KEPELBAGAIAN SISTEM DALAM ISLAM (5):
Konsep Asas Sistem KEPEMIMPINAN

SELEPAS kewafatan Rasulullah SAW, pemimpin negara disebut sebagai “Khalifah”. Orang pertama yang menggunakan gelaran tersebut adalah Abu Bakr al-Siddiq RA. Selepas beliau – ketika itu dikenali sebagai Khalifah Rasulullah SAW – gelaran “Khalifah” dipanggil sebagai “Amirul Mukminin”. Ia digunakan ke atas Khalifah kedua iaitu ‘Umar bin al-Khattab RA. Selepas itu, gelaran yang digunakan adalah “Imam”. Hakikatnya, semua nama ini membawa maksud yang sama iaitu pemimpin negara.

Konsep Khilafah (Kepimpinan/Pemerintahan)

Khilafah menurut bahasa daripada kata kerja (خَلَفَ) bermaksud “datang selepasnya, dan menggantikan tempat orang sebelumnya”.

Khilafah menurut istilah pula adalah pengganti Rasulullah SAW dalam menjaga agama dan mentadbir dunia.

Berdasarkan definisi ini, jelaslah bahawa khilafah atau kepimpinan negara mempunya dua rukun utama iaitu:

1. Menjaga agama: Maksudnya adalah melaksanakan syariat Islam, memelihara hukum hakam Islam, memerangi bid‘ah dan menggalakkan ijtihad yang dibuat atas dasar ilmu.

2. Mentadbir dunia: Bermaksud menjaga urusan dunia manusia serta memastikan dan mengekalkan keamanan dalam kehidupan manusia, juga memelihara hak setiap rakyat.

Justeru, jelaslah bahawa kepimpinan negara menurut Islam adalah sebuah badan yang menjaga agama dan dunia pada masa yang sama.

Syarat Ketua Negara Menurut Islam

Disebabkan kepentingan yang besar perlu dipikul oleh kepimpinan negara dalam kehidupan manusia, sama ada dalam urusan dunia mahupun akhirat, maka para fuqaha telah meletakkan beberapa syarat yang wajib dipenuhi oleh pemimpin negara. Antaranya:

1. Islam

Jawatan khilafah/kepimpinan negara tidak boleh diserahkan kepada orang kafir atau murtad. Ini kerana, khalifah berperanan menjaga agama dan mentadbir dunia sekali gus. Dia diperintahkan supaya melaksanakan syariat Islam dan menjaga agama Allah SWT selari dengan ajaran Rasulullah SAW.

2. Adil

Pemimpin negara perlulah seorang yang jujur dan amanah, jauh daripada dosa dan maksiat, mendirikan ibadah dalam bentuk yang paling sempurna, mengelak dan menghalang kezaliman serta menjaga setiap hak bagi pihak/orang yang berhak.

3. Berilmu

Pemimpin negara mestilah mempunyai ilmu yang membolehkannya mengetahui hukum syarak dan urusan politik serta undang-undang dan pentadbiran masyarakat dan manusia.

4. Berakal dan Baligh

Pemimpin negara mestilah berakal, tidak jahil dan bodoh. Beliau perlulah seorang yang boleh memberi pendapat dengan baik dan berhikmah.

5. Berkeupayaan (Sihat Tubuh Badan dan Pancaindera)

Beliau mestilah mampu melakukan tugas dengan sempurna, baik, lengkap dan tetap. Oleh sebab itu, beliau mestilah seorang yang sihat tubuh badan dan pancaindera.

6. Lelaki

Para fuqaha bersepakat bahawa khalifah (amir atau pemimpin) mestilah seorang lelaki. Antara tugas khalifah ialah menjadi imam ketika solat berjemaah atau perhimpunan, yang mana tugas ini tidak boleh dipikul oleh wanita. Wanita terdedah kepada kondisi kesihatan yang menghalangnya daripada melaksanakan tugas dengan sempurna, khususnya pada perkara yang melibatkan kewajipan agama. Fakta ini tidak mengurangi kedudukan dan kehormatan wanita yang sedia terdidik dalam didikan Islam.

Kaedah Pelantikan Kuasa

Para fuqaha bersepakat bahawa kaedah yang diiktiraf oleh syarak dalam pelantikan kuasa ketua negara adalah melalui pemilihan umat. Atau, melalui pemilihan oleh syura atau perwakilan yang dibentuk oleh rakyat/umat. Ketua yang dilantik dibai’ahkan.

Definisi bai‘ah adalah suatu akad antara kaum muslimin atau syura/perwakilan dengan pemimpin negara. Kaum muslimin wajib mendengar dan taat kepada pemimpin, dan pemimpin pula wijib melaksanakan hukum Allah SWT dan memastikan keadilan terlaksana.

