Home / ARTIKEL TERKINI / THAQAFAH / KOMPETENSI / TAJUK² PILIHAN PEMANTAPAN PENDAKWAH (4): KERJA IKHLAS & TEPAT MENURUT SYARA’

TAJUK² PILIHAN PEMANTAPAN PENDAKWAH (4): KERJA IKHLAS & TEPAT MENURUT SYARA’

PERTAMA-TAMANYA marilah kita merafakkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala kerana dengan izin dan perkenan-Nya kita dapat bermuhasabah dan merancang bagi membangun din Allah Subhanahuwata’ala dan ummah Islamiyah demi mendapatkan keredhaan-Nya.

Sememangnya segala ciptaan dan kurniaan Allah Subhanahuwata’ala kepada kita perlu digunakan atau dimanfaatkan untuk membangunkan Islam dan ummah Islamiyah. Sama ada kurniaan itu berbentuk ciptaan-Nya atau berbentuk usaha yang kita laksanakan, sewajarnya semua kurniaan itu digunakan untuk manfaat Islam dan ummah Islamiyah dalam rangka berubudiyah kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مِّنۡهُۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ
Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.
(Surah Al-Jatsiyah : 13)

Organisasi dakwah adalah mehrab (tempat atau medan) bagi para mukmin untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam ertikata sebenar. Semua anggota dalam organisasi tersebut, sama ada barisan qiyadah (kepimpinan), petugas atau ‘amilin (pekerja) beribadah dan berubudiyah kepada Allah Subhanahuwata’ala atas wadah ini. Kerja yang terbaik lagi makbul di sisi-Nya ialah kerja yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan menepati syara’, sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Fudhail bin Iyadh ketika ditanya tentang ayat 2 Surah al-Mulk:

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
(Surah Al-Mulk : 2)

Dalam ayat ini ada perkataan ahsanu ‘amala. Apabila Imam al-Fudhail bin Iyadh ditanya tentang ahsanu ‘amala (amalan terbaik) dalam ayat tersebut, maka beliau menjawab (yang bemaksud):

Sebaik-baik amalan itu amalan yang ikhlas dilaksanakannya dan yang tepat (betul).

Kemudian ditanya lagi kepada beliau: Apa yang dimaksudkan dengan ilkhlas dan apa yang dimaksudkan dengan tepat (betul) ?

Jawab beliau: Sesungguh Allah tidak akan menerima sesuatu amalan sekiranya tidak ada keikhlasan dan tidak betul. Sekiranya betul tetapi tidak ikhlas, maka tidak diterima juga. Dan sekiranya ikhlas tetapi tidak betul, maka tetap tidak diterima. Keikhlasan itu ialah hendaklah dilakukan amalan kerana Allah semata-mata dan betul itu ialah hendaklah dilakukan amalan mengikut sunnah.

Kemudian Imam al-Fudhail bin Iyadh membaca ayat 110 daripada surah a-Kahfi:

قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا
Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: Bahawa sesungguhnya ilah kamu itu adalah Ilah yang Esa. Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Rabbnya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Rabb-nya (Surah Al-Kahfi : 110)

Orang mukmin perlu sentiasa muhasabah diri dan redha dengan pengiktirafan dan perakuan Allah. Ia perlu merasai sudah mencukupi mendapat pengiktirafan Allah Subhanahuwata’ala.

Kita kena rasa pengiktirafan Allah Subhanahuwata’ala itulah yang utama dalam kehidupan kita. Firman Allah Subhanahuwata’ala.

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا وَمَسَٰكِنَ طَيِّبَةٗ فِي جَنَّٰتِ عَدۡنٖۚ وَرِضۡوَٰنٞ مِّنَ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ
Allah menjanjikan orang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam syurga `Adn, serta keredhaan daripada Allah yang lebih besar kemuliaannya (balasannya), yang demikian itulah kejayaan yang besar (Surah At Taubah : 72)

Keredhaan daripada Allah-lah yang terbesar. Walaupun orang ramai tidak tahu atau tidak nampak apa yang dilaksanakan orang beriman, tetapi cukuplah Allah Ta’ala nampak. Allah Ta’ala Maha Mengetahui dan memperakukan kerja-kerja yang ikhlas dan menepati syara’. Bukan semua kerja orang beriman perlu diiklan atau diberitahu kepada orang ramai.

Sebab tu Nabi Salallahualaihiwassalam pernah bersabda (dalam satu hadith yang bermaksud):

Minta bantuanlah untuk melaksanakan sebahagian daripada hajat-hajat kamu itu dengan cara ‘kitman’ – secara diam.

Maknanya bukan semua perkara perlu didedahkan kepada manusia ramai. Ada perkara yang lebih baik didiamkan dan tidak beritahu kepada orang ramai. Sebagai contohnya dalam hal berkaitan sedekah. Adalah lebih baik sebahagian daripada sedekah itu didiamkan demi menjaga keikhlasan kepada Allah.

Musuh-musuh Islam telah sekian lama berusaha merosakkan kefahaman dan akhlak umat dengan pelbagai strategi. Pelbagai isme, budaya dan rupabentuk akhlak yang rosak diserapkan masuk ke tengah-tengah umat sehingga merosakkan umat dalam pelbagai aspek. Maka tidaklah bijaksana bagi barisan pendakwah mendedahkan segala strategi di pihak mereka. Apa yang penting para pendakwah perlu terus berkerja kuat mengeluarkan hasilan-hasilan yang berkesan untuk menangkis serangan-serangan musuh. Dan, meminta bantuan kepada Allah dengan ‘kitman’ agar menurunkan bantuan-Nya demi menjayakan kerja-kerja pendakwah. Allah Maha Mengetahui. Walaupun manusia ramai tidak tahu tetapi Allah Maha Mengetahui apa yang dilaksanakan oleh pendakwah. Cukuplah dengan pengiktirafan Allah, yang mengakui atau mengiktiraf apa yang dilaksanakan.

Atas dasar inilah, Allahu ghayatuna (Allah matlamat kami) menjadi  perkara yang sangat penting dalam kerja-kerja pendakwah. Imam Hasan al-Banna rahmatullah ‘alaih meletakkan Allahu Ghayatuna sebagai perkara yang sangat penting dalam ‘amal Islami atau kerja-kerja Islam. Ini akan memantapkan dan memperkukuhkan lagi segala kerja, amal dan perancangan, sebab  meletakkan Allah Ghayatuna sebagai paksi, teras dan tumang.

Matlamat Allah-lah menjadi paksi dan tumang dalam semua perancangan dan kerja-kerja para pendakwah. InsyaAllah segala kerja dan amal perancangan itu akan berada dalam daerah atau lingkungan pengiktirafan Allah Subhanahuwata’ala.

As-Sajuman Amin Abdul Aziz dalam kitabnya at-Taghyir ala Nubuwah menjelaskan bahawa ‘amal atau kerja itu tidak tegak di atas asas yang betul melainkan apabila amal atau kerja itu diasaskan di atas iman yang sejati pada Allah Subhanahuwata’ala.

Amal-amal atau kerja-kerja Islam adalah merupakan ketentuan Allah yang perlu dilaksanakan di bumi. Ia merupakan risalah yang manusia mesti pikul dan dokong dalam kehidupan di dunia ini. Ia berkait rapat dengan ganjaran baik dan pahala di dunia dan akhirat. Apa jua yang dilakukan ada kaitan dengan ganjaran dan pahala di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Sebab itulah Allah ghayatuna merupakan perkara utama dalam segala kerja-kerja pendakwah.

Para pejuang dan pendakwah sejati yang bermatlamatkan Allah akan terus berjuang, beramal dan berkerja walaupun mereka berdepan dengan bermacam-macam kesukaran, halangan, rintangan dan mehnah. Sebab apa? Sebab mereka yakin bahawa memang begitulah sunnah Allah di atas jalan dakwah ini.

Jalan da’wah ini sunnatullah-nya akan berdepan ibtilak, imtihan, ujian dan mehnah. Sebab tu Syeikh Mustafa Masyhur dalam kitabnya Fiqhud Da’wah berkata: Ujian-ujian itu merupakan sunnatullah dalam kerja-kerja  da’wah, bukan hasil daripada kesilapan-kesilapan da’i (pendakwah).

Jika da’i betul-betul melaksanakan kerja-kerjanya semata-mata kerana Allah, menjaga peraturan-Nya, menjaga ikhlas dan menjaga syara’ maka sunnatullah-nya ialah akan datang ujian-ujian. Dan, ujian ini bukanlah natijah daripada kesilapan da’i. Sebab itulah Rasulullah Salallahualaihiwassalam, para rasul dan para du’ah di sepanjang zaman berdepan ibtilak ekoran daripada menjalankan kerja-kerja da’wah.

Kita dapati Rasulullah Salallahualaihiwassalam telah menghadapi tentangan hebat daripada kaum musyrikin. Allah Subhanahuwataala perintahkan agar baginda tetap istiqamah.

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ
Oleh itu, maka hendaklah engkau (wahai Muhammad) tetap teguh (istiqamah) di atas jalan yang betul sebagaimana diperintahkan kepada engkau, dan demikian juga orang yang ruju` kembali kepada kebenaran mengikut engkau, hendaklah mereka berbuat demikian (istiqamah) dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan (Surah Hud : 112)

Inilah yang perlu kita ambil perhatian. Apabila berlaku ibtilak, imtihan dan mehnah ketika kita laksanakan kerja dengan penuh keikhlasan dan betul-betul mengikut ajaran Rasulullah Salallahualaihiwassalam, maka itu bukan natijah daripada kesilapan, tetapi ia merupakan sunnatullah.

Para pendakwah perlu berikan perhatian bahawa musuh-musuh Islam tidak akan membiarkan da’wah Islam itu hidup subur. Mereka mulakan dengan cara perang propaganda, uslub takzib (membuat pembohongan-pembohongan), uslub sukhriah (mempermain-mainkan) dan uslub tasykik (menimbulkan keraguan) untuk memalingkan pandangan manusia daripada gerakan da’wah Islam. Jika mereka gagal kerana lemah hujah-hujah dan alasan-alasan mereka, maka mereka gunakan cara kekerasan, menimbulkan kesusahan dan banyak lagi cara yang mereka lakukan. Mereka berusaha memesongkan para pejuang dan pendakwah Islam daripada pegangan mereka dan menakut-nakutkan orang ramai daripada melibatkan diri dalam gerakan da’wah.

Musuh-musuh membuat tuduhan-tuduhan palsu terhadap gerakan-gerakan da’wah bagi menghalalkan kezaliman mereka. Lebih-lebih lagi mereka memiliki semua wasilah penyebaran maklumat dan alat propaganda yang menyesatkan. Sedangkan para pendakwah Islam tiada ruang untuk menjawab, menolak dan menangkis tuduhan-tuduhan palsu dan liar. Ekoran daripada tuduhan-tuduhan ini, maka sebahagian manusia akan berkata segala mehnah yang berlaku adalah kerana kesilapan para da’i, sedangkan sebenarnya mehnah itu adalah  sunnatullah bagi mereka yang berjuang dengan ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala. Maka wujud sesetengah pihak yang mengatakan mehnah yang berlaku itu adalah akibat daripada kesilapan-kesilapan para pendakwah. Ini semua tuduhan liar yang ditimbulkan oleh musuh. Oleh itu pendakwah tidak boleh patah semangat. Pendakwah perlu tetap menjaga  keikhlasan dan ketepatan kerja-kerja mengikut syara’. Cukuplah bagi pendakwah dengan pengiktirafan Allah Subhanahuwata’ala.

ATH & HH

Print Friendly, PDF & Email

About Ali Ahmad Foudzi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *