Tafsir Tematik

Tafsir Tematik (9): Infaq Dengan Harta Yang Baik @ Terbaik (Menginfaqkan ‘Ismail’nya)

SERUAN BERINFAQ DENGAN HARTA YANG BAIK/TERBAIK
(HARTA YANG KITA KASIH)

PENDAHULUAN

FIRMAN Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah (2): 267-271:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِۖ وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بِ‍َٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ
Wahai orang yang beriman! Nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk, lalu kamu nafkahkan dari-Nya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah  Al-Baqarah : 267)

ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةٗ مِّنۡهُ وَفَضۡلٗاۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ 
Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil), sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Baqarah : 268)

يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ
Allah menganugerahkan al-hikmah (pemahaman yang dalam tentang al-Quran dan as-Sunnah) kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahkan al-hikmah itu, dia telah benar-benar dianugerahkan kurnia yang banyak. Dan hanya orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (daripada firman Allah). (Surah Al-Baqarah : 269)

وَمَآ أَنفَقۡتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَوۡ نَذَرۡتُم مِّن نَّذۡرٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَعۡلَمُهُۥۗ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنۡ أَنصَارٍ 
Apa saja yang kamu nafkahkan atau apa saja yang kamu nazarkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. Orang yang berbuat zalim tidak ada seorang penolong pun baginya.
(Surah Al-Baqarah : 270)

إِن تُبۡدُواْ ٱلصَّدَقَٰتِ فَنِعِمَّا هِيَۖ وَإِن تُخۡفُوهَا وَتُؤۡتُوهَا ٱلۡفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّ‍َٔاتِكُمۡۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ
Jika kamu menzahirkan sedekah(mu) maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Baqarah : 271)

KOSA KATA

طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ  = Harta yang halal lagi baik.
أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ = Bijirin dan buah-buahan.
تَيَمَّمُوا = Berniat.
لَسْتُم بِآخِذِيه إِلَّا أَن تُغْمِضُوا فِيه = Kamu takkan mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya.
أُولُوا الأَلْبَابِ = Pemilik hati yang bercahaya.
نِعِمَّا هِي = Sebaik-baik perkara yang kamu semua lakukan.
يُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُم = Dia mengampunkannya bagi kamu semua

TAFSIRAN AYAT

Ayat-ayat yang mulia di atas menceritakan tentang infaq (membelanjakan harta) di jalan Allah SWT. Ayat-ayat ini menerangkan tentang adab-adab yang harus ada pada seorang muslim ketika melaksanakan amal soleh ini. Adab-adab tersebut adalah :

– Menginfaqkan harta daripada harta benda yang baik.
– Tidak takut kepada kefakiran.
– Menyembunyikan sedekah/infaq.

PERTAMA : MENGINFAKKAN HARTA BENDA YANG BAIK/TERBAIK

Firman Allah Subhanahuwata’ala :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ
Wahai orang yang beriman! Nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik. (Surah Al-Baqarah : 267)

Bagi memastikan harta itu adalah yang baik, maka wajib ada padanya dua sifat:

1. Harta itu hendaklah daripada sumber yang halal. Contohnya datang daripada hasil perniagaan, perkilangan atau upah daripada pekerjaan yang dibenarkan syarak. Tidak seharusnya ia datang dengan jalan yang haram seperti riba, judi, penipuan dan rasuah.

2. Harta itu hendaklah daripada harta yang paling disukai oleh manusia. Bukan harta yang takkan diterima sekiranya ianya diberikan. Sepertimana firman Allah Subhanahuwata’ala:
بِ‍َٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ
Padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya. (Surah Al-Baqarah : 267)

Allah SWT tidak memerlukan harta manusia. Allah SWT cuma meminta kita untuk berinfaq di jalan-Nya untuk menyucikan diri dengan infaq tersebut. Dan Dia pula akan memberi ganjaran dan pahala kepada kita. Seorang itu seharusnya tidak menginfaqkan hartanya melainkan ianya dalam keadaan baik dan boleh diterima/dimanfaatkan. Semakin sayang sesuatu harta  yang diinfaqkan, semakin besar pahala di sisi Allah SWT.

Dalam konteks peristiwa yang berlaku kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail adalah ‘harta’ (anak) yang sangat disayangi dan tersangat bernilai baginya. Namun ‘harta’ yang dikasihinya dan sangat tinggi nilainya itulah yang diminta oleh Allah SWT untuk dikorbankan. Maka terbukti Nabi Ibrahim seorang hamba yang taat kepada Rabb-nya mengatasi rasa kasihnya kepada Ismail, lalu beliau sanggup mengorbankan ‘Ismail’nya demi mendapatkan redha Allah SWT. Dalam kehidupan di dunia ini, seseorang mukmin lazimnya memiliki harta yang baik dan disayangi. Harta itu bolehlah diandaikan seperti ‘Ismail’ baginya. Maka ‘Ismail’nya itulah yang terbaik untuk diinfaqkan di jalan Allah SWT.

Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa baginda SAW telah bersabda:

“سَبقَ دِرهَمٌ مائةَ ألفِ دِرهَم، فقال رجل : وكيفَ ذلكَ يا رسولَ اللهِ؟ قال :رَجلٌ لهُ مال كثير أخذ من عرضه مائة ألف درهم تصدّق بها، ورجل ليس له إلا دِرهمَانِ فأخذ أَحدهمَا فتصدّق به”
Satu dirham mengatasi seratus ribu dirham. Sahabat bertanya bagaimana caranya ? Jawab Nabi : Seorang lelaki mempunyai harta yang banyak. Dia mengambil daripada hartanya seratus ribu dirham dan bersedekah. Dan seorang lelaki yang lain hanya mempunyai dua dirham, kemudian lelaki ini bersedeqah satu dirham. (Riwayat Nasaie)

KEDUA : TIDAK TAKUT KEPADA KEFAKIRAN

Firman Allah Subhanahuwata’ala :

ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةٗ مِّنۡهُ وَفَضۡلٗاۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ
Syaitan berjanji terhadap kamu (untuk menakut-nakutkan) dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil), sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah : 268)

Di dalam ayat ini, Allah SWT menyuruh orang yang beriman supaya mereka berhati-hati daripada taat kepada hasutan syaitan agar bersifat bakhil dan merasa sangat takut untuk berinfaq di jalan Allah SWT. Bahkan syaitan akan menyuruh pula agar membelanjakan harta untuk perkara maksiat.

Kemudian Allah SWT memberitahu kita bahawa rezeki itu di tangan-Nya. Dia berikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dia juga menahan rezeki tersebut daripada sesiapa jua yang dikehendaki-Nya berdasarkan kebijaksanaan-Nya.

Allah SWT menjamin keampunan dan ganjaran pahala bagi mereka yang menginfaqkan harta mereka di jalan-Nya. Di dunia, Allah SWT menggantikan kebaikan daripada hartanya dan memberikannya kedudukan yang baik. Janji Allah SWT paling benar, sedangkan janji syaitan itu hanyalah dusta lagi palsu.

Oleh itu, seorang muslim seharusnya membersihkan dirinya daripada bisikan syaitan dan bersedia untuk berinfaq di jalan Allah SWT dengan jiwa yang tenang lagi damai, serta yakin akan janji Allah SWT.

KETIGA: MENGELUARKAN SEDEKAH SECARA RAHSIA

Allah SWT menyatakan bahawa kita mempunyai pilihan dalam bersedekah, sama ada secara rahsia ataupun terang-terangan. Firman Allah Subhanahuwata’ala :

إِن تُبۡدُواْ ٱلصَّدَقَٰتِ فَنِعِمَّا هِيَۖ وَإِن تُخۡفُوهَا وَتُؤۡتُوهَا ٱلۡفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۚ
Jika kamu menzahirkan sedekah(mu) maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. (Surah Al-Baqarah : 271)

Yang lebih afdal adalah bersedekah secara rahsia, kerana ia akan mendatangkan ganjaran yang banyak. Amalan tersebut menjauhkan seseorang daripada riya’ dan lebih disenangi oleh si fakir kerana ia tidak merasa terhina atau rendah diri ketika dilihat mengambil sedekah manusia.

Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله. رجل تصدق بصدقة أخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه متفق عليه
Tujuh golongan yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari qiamat, hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya.” (Hadits yang disepakati)

Walaupun begitu, ada ulama mengatakan bahawa mengeluarkan zakat secara terang-terangan adalah lebih baik kerana ia merupakan syiar daripada syiar-syiar Islam. Amalan sebegini akan dapat diikuti oleh manusia dan menggalakkan mereka untuk mengeluarkan zakat. Tetapi dengan syarat orang tersebut dapat menjamin kesucian niatnya dan terpelihara dari sifat riya’. Manakala sedekah sunat, lebih afdhal diinfaqkan secara rahsia.

Dan pada penghujungnya, Allah SWT berfirman :
وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ 
dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Baqarah : 271)

Allah SWT mengetahui keikhlasan seorang insan dan niatnya ketika dia menginfaqkan hartanya. Dan seharusnya seorang insan itu sentiasa merasakan pengawasan Allah SWT terhadapnya.

PENGAJARAN DARIPADA AYAT-AYAT

1. Seorang muslim perlu menginfaqkan daripada hartanya yang halal lagi baik.

2. Seorang muslim yakin dengan janji Allah SWT dan ganjaran yang diberikan atas infaqnya di jalan Allah SWT.

3. Seorang muslim hanya mengharapkan redha Allah SWT ketika berinfaq.

4. Seorang muslim diharusnya memilih sama ada mahu berinfaq secara terang-terangan ataupun secara rahsia. Ianya bergantung kepada maslahat si penerima dan maslahat menjaga kesucian niat.

SOALAN PENGUKUHAN

1. Jelaskan bagaimana sesuatu harta itu dikira sebagai harta yang baik?

2. Apakah makna hadith “سبق درهم مائة درهم” menurut kefahaman anda?

3. Terangkan bagaimana cara seorang insan boleh terlepas daripada bisikan syaitan yang menghalangnya untuk berinfaq di jalan Allah SWT?

4. Apakah ciri-ciri berinfaq secara rahsia?

5. Bulatkan jawapan atau jawapan-jawapan yang benar pada soalan yang berikut:

Berinfaq (sedekah) secara terang-terangan juga dianjurkan dengan syarat:
a. Seorang muslim itu dapat menjaga kesucian niatnya.
b. Sedekah itu adalah zakat.
c. Sedekah itu adalah sedekah yang sunat.
d. Semua jawapan di atas.

 

Penterjemah: KUMPULAN PENTERJEMAH BAYANA
Penerbit dan Nama Kitab Asal:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
Al-Tafsir Al-Maudu’iy (Tafsir Tematik),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est)

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button