Dalam fiqh islami, akad adalah persetujuan dua kehendak dan ia tidak boleh dicapai melainkan dengan reda dan setuju. Begitulah juga, tidak boleh mendapatkan bai‘ah dengan cara paksaan dan kekerasan.

Hak Dan Tanggungjawab Kepimpinan Dan Rakyat

1. Hak Kepimpinan – Hak Didengari dan Ditaati

Ini bermaksud, seluruh kaum muslimin wajib mentaati pemimpin dalam perkara kebenaran dan kebaikan. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا أَطِيْعُوا اللهَ وَأَطِيْعُوا الرَّسُوْلَ وَأُوْلِى الأَمْرِ مِنْكُمْ
Wahai orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah rasul dan pemimpin kamu. [al-Nisa’: 59].

Ketaatan kepada pemimpin disyaratkan pada perkara yang bukan maksiat dan selari dengan syarak.

2. Tanggunghawab Pemimpian – Membantu/Membela Rakyat

Kaum muslimin atau rakyat berhak mendapat bantuan dan pembelaan daripada sesiapa sahaja yang mahu melakukan kejahatan, permusuhan, peperangan dan meragut hak mereka.

3. Hak Nasihat Menasihati

Setiap muslim dan pakar dalam negara berhak menasihati dan memberi panduan kepada pemimpin dan menjelaskan kebenaran dalam setiap perkataan dan perbuatan. Serta, terus menasihati pemimpin supaya menegakkan ma’ruf dan mencegah mungkar.

Tanggungjawab Pemimpin Negara Secara Umum Ialah:

1. Melaksanakan hukum syariat Islam dalam setiap lapangan kehidupan.

2. Menjaga sempadan negara, mempertahankan tanah air dan menjaga mashalat negara, serta bertindak terhadap musuh.
3. Memastikan keadilan tertegak atas manusia. Membantu rakyat yang dizalimi oleh pihak penzalim.
4. Melantik orang yang berkelayakan dan beramanah untuk mewakilinya melaksanakan tugas negara.
5. Memastikan keamanan, memerangi kecurian dan samseng jalanan serta menyediakan peluang pekerjaan yang mulia.
6. Menyebarkan ilmu, menjaga para ulama dan pusat akademik serta kajian.
7. Mengembangkan ekonomi, menjaga dan mengagihkannya secara adil dan saksama.

Peringatan Untuk Pemimpin

1. Pemimpin perlu sentiasa beringat-beringat bahawa teraju kepimpinanan adalah amanah daripada Allah SWT dan khidmatnya adalah lidinillah (berkhidmat untuk din kerana Allah SWT)

2. Jawatan kepimpinan tidak sewajarnya dijadikan sebagai peluang atau kesempatan untuk mencari kemegahan dan  kemahsyuran. Bukan juga untuk merebut peluang mengumpulkan harta kekayaan.

3. Tidak dibenarkan pemimpin menzalimi mana-mana pihak. Dan juga tidak boleh berbohong dengan rakyatnya. Sabda Rasulullah SAW:

 ثَلاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَلا يُزَكِّيهِمْ: شَيْخٌ زَانٍ، وَمَلِكٌ كَذَّابٌ، وَعَائِلٌ مُتَكَبِّرٌ
( هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ، أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ، عَنْ أَبِي بَكْرِ بْنِ أَبِي شَيْبَةَ، عَنْ وَكِيعٍ، وَأَبِي مُعَاوِيَةَ )

Tiga orang yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat dan Dia tidak akan mensucikan mereka: orang  tua yang berzina, raja yang suka berdusta, dan orang miskin yang sombong.  – Ini hadis sahih, dikeluarkan oleh  Muslim daripada Abi Bakrah bin Syaibah, daripada Waki’ dan Abi Mu’awiyah

4. Allah SWT memuliakan pemimpin yang adil sehingga menempatkan di naungan bayangan arasy Allah SWT ketika di padang masyar nanti.

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah radliyallaahu ‘anhu, Rasulullah ﷺ bersabda:

قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ، فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ، اْلإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ، فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا، فَفَاضَتْ عَيْنَاه. – صحيح البخاري
Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. (1) Pemimpin yang adil, (2) Seorang pemuda yang menyebokkan dirinya dengan ibadah kepada Allah SWT. (3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, (4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah SWT , berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, (5) Seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’, (6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta (7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya, basah kerana menangis. 
(Sahih Bukhari, Hadis no 620)

 

PENERBIT DAN NAMA KITAB ASAL:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
al-Anzimah al-Islamiyyah (Sistem-Sistem Islami),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est), hal. 21-24.

Print Friendly, PDF & Email

About Abu Taqiy Hussein

Ketua Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *