Home / Dasar Umum Islam / Aqidah / Konsep Lailahaillallah ( لا اله الا الله ) Sebagai Satu Cara Hidup Yang Menolak Jahiliah
WhatsApp Image 2018-10-13 at 12.20.52 PM

Konsep Lailahaillallah ( لا اله الا الله ) Sebagai Satu Cara Hidup Yang Menolak Jahiliah

Muqaddimah

Islam adalah nizam (sistem hidup) yang kamil (lengkap) dan syamil (menyeluruh).  Islam  terbina  di atas  asas  yang  kukuh.  Islam terdiri daripada rukun-rukun yang besar hinggalah kepada  cabang-cabang  dan  ranting-rantingnya  yang kecil.  Rukun,  cabang  dan ranting tertegak di atas asasnya dan saling perlu memerlu  antara satu sama lain. Islam umpama pokok, bermula daripada biji  benih, kemudian mengeluarkan akar dan pucuk. Seterusnya ia membesar  dan membentuk batang, dahan, cabang, ranting dan dedaun hingga menjadi  sebatang pokok yang rendang, tegak dan kukuh.  Namun,  setiap helai daun berhubung terus dengan akarnya.

Islam bererti penyerahan diri

Islam  juga  bererti penyerahan diri  sepenuhnya,  tanpa  sebarang bantahan atau pengecualian, kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Implikasi daripada hakikat ini dengan tegasnya menyekat manusia daripada segala  bentuk perhambaan kepada sesama hamba (manusia dan  makhluk  lain).  Yang dikehendaki  ialah  perhambaan  manusia hanya  kepada  Allah Subhanahuwata’ala Yang Maha Esa. Orang Mu'min  hanya  akan tunduk  dan patuh kepada kekuasaan dan peraturan Allah  dalam segenap urusan hidupnya.

Tugas utama para rasul

Tujuan   utama  Islam  diturunkan  ialah   untuk   memperbetulkan perhambaan  manusia.  Inilah  juga tugas utama  setiap  Nabi  dan Rasul. Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam didatangkan untuk mengembalikan  seluruh manusia  supaya patuh dan memperhambakan diri hanya kepada  Allah Subhanahuwata’ala  dan seterusnya mengukuhkan kedudukan syari'at Allah  Subhanahuwata’ala  di muka  bumi supaya benar-benar berfungsi dalam mengatur  kehidupan manusia.

Islam datang untuk membawa manusia supaya patuh kepada  kekuasaan  dan pemerintahan Allah Subhanahuwata’ala seperti alam ini yang berjalan atas landasan dan peraturan-Nya. Oleh kerana manusia adalah sebahagian daripada alam ini, manusia juga mestilah patuh kepada  peraturan-Nya. Dengan itu barulah kehidupan menjadi harmoni,  bahagia dan sejahtera.

Kehidupan yang terpancar daripada tauhid

Konsep  Lailahaillallah  ( لا اله الا الله )  membawa  pengertian perhambaan  diri  kepada Allah Subhanahuwata’ala di  dalam  kehidupan  manusia. Kesan kalimah tauhid meliputi  perasaan, tingkah laku,  pegangan, konsep hidup dan segala amalan hidup manusia tanpa  terpisah antara  satu  sama lain. ‘Aqidah tauhid yang betul  akan  meresapi dalam  setiap aspek hidup sama sepertimana darah dan  urat  saraf yang mengalir ke seluruh bahagian tubuh manusia.

Kebebasan manusia

‘Aqidah  tauhid   merupakan pentafsiran  yang  menyeluruh  tentang kewujudan dan kehidupan manusia.   Inilah rupa bentuk ‘aqidah yang mesti  disebatikan  ke dalam jiwa manusia.  Apabila  hakikat  ini jelas dan pentafsirannya ditegakkan dalam pemikiran manusia, hati manusia  akan  bersih daripada seluruh kepalsuan  dan  kekotoran. Maka, Lepas bebaslah manusia daripada segala ikatan lain kecuali ikatan dengan Allah Yang Maha Kuasa, Zat Yang Mutlak dan berkuasa penuh di alam ini. Hati manusia akan bebas daripada sebarang bentuk  perhambaan selain daripada perhambaan kepada-Nya.

Apabila manusia membebaskan hatinya daripada beriman kepada  yang lain  kecuali  kepada Allah Yang Maha Esa serta  berpegang  teguh dengannya, maka manusia akan bebas daripada sebarang konkongan ideologi  lain. Pemikirannya hanya tertumpu kepada Allah Subhanahuwata’ala.  Lenyaplah sebarang  kekeliruan dan kekacauan yang menyesatkan manusia.  Dia bebas daripada sebarang bentuk kemungkaran. Dia juga bebas  daripada  takut kepada kuasa-kuasa dunia yang  cuba  menghalangnya untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.

Masyarakat bertunjangkan pengabdian kepada Allah

Masyarakat  Islam ialah masyarakat yang  menterjemahkan  tuntutan kalimah tauhid secara menyeluruh  dalam kehidupan mereka.

Setiap cabang dan bidang kehidupan masyarakat Islam dikuasai  dan diawasi sepenuhnya oleh asas tauhid yang kukuh. Semua tindakannya terbit  daripada  pancaran  cahaya  ‘aqidah.  Setiap  permasalahan hidupnya dibina atas perhambaan  atau pengabdian kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.

Lailahaillallah  ( لا اله الا الله )  merupakan  ‘aqidah yang mampu mengangkat masyarakat Islam kepada suatu  darjat yang  paling tinggi dan mulia. ’Aqidah ini  meletakkan  masyarakat Islam  dan  anggota-anggotanya di tempat yang betul.  ’Aqidah  ini sentiasa  membetul  dan memperbaiki setiap langkah  dan  tindakan mereka  dalam  setiap  keadaan,  masa  dan  tempat.  ’Aqidah   ini merupakan  tenaga  penggerak  yang  sentiasa  mengarahkan  mereka kepada  matlamat hidup yang suci dan jelas. ’Aqidah  ini  memimpin mereka untuk melalui jalan hidup yang terang dan selamat.

’Aqidah tauhid menolak jahiliah

Konsep Lailahaillallah  ( لا اله الا الله ) atau hakikat  pengesaan Allah sebenarnya menolak segala bentuk jahiliah sama ada berupa nilai, pemikiran  atau pegangan hidup.

Lailahaillallah  ( لا اله الا الله ) membina satu asas  kepada cara hidup masyarakat Islam dalam setiap bidang dan urusan.  Oleh itu,  masyarakat  yang  praktik  hidupnya  tidak   menterjemahkan tuntutan  tauhid ini digolongkan sebagai  masyarakat  jahiliah. Jahiliah  adalah satu penyusunan masyarakat yang menolak  hukum-hukum dan peraturan-peraturan Allah Subhanahuwata’ala. Jahiliah melawan dan memusuhi Islam  sebagai  din atau cara hidup. Jahiliah merupakan musuh  paling  ketat kepada ‘aqidah Islam.

Sistem hidup jahiliah, pada hakikatnya, tidak menjadikan  Allah sebagai  Rabb  dan Ilah walaupun mengakui  ketuhanan  Allah  Subhanahuwata’ala. Sistem  hidup  jahiliah hanya mengikut kehendak  dan  keputusan hawa nafsu manusia serta berhakimkan taghut.

Masyarakat  jahiliah  juga adalah masyarakat  yang  mengamalkan ciri-ciri hidup yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam,  yang tidak mengarahkan diri dan perhambaannya kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata sama ada dalam i'itiqad, ibadat atau syariat yang  merangkumi setiap aspek peraturan hidup.

Masyarakat jahiliah ialah masyarakat yang mengakui Islam tetapi praktik  ubudiyah  (pengabdian)  dalam  peraturan-peraturan  dan perundangan hidupnya tidak kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Masyarakat  ini, walaupun berasa beri'tiqad kepada Allah Subhanahuwata’ala,  tetapi secara sedar atau tidak sedar, amalan dan penguatkuasaan undang-undang, peraturan-peraturan dan nilai-nilai hidupnya bersumberkan  selain daripada sumber Allah Subhanahuwata’ala.

Bentuk  masyarakat  yang dijelaskan di atas  tidak  diakui  Islam sebagai  masyarakat  Islam. Islam tidak  memandang  kepada  cogan kata,  sepanduk  dan laungan sahaja sedangkan  hakikat  kehidupan praktikal masyarakat itu diisi dengan sifat-sifat jahiliah.    

Perlunya mengetahui hakikat jahiliah

Sesiapa  yang  ingin  menghayati Islam   dalam  kehidupannya  dan memperhambakan diri kepada Allah perlu sekali mengetahui  hakikat jahiliah seperti diterangkan di atas. Yakni, jahiliah yang  meliputi pemikiran,  aliran, perancangan dan segala cacat cela  serta  bahayanya  agar terselamat dan terpelihara daripada  tipu  dayanya.

Menanggalkan jahiliah

Manusia  yang  inginkan  Islam  mestilah  menanggalkan  diri  dan memisahkan  jiwa  daripada cara hidup jahiliah.  Dia  hendaklah memulakan  perjalanan hidup bersama Islam. Perjalanan  hidup yang  bebas  daripada  tekanan nilai jahiliah  sama  ada  dalam bentuk konsep, adat istiadat, tradisi mahupun pimpinan.

Satu perkara yang penting, terutama di peringkat awal da'wah  dan pendidikan untuk menghayati Islam, ialah manusia perlu  membersih dan memutuskan jiwa daripada sebarang campur aduk dan  pencemaran antara  Islam dengan jahiliah. Da'wah Islam  sekali-kali  tidak menerima  sebarang  tolak ansur dengan jahiliah  atau  mematuhi jahiliah. Tidak pernah terdapat titik pertemuan di antara Islam dengan jahiliah. Yang dikehendaki ialah menanggalkan sepenuhnya suasana,  adat,  tradisi, pemikiran dan konsep  jahiliah yang  bercanggah dengan Islam.  Juga yang  dikehendaki ialah tertegak sepenuhnya pemahaman  Islam  dan praktik  hidup  Islam  bawah pimpinan  Islam,  di mana  seluruh ketaatan serta penglibatan tertumpu kepada Islam.

Kewujudan jahiliah melata

Jahiliah  sekarang,  dan pada setiap zaman, tetap  menolak  hukum Allah Subhanahuwata’ala. Ini antara cara mengenali jahiliah di setiap  tempat, keadaan  dan  jenis masyarakat. Jahiliah berada  dalam  segenap kemajuan dunia sama ada dalam pemikiran, politik, sosial  mahupun ekonomi.  Apabila manusia enggan menghubungkan diri dengan  Allah Subhanahuwata’ala,  maka di situ terdapat jahiliah. Dewasa ini manusia  telah dikongkong oleh jahiliah yang amat pekat sehingga perkara yang dianggap sebagai aktiviti Islam pun diasaskan atas jahiliah.

Jahiliah menolak hukum Allah

Dalam al-Quran, Allah Subhanahuwata’ala menjelaskan bahawa orang Arab  jahiliah memang mengetahui dan mengakui Allah Subhanahuwata’ala sebagai Pencipta dan Pentadbir  segala  sesuatu, tetapi mereka menolak  peraturan  dan hukum Allah Subhanahuwata’ala dalam urusan hidup.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَلَئِن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُۚ قُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِۚ بَلۡ أَكۡثَرُهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٢٥

Sesungguhnya  sekiranya  engkau (Muhammad)  bertanyakan  mereka: Siapakah  yang  menjadikan langit dan bumi, nescaya  mereka  akan menjawab: Allah.  Katakanlah: Segala puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui

 (Surah  Luqman : 25)

قُلۡ مَن يَرۡزُقُكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ أَمَّن يَمۡلِكُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَٰرَ وَمَن يُخۡرِجُ ٱلۡحَيَّ مِنَ ٱلۡمَيِّتِ وَيُخۡرِجُ ٱلۡمَيِّتَ مِنَ ٱلۡحَيِّ وَمَن يُدَبِّرُ ٱلۡأَمۡرَۚ فَسَيَقُولُونَ ٱللَّهُۚ فَقُلۡ أَفَلَا تَتَّقُونَ ٣١

Katakanlah (Muhammad): Siapakah yang memberikan rezeki  kepadamu dari  langit  dan bumi, atau siapakah yang  berkuasa  menciptakan pendengaran dan penglihatan, atau siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang  hidup, dan siapakah mengatur segala urusan? Maka mereka menjawab: Allah. Maka  katakanlah:  Kenapakah kamu tidak  bertaqwa  (kepada  Allah)?

 (Surah  Yunus : 31)

Golongan  jahiliah  mengakui hakikat  ketuhanan  tetapi  mereka tidak mengikuti apa yang mereka akui. Mereka memperhambakan  diri kepada  ilah-ilah (termasuk isme-isme) selain Allah  Subhanahuwata’ala.  Mereka mengetahui Allah Subhanahuwata’ala tetapi tidak melaksanakan syariat-Nya dalam realiti kehidupan.

Syariat dan aqidah tidak boleh dipisahkan

Persoalan  syariat tidak boleh dipisahkan dengan persoalan  asas aqidah.  Kata pemutus atau garis pemisah ialah sama ada  berhukum dengan  syariat  Allah Subhanahuwata’ala atau disifatkan  sebagai  jahiliah. Jika manusia ikhlas beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala dan bertekad menerima  Uluhiyah  Allah  Subhanahuwata’ala, sudah tentu  dia  menerima  hakimiyah (pemerintahan)  Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala Pencipta dan Pemilik  kepada alam  semesta. Allah Subhanahuwata’ala penentu hukum dan undang-undang.  Dialah yang  patut ditaati dan syariat-Nya sahaja yang  wajib  dipatuhi. Jika tidak, akan lahirlah jahiliah dan tertegaklah  hukum-hukum yang mengikut hawa nafsu.

Islam  diturunkan untuk memastikan bahawa hanya satu sahaja  tali penghubung  yang menghubungkan manusia dengan Allah Subhanahuwata’ala.  Apabila terputus  tali ini maka tidak terdapat tali lain lagi yang  dapat menghubungkan manusia dengan Allah Subhanahuwata’ala dengan hubungan yang suci, tinggi dan mulia. Tali itu ialah Islam.

Jalan untuk menegakkan masyarakat Islam

Masyarakat  Islam  bukan satu khayalan. Masyarakat  Islam  contoh telah pun wujud dan terbentuk secara praktik pada zaman  Rasulullah  Sallallahu’alaihiwasallam. Tenaga pembentukannya tidak lain melainkan aqidah  at-Tauhid  di  bawah  panji  LailahaIllallah  ( لا اله الا الله ). Aqidah  inilah  yang dibawakan baginda  Rasulullah  Sallallahu’alaihiwasallam  mengikut arahan Allah Subhanahuwata’ala.

Jalan yang bertitik-tolak dengan kalimah  Lailahaillallah 

( لا اله الا الله ) adalah jalan yang dilalui  oleh  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  dan  para sahabat Radhiallahu’anhu. Walaupun jalan ini  menempuh  pelbagai kesusahan, rintangan  dan kesakitan, Allah Subhanahuwata’ala Yang Maha Bijaksana  tidaklah bermaksud untuk menyiksa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  dan  orang  mu'min.  Allah  Sallallahu’alaihiwasallam Maha Mengetahui  bahawa  itulah  satu-satunya  jalan  untuk menegakkan masyarakat Islam  yang  mematuhi Allah  Subhanahuwata’ala. Jalan inilah yang dapat membersihkan bumi  Allah  Subhanahuwata’ala daripada  taghut.  Bumi  ini tidak akan bersih  untuk  Allah  Subhanahuwata’ala semata-mata   melainkan apabila konsep   LailahaIllallah menjadi penghayatan hidup manusia  seluruhnya.

Manusia adalah hamba Allah Subhanahuwata’ala. Manusia tidak akan menjadi  hamba Allah Subhanahuwata’ala yang sebenarnya melainkan apabila dia tunduk dan  patuh kepada  perintah  Allah dengan memegang panji  Lailahaillallah. Bagi  hamba Allah yang hakiki, tiada kekuasaan  selain  kekuasaan Allah  Subhanahuwata’ala,  tiada  syariat selain syariat Allah  Subhanahuwata’ala  dan  tiada kepatuhan selain kepatuhan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Hamba seperti inilah yang membentuk masyarakat Islam dan  bangsa Islam yang menghapuskan  perbezaan warna kulit, di mana semua manusia hidup di  bawah panji-panji Allah Subhanahuwata’ala.

Menentang arus jahiliah

Jahiliah  telah  sekian lama berakar umbi  dan  bertapak  kukuh dalam  kehidupan  masyarakat. Jahiliah tidak  sekadar  menjelma dalam  bentuk  teori. Jahiliah menjelma  dalam  bentuk  gerakan kemasyarakatan.   Oleh  itu  usaha-usaha  untuk   menentang   dan menghapuskannya  tidak  boleh sekadar  teori,  bahkan  memerlukan kesungguhan dan persediaan yang meliputi segenap bidang. Ia  juga memerlukan penyusunan yang rapi dan usaha-usaha  yang  berterusan. Dengan cara ini,  InsyaAllah  jahiliah yang luas dan berkembang itu dapat dilumpuh dan dihapuskan.

Penutup

Masyarakat  Islam  hanya akan terbentuk  apabila  konsep  Lailahaillallah  disebatikan  dalam jiwa individu dan anggota-anggota masyarakat.

Masyarakat  Islam tidak akan lahir selagi mana satu  golongan  manusia tidak  terbentuk  terlebih dahulu melalui  proses  keimanan  yang mengikrarkan Lailahaillallah. Proses imaniyah ini sajalah  yang dapat  melahirkan  'ubudiyah kepada Allah Subhanahuwata’ala.  'Ubudiyah  ini merangkumi  i'tiqad, ibadat, syariat dan peraturan  hidup  yang benar-benar  berfungsi  lagi praktikal dalam  semua  suasana  dan amalan.  Proses  imaniyah ini mampu membersihkan hati  dan  jiwa daripada  sebarang bentuk perhambaan selain  daripada  perhambaan kepada  Allah  Subhanahuwata’ala. Proses imaniyah ini akan  mengawasi  manusia daripada  bermatlamatkan  yang lain daripada  Allah  Subhanahuwata’ala.  Proses imaniyah  ini  akan  melahirkan manusia  yang  menghayati  Islam sebagai din dan menolak segala bentuk jahiliah.

Jika pada permulaan Islam iman menjadi tenaga pembangunnya, maka sudah pasti  iman  jugalah yang akan membangunkan  masyarakat  Islam pada hari ini.

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

Kediaman Dan Kedamaian

Firman Allah Subhanahuwata’ala: وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنۢ بُيُوتِكُمۡ سَكَنٗا Dan Allah menjadikan rumah-rumahmu untuk tempat …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *