SURAH ini merupakan surah Madaniyah dan mengandungi tiga ayat. Dinamakan An-Nasr diambil daripada perkataan An-Nasr yang terdapat dalam surah ini, yang bererti pertolongan.
Isi pokok surah ini menjelaskan tentang janji Allah Subhanahuwata’ala bahawa pertolongan-Nya akan datang dan Islam akan mendapat kemenangan. Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan agar bertasbih kepada-Nya dan meminta ampun kepada-Nya ketika mendapat kemenangan atau kegembiraan.
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيم
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ ١
- Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan
وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِي دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجٗا ٢
- dan kamu lihat manusia masuk din Allah dengan berbondong-bondong
فسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا ٣
- maka bertasbihlah dengan memuji Rab kamu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat
Pengajaran
Surah ini mengandungi beberapa perkara penting seperti berikut:
1. Setiap nikmat daripada Allah Subhanahuwata’ala adalah mustahak untuk disyukuri.
Allah Subhanahuwata’ala wajib dipuji. Antara nikmat yang paling besar yang Allah Subhanahuwata’ala kurniakan kepada Nabi Sallallahu’alaihiwasallam dan umatnya ialah kejayaan dan kemenangan mereka atas musuh mereka. Juga pembukaan kota Mekah yang menjadi ibu negara orang Islam dan orang arab, serta pembebasan Bait al-Haram atau kaabah yang mulia sebagai kiblat bagi umat Islam.
Nikmat Allah Subhanahuwata’ala yang begitu besar ditambah dan digandakan lagi dengan kemasukan orang Arab dan bangsa lain ke dalam din Islam secara beramai-ramai.
2. Surah ini diakhiri dengan perintah Allah Subhanahuwata’ala kepada Nabi Sallallahu’alaihiwasallam agar banyak mendirikan solat dan bertasbih kepada-Nya. Juga memperbanyakkan pujian kepada-Nya atas kemenangan atau pembukaan kota Mekah. Seterusnya hendaklah memohon keampunan kepada Allah Subhanahuwata’ala secara berterusan. Allah Subhanahuwata’ala Maha Penerima Taubat para hamba-Nya yang banyak bersujud dan beristighfar kepada-Nya.
Umat Islam sangat dituntut agar banyak bertasbih, memuji dan beristighfar kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sedangkan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam yang bersifat ma’sum pun diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala untuk berbuat demikian, apatah lagi umat baginda.
3. Din yang sah di sisi Allah Subhanahuwata’ala ialah din Islam, sepertimana firman-Nya:
إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُ ١٩
“Sesungguhnya din yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam”. (Ali ‘Imran: 19)
Firman-Nya lagi:
وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥
“Barangsiapa yang mencari din selain daripada din Islam, maka sekali-sekali tidak akan diterima din itu daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang yang rugi”. (Ali ‘Imran: 85)
Din inilah yang akhirnya akan menang.
4. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa iman “muqallid” (iman secara ikut-ikutan) adalah sah, kerana Allah Subhanahuwata’ala menerima keIslaman dan keimanan mereka yang telah memeluk Islam secara beramai-ramai seperti yang berlaku dalam kes pembukaan kota Mekah. Allah Subhanahuwata’ala telah menjadikan peristiwa tersebut sebagai nikmat yang paling besar untuk Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam.
5. Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan supaya bertasbih dahulu kemudian melafazkan pujian (tahmid) dan kemudiannya beristighfar. Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan sedemikian dan itulah yang sewajarnya dilazimi oleh hambaNya terhadapNya.
6. Surah ini menerangkan tentang keutamaan bertasbih dan bertahmid dijadikan sebagai pelengkap dalam menunaikan perkara yang diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala.
7. Ayat pertama:
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ ١
Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan
mengisyaratkan bahawa pertolongan dan kemenangan adalah milik Allah Subhanahuwata’ala.
Allah Subhanahuwata’ala yang menentukan waktu dan rupa bentuk kemenangan. Urusan kemenangan ini adalah urusan-Nya. Tangan-tangan manusia tidak turut serta dalam menentukan kemenangan. Urusan orang beriman apabila mendapat kemenangan ialah menghadapkan diri kepada-Nya dengan bertasbih, bertahmid dan beristighfar kepada-Nya.
8. Orang beriman dituntut agar beristighfar ketika mana mendapat pertolongan dan kemenangan daripada Allah Subhanahuwata’ala:
– Beristighfar daripada perasaan bangga dan sombong yang sering menyelinap ke dalam hati apabila memperolehi kemenangan. Terutamanya, setelah melalui tempoh perjuangan yang panjang dan perjalanan yang susah lagi sulit.
– Beristighfar kerana kurangnya memuji Allah Subhanahuwata’ala dan mensyukuri-Nya. Walau bagaimana maksima usaha manusia, manusia tetap lemah dan terbatas, sedangkan nikmat Allah Subhanahuwata’ala bercucuran dan melimpah-ruah.
وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٞ رَّحِيمٞ ١٨
“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (An-Nahl: 18)
Manusia, sebenarnya, serba kekurangan dan lemah. Justeru itu, dengan beristighfar, akan memelihara orang beriman daripada sifat sombong dan terpedaya dengan diri sendiri.
– Beristighfar daripada kemungkinan menular masuk perasaan ingin membalas dendam terhadap mereka yang kalah (setelah orang beriman memperolehi kemenangan).
Sebelum pembukaan kota Mekah, penduduk Mekah telah menyakiti, mengusir, memerangi dan menghalangi da’wah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam dengan penuh sengit. Akan tetapi ketika datang pertolongan dan kemenangan daripada Allah Subhanahuwata’ala, baginda langsung melupakan sikap penduduk Mekah yang lalu. Baginda justeru menundukkan diri, bersyukur, bertasbih, bertahmid dan memohon ampun kepada Allah Subhanahuwata’ala.
Semua penerangan di atas memberikan gambaran dan adab-adab orang beriman apabila memperolehi kemenangan.
9. Penurunan surah ini juga memberi isyarat bahawa kewafatan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam semakin hampir. Baginda menerima kemenangan besar daripada Allah Subhanahuwata’ala di penghujung hayat baginda dengan menundukkan diri kepada-Nya dan bersyukur kepada-Nya. Baginda memasuki kota Mekah sambil menunggang di atas belakang unta dengan menundukkan diri kepada-Nya.
Terima kasih ustaz atas perkongsian yang baik ini. Semoga ustaz dipermudahkan urusan dakwah ini dan dilimpahi kasih sayang daripada Allah s.w.t
assalamua’alaikum ustaz,
mohon kebenaran print tafsir surah di blog ustaz ini utk panduan kelas takmir saya di surau kampung