ASAS 2: GERAKAN ORGANISASI DAKWAH MESTILAH TERSUSUN (MUNAZZAMAH)
Seluruh urusan dan kegiatan Gerakan Organisasi Dakwah mestilah tersusun dan teratur serta direncana serapi mungkin untuk mencapai objektif yang diharapkan serta kejayaan kerja-kerja gerakan organisasi itu sendiri. Kerana itu Fathi Yakan menyatakan:
Tanpa penyusunan dalam Islam ini, implikasinya umat Islam berlarutan di dalam keadaan lemah. Sedangkan kekuatan adalah merupakan natijah dan hasil yang lahir daripada penyusunan dan perencanaan kerja.
Kewujudan penyusunan dan perencanaan (yang berstrategi) adalah penting dan wajib, yang sama sekali tidak boleh diabaikan[1] dalam kerja-kerja dakwah, demi melaksanakan yang wajib (iaitu Islam).
Kiranya pelaksanaan Islam itu tidak mungkin tercapai kecuali melalui penyusunan dan perencanaan yang berstrategi, maka penyusunan dan perencanaan yang berstrategi juga turut menjadi wajib berdasarkan kepada kaedah syarak:
مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ
Sesuatu yang hanya dengannya terlaksana sesuatu yang wajib maka ianya turut menjadi wajib.
Di dalam sirah perjalanan dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, baginda telah mula membuat perencanaan dan persediaan serta penyusunan sejak berdakwah di Makkah lagi. Kemudian dengan izin Allah Subhanahuwata’ala baginda telah berjaya membangunkan pemerintahan Islam di Madinah al-Munawwarah selepas baginda dan sahabat-sahabat baginda teruji dengan peristiwa hijrah yang bersejarah itu. Oleh itu para da’i yang mengikut jejak Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam menjalankan kegiatan dakwah, semestinya mencontohi kerja-kerja yang telah dilakukan oleh baginda dalam usaha-usaha dakwahnya bagi pembentukan ummah Islamiyah.
Untuk menunjukkan betapa pentingnya perencanaan dan penyusunan, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda yang diriwayatkan oleh al-Tabrani yang bermaksud:
Apabila kamu bertiga lantiklah salah seorang daripada kamu menjadikan ketua.
Dalam hadith yang lain Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda bermaksud:[2]
Apabila tiga orang keluar bermusafir maka lantiklah seorang daripada mereka menjadi ketua.
Jika Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tidak mengizinkan orang Islam yang hanya beberapa orang tanpa ketua atau kepimpinan, bagaimana dapat digambarkan dalam sebuah gerakan organisasi dakwah yang menjurus kepada matlamat mewujudkan masyarakat yang beriman kapada Allah dan menegakkan ummah yang berhukum dengan syariat-Nya tanpa penyusunan (tanzim) dan perencanaan serta tanpa kepimpinan. Lebih-lebih lagi di peringkat awal untuk menjalankan dakwah, perlulah lebih teratur dan menjaga kemaslahatan pergerakan dakwah itu sendiri.
Gerakan organisasi dakwah yang tidak ada tanzim dikira sebagai kerja-kerja individu walaupun pada zahirnya nampak kerja-kerja itu datangnya daripada organisasi.
Segala kegiatan, biar sekecil mana sekalipun, tidak mungkin dapat dilihat kejayaannya tanpa penyusunan[3] dan perencanaan. Malah, banyak kemampuan bekerja akan hilang dengan ketiadaan tanzim. Untuk membangunkan sebuah bangunan seperti hospital atau sekolah dan sebagainya pun memerlukan penyusunan, seperti tempat pembinaan, pelan, perbelanjaan dan sebagainya. Kerana itu kata Saidina Umar bin al-Khattab: Tiada Islam tanpa jama’ah, tiada jama’ah kecuali adanya kepimpinan dan tiada kepimpinan kecuali adanya ketaatan.[4]
Di dalam hal ini al-Syahid Hasan al-Banna RH sendiri pernah menyatakan bahawa:
…dakwah kita tegak di atas keimanan yang mendalam, penyusunan yang rapi dan jihad yang berterusan.
Bagi melicinkan perjalanan gerakan organisasi, ketaatan adalah perlu diberikan kepada kepimpinan supaya perlaksanaan kerja-kerja dakwah akan lebih berkesan. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mengingatkan hal ini dalam sabdanya:[5]
من يطع الأمير فقد أطاعني، ومن يعص الأمير فقد عصاني
Siapa yang taat (patuh) kepada amir (kepimpinan), sesungguhnya ia taat kepadaku dan sesiapa yang mengingkari amir (maka) sesungguhanya ia mengingkariku.
Keataatan diberi selagimana kepimpinan berada atas kebenaran, sepertimana disabda oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
- Taat dan patuh adalah hak selagimana tidak diperintah untuk melakukan maksiat, apabila disuruh melakukan maksiat tidak ada ketaatan dan kepatuhan.[6]
- Patuh dan taat adalah wajib di atas seseorang Islam sama ada pada yang ia suka atau benci, selagimana tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat, tidak ada patuh dan taat.[7]
Banyak lagi hadith-hadith yang memerintahkan supaya patuh dan taat kepada pemimpin dan dilarang menentang perintah mereka. Semuanya ini adalah untuk menghindarkan daripada berlakunya sebarang perselisihan dan perpecahan serta ketidaklicinan kerja yang boleh menguntungkan pihak musuh. Manakala ketaatan itu pula adalah secara sukarela (ikhtiyariyah), yang lahir daripada cetusan iman dalam melaksanakan ibadah demi mencari mardhatillah.
Justeru itu setiap da’i yang faham, ia akan bersifat bersungguh-sungguh (jiddiyah) dan bersifat seperti perajurit sejahtera (jundiyah salimah), iaitu bersedia bila-bila masa untuk melaksanakan tugas dakwah sebelum diarah. Bila diarah mudah sahaja untuk patuh kerana masing-masing mematuhi perintah syarak.
Tujuan kepimpinan (qiyadah) dalam Islam ialah berkhidmat semata-mata kerana agama (khidmah diniyah). Segala arahan yang diberi adalah dalam rangka menyusun strategi bagi melaksanakan syarak. Jauh daripada bersifat untuk memerintah atau mencari kepentingan duniawi, mencari kemegahan, pujian dan sesuatu yang akan hilang. Semuanya adalah dalam rangka menjalankan perintah Allah Subhanahuwata’ala.
Matlamat Islam dalam menjalankan dakwah adalah amat besar. Ia tidak cukup sekadar memberi peringatan[8], syarahan, ceramah dan diskusi, tetapi mesti mempunyai penyusunan yang rapi lebih-lebih lagi dalam suasana di mana hilangnya ummah Islamiyah yang berhukum dengan hukum Allah Subhanahuwata’ala sepenuhnya.
Sepertimana perlunya ketaatan dalam penyusunan (tanzim) organisasi, maka demikian jugalah perlu adanya syura yang menuntut kepimpinan mematuhinya. Ahli-ahli pula mematuhi kepimpinan. Gerakan Organisasi Dakwah tidak mungkin berjaya mencapai objektif pembinaan Islam tanpa penyusunan (tanzim), taat dan syura.[9]
Firman Allah dalam surah al-Syura, ayat 38:
وَٱلَّذِينَ ٱسۡتَجَابُواْ لِرَبِّهِمۡ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَهُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ ٣٨
Orang yang menerima (mematuhi) seruan Rabnya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat (syura) antara mereka, dan mereka membelanjakan daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka.
Oleh: Ustaz Abdul Hadi Osman
[1] Hawwa, Sa’id, Madkhal Ila Da’wah Ikhwan al-Muslimin, h.12
[2] Abi Dawud, Sulaiman ibnu al-Asy’as al-Sajastani al-Idzi, Sunah Ibi Daud, al-Juzu’ al-Thalith, al-Tab’al al-Ula, Muhammad Ali al-Sayyid, Himas, 1391H-1971M, h. 81
[3] Yakan, Fathi, Abjadiyat al-Tasawwur al-Haraki Lil ‘Amal al-Islami, h. 14
[4] Othman, Abdul Karim, al-Nizam al-Siyasi fi al-Islam, h. 14
[5] Lihat Muslim, al-Jami’ al-Sahih, juz. 6, h. 13. Lihat juga Sahih Bukhari, li al-‘Allamah al-Qistilani, juz. 5, h. 199
[6] Al-Qistilani, Min Irsyad al-Sari li Syarhi Sahih al-Bukhari, juzu’ ke-5, (tanpa tempat percetakan dan tanpa tarikh), h. 119
[7] Al-Allamah al-Muhaddith al-Kabir al-Syeikh Khalil Ahmad al-Sahhar Nufuri, Syarah Sahih Bukhari, juzu’ 12, (Beirut, Lubnan, Dar al-Kutub al-Ilmiyah, tanpa tarikh), h. 135
[8] Yakan, Fathi, Abjadiyat al-Tasawwur al-Haraki Lil ‘Amal al-Islami, h. 21
[9] Hawwa, Sa’id, Durus fi al-‘Amal al-Islami, h. 52