SURAH Al-Lahab merupakan surah Makkiyah dan mengandungi lima ayat. Kandungannya merupakan celaan kepada Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil, kerana memusuhi da’wah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam. Nama Al-Lahab diambil daripada kata Lahab yang terdapat pada ayat ketiga, yang bererti gejolak api. Surah ini juga dinamakan surah Al-Masad.
Surah ini mengisyaratkan bahawa kemusyrikan itu tidak akan dapat dipertahankan dan tidak akan menang meskipun pendokong-pendokongnya bekerja keras.
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيم
ِ تَبَّتۡ يَدَآ أَبِي لَهَبٖ وَتَبَّ ١
- Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa
مَآ أَغۡنَىٰ عَنۡهُ مَالُهُۥ وَمَا كَسَبَ ٢
- Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan
سَيَصۡلَىٰ نَارٗا ذَاتَ لَهَبٖ ٣
- Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak
وَٱمۡرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلۡحَطَبِ ٤
- Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar
فِي جِيدِهَا حَبۡلٞ مِّن مَّسَدِۢ ٥
- Yang di lehernya ada tali daripada sabut
Pengajaran
Surah ini menceritakan tentang azab yang dikenakan kepada Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil. Azab yang diterima oleh sepasang suami isteri ini disebabkan hebatnya penentangan dan permusuhan mereka terhadap da’wah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam.
Diriwayatkan bahawa Ummu Jamil biasa membawa duri dan meletakkannya di jalan yang biasa dilalui Nabi Sallallahu’alaihiwasallam. Ada yang mengatakan bahawa ungkapan “pembawa kayu bakar” itu adalah kiasan terhadap segala usaha dan tindakannya mengganggu, menyakiti dan menfitnah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam.
Ayat-ayat terawal mengenai Abu Lahab mengandungi berita daripada alam ghaib tentang hal-hal yang akan terjadi. Ayat ini adalah pemberitahuan mengenai Abu Lahab tentang kecelakaan dan kerugian yang akan menimpa dirinya:
تَبَّتۡ يَدَآ أَبِي لَهَبٖ وَتَبَّ ١
- Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa
Ayat ini menjelaskan bahawa harta dan anak-pinaknya tidak dapat memberikan manfaat kepada dirinya.
مَآ أَغۡنَىٰ عَنۡهُ مَالُهُۥ وَمَا كَسَبَ ٢
- Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan
Ayat ini pula menjelaskan bahawa Abu Lahab adalah ahli neraka. Perkara ini memang sudah terbukti kerana beliau telah mati dalam keadaan kufur.
سَيَصۡلَىٰ نَارٗا ذَاتَ لَهَبٖ ٣
- Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak
Walaupun ayat ini terlebih dahulu menetapkan bahawa Abu Lahab adalah ahli neraka, namun ia tidak menghilangkan taklif Abu Lahab, semasa hidupnya, untuk menerima da’wah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam. Hanya Allah Subhanahuwata’ala mengetahui lebih awal bahawa Abu Lahab tidak akan beriman dan akan menjadi penghuni neraka.
Dua ayat terakhir dalam surah ini menggambarkan bentuk azab yang bakal diterima oleh Ummu Jamil:
وَٱمۡرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلۡحَطَبِ ٤
- Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar
فِي جِيدِهَا حَبۡلٞ مِّن مَّسَدِۢ ٥
- Yang di lehernya ada tali daripada sabut
Beliau akan dicampakkan ke dalam api neraka Jahanam, dengan cara pembakaran tali sabut yang dililit di lehernya. Siksaan ini adalah setimpal dengan perlakuannya yang sentiasa menyakiti dan memusuhi Nabi Sallallahu’alaihiwasallam. Beliau juga sering menimbulkan keadaan huru-hara dalam masyarakat Quraisy melalui fitnah yang ditaburkan sehingga menyemarakkan api permusuhan di kalangan mereka untuk menentang da’wah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam kepada Islam.
Surah ini menunjukkan kemurkaan dan kemarahan Allah Subhanahuwata’ala terhadap penentang-penentang da’wah Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya. Allah Subhanahuwata’ala membalas segala tipu daya mereka. Kebinasaan, kehancuran dan kehinaan adalah balasan untuk penentang-penentang da’wah Allah Subhanahuwata’ala. Api neraka adalah habuan untuk mereka di akhirat nanti.