GENERASI AL-QURAN YANG UNIK

MUKADDIMAH

Da’wah Islamiyah telah melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, Ridwanullahi‘alaihim, iaitu satu generasi yang paling istimewa dalam sejarah Islam dan sejarah kemanusiaan keseluruhannya. Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidak lagi lahir satu golongan besar manusia, di satu tempat yang sama, seperti yang telah muncul di zaman Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Ini adalah satu hakikat yang sememangnya berlaku dan di sebaliknya terkandung maksud-maksud tertentu yang perlu kita perhatikan dan renungkan dengan bersungguh-sungguh, agar kita dapat menyelami rahsianya.

Al-Quran yang menjadi sumber da’wah ini masih berada bersama-sama kita. Hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirah baginda yang mulia itu juga masih ada di samping kita, seperti yang telah ada bersama-sama dengan generasi yang terdahulu itu, tidak terjejas oleh perjalanan sejarah dan tidak lapuk oleh perkembangan zaman. Hanya diri peribadi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sahaja yang tiada bersama-sama kita sekarang. Adakah ini rahsianya?

Kalaulah kewujudan peribadi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam itu menjadi syarat mutlak untuk kejayaan da’wah ini, maka sudah tentu Allah Subhanahuwata’ala tidak menjadikan da’wah ini meliputi seluruh umat manusia dan tidak dijadikannya (Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam) sebagai utusan-Nya yang terakhir, serta tidak diserahkan hal ini (menegakkan Islam) untuk diurus oleh manusia hingga ke akhir zaman. Tetapi Allah Subhanahuwata’ala telah mewafatkan Rasulullah Sallallahu’alaihiWasallam setelah 23 tahun baginda menjalankan tugas berda’wah dan menyampaikan perutusan Ilahi, dan Allah Subhanahuwata’ala telah memberi jaminan untuk memelihara al-Quran dan menegaskan akan memelihara din-Nya hingga hari kiamat. Ini adalah kerana Allah mengetahui bahawa da’wah ini boleh tegak selepas zaman Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan juga boleh membuahkan hasil yang baik. Dengan demikian, ketiadaan peribadi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam itu tidak boleh dijadikan alasan di atas kegagalan da’wah di zaman ini.

Maka, kita perlu menyelidiki sebab lain yang menjadi punca kegagalan itu. Mari kita lihat kepada sumber pengambilan generasi pertama itu. Kemudian kita lihat pula kepada program dan jalan yang telah dilalui mereka, barangkali ada sesuatu yang berlainan dan berbeza.

Sumber

Sumber pokok yang dicedok oleh generasi pertama itu ialah al-Quran, dan HANYA Al-Quran sahaja. Hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan petunjuk-petunjuk beliau adalah merupakan penafsiran kepada sumber utama itu. Ketika Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu’anha ditanya mengenai kelakuan, perangai dan perjalanan hidup Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka beliau menjawab (yang bermaksud):

Akhlak baginda itu ialah al-Quran. (Riwayat An-Nasa-i)

Bukanlah disebabkan ketiadaan tamadun dan kebudayaan duniawi pada zaman tersebut yang menyebabkan generasi pertama itu hanya mencedok daripada al-Quran sahaja sebagai sumber didikan mereka, tetapi sebenarnya terdapat penyusunan yang telah ditentukan dan program yang telah diatur oleh Allah Subhanahuwata’ala. Dalil yang terang tentang hal ini ialah penegasan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ketika melihat Sayyidina Umar Al-Khattab RA memegang helaian kitab Taurat. Sabda baginda:

Demi Allah, sekiranya Nabi Musa masih hidup bersama-sama kamu sekarang, tidak ada pilihan baginya melainkan mesti mengikutku. (Riwayat Abu Ya’la)

Dan, apakah yang berlaku pada generasi kemudian? Sumber panduan bagi generasi kemudian rupanya telah bercampur baur. Sumber mereka telah dicemari oleh falsafah, cara berfikir dan logik Yunani (Greek), juga oleh dongeng-dongeng dan pandangan hidup Parsi, juga oleh cerita-cerita Israiliat Yahudi dan juga oleh saki baki peninggalan tamadun zaman lampau. Inilah faktor utama yang menyebabkan generasi berikutnya berlainan sama sekali dengan generasi pertama yang unggul itu.

Cara Penerimaan Al-Quran

Di sana ada satu lagi faktor asas selain daripada percampuran sumber, iaitu berbezanya cara menerima pengajaran al-Quran antara generasi para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dengan generasi-generasi kemudiannya.

Generasi pertama, yakni para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, tidak mendekatkan diri mereka dengan al-Quran di atas tujuan mencari pelajaran dan bahan bacaan semata-mata, juga bukan di atas tujuan mencari hiburan dan penghipur lara. Tiada seorang pun daripada mereka yang belajar al-Quran dengan tujuan menambahkan bahan ilmu dan akademik bagi mengisi dada mereka semata-mata. Tidak juga dipelajari al-Quran semata-mata untuk mencari pengetahuan tambahan ataupun arahan tambahan daripada suatu majlis pengajian atau majlis taklimat.

Tetapi, al-Quran itu dipelajari oleh para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, dengan maksud hendak mempelajari arahan dan perintah Allah Subhanahuwata’ala dalam urusan hidup peribadi dan hidup bermasyarakat. Dan mereka mempelajari al-Quran untuk dilaksanakan serta merta, seperti seorang perajurit yang bersiap sedia menerima arahan untuk dilaksanakan.

Dasar “belajar untuk melaksanakan terus” merupakan faktor utama yang membentuk generasi pertama dahulu, manakala dasar “belajar untuk membuat kajian dan bahan penghipur lara” merupakan faktor penting bagi generasi-generasi kemudian. Dan tidak syak lagi bahawa faktor kedua inilah yang merupakan sebab utama mengapa generasi-generasi yang terkemudian berlainan sama sekali dengan generasi pertama para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Al-Quran ini tidak diturunkan sekaligus, malah ia diturunkan berperingkat-peringkat mengikut pelbagai keperluan yang sentiasa berubah-ubah seperti perkembangan fikiran, pandangan hidup, suasana tertentu, peristiwa khusus, membongkar isi hati manusia, menggambarkan urusan hidup yang dihadapi, menggariskan program kerja, memperbetulkan kesilapan dalam perasaan dan  memperbetulkan kesilapan dalam perjalanan hidup agar mereka sentiasa terikat dengan Allah Subhanahuwata’ala pada setiap masa dan keadaan. Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur bagi mengajar mereka mengenal Allah Subhanahuwata’ala melalui sifat-sifat-Nya dan juga melalui bukti-bukti perkembangan serta perubahan alam. Dengan demikian, mereka akan merasakan bahawa diri mereka sentiasa terikat dengan Allah Subhanahuwata’ala dan tertakluk kepada pemerhatian Ilahi. Pada ketika itu, mereka merasakan bahawa mereka sedang hidup di bawah pengawasan Allah Subhanahuwata’ala secara langsung.

Meninggalkan Jahiliyah Secara Total

Di sana ada lagi faktor yang mesti diperhatikan atau dicatat betul-betul.

Seseorang yang menganut Islam di kalangan generasi pertama sebenarnya telah melucutkan dirinya daripada segala sesuatu di zaman lampaunya yang ada hubungan dengan jahiliyah. Dia merasakan, ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan episod hidup yang baru  dan memisahkan dirinya sejauh-jauhnya daripada hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Dia merasakan bahawa segala sesuatu di zaman jahiliyah dahulu adalah kotor dan tidak sesuai dengan ajaran Islam. Dengan perasaan inilah dia menerima hidayah dan petunjuk Islam yang baru itu. Sekiranya pada ketika-ketika yang tertentu, dia didorong oleh nafsunya, atau merasa tertarik dengan kebiasaan jahiliyah yang lama, atau merasa lemah di dalam menjalankan tugas dan kewajipan keislamannya, nescaya dia akan merasa amat bersalah dan berdosa, dan dari lubuk hatinya merasakan perlu untuk membersihkan dirinya daripada apa yang berlaku, lalu dia berusaha sedaya upaya untuk mengikuti panduan yang digariskan oleh al-Quran.

Uzlah Syu’uriyah Tammah

Generasi al-Quran pertama, apabila mereka menerima ajaran al-Quran, mereka tetap terus bermu’amalah dan berinteraksi dengan masyarakat dalam kehidupan harian. Namun jiwa dan perasaan mereka sentiasa berpisah. Jiwa mereka tetap bersama Allah Subhanahuwataala dan tidak terkesan dengan akhlak jahiliyah yang wujud dalam masyarakat. Inilah yang dikatakan uzlah syu’uriyah tammah (perpisahan jiwa yang total).

Mereka tetap bergaul dengan masyarakat dalam kehidupan harian, tetapi mereka mempengaruhi bukan dipengaruhi.

Rujukan:
Ma’alim fi ath-thoriq (Petunjuk Sepanjang Jalan) oleh Asy-Syahid Syed Qutb.

 

Print Friendly, PDF & Email

About Abu Taqiy Hussein

Ketua Editor

Check Also

TASAWWUR JAHILIYAH BERDASARKAN AL-QURAN

MAKNA jahiliyah Banyak manusia kini tidak memahami konsep jahiliyah dengan betul. Akibatnya mereka tidak dapat …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *