Ta’rif Islam
Islam bermaksud patuh dan menyerah kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Yakni patuh dan tunduk kepada segala titah perintah Allah Subhanahuwata’ala.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣
Apakah mereka mencari din yang lain daripada din Allah, pada hal kepada-Nya-lah menyerah diri segala apa yang di langit dan di bumi baik dengan suka mahu pun terpaksa dan kepada Allah mereka dikembalikan
(Surah Ali Imran : 83)
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
۞وَمَن يُسۡلِمۡ وَجۡهَهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٞ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰۗ وَإِلَى ٱللَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٢٢
Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. Dan kepada Allah-lah kesudahan segala urusan. (Surah Luqman : 22)
Patuh, tunduk dan menyerah itu perlulah lahir dari jiwa yang sedar dan insaf. Iaitu kesedaran dan keinsafan berserta dengan memahami ilmu-ilmu Islam yang benar dan sahih.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقۡوَىٰهَا ٨ قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّىٰهَا ٩ وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا ١٠
Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya. (Surah Asy-Syams : 8-10)
Manusia diberikan aqal untuk membuat pilihan. Bebas untuk memilih dua jalan yang disediakan (dengan izin Allah Subhanahuwata’ala). Keputusan daripada pemilihan itu akan menentukan hakikat kehidupan di akhirat kelak. Di sinilah manusia perlu berfikir panjang.
Mereka yang telah memilih Islam bererti telah menentukan kehidupan bahagia di akhirat kelak dengan izin Allah Subhanahuwata’ala. Memilih Islam di sini bermaksud ciri-ciri Islam lahir dalam tingkah laku, peribadi, percakapan dan sebagainya. Seluruh aspek hidup mempunyai hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala, iaitu hubungan dengan syara’ atau Islam. Maknanya perbuatan seseorang Islam itu mewakili keperibadian Islam yang Allah Subhanahuwata’ala kehendaki.
Sekiranya pilihan mereka tidak tepat, iaitu tidak memilih Islam dan memilih jalan yang lain, maka hasilnya mereka akan mendapat balasan penderitaan yang hebat daripada Allah Subhanahuwata’ala di akhirat nanti.
Islam itu lengkap
Islam bukanlah rekaan manusia. Ia bukanlah terbatas untuk sesuatu generasi atau untuk sesuatu golongan manusia atau untuk sesuatu masa dan tempat sahaja sepertimana agama sebalumnya.
Syari’at Islam lengkap dalam semua aspek kehidupan manusia. Ini berdasarkan Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَيَوۡمَ نَبۡعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٖ شَهِيدًا عَلَيۡهِم مِّنۡ أَنفُسِهِمۡۖ وَجِئۡنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَىٰ هَٰٓؤُلَآءِۚ وَنَزَّلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ تِبۡيَٰنٗا لِّكُلِّ شَيۡءٖ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ وَبُشۡرَىٰ لِلۡمُسۡلِمِينَ ٨٩
(Dan ingatlah) akan hari (ketika) kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia, dan kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri. (Surah an-Nahl : 89).
مَّا فَرَّطۡنَا فِي ٱلۡكِتَٰبِ مِن شَيۡءٖۚ
Kami tidak tinggalkan sesuatu juapun dalam al-Quran. (Surah al-An’am : 38)
Islam mesti difahami sebagai satu manhaj atau sistem hidup yang lengkap dalam semua aspek kehidupan manusia, sambung menyambung antara satu bahagian dengan satu bahagian yang lain. Oleh itu setiap percubaan untuk memecahkan bahagian-bahagiannya akan membawa kerosakan kepada Islam.
Islam bolehlah diumpamakan seperti tubuh badan manusia yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Tangan bersendirian yang terpisah daripada badan tidak dapat melaksanakan tugas-tugasnya. Juga ia tidak dapat melaksanakan tugas-tugasnya sekiranya dipasang pada tubuh badan lain. Begitu juga dengan syari’at Islam sebagai pengatur hidup masyarakat manusia. Islam mesti dipandang secara keseluruhannya dan tidak boleh dipandang kepada bahagian-bahagian tertentu secara secara berasingan.
Berdasarkan kepada pengertian di atas, perlaksanaan Islam dalam semua cabang kehidupan manusia hendaklah menyeluruh dan lengkap.
Mereka yang mengambil Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah dan Rabb tidak mempunyai pilihan lain melainkan mesti mengambil Islam yang meliputi semua bidang kehidupan manusia.
Agama lain, seperti Kristian tidak terdapat di dalamnya undang-undang atau peraturan-peraturan bagi mengatur hubungan manusia dengan manusia, hubungan satu kumpulan dengan satu kumpulan yang lain dan seterusnya hubungan satu pemerintahan dengan satu pemerintahan yang lain.
Memeluk Islam bukanlah berbentuk warisan
Ramai yang menganggap bahawa apabila ibubapa mereka telah Islam maka mereka pun Islam (muslim) walaupun tidak melaksanakan hak-haknya.
Al-Quran itu bukanlah semata-mata suatu warisan daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tetapi ia merupakan kitab Allah Subhanahuwata’ala yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam untuk difahami dan dijadikan panduan hidup ummat manusia.
Memeluk Din Islam bukanlah sebagai suatu hobi atau fesyen. Juga memeluk Din Islam bukanlah sekadar menunjukkan yang zahir sahaja seperti Islam pada pakaian atau hanya memperbanyakkan solah sunnat sahaja. Sesungguhnya apabila kita memeluk Islam, kita mestilah menganut sepenuhnya iaitu dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup kita. Apa sahaja, samada pemikiran, perkataan, perbuatan mahupun tindakan mesti mengikut cara dan ketentuan Islam.
Kita mestilah menyesuaikan diri dengan Islam. Kita mestilah menyesuaikan diri kita dengan kehendak Islam dalam semua urusan kehidupan . Adalah menjadi suatu kesilapan bagi orang yang mengambil Islam dengan menyesuaikan Islam itu dengan kehendaknya. Justeru itu dia mengambil Islam sebagai tempelan-tempelan sahaja dan tidak mengambil Islam sebagai suatu cara hidup yang syamil, kamil dan mutawazin.