَفۡسِهِ ٱلرَّحۡمَةَ أَنَّهُۥ مَنۡ عَمِلَ مِنكُمۡ سُوٓءَۢا بِجَهَٰلَةٖ ثُمَّ تَابَ مِنۢ بَعۡدِهِۦ وَأَصۡلَحَ فَأَنَّهُۥ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٥٤
Apabila orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami itu datang kepadamu, maka katakanlah: Salaamun – alaikum. Rab kamu telah menetapkan atas diri-Nya kasih sayang iaitu bahawasanya sesiapa yang melakukan kejahatan di antara kamu lantaran kejahilan, kemudian ia bertaubat setelah mengerjakannya dan melaksanakan pembaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah Al-An’am: 54)
وَإِنِّي لَغَفَّارٞ لِّمَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا ثُمَّ ٱهۡتَدَىٰ ٨٢
Sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh kemudian tetap di jalan yang benar.
(Surah Taha: 82)
ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ عَمِلُواْ ٱلسُّوٓءَ بِجَهَٰلَةٖ ثُمَّ تَابُواْ مِنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَ وَأَصۡلَحُوٓاْ إِنَّ رَبَّكَ مِنۢ بَعۡدِهَا لَغَفُورٞ رَّحِيمٌ ١١٩
Kemudian Rabmu (mengampuni) bagi orang yang mengerjakan kesalahan kerana kebodohannya, kemudian mereka bertaubat setelah itu dan memperbaiki dirinya. Sesungguhnya Rabmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah An-Nahl: 119)
وَٱلَّذِينَ لَا يَدۡعُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ وَلَا يَقۡتُلُونَ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِي حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّ وَلَا يَزۡنُونَۚ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ يَلۡقَ أَثَامٗا ٦٨ يُضَٰعَفۡ لَهُ ٱلۡعَذَابُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَيَخۡلُدۡ فِيهِۦ مُهَانًا ٦٩ إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ عَمَلٗا صَٰلِحٗا فَأُوْلَٰٓئِكَ يُبَدِّلُ ٱللَّهُ سَئَِّاتِهِمۡ حَسَنَٰتٖۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ٧٠ وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا فَإِنَّهُۥ يَتُوبُ إِلَى ٱللَّهِ مَتَابٗا ٧١
Dan orang yang tidak menyembah ilah lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya ia mendapat pembalasan dosanya. Iaitu akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan ia kekal di dalam azab tersebut dalam kedaaan terhina, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amalan soleh. Maka mereka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan.Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.
(Surah Al-Furqan: 68-71)
Amalan-amalan soleh yang dapat menghapuskan dosa adalah banyak. Antaranya ialah:
1. Berwudhu’
Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah bersabda:
إذا توضأ العبدُ المسلمُ ( أو المؤمنُ ) فغسل وجهَه ، خرج من وجهِه كلُ خطيئةٍ نظر إليها بعينيه مع الماءِ ( أو مع آخرِ قطرِ الماءِ ) فإذا غسل يديه خرج من يديه كلُ خطيئةٍ كان بطشتها يداه مع الماءِ ( أو مع آخرِ قطرِ الماءِ ) فإذا غسل رجليه خرجت كلُّ خطيئةٍ مشتها رجلاه مع الماءِ ( أو مع آخرِ قطرِ الماءِ ) حتى يخرجَ نقيًا من الذنوبِ
Apabila seseorang hamba muslim atau mu’min itu membasuh mukanya maka keluarlah segala dosa daripada pandangan matanya dengan mengalir air wudu’. Apabila ia membasuh tangannya maka terhapuslah dosa yang dilakukan oleh kedua-dua belah tangannya bersama mengalir air wudhu’. Apabila ia membasuh kedua belah kakinya dengan mengalirnya air sehingga ia menjadi bersih daripada dosa-dosa.
(Riwayat Muslim)[4]
2. Mengerjakan solat
Daripada Abu Hurairah telah berkata:
سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: أرأيتم لو أنَّ نهرًا ببابِ أحدِكم يغتسلُ منهُ كل يومٍ خمسَ مراتٍ . هل يَبقى من درنِه شيٌء ؟ قالوا: لا يَبقى من درنِه شيٌء . قال فذلك مثلُ الصلواتِ الخمسِ . يمحو اللهُ بهنَّ الخطايا
Saya mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: “Apa pendapat kamu jika di depan rumah seorang kamu terdapat sebatang sungai, lalu ia mandi di dalamnya lima kali sehari, ada atau tidak daki terlekat pada tubuhnya?”
Jawab sahabat-sahabat: “Tiada lagi.”
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda lagi: “Begitulah solat lima waktu. Allah membersihkan kamu dengannya daripada dosa-dosa.
(Riwayat Muslim)[5]
3. Mengerjakan solah Jumaat
Hadits diriwayatkan oleh Bukhari daripada Salman al-Farisi berkata bahawa sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:
لا يغتسِلُ رجلٌ يومَ الجمُعةِ، ويتطَهَّرُ ما استطاع من طُهرٍ، ويدَّهِنُ من دُهنِه، أو يَمَسُّ من طِيبِ بيتِه، ثم يَخرُجُ فلا يُفَرِّقُ بين اثنين، ثم يصلِّي ما كُتِبَ له، ثم يُنصِتُ إذا تكلَّمَ الإمامُ، إلا غُفِرَ له ما بينه وبين الجمُعة الأخرَى
Tiada seorang pun yang mandi pada hari Jumaat dan membersihkan badannya sebersih-bersihnya, memakai minyak wangi, kemudian ia keluar dari rumahnya dalam keadaan tidak bermusuhan dengan siapa pun, kemudian ia mengerjakan solah yang diwajibkan ke atasnya serta dia diam bila imam berkhutbah, kecuali akan diampunkan dosanya sehingga datang hari Jumaat yang lain.
(Riwayat Al-Bukhari)[6]
4. Mengerjakan haji dan umrah
Abu Hurairah berkata bahawa ia pernah mendengar Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
مَن حجَّ للهِ، فلم يَرفُث ولم يَفسُقْ، رجَع كيوم ولدَته أمُّه
Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah dan ia tidak berkata-kata dengan perkara-perkara yang keji serta tidak melakukan kejahatan, maka dia akan pulang dalam keadaan seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.
(Riwayat Al-Bukhari)[7]
5. Berjihad
مرَّ رجلٌ منْ أصحابِ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ بشِعبٍ فيهِ عُيَيْنةٌ من ماءٍ عذبةٌ فأعجبتْهُ لطِيبها فقال: لو اعتزلْتَ الناسَ فأقمتُ في هذا الشِّعبِ ولن أفعل حتى أستأذنَ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فذكَر ذلكَ لرسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فقال:لا تفعلْ فإنَّ مقامَ أحدِكم في سبيل اللهِ أفضلُ منْ صلاتِهِ في بيتهِ سبعينَ عامًا، ألا تحبُّون أن يغفرَ اللهُ لكمْ، ويدخلُكم الجنةَ ؟ اغزُوا في سبيلِ اللهِ، منْ قاتلَ في سبيلِ اللهِ فُواقَ ناقةٍ وجبتْ لهُ الجنةُ
Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu berkata:
Seorang sahabat telah melalui sebuah lembah yang di dalamnya terdapat sebuah mata air yang jernih dan menakjubkannya lalu ia berkata: “Jika aku mengasingkan diriku daripada manusia dan tinggal di lembah ini …. tetapi aku tidak melakukannya melainkan setelah diizinkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kemudian beliau bertanya Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, baginda bersabda: “Jangan lakukannya. Sesungguhnya kedudukan solah seorang daripada kamu fi sabillillah lebih baik daripada mendirikan solah di rumahnya selama 70 tahun. Tidakkah engkau mengingini Allah mengampuni kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga? Berperanglah di jalan Allah.Sesiapa yang berperang di jalan Allah sekalipun tempohnya selama diperahkan susu unta, wajiblah kepadanya syurga.
(Riwayat At-Tirmizi)[8]
6. Berakhlak dengan akhlak yang baik
Akhlak baik seperti memberi maaf, bermanis muka dan bersalam-salaman ketika tersilap akan menghapuskan dosa-dosa. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
ما مِن مُسْلِمَينِ يلتَقيانِ فيتَصافَحانِ ، إلَّا غُفِرَ لَهُما قبلَ أن يَتفرَّقا
Tidak seorang muslim yang bertemu dan bersalam-salaman kecuali Allah mengampuni dosa kedua-duanya sebelum berpisah.
(Riwayat Albani)[9]
7. Bersabar menanggung kesakitan
Sabda Rasulullah Sallallahualaihiwasallam:
ما مِن مصيبةٍ تصيبُ المسلِمَ إلَّا كفَّرَ اللَّهُ بِها عنهُ ، حتَّى الشَّوكةِ يُشاكُها
Tidak akan terkena ke atas seorang muslim daripada kepenatan, kesakitan, kesusahan, kecuali semua itu akan diampunkan Allah dosa-dosanyasehingga duri yang mencucuknya.
(Riwayat al-Bukhari)[10]
8. Beristighfar kepada Allah Subhanahuwata’ala
Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:
مَن لزمَ الاستغفارَ، جعلَ اللَّهُ لَهُ من كلِّ ضيقٍ مخرجًا، ومن كلِّ همٍّ فرجًا، ورزقَهُ مِن حيثُ لا يحتسِبُ
Sesiapa yang sentiasa beristghfar, Allah akan memberikan jalan keluar dalam setiap kesusahan dan memberikan kemudahan dalam setiap kepayahan dan memberikan rezeki yang tidak disangka-sangka.
(Riwayat Abu Daud)[11]
Rujukan:
Sayyid Sabiq, Islamuna
[1]شعب الإيمان (Sya’bul Iman), no.hadits dan juzu’ : 5/2422
[2] Sahih Muslim, no.hadits : 2759
[3] Sunan At-Tirmizi, no.hadits : 3540
[4] Sahih Muslim, no.hadits : 244
[5] Sahih Muslim, no.hadits : 667
[6] Sahih Al-Bukhari, no.hadits : 883
[7] Sahih Al-Bukhari, no.hadits : 1521
[8] Sunan At-Tirmizi, no.hadits : 1650.
[9] Sahih Ibn Majah, no.hadits : 3003.
[10] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 5640
[11] Sunan Abu Daud, no.hadits : 1518