HADITH: Mengikuti Ajaran Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam Adalah Bukti Bagi Iman
(Hadith keempat puluh satu daripada Himpunan Hadith Arba’in susunan Imam Nawawi)
عَنْ أَبِي مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ “لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ”.
(حديث حسن صحيح، رويناه في كتاب الحجة بإسناد صحيح)
Daripada Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin Al-Ash Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Telah bersabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: Tiada beriman seseorang daripada kamu sehingga hawa nafsunya patuh kepada apa yang aku sampaikan.”
(Hadits sahih yang diriwayatkan di dalam kitab Hujjah yang disusun oleh Abu Al-Fath Nashr Ibnu Ibrahim Al-Maqdisy dengan sanad sahih)
Maksud kalimah
لَا يُؤْمِنُ : Tidak beriman. Maksudnya, tidak sempurna imannya.
هَوَاهُ : Hawa nafsunya. Iaitu apa yang dia suka dan hatinya cenderung kepadanya serta sesuai dengan tabiatnya.
تَبَعًا : Mengikut. Iaitu menjadi pengikutnya sehingga menjadi kebiasaan kepadanya.
لِمَا جِئْتُ بِهِ : Apa yang aku bawa. Iaitu syariat yang sempurna yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala kepada ku, yang mengandungi suruhan dan larangan, yang dinaskan oleh al-Quran atau diterangkan oleh as-Sunnah.
Keterangan hadith:
1. Hadith ini menerangkan bahawa salah satu daripada tuntutan iman bagi seseorang ialah hawa nafsunya mestilah tunduk dan menurut ajaran yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam.
2. Sekiranya dia mengutamakan hawa nafsunya daripada mengamalkan ajaran lslam atau menyintai maksiat daripada amal kebajikan, maka imannya masih tidak sempurna.
3. Ungkapan ‘tidak beriman’ dalam maksud hadits di atas bererti iman tidak sempurna, masih cacat atau tempang, bukan bererti telah jatuh kufur. Seseorang itu hanya jatuh kufur apabila dia menafi atau menolak ajaran lslam.
4. Mujahadah terhadap hawa nafsu (berjihad melawan hawa nafsu) adalah mujahadah yang berat, yang tidak tertanggung dan tidak mampu dilaksanakan kecuali oleh orang yang benar-benar ikhlas beriman dan menyintai Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya.
Pengajaran
1. Bagi muslim sebenar tidak akan berlaku percanggahan antara perkataannya dan perbuatannya. Juga tiada percanggahan antara tindakannya dan pemikirannya. Hatinya dan lidahnya serasi dengan seluruh amalannya. Keseimbangan antara roh dan jasad wujud pada diri seorang muslim. Lidahnya menuturkan keyakinan hatinya, manakala aqidahnya membuahkan amalan-amalan. Syahwatnya terkawal dan seluruh hidupnya mengikut syari’at Allah Subhanahuwata’ala.
2. Sesiapa yang membiarkan dirinya dikuasai oleh hawa nafsunya, maka akan terdoronglah ia ke lembah maksiat dan akan jatuhlah ia ke lembah derhaka kepada Allah Subhanahuwata’ala.
3. Ibadah adalah kepatuhan dan ketundukan. Sesiapa yang memberikan kepatuhan dan ketundukan kepada hawa nafsunya sehingga ia melanggar syari’at Allah Subhanahuwata’ala, bermakna ia telah menjadi hamba kepada kepada hawa nafsunya, atau mengilahkan hawa nafsunya sendiri. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ
Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilahnya (sembahannya). (Al-Furqan : 43)
4. Jiwa manusia dibekalkan dengan dorongan untuk melakukan kejahatan dan ketakwaan. Orang yang menuntut ilmu dan menguatkan imannya demi menjaga dorongan takwanya, maka dia akan mendapat kemuliaan dan keuntungan di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Orang yang membiarkan dirinya dalam kejahilan dan menyerahkan dirinya kepada dorongan nafsu jahatnya, maka Allah Subhanahuwata’ala akan menurunkan darjatnya dan dia termasuk ke dalam golongan orang yang rugi. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَنَفۡسٖ وَمَا سَوَّىٰهَا ٧ فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقۡوَىٰهَا ٨ قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّىٰهَا ٩ وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا ١٠
Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan (kejahatan) dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya. (Asy-Syams : 7-10)
5. Seorang muslim dituntut mendidik hawa nafsunya agar tunduk kepada ajaran Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Bahkan mengikut ajaran Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam itu dikira sebagai bukti cintakan Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ
Katakanlah: “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Ali ‘Imran : 31)
Ajaran Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ialah ajaran daripada kitab Allah Subhanahuwata’ala (al-Qur’an) dan sunnah rasul-Nya. Oleh itu mengikuti ajaran Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bermakna mengikuti kitab Allah Subhanahuwata’ala dan sunnah rasul-Nya.