18/09/2019

TAFSIR TEMATIK (7): SOLAT & KORBAN: ANTARA TANDA HAMBA BERSYUKUR

SURAH AL-KAUTHAR
(NIKMAT YANG BANYAK)
Surah (108) - Makkiyah - 3 ayat

إِنَّآ أَعۡطَيۡنَٰكَ ٱلۡكَوۡثَرَ ١  فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ ٢  إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ ٣
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.
Maka dirikanlah SOLAT KERANA RABB-MU dan BERKORBANLAH *.
Sesungguhnya orang yang membenci kamu dialah yang terputus *
*.

*Maksud berkorban di sini ialah menyembelih haiwan qurban dan mensyukuri nikmat Allah SWT.
** Maksud terputus di sini ialah terputus daripafa rahmat Allah.

MUQADDIMAH

Surah ini diturunkan untuk menghiburkan Rasulullah SAW, apabila manusa mencemuh baginda disebabkan baginda tiada anak lelaki. Allah SWT memberi isyarat kepada baginda SAW agar biarkanlah saja mereka itu kerana  mereka pun tidak  lama lagi akan mati tanpa meninggalkan anak lelaki yang meneruskan perjuangan mereka. Segala usaha mereka akan berakhir begitu sahaja. Cemuhan  ini memberi kesan kepada masyarakat yang memang berbangga-bangga dengan adanya anak lelaki yang ramai. Dan mungkin tikaman ini telah mengguriskan hati dan mendukacitakan baginda SAW. Kerana itulah turun surah ini untuk menenang dan menghiburkan hati baginda SAW, serta menerangkan akan hakikat nikmat kebajikan yang kekal daripada Allah SWT untuk baginda SAW. Juga memberikan kata putus kepada musuh-musuh  baginda SAW. Itulah ketetapan Allah SWT bahawa, kemusnahan  disediakan untuk musuh-musuh-Nya. 

HURAIAN AYAT 

إِنَّآ أَعۡطَيۡنَٰكَ ٱلۡكَوۡثَرَ ١
1. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.

ANTARA NI’MAT YANG BANYAK IALAH:

1. Ni'mat nubuwwah dan ni'mat hubungannya dengan Allah yang Maha Besar. Ini kerana orang yang telah bertemu Allah SWT,  tidak akan ada kehilangan sesuatu apa pun kerana Allah SWT itu Maha Kaya.

2. Ni'mat al-Qur'an yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Satu surah daripada al-Qur'an merupakan satu ni'mat yang melimpah-ruah tidak berkesudahan.

3. Ni'mat sunnah Rasulullah SAW yang kekal berterusan sepanjang zaman. Berjuta-juta manusia bersilih ganti menurut sunnahnya. Berjuta-juta lidah dan bibir bersalawat untuknya. Berjuta-juta hati mencintai sirahnya dan mengingati perjalanan sirahnya.

4. Ni’mat da’wah. Dengan da’wah ini hidayah Allah SWT berkekalan di bumi Allah SWT. Mereka yang berda’wah menjadi orang yang mulia di sisi Allah SWT.

5. Ni'mat Al-Kauthar yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW adalah ni'mat yang melimpah-ruah dan tidak terbatas. Terdapat banyak hadis daripada berbagai-bagai saluran yang menerangkan bahawa al-Kauthar itu ialah sebuah sungai di dalam syurga yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW. 

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ ٢
2. Maka dirikanlah SOLAT KERANA RABB-MU dan BERKORBANLAH.

Setelah menerangkan ni'mat yang melimpah-ruah, maka perlulah orang beriman menzahirkan kesyukuran dengan memelihara keikhlasan dan pemusatan hati kepada Allah dalam solat dan amal ibadat. Seterusnya menyembelih binatang korban dengan ikhlas kerana Allah SWT tanpa syirik.

Diwajibkan menyebut nama Allah SWT, tanpa disekutukan dengan sesuatu apa pun, ketika menyembelih binatang korban. Ini menunjukkan betapa besarnya perhatian din Islam dalam usaha membersihkan seluruh kehidupan daripada kesan-kesan syirik, meliputi pemikiran, cetusan hati dan amal perbuatan. Islam adalah din Tauhid yang bersih dan jelas. Islam memerangi syirik dalam segala bentuk dan di mana-mana sahaja - sama ada syirik itu berada dalam hati, dalam 'ibadat, dalam amal perbuatan atau dalam 'adat resam kehidupan.
Kehidupan lahir dan batin merupakan satu kesatuan dalam Islam dan  bersih daripada segala noda syirik. Islam menghendaki kehidupan yang ditumpukan atau ditujukan kepada Allah SWT semata-mata. 

 إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ ٣
3. Sesungguhnya orang yang membenci kamu dialah yang terputus.

Nabi Muhammad SAW bukanlah seorang yang terputus (terpupus), tetapi baginda adalah seorang yang dikurniakan ni'mat yang melimpah-ruah dan berterusan. Allah SWT menjelaskan bahawa orang yang terputus itu bukannya Nabi Muhammad SAW, tetapi yang terputus ialah orang yang memusuhi dan membenci baginda SAW. Pada hari ini selawat dan nama Muhammad SAW  terus-menerus disebut dan disanjung tinggi.

Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus untuk hamba yang beriman. Yang terputus ialah kekufuran, kebatilan dan kejahatan biarpun bagaimana mereka membesar dan kuat pada zahirnya. Ukuran Allah SWT berlainan daripada ukuran manusia.

Da'wah kepada Allah SWT,  kepada kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus. Dan penda'wahnya juga tidak terputus. Bagaimana ia mungkin terputus, kerana ia sentiasa mempunyai pertalian yang kukuh dengan Allah yang Maha Hidup, Maha Kekal, Azali dan Abadi.

Hanya kekufuran, kebatilan dan kejahatan sahaja yang terputus/pupus.

SERTAILAH KORBAN BERSAMA HALUAN ↓

SERTAILAH KORBAN BERSAMA HALUAN ↓

About Abu Taqiy Hussein

Ketua Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *