Home / Dasar Umum Islam / Aqidah / Tasawur Keimanan Yang Syumul Kepada Allah Subhanahuwata’la
WhatsApp Image 2018-09-27 at 11.37.40 AM

Tasawur Keimanan Yang Syumul Kepada Allah Subhanahuwata’la

Pendahuluan

Apabila kita memperkatakan atau menganalisis tajuk ini bererti secara lansung kita menyentuh tentang ‘Aqidah Islamiah. Ia adalah suatu perkara yang berat dan serius kerana jika silap memberi pengertian dan kefahaman atau penganalisisan bermakna menerjunkan diri ke medan syirik. Penyelewengan ‘aqidah sekali gus adalah penyelewengan dalam kehidupan.

Syirik tidak diampun

Syirik adalah kesalahan yang besar di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا ٤٨

 Sesungguhnya Allah tidak akan mengampun dosa-dosa syirik dan dia mengampun segala dosa selainnya bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang telah menyekutukan Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa besar.

(Surah an-Nisa’ : 48)

Iman atau aqidah yang benar akan memisahkan seseorang daripada syirik.

Aqidah yang benar akan melahirkan amal yang salih (al-A’mal al-Salihah) yang diterima Allah Subhanahuwata’ala. Syirik akan melahirkan kerja-kerja fasad yang ditolak Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَهُم مَّغۡفِرَةٞ وَأَجۡرٌ عَظِيمٞ ٩

 “Allah telah menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih, (bahawa) untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.”

(Surah al-Maidah : 9)

وَيُفۡسِدُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٢٧

 Mereka itu melakukan kerosakan di muka bumi dan mereka itulah golongan yang rugi.

(Surah al-Baqarah : 27)

Dua golongan

Persoalan iman ini akhirnya akan menatijahkan kelahiran dua golongan manusia. Pertama ialah golongan yang taatkan Allah Subhanahuwata’ala serta mendapat keredhaan-Nya di dunia dan akhirat. Kedua ialah golongan yang ingkar dan kufur serta menjadi musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala di dunia hingga akhirat.

Empat aspek

Di sini kita akan kemukakan empat aspek penting yang berkaitan dengan iman dan dasar-dasarnya, iaitu:

  1. Pengertian beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala.
  2. Kefahaman yang syumul lagi berfungsi.
  3. Nilai dan kesan dalam penghayatan.
  4. Kesimpulan.

 

  1. Pengertian beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala

Beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala bererti seseorang muslim itu mempelajari, memahami dan mempercayai dengan penuh yakin akan sesuatu yang wajib bagi Allah Subhanahuwata’ala daripada segala sifat-sifat kesempurnaanNya, dan sesuatu yang mustahil bagi-Nya daripada semua yang berlawanan dengan sifat-sifat wajib itu. Begitu juga, yakin dengan sifat-sifat yang harus bagi Allah Subhanahuwata’ala. Dengan lain perkataan, secara umumnya, seseorang muslim wajib beri’tiqad bahawa segala sifat kesempurnaan itu adalah hak Allah Subhanahuwata’ala semata-mata, samada sifat-sifat itu yang berbentuk Uluhiyah atau pun Rububiyah. Begitu juga sebaliknya, segala sesuatu yang tidak sempurna tidak layak diletakkan kepada Zat Yang Maha Kudus itu.

Beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala juga bermaksud seseorang Muslim wajib beri’tiqad bahawa di sebalik alam kebendaan yang nyata ini, sudah wujud suatu Zat yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera lahiriah manusia. Pada Zat itu terkumpul segala kekuasaan mutlak. Pada-Nya sahaja ada sifat-sifat Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Pentadbir. Zat itu adalah punca kejadian segala makhluk dan segala yang akan berlaku ke atasnya. Zat itu punca hidayah, nur dan al-haq bagi manusia sejagat. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ يُحۡيِۦ وَيُمِيتُۖ رَبُّكُمۡ وَرَبُّ ءَابَآئِكُمُ ٱلۡأَوَّلِينَ ٨

 Tiada ilah melainkan Dia, Yang menghidupkan dan yang mematikan. (Dialah) Rabbmu dan Rabb bapa-bapamu yang terdahulu.

(Sirah ad-Dukhan : 8)

Itulah Zat yang Qudus dan Agung lagi amat Unik yang kita beriman kepada-Nya dengan sepenuh keimanan. Keimanan yang tercerna ke dalam amalan-amalan hati dan amalan-amalan lahir yang iltizam dan intizam kepada Islam dalam kehidupan yang menyeluruh.

Beriman dengan kewujudan Allah Subhanahuwata’ala dan keesaan-Nya, dapat dijelaskan lagi dengan hati yang yakin bahawa kejadian bagi semua makhluk di alam ini adalah di bawah kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala yang mutlak. Allah Subhanahuwata’ala terhindar daripada sebarang bentuk pengkongsian atau pensyarikatan dalam keesaan, keagungan dan kekuasaan-Nya. Allah Subhanahuwata’ala tersisih sama sekali daripada keserupaan dengan makhluk-makhluk-Nya dalam zat dan sifat-Nya.

Segala bentuk pengabdian, pemujaan, pengembalian, perlindungan dan kepatuhan hanya sanya kepada Allah sahaja. Tiada pencipta dan pentadbir selain daripada-Nya.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١  ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢  لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ ٣  وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ ٤

 Katakanlah: Dialah Allah Yang maha Esa. Allah, pada-Nya bergantung bagi segala sesuatu. Ia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak sesuatu pun yang setara dengan-Dia.

(Surah al-Ikhlas : 1-4)

رَبِّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَمَا بَيۡنَهُمَآۖ إِن كُنتُم مُّوقِنِينَ ٧ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ يُحۡيِۦ وَيُمِيتُۖ رَبُّكُمۡ وَرَبُّ ءَابَآئِكُمُ ٱلۡأَوَّلِينَ ٨

Rabb yang memelihara langit dan bumi dan apa yang terdapat di antara keduanya, jika kamu adalah orang yang meyakini. Tiada ilah melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan. (Dialah) Rabbmu, Rabb bapa-bapa kamu terdahulu.

(Surah ad-Dukhan : 7-8)

Beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala Yang Tunggal juga bererti kita hanya bergantung kepada Allah Subhanahuwata’ala. Ketunggalan Allah meliputi hak-Nya memiliki sifat-sifat Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Kuat. Ketunggalan Allah Subhanahuwata’ala juga meliputi kemampuan-Nya memberikan rahmat dan nikmat, atau sebaliknya. Alam dan segala makhluk di dalamnya yang begitu tersusun dan terpelihara semata-mata bergantung serta patuh kepada kekuasaan-Nya Yang Maha Tunggal.

Lebih jauh dari itu, alam semesta ciptaan Allah yang rapi dan halus susunannya adalah rahmat Allah kepada semua makhluk terutama insan. Dengan ini, keyakinan dan kepatuhan kepada syari’at Allah Subhanahuwata’ala adalah wajib setelah meyakini wujudnya Allah Subhanahuwata’ala yang tunggal dan berkuasa mutlak. Atau dengan kata lain, kesempurnaan keimanan kita kepada Allah Subhanahuwata’ala adalah kesempurnaan penghayatan syari’at Allah Subhanahuwata’ala dalam kehidupan yang menyeluruh. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَٰمُواْ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ ١٣

Sesunggunya orang yang menyatakan: Rabb kami ialah Allah. Kemudian mereka tetap istiqamah maka tiada ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka pula tidak berdukacita.

(Surah al-Ahqaf : 13)

Islam menuntut setiap penganutnya supaya beriman dengan penuh kefahaman dan keyakinan. Keimanan yang berfungsi. Kewujudan sesuatu dan semua bentuk kebaikan mestilah tunduk kepada ketentuan Allah Subhanahuwata’ala sahaja. Tiada perhambaan melainkan kepada Allah Subhanahuwata’ala jua. Tiada sebarang perantaraan di dalam semua hal di antara Allah Subhanahuwata’ala dan hamba-hamba-Nya.

Tasawur keimanan yang benar tidak hanya terbatas dalam skop pengajian sifat dua puluh dan masalah-masalahnya sahaja. Malah skopnya meliputi perkembangan kehidupan itu sendiri. Amat tepat bahawa beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala sebagai rukun Iman pertama membataskan seluruh pengabdian manusia berada dalam rangkaian dua kalimah syahadah. Keimanan yang istiqamah akan mampu membawa manusia hidup dengan jaya dan menemui Allah Subhanahuwata’ala dengan rasa puas, senang dan tenang. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَٰمُواْ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ ١٣ أُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلۡجَنَّةِ خَٰلِدِينَ فِيهَا جَزَآءَۢ بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٤

Sesungguhnya orang yang mengatakan bahawa: Rabb kami adalah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah maka tiada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka pula tidak berdukacita. Mereka itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya, sebagai balasan atas apa yang mereka telah kerjakan.

(Surah al-Ahqaf : 13-14)

وَلَئِن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَسَخَّرَ ٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُۖ فَأَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ ٦١ ٱللَّهُ يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ مِنۡ عِبَادِهِۦ وَيَقۡدِرُ لَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ ٦٢ وَلَئِن سَأَلۡتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ مِنۢ بَعۡدِ مَوۡتِهَا لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُۚ قُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِۚ بَلۡ أَكۡثَرُهُمۡ لَا يَعۡقِلُونَ ٦٣

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan mereka: “Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?” Tentulah mereka akan menjawab: “Allah”, maka betapalah mereka (dapat) dipalingkan (daripada jalan yang benar). Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia pula yang menyempitkan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka; “Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, Katakanlah: “Segala pujian bagi Allah,” tetapi kebanyakkan mereka tidak mengetahuinya.

(Surah al-Ankabut : 61-63)

Setiap hati yang beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala hendaklah tetap yakin segala tindakan dalam hidupnya mestilah berdiri di atas aqidah ini. Semua ciri keimanan samada yang pokok, cabang mahu pun ranting tidak boleh bangun tegak tanpa berdiri di atas asas aqidah ini. Begitu juga, semua unsur Islam yang berupa pokok, cabang,  ranting dan sebagainya tidak boleh diterima sebagai Islam kiranya tidak dibangunkan atau didirikan di atas tapak ‘aqidah dan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Beriman kepada malaikat-malaikat Allah Subhanahuwata’ala, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-nya, hari akhirat dan qadar baik serta buruk-Nya akan gugur dengan sendirinya tanpa wujud keimanan yang jelas kepada Allah Subhanahuwata’ala terlebih dahulu, meski pun perkara-perkara tersebut dikira sebagai rukun-rukun iman juga.

Ibadah-ibadah khusus, seperti solat, zakat, puasa dan haji, amalan yang halal, menjauhi yang haram, semua bentuk mu'amalah dan keseluruhan ibadah umum dengan sendirinya akan terbatal andainya semua itu tidak didasarkan kepada keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Hanya hati yang bercahaya, fikiran yang dibimbing oleh hidayah, perasaan yang terbentuk dengan nur Allah Subhanahuwata’ala dan nafsu yang terdidik, yang akan sujud kepada Allah Subhanahuwata’ala sepenuhnya. Perkara-perkara sebegini telah benar-benar berlaku dalam masyarakat Islam pertama yang dikenali sebagai generasi al-Quran yang unik. Asas keimanan dan tauhid yang masuk ke dalam lubuk hati mereka dan menguasai kehidupan mereka.

Inilah sahaja satu asas atau kaedah bagi umat Islam untuk hidup. Tiada kehidupan Islam tanpa ditegakkan di atas keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala terlebih. Begitu juga, tiada kehidupan Islam jika dibangunkan di atas kaedah yang lain. Juga tiada kehidupan Islam sekiranya sebahagian sahaja daripada kehidupan itu ditegakkan atas asas aqidah Islamiah sedangkan sebahagian yang lain pula ditegakkan atas aqidah yang bukan Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

مَا تَعۡبُدُونَ مِن دُونِهِۦٓ إِلَّآ أَسۡمَآءٗ سَمَّيۡتُمُوهَآ أَنتُمۡ وَءَابَآؤُكُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلۡطَٰنٍۚ إِنِ ٱلۡحُكۡمُ إِلَّا لِلَّهِ أَمَرَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ ٤٠

Kamu tidak menyembah yang selain Allah, kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyang kamu membuat-buatnya. Allah tidak menurun sesuatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah keputusan Allah. Dia telah memrintahkan kamu agar tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

(Surah  Yusuf : 40)

  1. Kefahaman yang syumul lagi berfungsi

Kita meyakini bahawa Allah Subhanahuwata’ala memiliki segala kekuasaan yang mutlak dan melaksanakan kekuasaan tersebut. Allah Subhanahuwata’ala menguasai segala sesuatu serta menyediakan sunnah-sunnahnya. Perjalanan segala sesuatu mengikuti sunnah-sunnah yang ditetapkan-Nya. Allah Subhanahuwata’ala menentukan batas-batas bagi kehidupan. Allah Subhanahuwata’ala menentukan kematian bagi yang bernyawa. Allah Subhanahuwata’ala yang menciptakan langit yang berlapis-lapis dengan kesempurnaannya.

Justeru itu, kehidupan kita sewajarnya berjalan di atas landasan Sunnatullah yang ditentukan. Dengan kata lain sekiranya seseorang itu tidak mahu mematuhi sunnah-sunnah Allah, atau hanya patuh terhadap separuh daripada sunnah-sunnahNya, bererti dia telah menolak konsep asas aqidah Islamiah. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢ ٱلَّذِي خَلَقَ سَبۡعَ سَمَٰوَٰتٖ طِبَاقٗاۖ مَّا تَرَىٰ فِي خَلۡقِ ٱلرَّحۡمَٰنِ مِن تَفَٰوُتٖۖ فَٱرۡجِعِ ٱلۡبَصَرَ هَلۡ تَرَىٰ مِن فُطُورٖ ٣ ثُمَّ ٱرۡجِعِ ٱلۡبَصَرَ كَرَّتَيۡنِ يَنقَلِبۡ إِلَيۡكَ ٱلۡبَصَرُ خَاسِئٗا وَهُوَ حَسِيرٞ ٤

Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sesekali tidak dapat melihat pada penciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang kali, adakah kamu dapat melihat sesuatu yang tidak seimbang?

(Surah al-Mulk : 1-4)

Keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala juga melahirkan jihad yang sejajar dengan matlamat ‘aqidah. Iman dan jihad merupakan sebesar-besar perniagaan yang dapat dijalankan oleh muslim mu’min yang memiliki aqidah Islamiah yang berfungsi. Jihad di jalan Allah Subhanahuwata’ala sama ada jihad harta mahu pun nyawa merupakan cetusan daripada keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala, untuk mempertahan dan mempertinggikan kalimah Allah Subhanahuwata’ala Yang Maha Suci.

Inilah iman yang berfungsi. Inilah kefahaman yang harus ada. Jihad meninggikan kalimah Allah semestinya lahir dalam realiti kehidupan.

Iman yang berfungsi itulah yang diterima di sisi Allah Subhanahuwata’ala sebagai suatu perniagaan yang sungguh bernilai. Keuntungan di dunia ialah kemuliaan dan kekuatan yang disegerakan. Sementara keuntungan di akhirat pula ialah balasan nikmat syurga yang berkekalan. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَٰرَةٖ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٖ ١٠ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١١

Hai orang yang beriman! Sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah  dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.

(Surah as-Saff : 10-11)

Keimanan yang berfungsi juga melahirkan tindakan yang memelihara kesempurnaan solat. Solat yang mempunyai ruh. Solat yang ditunaikan pada waktunya. Solat yang tidak tergadai dengan sebarang nilai duniawi yang dipimpin oleh hawa nafsu.

Mereka yang beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala dengan keimanan sebenar akan berkemampuan mengawal lisan daripada sebarang ucapan yang keji. Sebaliknya penggunaan lisan mereka adalah dalam rangka memperkukuhkan pertalian dengan Allah Subhanahuwata’ala.

Mereka yang beriman juga akan memperlihatkan kefahaman mereka melalui pengendalian harta benda. Mereka membelanjakannya di jalan Allah Subhanahuwata’ala sahaja. Samada melalui perbelanjaan yang wajib mahu pun yang sunat. Samada untuk keperluan diri, keluarga mahu pun orang yang berhajat seperti yang ditetapkan oleh syara’.

Keimanan mereka kepada Allah Subhanahuwata’ala juga diperlihatkan dalam bentuk akhlak, memelihara nama baik mereka sendiri dan orang Islam yang lain. Mereka terjauh daripada sebarang bentuk khianat. Bahkan mereka bersedia untuk berusaha menghapuskan segala bentuk pengkhianatan dalam masyarakat manusia yang bermula daripada diri sendiri, kaum keluarga hinggalah masyarakat umum.

Kefahaman yang syumul seumpama inilah yang sepatutnya diperolehi oleh setiap hati umat Islam agar manusia sejagat dapat merasai keagungan Allah Subhanahuwata’ala dan Din-Nya. Inilah sifat-sifat mu’min. Sifat-sifat ini akan membawa kepada kekuatan umat Islam. Sifat-sifat ini juga akan melayakkan mu’min menerima daripada Allah rahmat-Nya dan setinggi-tinggi tempat di Syurga-Nya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ١ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِي صَلَاتِهِمۡ خَٰشِعُونَ ٢  وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ ٣ وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِلزَّكَوٰةِ فَٰعِلُونَ ٤  وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَٰفِظُونَ ٥ إِلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٰجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُهُمۡ فَإِنَّهُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ ٦ فَمَنِ ٱبۡتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡعَادُونَ ٧ وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَٰنَٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٰعُونَ ٨ وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمۡ يُحَافِظُونَ ٩  أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡوَٰرِثُونَ ١٠ ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡفِرۡدَوۡسَ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ١١

Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyu’ dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna, orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya dalam hal itu mereka tidak tercela. Sesiapa yang mencari sebalik itu maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janji-janjinya dan orang memelihara solatnya. Mereka itulah orang mewarisi. iaitu mewarisis syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

(Surah al-Mu’minun : 1-11)

Keimanan yang berfungsi juga membuatkan setiap mu’min merasai lebih mulia dengan Allah Subhanahuwata’ala. Dia lebih rela menggadaikan dunianya demi mendapatkan kebahagiaan akhirat. Dan, tidak sebaliknya. Dia tidak membinasakan usia mudanya dengan kepalsuan. Dia tidak merasa sempit dan risau dalam soal-soal kepapaan yang bersifat kebendaan. Bahkan apa yang ada padanya digunakan untuk dakwah yang menyeru manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala. Lisannya memberi kata-kata nasihat kepada manusia. Tidak takut berkata benar kepada orang yang zalim. Yakin bahawa segala yang ditempuhi dalam kehidupan adalah ketentuan Allah Subhanahuwata’ala. Kemuliaan dan kemenangan hanya dengan mereka yang bersama-sama Allah sahaja. Tahap keyakinan seperti ini tidaklah lahir begitu sahaja, bahkan ia hasil daripada keimanan yang subur dan syumul.

Seterusnya tanda kesempurnaan iman yang terbentuk daripada kefahaman yang menyeluruh akan dapat dilihat pada diri seseorang muslim mu’min sejati yang kasihkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lebih daripada mengasihi kaum kerabat dan segala yang lain. Kasihnya kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lebih daripada kasihkan ayah sendiri yang mengasuhnya dan ibu sendiri yang mengandung serta melahirkannya. Juga lebih daripada kasihkan anak-anak dan darah dagingnya sendiri.

Beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala bererti wajib beriman dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, mengasihi, menghormati dan menyanjungnya. Mentaatinya, bukan sekadar memuji dan bersalawat semata-mata. Bahkan, mengikuti aqidah, syariah, akhlaq dan seluruh kehidupannya dengan penuh ikhlas. Inilah kefahaman yang betul tentang beriman dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.  Baginda adalah qudwah hasanah, pemimpin dan penyampai kepada jalan mustaqim yang menghindarkan manusia daripada kesesatan dan kekufuran. Umatnya yang setia mengikuti jejaknya akan menyampaikan Islam kepada manusia lain dengan penuh rasa keagungan dan kemuliaan. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣١

Katakanlah: Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Surah Ali ‘Imran : 31)

مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧

Apa yang didatangkan oleh Rasul kepada kamu maka ambillah, apa yang dilarangkan olehnya agar kamu menjauhinya maka kamu  tinggallah maka bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras azabnya.

(Surah al-Hasyr : 7)

إِنَّآ أَرۡسَلۡنَٰكَ شَٰهِدٗا وَمُبَشِّرٗا وَنَذِيرٗا ٨ لِّتُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُۚ وَتُسَبِّحُوهُ بُكۡرَةٗ وَأَصِيلًا ٩

Sesungguhnya Kami mengutuskan kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan supaya kamu sekelian beriman dengan Allah dan rasul-Nya, membesarkan-Nya dan bertasbih kepada-Nya di waktu pagi dan petang.

(Surah al-Fath : 8-9)

Daripada Anas bin malik Radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

Tidak beriman seseorang di kalangan kamu hinggalah dia menjadikan aku lebih dikasihinya  daripada kedua ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.

  1. Nilai dan kesan dalam penghayatan

Sebagai garis panduan atau penentuan berhubung dengan kebenaran iman kepada Allah Subhanahuwata’ala (sebagai rukun iman yang pertama), haruslah kita menilai dan meneliti kesan-kesan yang lahir dalam penghayatan hidup:

Antaranya adalah:

  1. Seseorang yang menafikan kewujudan Allah Subhanahuwata’ala dan segala sesuatu yang berhubung dengannya, walaupun hatinya masih merasakan iman, maka dia termasuk ke dalam golongan orang yang sudah melakukan perbuatan kufur
  2. Keimanan yang berfungsi dapat membawa manusia, sebagai khalifah Allah, mencapai matlamat pengabdian kepada Allah Subhanahuwata’ala dan memakmurkan alam sejagat serta meluaskan rahmat Allah Subhanahuwata’ala kepada semua hamba-Nya. Kehidupan di dunia umpama sebuah ladang yang harus diusahakan dengan baik dan hasilnya menjadi bekalan di alam yang abadi. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَكُلَّ إِنسَٰنٍ أَلۡزَمۡنَٰهُ طَٰٓئِرَهُۥ فِي عُنُقِهِۦۖ وَنُخۡرِجُ لَهُۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ كِتَٰبٗا يَلۡقَىٰهُ مَنشُورًا ١٣ ٱقۡرَأۡ كِتَٰبَكَ كَفَىٰ بِنَفۡسِكَ ٱلۡيَوۡمَ عَلَيۡكَ حَسِيبٗا ١٤

Dan setiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagai tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkannya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya dengan terbuka. Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu.

(Surah al-Isra’: 13-14)

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠

Dan ketika Rabb kamu berkata pada malaikat: Sesungguhnya Aku akan jadikan di bumi ini khalifah. Mereka (malaikat) berkata: Adakah kamu menjadikan padanya mereka yang akan melakukan kerosakan (di bumi) dan menumpah darah sedangkan kami bertasbih dengan memuji kamu dan menyucikan kamu? (Allah) berkata: Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.

(Surah al-Baqarah : 30)

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦

Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk mereka  mengabdikan diri (kepada-Ku).

(Surah az-Zariyat : 56)

  1. Keimanan yang berfungsi akan  mengawal aqidah muslim mu’min, pada setiap masa, daripada sebarang gangguan keraguan dan kesyirikan. Dia sentiasa bertindak membersihkan jiwa daripada kekotoran dan selaput hawa nafsu. Iman itu mendorongkan usaha bersungguh-sungguh untuk berda’wah dan memperingatkan manusia daripada keburukan. Iman itu mendidik untuk memelihara peraturan Allah Subhanahuwata’ala supaya dipatuhi dan diamalkan untuk kebaikan ummah. Hidup muslim mu’min penuh dengan jihad. Jihad dengan harta benda, jihad dengan tenaga, jihad dengan segala yang terdaya hinggalah jihad dengan nyawa demi menegakkan kalimah Allah Subhanahuwata’ala yang tertinggi dan termulia. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَقَٰتِلُوهُمۡ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتۡنَةٞ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ لِلَّهِۖ فَإِنِ ٱنتَهَوۡاْ فَلَا عُدۡوَٰنَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّٰلِمِينَ ١٩٣

Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak kedapatan fitnah lagi dan (sehingga) din itu hanya untuk Allah sahaja. Jika mereka berhenti (daripada memusuhi kamu), maka tiada permusuhan (lagi) kecuali terhadap orang yang zalim.

(Surah al-Baqarah : 193)

Natijah sebegini tidak mungkin lahir melainkan dengan melalui kaedah-kaedah yang jelas, menuju kepada matlamat yang jelas dan istiqamah serta iltizam dengan tarbiah yang jelas. Sebaliknya, sekiranya natijah tersebut tidak lahir pada seseorang, maka keimanannya itu hanyalah dakwaan semata-mata.

  1. Setiap pandangan dan keyakinan seseorang mu’min yang benar adalah bertolak daripada asas-asas keimanan yang enam. Pandangannya terhadap hidup, ilmu pengetahuan, alam sekitar dan segala kegiatan kehidupan adalah berteraskan kepada keyakinan kepada Allah Subhanahuwata’ala Yang Maha Tunggal lagi Sempurna. Jika tidak, rukun-rukun tersebut hanyalah rangka-rangka kosong yang tidak memberi kesan kepada kehidupan. Kekeliruan telah melanda sebahagian besar umat Islam kini yang beranggapan dengan mempercayai rukun-rukun iman yang enam itu, maka iman boleh dianggap sempurna meski pun realiti hidup atau amalan hidup mereka jelas terpisah daripada pancaran iman.
  2. Allah Subhanahuwata’ala Maha Tinggi dan memiliki sifat-sifat kesempurnaan. Allah Subhanahuwata’ala Maha Adil, Penyayang, Pengampun dan Pemurah. Allah mengurniakan panduan dan petunjuk-Nya agar hamba-hamba-Nya yang berusaha berpeluang menikmati kebahagiaan dan kesejahteraan hidup yang diredhai-Nya serta mendapat keampunan dan kerahmatan di akhirat kelak. Panduan Ilahi ini akan dapat menyelamatkan manusia daripada penyelewengan fitrahnya lantaran kekurangan akal dan kefahaman.

Kesimpulan

Tasawur keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala hendaklah diterjemahkan keseluruhannya ke dalam realiti kehidupan sebagai muslim. ‘Aqidah Islamiah yang betul dan tepat akan mencetuskan natijah yang betul dalam realiti hidup, dalam syariah, akhlak dan seluruh aspek kehidupan.

 

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

Air Yang Terapung

Apakah Definisi Awan? Awan ialah wap-wap air yang terapung di udara. Dalam kuantiti yang banyak, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *