Skop dakwah begitu luas. Perubahan yang dikehendaki adalah perubahan yang menyeluruh selaras dengan Islam sebagai ad-Din, yang terpancar daripada al-Quran dan Sunnah, dan diambil daripada sirah perjalanan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat r.a. dan juga menyentuh soal individu serta masyarakat. Islam yang menyeluruh pernah digambarkan oleh Hassan al-Banna:
“Islam adalah merupakan satu peraturan yang lengkap merangkumi seluruh aspek kehidupan. Islam itu negara dan tanah air atau kerajaan dan rakyat, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah (ideologi), keintelektualan dan undang-undang, ilmu pengetahuan dan kehakiman, akhlak dan kekuatan, (rahmat) belas kasihan dan keadilan, harta benda penghasilan dan kekayaan. Malah Islam adalah akidah yang murni dan ibadat yang sahih, semuanya adalah sama belaka di sisi hakikat Islam.”[1]
Manakala perjalanan dakwah pula amat jauh, yang tidak dapat diketahui kecuali Allah, tenaga pendakwah pula terbatas dan terhad, umur pendakwah kian hari semakin dekat untuk dipanggil pulang, halangan-halangan dan kesusahan di perjalanan begitu mencabar, kejahatan dan kerosakan menjadi-jadi.
Maka, berasaskan skop dakwah yang luas dan jalannya yang panjang, sudah tentulah tugas dan tanggungjawab yang begitu kompleks, besar dan berat ini tidak mampu dipikul oleh da’i (pendakwah) secara individu. Bahkan ianya memerlukan penggemblengan dan paduan tenaga yang begitu besar. Ia amat memerlukan gerakan organisasi yang didukung oleh para da’i yang mempunyai haluan, matlamat dan cita-cita yang sama di dalam mencari keredaan dan keampunan Allah Subhanahuwata’ala. Kerana itu kata Sa’id Hawwa:
“Di dalam perjalanan yang jauh yang mana individu tidak mengetahui sekadar mana peranan yang dapat diberikan dan sejauh mana ia dapat bersama rombongan (organisasi), dan dalam perjalanan yang begini jauh, seseorang insan mestilah mengosongkan kepentingan diri, kerana kemungkinan peranan yang dapat diberikannya hanya separuh jalan sahaja dan akan disambung perjalanannya oleh orang lain, bila mana binaan itu besar, maka maka ia berhajat kepada tenaga generasi-generasi, maka sesungguhnya kemuncak cita-cita individu ialah berpadu di dalam pembinaan ini.
Sekiranya ia memikirkan untuk membina binaan (Islam) itu seorang diri, maka sudah tentu ia tidak mampu dan binaan itu tidak akan sempurna.”[2]
Islam tidak suka seseorang muslim itu bekerja secara bersendirian (di dalam membina Islam), kerana rahmat Allah berada bersama-sama jama’ah (gerakan organisasi). Orang beriman kepada orang beriman laksana satu binaan, kuat menguat antara satu sama lain. Seseorang itu merasa kerdil dan sedikit apabila seorang diri dan merasa banyak dengan saudara-saudaranya. Bertolong-tolongan untuk berbuat kebaikan dan takwa adalah wajib dan dituntut oleh Islam.
Oleh itu wajarlah kerja-kerja dalam bentuk gerakan organisasi untuk berdakwah adalah wajib di segi syarak. Kesempurnaan hidup Islam tidak mungkin dicapai tanpa jama’ah. Maka kerja di dalam bentuk gerakan organisasi juga adalah wajib, kerana sesungguhnya yang wajib tidak mungkin sempurna melainkan melalui jalan itu, maka jalan itu menjadi wajib.[3]
Pemencilan individu da’i tanpa sebarang ikatan ukhuwah dengan mana-mana jama’ah atau organisasi Islam merupakan suatu yang kurang sempurna, kerana pesan memesan dengan kebenaran dan kesabaran secara individu tidak akan sempurna. Syaitan, dengan orang yang bersendiri adalah hampir, dengan orang yang berdua adalah lebih jauh.[4]
Oleh kerana jahiliah berorganisasi dan bersifat universal di dalam menentang Islam (kekufuran itu sama saja trend-nya), maka gerakan dakwah juga tidak boleh tidak mestilah juga bersifat organisasi.
Oleh: Ustaz Abdul Hadi Osman
[1] Al-Qardawi, Yusuf, al-Tarbiyah Islamiyah wa Madrasah Hassan al-Banna, cetakan 1, (Qahirah, Matba’ah Dar al-Turath al-Arabi, 1399H), h. 26
[2] Hawwa,Sa’id, Durus fi al-‘Amal al-Islamiy, cetakan 1, (al-Urdun,Maktabah al-Risalah al-Hadithah, 1401), h. 26
[3] Al-Qardawi, Yusuf, al-Da’wah Baina al-Jud wa al-Tatarruf, cetakan 1, (Catar, Kitabu al-Ummah, 1402), h. 120
[4] Hawwa, Sa’id, Darus fi al-‘Amal al-Islamiy, h. 17