ALLAH SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan dan membekalkan mereka dengan akal, keinginan dan kemampuan. Dia juga menjadikan manusia sebagai khalifah-Nya (wakil-Nya) di bumi, membebankan manusia dengan tugas membangunkan dan menjaga segala benda yang ada di bumi, menyebarkan keadilan, memperbaiki bumi berdasarkan suruhan Allah SWT dan hukum-hakam-Nya. Firman Allah SWT:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيْفَةً
Dan ketika Rabb kamu berkata kepada malaikat: Aku ingin menciptakan khalifah di bumi. [al-Baqarah: 30].
Peranan sebagai khalifah ini adalah peranan yang sangat besar dipertanggungjawabkan atas manusia oleh Allah SWT. Ia menuntut penyusunan hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan makhluk lain, serta memelihara keseimbangan dan saling lengkap-melengkapi, seterusnya menjaga kewujudan dan penerusan alam dengan baik, di samping mencapai tujuan dan matlamatnya.
Sesungguhnya, Allah SWT mencipta alam semesta dalam bentuk terbaik. Dia menetapkan peraturan, kaedah dan hukum yang mentadbir semua urusan, sama ada kecil atau besar. Dia sahaja yang Maha Mengetahui perkara yang sesuai dengan kehidupan. Firman Allah SWT:
أَلاَ يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيْفُ الْـخَبِيْرُ
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya! [al-Mulk: 14].
إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ
Sesungguhnya, Kamilah yang menciptakan segala sesuatu dengan kadarnya. [al-Qamar: 49].
Konsep Sistem Dalam Islam
Perkataan (النِّظَامُ) berasal dari (النَّظم والتَّأليف) yang bermaksud menggabung/ memasukkan sesuatu ke dalam sesuatu. Ia adalah umpama benang yang menyusun biji mutiara untuk menjadi ikatan. Definisi pada istilah pula, nizam bermaksud sekumpulan kaedah dan hukum syarak yang menyusun pelbagai bidang kehidupan manusia supaya menjadi sempurna.
Contoh sistem:
– Sistem siyasi (politik) (النظام السياسي) adalah sekumpulan kaedah dan hukum syarak yang menyusun urusan negara, hal ehwal perundangan dan pentadbiran, serta hak individu dan kebebasannya.
– Sistem ekonomi (النظام الاقتصادي) adalah sekumpulan kaedah dan hukum yang menyusun hubungan manusia dengan harta, sama ada yang diperolehi melalui pekerjaan atau sumbangan, di samping penyelesaian isu yang berkaitan dengan kepemilikan, sistem akad kontrak, kewajipan dan hak yang timbul daripada kontrak tersebut.
– Sistem kekeluargaan (نظام الأسرة) adalah sekumpulan kaedah dan hukum yang menyusun hubungan perkahwinan serta hak dan tanggungjawab yang bersalingan antara ibu bapa dengan anak, di samping hal ehwal kaum kerabat, nafkah dan harta warisan.
Setiap bidang kehidupan mempunyai kaedah dan hukum yang mentadbir dan menyusun urusannya untuk mencapai maslahah bagi semua manusia. Setiap bidang mempunyai sistemnya yang tersendiri.
Ciri-ciri Sistem Dalam Islam
Sistem Islami mempunyai perbezaan dengan sistem lain, antara yang terpenting adalah:
Pertama: Memberi fokus kepada pembinaan iman dan tauhid untuk menuju keredhaan Allah SWT. Islam tidak mengasingkan antara kehidupan dengan iman, malah Islam menjadikan pelaksanaan kewajipan harian, berdasarkan peraturan Islam, sebagai ibadah kepada Allah SWT semata-mata serta melayakkannya mendapat ganjaran dan pahala. Semua ini membawa kepada faedah yang besar. Faedah ini kembali semula kepada individu dan masyarakat, Antara yang dituntut dalam pelaksanaan sistem Islami ialah:
1. Ikhlas dalam beramal dan merasa pengawasan Allah Azza Wajalla, sama ada ketika sembunyi atau terang-terangan.
2. Tekun melakukan dengan terbaik kerana mukmin tahu bahawa ganjaran yang baik diperolehi daripada usaha yang bersungguh-sungguh dan amalan yang tekun.
Kedua: Lengkap (شمول). Islam telah meletakkan kaedah dan hukum yang menyusun semua bidang kehidupan. Ia menyusun hubungan manusia dengan Penciptanya, manusia lain, harta, dan alam semesta. Islam juga mengambil kira semua aktiviti manusia yang boleh mencapai maqasid syariah.
Ketiga: Saling lengkap melengkapi (تكامل). Sistem Islam ditadbir oleh satu manhaj perundangan yang menbentuk kesatuan syari’at yang saling melengkapi, tidak boleh dipecah atau dipisahkan kerana ia bersama-sama menghasilkan kehidupan manusia yang stabil dalam keadaan yang terbaik. Oleh itu, Islam merupakan suatu sistem yang saling melengkapi. Firman Allah SWT:
أَفَتُؤْمِنُوْنَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُوْنَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلا َّخِزْيٌ فِي الْـحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّوْنَ إِلَى أَشَدَّ الْعَذَابِ
Sesudah itu, patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) kitab Taurat dan mengingkari sebahagian yang lain? Maka, tiadalah balasan bagi orang yang berbuat sedemikian itu di antara kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. [al-Baqarah: 85].
Sistem-sistem dalam Islam memang pelbagai, namun kepelbagaiannya itu berada dalam satu kesatuan yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Ia umpama dahan-dahan bagi sebuah pohon. Jika ada seseorang mahu daun yang segar dan buah yang enak daripada pohon itu, maka dahannya sekali-kali tidak baleh dipisahkan daripada pokoknya.
Keempat: Seimbang (التوازن). Islam mengambil berat setiap isu berdasarkan kadar keperluannya dan memberikan setiap pihak hak yang sepatutnya tanpa culas atau berlebih-lebihan, dengan adil, seimbang dan tepat. Antara contohnya:
1. Seimbang antara kewajipan yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan kehidupan akhirat, tanpa mengabaikan kedua-duanya. Firman Allah SWT:
وَابْتَغِ فِيْمَا آتَاكَ اللهُ الدَّارَ الآخِرَةَ وَلاَ تَنْسَى نَصِيْبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
Dan tuntutlah harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepadamu dari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia. [al-Qasas: 77].
2. Seimbang antara keperluan individu dan masyarakat. Islam mensyari’atkan pemilikan individu di samping pemilikan umum, seterusnya menjaga kedua-duanya.
Kelima: Gabungan antara harapan (atau contoh terbaik) dan realiti. Sistem Islam bertujuan mengangkat martabat, ketekunan dan penghasilan manusia ke tahap tertinggi semampu mungkin. Pada masa yang sama, Islam turut meraikan tahap kemampuan setiap individu dengan tidak mensyari’atkan sesuatu melainkan mengambil kira kemampuan manusia. Firman Allah SWT:
لاَ يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا
Allah SWT tidak akan membebani manusia melainkan pada kadar kemampuannya. [al-Baqarah: 286].
Islam turut menuntut supaya manusia berusaha meningkatkan kemampuan, pembinaan, persediaan, pengalaman dan juga mengambil manfaat daripada pengalaman orang lain. Sabda Nabi SAW:
الْـحِكْمَةُ ضَالَةُ الْـمُؤْمِنِ، أَنَّى وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
Hikmah adalah harta orang mukmin yang telah hilang, di mana sahaja didapatinya, maka dialah yang paling berhak ke atasnya” [Riwayat Ibn Majah].
Keenam: Tetap dan anjal (الثبات والمرونة). Sistem Islam berpaksi pada usul dan kaedah yang tetap (thabat) dan matlamat yang umum. Ini tidak boleh berlaku khilaf dan tidak boleh berubah. Pada masa yang sama, terdapat pelbagai perkara cabang (juz’i) dan pendetilan yang boleh berubah dan berkembang. Ia terbuka kepada itjihad dan pandangan akal berdasarkan situasi, kondisi dan maslahah yang sentiasa berubah-ubah. Contohnya, sistem (siyasah) politik yang berpaksi pada kaedah yang tetap seperti syura, adil, kesamarataan dan hak rakyat memilih pemerintah. Namun, terdapat pelbagai perincian yang terbuka kepada ijtihad seperti kaedah aplikasi syura, pihak yang layak menduduki syura serta ciri-ciri mereka. Juga penggubalan undang-undang yang membolehkan keadilan dan kesamarataan hak dan kewajipan dapat dicapai.
PENERBIT DAN NAMA KITAB ASAL:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
al-Anzimah al-Islamiyyah (Sistem-Sistem Islami),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est), hal. 5-8.