Kepelbagaian Sistem

Kepelbagaian Sistem Dalam Islam (9): Konsep Asas Sistem Kehakiman

KUASA KEHAKIMAN (JUDISIARI)

SETIAP negara mesti mewujudkan sebuah kuasa khusus yang menguruskan hal ehwal kehakiman yang akan menjaga undang-undang dan perlembagaan yang disusun untuk menjaga dan melancarkan kehidupan. Ia dinamakan sebagai badan Judisiari.

Konsep dan Definisi Kehakiman

Kehakiman (القضاء) bermaksud hukum dan pemutusan. Dari segi istilah pula, ia bermaksud meleraikan perseteruan dan pertelingkahan melalui kaedah yang wajib diterima berdasarkan hukum syarak. Pensyariatan kehakiman selari dengan al-Qur’an, sunnah dan logik.

Pertama: Al-Qur’an.

Firman Allah SWT:

فَبَعَثَ اللهُ النَّبِيِّيْنَ مُبَشِّرِيْنَ وَمُنْذِرِيْنَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْـحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْـنَ النَّاسِ فِيْمَا اخْتَلَفُوا فِيْهِ
Terjemahan: “Maka Allah SWT telah menguruskan nabi sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, Dia juga menurunkan bersama mereka (para nabi itu) al-Kitab dengan kebenaran untuk berhukum antara manusia pada perkara yang mereka selisihkan”
[al-Baqarah: 213].

Allah SWT telah menurunkan al-Qur’an untuk dijadikan panduan hukum antara manusia dan meleraikan pertelingkahan.

Kedua: As-Sunnah.

Rasulullah SAW mempraktikkan kehakiman dengan menyelesaikan pertelingkahan antara dua pihak dan menghilangkan pergaduhan.

Ketiga: Logik.

Manusia akan sentiasa berselisih jika mereka berkumpul. Justeru, terdapat keperluan pihak untuk menguruskan perselisihan ini dan mengembalikan kebenaran kepada pihaknya dengan kuasa.

Tujuan Kehakiman

Kehakiman dalam Islam disyariatkan untuk mencapai beberapa tujuan utama:

1. Menyebarkan keadilan dan mencegah kezaliman antara manusia.

2. Mengembalikan kebenaran kepada orang yang layak.

3. Meleraikan pertelingkahan dan perselisihan antara masyarakat.

Syarat Hakim

Melihat kepada kepentingan sistem kehakiman dan jawatan hakim dalam kehidupan manusia, maka syariat Islam telah meletakkan beberapa syarat yang wajib dipenuhi bagi sesiapa yang mahu memegang jawatan ini:

1. Islam: Hakim akan mempraktikkan syariat Islam dalam isu dan perbicaraan. Maka, hakim perlu memahami hukum hakam dan maqasid syariat Islam. Para fuqaha membenarkan bukan muslim menjadi hakim kepada penganut agama mereka sahaja dan dalam isu yang Islam benarkan mereka dihukum secara berasingan seperti perkahwinan dan penceraian. Begitu juga dengan urusan kekeluargaan dan keagamaan.

2. Baligh, berakal dan rusyd: Tugas hakim memerlukan kepada pemikiran yang tajam dan tepat, mampu mengetahui hukum dan menyelesaikan masalah agar selari dengan kebenaran.

3. Adil: Maksudnya adalah sentiasa mematuhi hukum hakam syariat Islam, tidak melakukan dosa besar atau melazimi dosa kecil, mempunyai akhlak yang baik dan menjauhi maksiat. Tidak dibenarkan melantik orang fasiq sebagai hakim kerana orang ini tidak boleh dipercayai pengalaman dan hukumannya.

4. Berilmu: Para fuqaha klasik meletakkan syarat bahawa hakim mestilah boleh berijtihad. Namun, para fuqaha kemudiannya meringankan syarat ini dan berpada dengan syarat berilmu sahaja. Maksud berilmu adalah tahu isu kehakiman dengan maksud hakim mampu memahami nas syarak, di samping mampu mempraktikkannya dalam realiti yang dialami.

Pada zaman kini, hakim mestilah sekurang-kurangnya mempunyai sijil dalam bidang kehakiman dengan maksud telah mahir mengenai perlembagaan dan sistem yang dipraktikkan di sesebuah negara, mampu menafsirkan perlembagaan dan huraian perlembagaan oleh pakar perundangan.

5. Cukup pancaindera: Para fuqaha meletakkan syarat bahawa hakim mestilah sempurna anggota badan, pendengaran, penglihatan dan percakapan kerana kecacatan pada salah satu daripada pencaindera ini akan memberi kesan kepadanya melaksanakan tugas dengan sempurna.

Jenis dan Tahap Kehakiman

Kehakiman dalam Islam mempunyai pelbagai jenis dan tahap. Sistem kehakiman telah berkembang sepanjang sejarah Islam, antara yang terpenting ialah:

Pertama: Bidang Umum

Ia adalah jenis yang paling banyak tersebar dan luas, merangkumi setiap induvidu dalam masyarakat, melibatkan setiap bidang perselisihan berkaitan nyawa dan harta. Apabila ia disebutkan secara umum, maka inilah jenis kehakiman yang dimaksudnya, merangkumi beberapa bidang/isu berikut:

– Isu jenayah, melibatkan jenayah ke atas nyawa atau bukan nyawa seperti pembunuhan, kecederaan dan menyakiti orang lain.

– Isu perkahwinan, khusus kepada perkara yang berkaitan dengan perkahwinan, penceraian, pewarisan, wakaf dan wasiat.

– Isu kewangan melibatkan urusan harta, akad dan kontrak berkaitan.

Kedua: Bidang Kezaliman

Para fuqaha mendefinisikannya sebagai suatu kuasa ke atas kezaliman yang menggabungkan antara kehakiman dan kuasa. Ia diasaskan pada tempoh akhir pemerintahan Marwan daripada Bani Umayyah disebabkan terdapat keperluan untuk mewujudkannya.

Ia khusus dalam menyelesaikan kezaliman yang dilakukan oleh para pemerintah ke atas harta rakyat jelata. Para pemerintah berkemungkinan menggunakan pusat pentadbiran atau kuasa yang diberikan oleh negara kepada mereka untuk melakukan kezaliman kepada rakyat. Oleh sebab itu, para fuqaha mensyaratkan hakim dalam bidang ini mestilah mempunyai personaliti yang kuat, berkaliber, berkemampuan dan tegas.

Ketiga: Bidang Pemantauan

Ia diasaskan pada zaman Khalifah al-Rasyid Kedua ‘Umar al-Khattab. Ia melibatkan pemantauan di pasar, urusan peniaga, mengawal jalan perniagaan dan maslahah umum bagi mengekang penipuan, menangkap pencuri, memantau pembawa barang, menjatuhkan hukuman kepada penjenayah, menjamin keselamatan sebagai sumber kehidupan dan memelihara ibadah.

 

 

 

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button