KEPELBAGAIAN SISTEM DALAM ISLAM (6):
Konsep Asas Sistem MAJLIS SYURA (LEGISLATIF)

MAJLIS SYURA (LEGISLATIF)

Syura adalah salah satu daripada tonggak terpenting dalam negara Islam yang menunjukkan hak setiap individu untuk terlibat dalam hukum dan pentadbiran, khususnya perkara perundangan. Oleh itu, perlu diketahui dahulu konsep perundangan.

Dalam topik sebelum ini, kita telah sebutkan bahawa negara mempunyai hak perundangan dan pelaksanaan. Kuasa perundangan di negara Islam digubal oleh Ahlu al-Hill wa al-‘Aqd atau Ahlu al-Syura. Sebelum perbincangan definisi Ahlu al-Hill wa al-‘Aqd, perlu diketahui dahulu definisi ‘Perundangan’ (التشريع).

Konsep al-Tasyri‘ dalam Islam

Maksud tasyri‘ dari segi bahasa berasal dari kata kerja (شَرَعَ) yang bermaksud ‘menjelaskan dan meletakkan jalan yang jelas’.

Maksud tasyri‘ dari segi istilah pula adalah himpunan kaedah dan hukum hakam yang telah dijelaskan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya untuk menyusun kehidupan mereka di dunia dan memastikan kebahagian mereka di Akhirat. Firman Allah SWT:

شَرَعَ لَكُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِۦ نُوحٗا وَٱلَّذِيٓ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ
Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad).
[al-Syura: 13].

…………………..Justeru, maksud tasyri‘ pada hari ini adalah penggubalan undang-undang dan sistem supaya memudahkan urusan manusia dan menyusun hubungan mereka. Islam membahagikan tasyri‘ kepada dua bahagian:

  1. Hukum yang kekal (الأحكام الثابتة): Ia tidak berubah dengan perubahan masa dan tempat. Sumber hukum jenis ini adalah wahyu dari al-Qur’an dan al-Sunnah.
  2. Hukum yang berubah (الأحكام الـمتغيرة): Ia adalah hukum dari ijtihad yang memerlukan pakar yang memiliki ilmu, fiqh, pengalaman dan pengetahuan dalam urusan umum dan lapangan kehidupan yang pelbagai supaya undang-undang yang digubal untuk menyusun kehidupan menepati syariat Islam dan tidak bertentangan dengan kaedah dan hukum yang kekal.

Justeru, negara Islam perlu menyusun urusan perundangan dengan kaedah yang betul dan diwajibkan kepada rakyat. Maka, kerajaan yang menggubal undang-undang ini mewakili umat secara umum supaya keputusan undang-undang boleh diwajibkan kepada semua, diwar-warkan seterusnya ditaati. Ia hanya boleh dicapai jika rakyat melantik kumpulan (kerajaan) ini yang mempunyai kemampuan berijtihad di samping ilmu pengetahuan untuk memilih hukum syarat yang tepat. Mereka inilah yang digelar sebagai Ahli al-Hill wa al-‘Aqd atau Ahli Syura. Pada zaman kini, mereka digelar dengan ‘parlimen’ atau ‘dewan rakyat’.

 

Majlis Syura

Majlis Syura terdiri dari individu yang dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka dalam urusan penggubalan undang-undang yang wajib kepada semua, seterusnya mentadbir kehidupan berdasarkan syarat tertentu dan kaedah khusus.

Kaedah terbaik dalam pembentukan Majlis Syura adalah melalui pemilihan secara bebas oleh rakyat, iaitu sistem pilihan raya. Antara hujah keharusannya adalah seperti berikut:

  1. Firman Allah SWT: وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ

Terjemahan: “Dan bermesyuaratlah dalam segala urusan” [Ali ‘Imran: 159].

Para pemerintah wajib merujuk kepada rakyat dalam urusan umum namun untuk bertanya kepada setiap rakyat adalah perkara yang sukar. Maka, kewajipan ini dipenuhi melalui pelantikan wakil rakyat dan bermesyuarat dengan wakil mereka seolah-olah bermesyuarat dengan semua rakyat seperti yang disebutkan dalam al-Qur’an.

  1. Rakyat adalah pemilik sebenar kuasa dan Khalifah hanyalah wakil mereka sahaja. Khalifah perlu tunduk kepada pemantauan rakyat melalui Ahli Majlis Syura.

 

Syarat Ahli Majlis Syura

Berdasarkan pemerhatian kepada kepentingan Ahli Syura dan kedudukan mereka, maka mereka perlu memenuhi beberapa syarat supaya mampu melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Antara syarat terpenting adalah:

  1. Ilmu: Tuga utama anggota Majlis Syura adalah berfikir dan bermesyuarat. Nilai idea dan keputusa mesyuarat bergantung kepada ilmu setiap anggota. Maksud ilmu di sini adalah ilmu tentang syariat dan perkara dunia yang pelbagai seperti ekonomi, pentadbiran, ketenteraan, politik dan sebagainya.
  2. Adil: Maksudnya, ahli memiliki sifat amanah, jujur dan berakhlak mulia. Tidak melakukan dosa besar atau melazimi dosa kecil.
  3. Berhikmah, idea dan boleh mentadbir: Maksudnya, anggota Majlis Syura mestilah mempunyai pemikiran yang relevan dan tajam, berhikmah dan berpemikiran jauh, mampu menilai dan membandingkan dalam setiap aspek.
  4. Taat kepada negara Islam, politik dan undang-undang: Maksudnya, dia tidak taat kepada negara lain, sama ada dari segi ketaatan atau
  5. Baligh dan rusyd (matang). Boleh juga disyaratkan umur tertentu seperti 30 tahun. Ia adalah umur matang dan mencapai tahap hikmah, jauh dari .

Ia adalah perkara yang telah disepakati dan berbeza dengan umur baligh pada definisi syarak.

 

Tugas Ahli Syura

Berikut adalah ringkasan tugasan utama Majlis Syura:

  1. Menggubal undang-undang. Antara tugas utama ahli Syura adalah menggubal undang-undang yang menyusun setiap lapangan kehidupan yang pelbagai, berpandukan kepada prinsip dan maqasid syariah Islamiah, di samping perlu selari dengan keperluan semasa dan isu kontemporari.
  2. Memantau badan eksekutif. Tugas utama Majlis Syura adalah memantau gerak kerja dan sejauhmana mana badan eksekutif mengikut undang-undang dan sistem yang ada, juga tahap pencapaian maslahah negara secara umum, serta tahap perbelanjaan kewangan negara.
  3. Mencadangkan mesyuarat pada perkara yang diusulkan oleh pentadbiran negara serta urusan berkaitan peperangan dan perdamaian, di samping urusan luaran dan dalaman yang melibatkan rakyat.
  4. Memilih ketua negara dan mencadangkannya nama kepada rakyat untuk dibai‘ah selepas memenuhi segala syarat yang diperlukan. Kemudian, Majlis Syura akan menasihati, memberi petunjuk dan membetulkannya, serta memecatnya jika perlu.

 

Perbandingan Sistem Syura dengan Sistem Demokrasi

Sistem syura di dalam Islam terbina di atas prinsip rakyat bertanggungjawab secara keseluruhan kepada urusan umum dalam menjaga syariat, melaksanakan hukum hakamnya, dan memastikan maqasid syariah boleh dicapai. Maka, tahap tertinggi dalam sistem syura adalah syariat Islam, tidak boleh menyalahinya atau mencanggahinya pada perkara yang tetap. Kekuasaan adalah milik rakyat. Mereka mempunyai hak untuk memilih pemerintah, hak mengawasinya dan hak melucutkannya. Tidak dibenarkan memutuskan sesuatu perkara yang melibatkan urusan umum tanpa kebenaran rakyat. Firman Allah SWT:

وَأَمْرُهُمْ شُوْرَى بَيْنَهُمْ

Terjemahan: “Dan mereka bermesyuarat pada setiap perkara di antara mereka”.

Manakala sistem demokrasi, tahap tertinggi adalah rakyat. Rakyat diberi kekuasaan secara mutlak, tiada yang melebihi rakyat. Kekuasaan rakyat tidak akan tunduk kepada apa-apa, sama ada nas, kaedah syarak atau akhlak. Oleh itu, ringkasan persamaan dan perbezaan kedua-duanya adalah seperti berikut:

Persamaan:

  • Rakyat adalah pemilik kekuasaan sebenar dalam perundangan dan pemantauan.
  • Rakyat memilih pemerintah, mengawasi, menegurnya dan melucutkannya.

Perbezaan:

  • Tahap tertinggi sistem syura adalah syariat Islam, manakala tahap tertinggi sistem demokrasi adalah rakyat.
  • Sistem syura terikat manakala sistem demokrasi bebas mutlak.

 

Tambahan:

Maksud Ahl al-Hill wa al-‘Aqd adalah sekumpulan pakar yang berilmu, berpengalaman, boleh membuat keputusan, mempunyai pemikiran yang tajam dan mengetahui pelbagai bidang. Mereka diwakilkan oleh rakyat dalam memilih pemimpin, mengawasinya dan membetulkannya, di samping melakukan mesyuarat dan memberi nasihat dalam urusan negara secara umum.

 

 

 

 

 

Print Friendly, PDF & Email

About Abu Taqiy Hussein

Ketua Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *