Tafsir Tematik

Tafsir Tematik: Tema 3 – Sifat Hamba Ar-Rahman 1

PENDAHULUAN

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan, ayat 63 hingga 66:

وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا ٦٣  وَٱلَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمۡ سُجَّدٗا وَقِيَٰمٗا ٦٤ وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا ٦٥  إِنَّهَا سَآءَتۡ مُسۡتَقَرّٗا وَمُقَامٗا

Maksudnya:
63. “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.
64. “Dan mereka (yang diredhai Allah itu) ialah yang tekun mengerjakan ibadat kepada Rabb mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.
65. “Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Rabb kami, sisihkanlah azab neraka Jahanam daripada kami, sesungguhnya azab siksanya itu adalah mengerikan.”
66. “Sesungguhnya neraka Jahanam itu tempat menetap dan tempat tinggal yang amat buruk.”

Kosa Kata

عِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ : orang yang beriman
هَوۡنٗا : rendah diri dan tenang
ٱلۡجَٰهِلُونَ : orang yang tidak berilmu
سلاماً : kata-kata yang melapangkan
يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمۡ سُجَّدٗا وَقِيَٰمٗا: mereka berterusan pada sebahagian malam mendirikan solat
غَرَامًا : sentiasa atau selalu 

Tafsiran Ayat

Allah SWT menginginkan hamba-Nya yang beriman supaya mereka mencapai darjat hamba-Nya  yang terbaik. Iaitu dengan cara memiliki sifat-sifat yang ada nilai khas dan memiliki ciri-ciri istimewa yang mulia lagi terpuji. Maka ayat ini diturunkan untuk menceritakan sebahagian sifat-sifat yang dapat mengangkat darjat orang beriman. Sehinggalah mereka layak mendapat pengiktiraan dengan gelaran: Ibadur-Rahman.

Sifat-Sifat Orang Beriman Yang Terkandung Dalam Ayat Di Atas Ialah:

1. Merendah Diri Ketika Berjalan

Mereka berjalan dalan keadaan tenang, tenteram dan berhati-hati. Mereka akan menjauhkan diri daripada sifat sambil lewa, tidak acuh dan tidak bersungguh-sungguh. Begitu juga mereka menghindari cara berjalan seperti orang yang menyombongkan dir, angkuh, ego dan berpura-pura.

Firman Allah SWT:

وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا
Maksudnya, “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun,” (Surah Al-Furqan (25): 63)

Berjalan cara menyombong diri adalah cara berjalan yang dibenci oleh Nabi SAW. Para sahabat menyifatkan cara Nabi SAW berjalan adalah jalan yang ada tujuannya dan bersemangat serta jauh daripada sifat sombong dan angkuh. Terserlah padanya tanda-tanda kekuatan, kecergasan, kelembutan dan keteguhan. Baginda SAW tidak pernah hilang daripada sifat kehebatan dan ketenangan. Diriwayatkan daripada Saidina Umar RA bahawasanya Nabi SAW melarang berjalan seperti orang mati yang menundukkan kepalanya serta berpura-pura merendah diri dan berpura-pura bertaqwa.

2. Elak Daripada Bertindak Balas Terhadap Kelakuan Orang Jahil

Sekiranya orang beriman berhadapan dengan orang yang suka mencemuh akibat daripada kejahilan dan kebodohan mereka, maka jangan sesekali bergaduh dengan mereka sama ada berdebat ataupun berkelahi. Bahkan sekiranya dapat tinggalkan perkara tersebut, maka orang  beriman itu akan disanjung dan dipandang tinggi. Tidaklah akan dipandang sebagai seorang yang lemah.

Tindakan orang beriman yang berpaling daripada orang yang melakukan kebodohan menunjukkan pada dirinya memiliki sifat pemaaf dan suka beralah. Malah kelakuan orang bodoh/jahil itu tidaklah diiringi dengan kebencian dan dendam. Jika bertemu semula dengan orang tersebut, maka orang beriman akan meberi salam kepadanya. Seperti firman Allah SWT:

وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا
Maksudnya, “dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.”
(Surah Al-Furqan (25): 63)

Dengan cara ini orang beriman akan terhindar daripada fitnah. Bahkan lidahnya akan terjaga daripada berkata keji. Kehebatannya akan terjaga. Kemuliannya tidak akan hilang. Mereka juga dilihat dapat menjaga masa dan tenaga daripada terlibat dengan perkara yang tidak penting dan boleh mensia-sia kehidupan di dunia dan akhirat.

3. Memperbanyakkan Solat Malam

Orang beriman menghabiskan waku siang dengan bekerja bersungguh-sungguh dan tekun. Mereka bergaul sesama manusia dengan baik dan berhemah. Apabila malam, ketika manusia sedang lena dibuai mimpi, orang beriman bangun dan bangkit daripada tempat tidur, lalu berdiri menghadap Rabb mereka. Mereka memperbanyakkan ruku’ dan sujud serta memanjangkan berdiri dan merintih kepada Allah SWT. Mereka bertahajud, berdoa, dan memohon keampunan-Nya. Mereka merasa kebersamaan Allah SWT dan merasai kelazatan berada dekat dengan Ar-Rahman.

Firman Allah SWT: 

وَٱلَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمۡ سُجَّدٗا وَقِيَٰمٗا
Maksudnya, “Dan mereka (yang diredhai Allah itu) ialah mereka yang tekun mengerjakan ibadat kepada Rabb mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.” (Surah Al-Furqan (25): 64)

4. Mengisi Jiwa Dengan Taqwa, Takut Dan Gerun Kepada Allah SWT

Sesungguhnya mendirikan solat pada waktu malam dengan memperbanyakkan sujud dapat mengisi jiwa dengan taqwa kepada Allah SWT serta menambahkan perasaan takut dan gerun kepada-Nya. Mereka berdoa kepada Allah SWT dengan rendah diri dan penuh khusyu’. Doa mereka adalag seperti di dalam firman Allah SWT:

رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا
Maksudnya, “Wahai Rabb kami, sisihkanlah azab neraka Jahanam daripada kami, sesungguhnya azab siksanya itu adalah mengerikan.”  (Surah Al-Furqan (25): 65)

Mereka beriman dengan kewujudan neraka dan gambarannya yang menakutkan. Ia digambarkan dengan api yang menyala-nyala dan warnanya pula hitam mengerikan.

Sesungguhnya, rasa takut pada neraka di mana azabnya berpanjangan, keaadannya sangat menjelekkan dan penuh dengan kesengasaraan, maka ini semua akan membuatkan orang mukmin semakin berpegang teguh dengan perintah Allah SWT. Mereka akan lebih kuat untuk memikul amanah-Nya. Mereka mencabut perasaan cinta terhadap dunia, bergaduh demi mendapatkan dunia dan juga mencabut perasaan ingin berlumba-lumba mengejarnya. Mereka menghindarkan diri daripada tipu daya dunia dan berpaling daripada terpesona dengan keindahannya. Mereka kurang terlibat dalam perdebatan dengan penduduk dunia yang jahil.

Pengajaran Ayat

1. Penting bagi orang beriman merendahkan diri, namun tetap memelihara kemuliaan diri mereka. Berlembut namun tetap ada ketegasan. Memberi kemudahan dan diiringi dengan kekuatan.

2. Wajib bagi orang beriman menghindari tipu helah dan berpaling daripada orang bodoh atau jahil.

3. Memperbanyakkan solat pada waktu sepertiga malam. Dengan ini mukmin akan memperolehi sifat taqwa, kuat, tegas, bermotivasi tinggi dan rasa terikat dengan hari akhirat.

4.Takut kepada Allah SWT dan memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar terhindar daripada api neraka jahanam.

Aktiviti

Tulis ayat yang melarang orang beriman berjalan dengan cara menyombong diri dan angkuh.

Latihan Pengukuhan

1. Terangkan maksud:

ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا

وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا

رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا

2. Apakah pengajaran daripada firman Allah Taala:

وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا

3. Nyatakan perkaitan antara sifat mukmin yang baik, “rendah diri dan sopan” dengan memperbanyakkan solat serta qiyam pada waku malam?

4. Apakah kesan-kesannya jika orang mukmin berkelakuan dengan sifat-sifat yang baik?

5. Bulatkan jawapan yang betul:

– Pengajaran daripada doa seorang mukmin: رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا
a. Sesungguhnya hati-hati mereka dipenuhi dengan iman dan ketaqwaan kepada Allah.
b. Sesungguhnya mereka ini berkecuali daripada terpengaruh dengan dunia dan keinginan kepadanya.
c. Takutkan neraka akan memelihara mereka daripada bersikap sombong dan angkuh.
d. Semua di atas.

– Cara berjalan seorang mukmin adalah seperti berikut:
a. Merendah diri tanpa berpura-pura dan kuat tanpa sombong.
b. Bersegera dan berlari-lari anak.
c. Lambat dan merendah-rendahkan diri
d. Bersuka ria, berseronok dan menunjukkan kegembiraan.


Penterjemah: KUMPULAN PENTERJEMAH BAYANA,
Penerbit dan Nama Kitab Asal:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
Al-Tafsir Al-Maudu’iy (Tafsir Tematik),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est).

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button