Kepelbagaian Sistem

Kepelbagaian Sistem Dalam Islam (8): Konsep Asas Sistem Ekonomi

SISTEM ekonomi (an-nizam al-iqtisadi)  adalah salah satu sistem yang memberi kesan besar dalam kehidupan dan kestabilan masyarakat. Oleh itu, syariat Islam sangat menjaga dan mengambil berat sistem ini. Para fuqaha turut mendalami bidang ini. Apakah konsep, tujuan dan asas sistem ekonomi dalam Islam? Apakah pandangan Islam mengenai kepemilikan harta?

Definisi Ekonomi

Ekonomi dalam Bahasa Arab (الاِقْتِصَادُ) berasal daripada kata kerja (قَصَدَ) dan kata nama (قَصْدُ) yang bermaksud perkara pertengahan antara membazir dan kedekut. Ia adalah sistem terbaik dalam berurusan pada sesuatu perkara secara umumnya, dan urusan harta secara khususnya. Firman Allah SWT:

وَالَّذِيْنَ إِذَا أَنْفَقُوا وَلَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْـنَ ذَلِكَ قَوَامًا
Terjemahan: “Dan orang yang apabila mereka berinfak, mereka tidak membazir dan tidak pula kedekut. Mereka bersederhana dalam melakukannya [al-Furqan: 67].

Berdasarkan ayat di atas, bidang ekonomi terbina di atas pengurusan kewangan yang baik, berhikmah dalam berinfak, kaedah terbaik untuk pengembangan harta dan mengagihkan kekayaan kepada masyarakat dan memerangi kefakiran serta muflis.

Sistem Ekonomi adalah sebuah gabungan kaedah dan hukum syarak yang menyusun hubungan antara manusia dengan harta, sama ada melalui pekerjaan, infak dan pelaburan, demi menjaga kehidupan dan mencapai keadilan.

Tujuan Ekonomi Islam

Keprihatinan Islam terhadap sistem ekonomi boleh dilihat melalui beberapa objektif dan tujuan utama sistem ekonomi Islam, antara lain:

1. Memelihara dan memastikan kestabilan kehidupan, memenuhi keperluan dan tuntuan kehidupan dengan cara mengatasi kelaparan dan memerangi kemiskinan melalui pengurusan harta dan jaminan sumber.

2. Menjaga kehormatan dan maruah manusia sehingga setiap rakyat mampu memenuhi keperluan diri sendiri dan keluarga, tanpa perlu meminta-minta, melalui penyediaan pekerjaan bagi sesiapa yang mampu.

3. Memastikan keadilan sosial melalui pengagihan kekayaan dan pertukaran harta, serta memerangi monopoli oleh pihak tertentu sahaja, seperti firman Allah SWT:

كَيْ لاَ يَكُوْنَ دُوْلَةً بَيْـنَ الأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ
Terjemahan: “Supaya harta tidak berlegar antara orang kaya antara mereka sahaja” [al-Hasyr: 7].

4. Memastikan perolehan harta demi membina kekuatan masyarakat dan negara, sehingga tidak perlu meminta-minta kepada negara lain. Sempadan perlu dijaga sendiri untuk elak penjajahan dan menghalang negara lain yang mahu mengambil kesempatan.

5. Mendirikan bangunan, membina tamadun, memacu kebangkitan ilmu yang bermanfaat untuk mencari khazanah alam dan menggunakannya untuk kebaikan serta manfaat manusia.

Kaedah Sistem Ekonomi Islam

Sistem ekonomi terbina di atas beberapa gabungan kaedah yang perlu dirujuk dan dijelaskan, antara yang terpenting adalah:

Pertama: Gabungan antara Kepemilikan Individu dan Awam

Sistem ekonomi terbina di atas penjagaan dan pemeliharaan kepemilikan individu sehinggalah kepada aspek penjagaan dan pemeliharaan kepemilikan awam.

Islam menganggap bahawa kepemilikan individu boleh menggalakkan kretiviti, menambah usaha dan meningkatkan produktiviti manusia yang boleh membawa kepada peningkatan, pembaikan dan perkembangan hasil pengeluaran. Ia turut boleh meningkatkan persaingan sihat antara individu seterusnya membawa kepada peningkatan tahap kehidupan manusia secara berterusan. Malah, kepemilikan individu perlulah selari dengan tuntutan fitrah manusia dengan memenuhi naluri setiap manusia, namun ia mestilah selari dengan sempadan dan ikatan syarak.

Begitu juga Islam tidak melarang kepemilikan umum dan masyarakat yang perlu dijaga oleh negara. Segala manfaat akan kembali kepada masyarakat juga, seterusnya menjadikan masyarakat baik dan mencapai maslahah umum. Sistem ekonomi Islam berbeza daripada dua sistem utama ekonomi dua yang terkenal iaitu:

1. Sistem Sosialis: Sistem ini mengiktiraf kepemilikan umum tetapi tidak mengiktiraf kepemilikan individu melainkan dalam skop yang sangat kecil. Setiap benda adalah milik negara, dan negara bertanggungjawab memenuhi keperluan individu.

2. Sistem Kapitalis: Ia terbina di atas asas kepemilikan individu dengan memberi kebebasan mutlak kepada individu untuk memiliki. Ia tidak membenarkan kepemilikan umum melainkan dalam skop yang terbatas.

Manakala sistem ekonomi Islam menggabungkan dua jenis kepemilikan ini iaitu kepemilikan umum dan individu. Islam mengimbangi antara keduanya, tiada pertentangan dan pertindihan, setiap satu melengkapi antara yang lain berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.

Kedua: Gabungan antara Materialistik dengan Rohani

Sistem ekonomi Islam bertujuan menghidupkan keselesaan kepada setiap individu, menyeru mereka kepada menikmati rezeki dan perhiasan yang baik hasil daripada kerja mencari rezeki dengan cara yang dibenarkan syarak. Firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِيْنَةَ اللهِ الَّتِيْ أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ
Terjemahan: “Katakanlah: Siapa yang mengharamkan perhiasan yang diciptakan oleh Allah SWT untuk hamba-Nya dan rezeki yang baik” [al-A‘raf: 32].

Pada masa yang sama, pemilik harta mestilah melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan berzakat, berinfak dan bersyukur, di samping menggunakan harta di jalan kebaikan dan menyebarkan dakwah.

Ketiga: Kaedah Pergerakan Harta

Sistem ekonomi Islam berdiri di atas konsep pergerakan harta, tiada monopoli oleh kumpulan tertentu daripada anggota masyarakat. Oleh sebab itu, Islam melarang penyimpanan dan pengembangan harta melalui jalan riba dan menyuruh supaya mengeluarkan zakat. Islam juga menggalakkan penyertaan dan pelaburan duit dengan kaedah yang dibenarkan syarak bagi mendapatkan keuntungan dan memberi manfaat kepada orang lain. Firman Allah SWT:

كَيْ لاَ يَكُوْنَ دُوْلَةً بَيْـنَ الأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ
Terjemahan: “Supaya harta tidak berlegar antara orang kaya antara mereka sahaja” [al-Hasyr: 7].

Keempat: Keadilan Sosial

Sistem ekonomi Islam memfokuskan kepada prinsip keadilan sosial yang membawa kepada penyatuan masyarakat dan menghapuskan perbezaan jantina, warna kulit, darah daging dan status. Firman Allah SWT:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللهِ أَتْقَاكُمْ
Terjemahan: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang bertakwa” [al-Hujurat: 13].

Neraca yang membezakan manusia ialah takwa. Keadilan sosial ini membuka pelbagai ruang bagi setiap individu dalam masyarakat, dalam semua aspek – kerjaya, aktiviti dan usaha dengan penuh kebebasan dan kesamarataan.

Seterusnya, Islam mewajibkan zakat untuk diberikan kepada orang miskin dan diambil daripada harta orang kaya. Kerajaan bertanggungjawab mengumpul dan mengagihkannya, di samping penubuhan sistem takaful yang berfungsi sebagai jaminan bagi setiap keperluan individu, orang yang lemah dan tidak mampu bekerja. Keadilan sosial memelihara masyarakat, membina ekonomi dan membantu pertumbuhan serta pertambahan harta.

 

PENERBIT DAN NAMA KITAB ASAL:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
al-Anzimah al-Islamiyyah (Sistem-Sistem Islami),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est), hal. 50-54.

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button