Penyusun: Haji Mohd Ghani Salleh
PENDAHULUAN
1. Tujuan diskusi ialah untuk mencari kebenaran melalui diskusi atau debat setelah diuji dengan pelbagai hujjah oleh pihak-pihak yang terlibat.
2. Debat yang mengikut nafsu atau pertengkaran yang menegang leher dilarang oleh syara’. Sabda Rasulullah SAW:
Tidak sesat suatu kaum setelah datangnya petunjuk kepada mereka, kecuali mereka suka berdebat (maksud hadith riwayat Imam Tirmidzi), kemudian baginda membaca firman Allah SWT:
وَقَالُوٓاْ ءَأَٰلِهَتُنَا خَيۡرٌ أَمۡ هُوَۚ مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلَّا جَدَلَۢاۚ بَلۡ هُمۡ قَوۡمٌ خَصِمُونَ
Dan mereka berkata lagi: Manakah yang lebih baik, benda-benda yang kami sembah atau Isa? Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan. (Az-Zukhruf:58)
3. Diskusi untuk mencari kebenaran harus bagi da’wah ilallah sepertimana firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah an-Nahl ayat 125:
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ
Serulah ke jalan Rabbmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Rabbmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayat petunjuk.
TUJUAN DISKUSI
1. Untuk menzahirkan kebenaran bagi sesuatu permasalahan.
2. Mematahkan hujah musuh Islam yang memerangi Islam dan kaum muslimin dengan cara lebih baik.
3. Meluaskan pengetahuan dan menperdalamkan cara berfikir untuk berhadapan dengan permasalahan umat.
TOPIK DISKUSI
1. Permasalahan yang berkaitan kepetingan Islam dan umat Islam secara umumnya, atau permasalahan da’wah secara khususnya.
2. Masalah yang menjadi perbezaan pendapat di kalangan anggota masyarakt, yang masih tiada kepastian dan mendapatkan penyelesaian muktamad.
3. Halangan-halangan dalam menegakkan ajaran Islam dan da’wah Islamiah. Diskusi dapat membantu mencari jalan penyelesaian yang sejahtera.
4. Memperolehi kepastian kedudukan Islam dalam arus permusuhan terhadap Islam, atau mendapat gambaran jelas gerakan yang mendukung penentangan terhadap Islam.
5. Diskusi tentang cara yang paling sesuai untuk memperjuangkan kepentingan Islam di sesuatu tempat atau negera Islam dan wasilah paling sesuai mendukung kegiatan tersebut.
AHLI PANEL DISKUSI
Ahli panel terdiri daripada mereka yang kompeten dalam bidang tertentu dan melengkapi syarat-syarat berikut:
1. Mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam pengkhususannya dan unggulan dalam permasalahan yang dibincangkan.
2. Berlapang dada (tidak cepat marah atau emosional), berwawasan, mampu menahan diri daripada serangan-serangan, menerima pelbagai pendapat dan menolak pendapat yang tidak benar dengan tenang dan sistematik hingga kebenaran terserlah.
3. Cintakan Islam, bersungguh-sungguh menegakkannya dan mengutamakan kepentingan da’wah Islam.
4. Mampu menyampaikan gagasan dengan ucapan yang jelas, dalil-dalil dan hujjah-hujjah yang kuat sehingga mendorong pendengar untuk menangkapi kebenaran.
5. Tiada halangan daripada kalangan orang mempunyai kedudukan dalam masyarakat asalkan dikenali beramanah, takwa dan mencintai kebenaran.
PESERTA DISKUSI
1. Seelok-eloknya terpilih daripada kalangan yang mampu mengikuti bahan diskusi dan perjalanannya, dan mampu juga menghadapi pandangan dan pendapat yang berbeza.
2. Mampu memberi perhatian khusus terhadap masalah yang didiskusikan.
3. Peserta yang hanya sekadar memenuhi ruangan atau suka berhibur kadang-kadang mengganggu perjalanan diskusi. Kejujuran peserta diambil kira.