Aqidah

Ketika Manakah Ikhlas Itu Hadir Dalam Hatimu ?

AMAL yang kita lakukan akan diterima Allah (insyaAllah) jika memenuhi dua syarat:

Pertama – niat yang murni, hanya mengharap keredhaan Allah SWT semata-mata.

Kedua – amal perbuatan yang dilakukan hendaklah sesuai dengan syari’at Islam yang bersumberkan Al-Auran dan sunnah Nabi SAW.

Keterangan syarat pertama:

Syarat ini bersangkut dengan permasalahan hati. Niat yang ikhlas ertinya ketika melakukan amal perbuatan, hati itu perlulah benar-benar bersih daripada segala bentuk syirik dan hati itu berhubung dengan Allah SWT (misalnya – hati itu berniat melakukan perbuatan itu kerana Allah SWT atau demi mencari keredhaan Allah SWT atau pun hati itu merasai akan pemerhatian Allah SWT). Rasulullah SAW bersabda:

إنَّما الأَعْمَالُ بِالنِّيَّات
Sesungguhnya amal perbuatan itu bergantung pada niatnya. (HR Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadith itu, maka diterima atau tidak diterima Allah SWT akan sesuatu amal perbuatan yang dilakukan oleh seorang hamba, amat  bergantung kepada niat yang ada dalam hati hamba itu.

Keterangan syarat kedua:

Amal perbuatan yang dilakukan oleh hamba-Nya hendaklah  sesuai dengan syari’at Islam yang bersumberkan Al-Qur’an dan As-Sunnah Nabi SAW. Nabi SAW besabda

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدّ
Barangsiapa yang mengerjakan suatu perbuatan yang tidak pernah kami diperintahkan, maka perbuatan itu ditolak. (HR Muslim)

Allah SWT berfirman:

وَمَن يُسۡلِمۡ وَجۡهَهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٞ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰۗ وَإِلَى ٱللَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ
Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada Allah, sedang dia berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. (Luqman: 22)

وَمَنۡ أَحۡسَنُ دِينٗا مِّمَّنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٞ وَٱتَّبَعَ مِلَّةَ إِبۡرَٰهِيمَ حَنِيفٗاۗ وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبۡرَٰهِيمَ خَلِيلٗا
Dan siapakah yang lebih baik dinnya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya. [An Nisa’ :125]

Yang dimaksud dengan “menyerahkan diri kepada Allah” dalam dua ayat di atas ialah mengikhlaskan niat kerana Allah SWT semata-mata dan memurni amal hanya karena ingin mendapatkan keredhaan Allah semata-mata.

Yang dimaksud dengan “mengerjakan kebaikan” dalam ayat itu ialah mengerjakan kebaikan sesuai dengan syari’at Allah SWT.

Fudhail bin ‘Iyadh pernah memberi komentar tentang ayat 2 surah Al-Mulk:

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. [Al Mulk: 2]

Menurutnya, maksud “yang lebih baik amalnya” adalah amal yang di dasari keikhlasan kepada Allah SWT dan sesuai dengan sunnah Nabi SAW.

Seseorang bertanya kepadanya, “Apa yang dimaksud dengan amal yang ikhlas dan benar itu?” Fudhail menjawab, “Sesungguhnya amal yang dilandasi keikhlasan tetapi amal itu tidak benar, maka tidak diterima oleh Allah SWT. Sebaliknya, amal yang benar tetapi tidak dilandasi keikhlasan juga tidak diterima oleh Allah SWT. Amal perbuatan yang diterima Allah jika didasari keikhlasan dan dilaksanakan dengan benar. Yang dimaksud ‘ikhlas’ adalah amal perbuatan yang dikerjakan semata-mata kerana Allah SWT. Yang dimaksud ‘benar’ adalah amal perbuatan yang sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW.”

Setelah itu Fudhail bin Iyad membacakan surat Al-Kahfi ayat 110:

قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا
Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: “Bahawa sesungguhnya Ilah  kamu itu adalah Ilah yang Esa”. Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Rabbnya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadah kepada 

Niat yang ikhlas saja belum menjamin amal kita diterima oleh Allah SWT, jika dilakukan tidak sesuai dengan apa yang digariskan syariat. Begitu juga perbuatan yang mengikut syariat, tetap tidak diterima jika dilakukan dengan tujuan tidak mencari keredhaan Allah SWT.

KETIKA MANAKAH IKHLAS ITU HADIR DALAM HATIMU?

Ada lapan tanda di mana anda boleh menyemak keikhlasan apakah ikhlas itu telah mengisi dalam relung hatimi

Lapan tanda itu adalah:

1. Ikhlas hadir dalam hatimu apabila kamu tidak sukakan populariti

Imam Ibn Syihab Az-Zuhri berkata, “Sedikit sekali kita melihat orang yang tidak menyukai kedudukan dan jabatan. Seseorang sering boleh menahan diri daripada makanan, minuman dan harta. Namun ia tidak sanggup menahan diri dari godaan kemahsyuran dan kedudukan. Bahkan, ia tidak segan silu merebutnya meskipun harus menjatuhkan maruah pihak lain. Kerana itu ramai ulama salaf menulis buku tentang larangan mencintai populariti, jabatan dan riyak.

Fudhail bin ‘Iyadh berkata, “Jika anda mampu untuk tidak dikenal oleh orang lain, maka lakukanlah. Anda tidak rugi sekiranya anda tidak dienal. Anda juga tidak rugi sekiranya anda tidak disanjung orang lain. Demikian pula, janganlah gusar jika anda menjadi orang yang tercela di mata manusia, tetapi menjadi manusia terpuji dan terhormat di sisi Allah.”

Meski pun demikian, ucapan ulama tersebut bukanlah menyeru agar kita mengasingkan diri daripada khalayak ramai. Ucapan itu adalah peringatan agar dalam mengharungi kehidupan, jangan terjebak dengan jerat hawa nafsu ingin mendapat pujian manusia.

Para nabi dan orang saleh adalah orang yang popular. Yang dilarang adalah meminta nama kita dipopularkan, meminta jawatan, dan sikap rakus pada kedudukan. Jika tanpa keinginan dan tanpa meminta kita menjadi dikenal orang, maka itu tidak mengapa. Meskipun itu boleh menjadi malapetaka bagi orang yang lemah dan tidak bersiap-sedia menghadapinya.

2. Ikhlas hadir dalam hatimu di saat kamu mengakui bahawa diri kamu memiliki banyak kekurangan

Orang yang ikhlas selalu merasa dirinya memiliki banyak kekurangan. Ia merasa belum maksima dalam menjalankan segala kewajiban yang dibebankan Allah SWT. Kerana itu ia tidak pernah merasa ujub dengan setiap kebaikan yang dikerjakannya. Sebaliknya, ia berasa cemas sekiranya apa yang dilakukannya tidak diterima Allah SWT kerana itu ia kerap menangis.

Aisyah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang maksud firman Allah: “Dan orang-orang yang mengeluarkan rezeki yang dikurniakan kepada mereka, sedang hati mereka takut bahawa mereka akan kembali kepada Tuhan mereka.” Apakah mereka itu orang-orang yang mencuri, orang-orang yang berzina, dan para peminum minuman keras, sedang mereka takut akan siksa dan murka Allah ‘Azza wa jalla? Rasulullah SAW menjawab, “Bukan, wahai Puteri Abu Bakar. Mereka itu adalah orang-orang yang rajin solat, berpuasa, dan sering bersedekah, sementera mereka khawatir amal mereka tidak diterima. Mereka bergegas dalam menjalankan kebaikan dan mereka orang-orang yang berlomba.” (Ahmad).

3. Ikhlas itu hadir dalam hatimu ketika kamu lebih cenderung untuk menyembunyikan amal kebajikan

Orang yang tulus adalah orang yang tidak ingin amal perbuatannya diketahui orang lain. Ibarat pohon, mereka lebih senang menjadi akar yang tertutup dalam tanah tapi dapat menghidupkan keseluruhan pohon. Ibarat sebuah bangunan, faundasinya tertanam dalam bawah tanah, namun ia menampung keseluruhan bangunan yang tinggi..

Suatu hari Umar bin Khatab pergi ke Masjid Nabawi. Ia mendapati Mu’adz sedang menangis dekat makam Rasulullah SAW. Umar menegurnya, “Mengapa kau menangis?” Mu’adz menjawab, “Aku telah mendengar hadith daripada Rasulullah SAW. bahawa baginda bersabda, ‘Riyak sekalipun hanya sedikit, ia termasuk syirik. Dan barang siapa memusuhi kekasih-kekasih Allah maka ia telah menyatakan perang terhadap Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang baik, taqwa dan tidak dikenal. Sekalipun mereka tidak ada, mereka tidak disedari hilang dan sekalipun mereka ada, mereka tidak dikenali. Hati mereka bagaikan pelita yang menerangi petunjuk. Mereka keluar daripada segala tempat yang gelap gulita.” (Ibnu Majah dan Baihaqi)

4. Ikhlas itu hadir dalam hatimu jika bagimu tidak ada masalah ditempatkan sebagai pemimpin atau sebagai perajurit

Rasulullah SAW menggambarkan jenis orang seperti ini dengan berkataan, “Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kendali kudanya di jalan Allah, sementara kepala dan tumitnya berdebu. Apabila ia bertugas menjaga benteng pertahanan, ia benar-benar menjaganya. Dan jika ia bertugas sebagai pemberi minuman, ia benar-benar melaksanakannya.”

Itulah yang terjadi pada diri Khalid bin al-Walid di saat Khalifah ‘Umar bin al-Khatab memberhentikannya daripada jawatan panglima perang. Khalid tidak kecewa apalagi sakit hati. Kerana, beliau berjuang bukan untuk Umar dan bukan juga untuk komandan barunya Abu ‘Ubaidah. Khalid berjuang untuk mendapat redha Allah SWT.

 5. Ikhlas itu hadir dalam hatimu jika kamu mengutamakan keredhaan Allah daripada keredhaan manusia

Apabila seseorang itu menuntut  keredhaan Allah, sesungguhnya beliau sangat beruntung. Tidak jarang juga orang yang memiliki kuasa memaksa orang lain bermaksiat kepada Allah SWT. Di sinilah keikhlasan seseorang itu diuji. Memilih keredhaan Allah SWT atau memilih keredhaan manusia ? Pilihan orang beriman seharusnya seperti pilihan Masyitah, tukang sisir anak Fir’aun. Ia memilih keredhaan Allah daripada menyembah Fir’aun.

 6. Ikhlas itu hadir dalam hatimu jika cintamu kerana Allah dan marahmu pun kerana Allah

Peliharalah ikhlas ketika kamu menyatakan cinta atau menyatakan benci, ketika kamu memberi atau keitka kamu menolak, ketika kamu redha dan ketika kamu marah kepada seseorang atau ketika kamu cinta kepada seseorang. Semuanya berasaskan ingin mendapatkan keredhaan Allah. Ikhlaslah ketika membela din Allah, bukan untuk kepentingan peribadi. Allah SWT mencela orang yang mencari keredhaan makhluk. Firman-Nya:

وَمِنۡهُم مَّن يَلۡمِزُكَ فِي ٱلصَّدَقَٰتِ فَإِنۡ أُعۡطُواْ مِنۡهَا رَضُواْ وَإِن لَّمۡ يُعۡطَوۡاْ مِنۡهَآ إِذَا هُمۡ يَسۡخَطُونَ 
Dan di antara mereka ada orang yang mencela tentang (pembagian) zakat. Jika mereka diberi sebagian daripadanya, mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebagian daripadanya, dengan serta merta mereka menjadi marah.  (At-Taubah: 58)

7. Ikhlas itu hadir dalam hatimu jika kamu bersabar terhadap panjangnya jalan dakwah

Keikhlasan kamu akan diuji oleh waktu. Sepanjang hidup kamu adalah ujian. Ketetapan kamu untuk menegakkan kalimat-Nya di muka bumi adalah berterusan meski pun kamu tahu jalannya sangat jauh, sementara hasilnya di dunia ini belum pasti kamu akan menikmatinya. Kesulitan yang menanti di depan kamu sangat mencabar keimanan kamu. Hanya orang yang mengharapkan keredhaan Allah akan mampu istqamah di atas jalan yang panjang ini. Seperti Nabi Nuh AS yang giat berdakwah tanpa berhenti selama 950 tahun. Seperti ‘Umar bin al-Khaththab yang berkata, “Jika ada seribu mujahid berjuang di medan juang, aku satu di antaranya. Jika ada seratus mujahid berjuang di medan juang, aku satu di antaranya. Jika ada sepuluh mujahid berjuang di medan juang, aku satu di antaranya. Jika ada satu mujahid berjuang di medan juang, itulah aku!”

 8. Ikhlas itu hadir di hatimu ketika kami merasa gembira apabila kawan kamu memiliki kelebihan

Yang paling sulit bagi seseorang ialah redha terhadap orang lain yang memiliki kelebihan berbanding dirinya. Apalagi jika orang itu lebih junior daripadanya. Hasad dengki adalah sifat yang menutup keikhlasan daripada hadir di hati kita. Hanya orang yang ada sifat ikhlas yang benar dalam dirinya akan berupaya memberi kesempatan kepada orang yang berkemampuan mencukupii untuk mengambil bahagian dari tanggungjawab yang dipikulnya.

Dengan lapang dada dia mempersilakan orang yang lebih baik daripada dirinya untuk tampil menggantikan dirinya. Tidak ada padanya rasa iri hati. Tidak ada rasa dendam. Seorang leader yang ikhlas seperti ini tidak akan bersedia memberi tugas kepada sesiapa pun yang berkemampuan.

Rujukan: http://www.khotbah-jumat.co.cc/2009/08/delapan-tanda-orang-ikhlas.html

 

Print Friendly, PDF & Email
Tags

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also

Close
Back to top button
Close