Kompetensi

Kp: Memelihara Kaliti Asas (4):Mengamal Erti Mukhalathah (Bergaul) & Uzlah Yang Benar

MUQADDIMAH

Mukhalathah bermakna mewujudkan pergaulan atau interksi dengan orang lain. Manakala uzlah pula bermakna mengasingkan diri daripada orang lain. Islam telah menggariskan konsep yang betul dalam bermukhalathah (bergaul) dan beruzlah (mengasingkan diri). Seorang muslim, lebih-lebih lagi seorang da’ie, hendaklah mengamalkan konsep mukhalatah dan konsep uzlah yang betul agar ia benar-benar bermanfa’at untuk dirinya, Islam dan da’wah.

BAGI SEORANG MUSLIM, MANA YANG LEBIH BAIK – BERMUKHALATHAH ATAU BERUZLAH?

Apakah yang lebih baik dilakukan oleh seorang muslim, bermukhalathah (bergaul) dengan orang ramai atau beruzlah (mengasingkan diri daripada mereka)? Ada sesetengah ‘ulamak berkata  beruzlah lebih baik. Walaubagaimana pun kebanyakan ‘ulamak berkata bermukhalathah lebih baik. Apa yang lebih tepat untuk kita katakan – apa yang lebih baik bagi seseorang muslim ialah apa yang paling disukai oleh Allah Subhanahuwata’ala. Jika bermukhalathah itu lebih disukai oleh Allah Subhanahuwata’ala bagi muslim, kerana mengambil kira keadaan, kedudukan dan zamannya, maka bermukhalathah itu lebih baik untuknya. Namun jika beruzlah adalah lebih disukai oleh Allah Subhanahuwata’ala bagi seseorang muslim, dengan mengambil kira keadaan, kedudukan dan zamannya, maka beruzlah itu lebih baik baginya.

BERMUKHALATHAH ADALAH SATU KEPERLUAN BAGI MANUSIA

Bermukhalathah adalah satu keperluan kerana manusia dijadikan dengan sifat bermasyarakat dan dia tidak boleh hidup bersendirian. Jika pun mampu hidup bersendirian, ia mungkin hanya mampu dilakukan oleh orang tertentu sahaja bukan oleh semua orang.

Manusia perlu bermukhalathah baik untuk urusan yang berkaitan dengan dunia mahupun untuk urusan yang berkaitan dengan Din. Malah terdapat beberapa kewajipan dan sunnah dalam Isalm yang tidak mungkin dapat dilakukan melainkan dengan cara bermukhalathah dan bekerjasama sesama masyarakat. Contohnya solah jumaat, solah hari raya, menguruskan jenazah, menziarahi pesakit dan mempelajari atau mengajar ajaran Din, hanya dapat dilakukan melalui mukhalathah (pergaulan).

PENDA’WAH WAJIB BERMUKHALATHAH

Da’wah, yakni mengajak manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala adalah sebahagian  daripada perkara yang diwajibkan oleh Islam.  Salah satu cara yang penting untuk melaksanakan da’wah ialah bermukhalathah dengan orang ramai. Ini bermakna bermukhalathah adalah wajib kerana hanya dengan cara ini terlaksananya kewajipan da’wah.

Sebenarnya, sifat yang ada pada Islam ini memerlukan umat  Islam untuk saling bermukhalathah. Islam bukan sahaja membabitkan amalan peribadi, bahkan Islam juga membabitkan amalan individu dengan orang lain. Semenjak Rasulullah  Sallallahu’alaihiwasallam diberi penghormatan dilantik sebagai nabi dan diperintahkan supaya menyampaikan Islam, baginda telah hidup bersama masyarakat, bermukhalathah dengan mereka, turut serta dalam majlis mereka dan mengajak mereka kepada Allah Subhanahuwata’ala serta memberi peringatan kepada mereka. Yang pastinya baginda tetap memelihara syakhsiyah Islamiyah, meskipun berada di tengah-tengah masyarakat jahiliyah.

Begitulah juga dengan amalan para sahabat, mereka bermukhalathah dengan masyarakat dan menyebarkan apa sahaja ilmu yang mereka pelajari daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Memang ada diriwayatkan bahawa terdapat beberapa orang tabi’in yang menggalakkan manusia supaya beruzlah dan tidak menggalakkan mukhalathah. Ini mungkin untuk menghadapi keadaan tertentu yang di hadapi di zaman mereka. Mereka tidak mengatakan beruzlah itu sebagai satu kaedah yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam selepas mereka atau di setiap zaman.

Berda’wah telah pun jelas kewajipannya di sisi syara’. Mukhalathah adalah langkah permulaan untuk berda’wah dan tidak mungkin boleh dikesampingkan untuk menjayakan da’wah. Malah kewajipan berda’wah dan bermukhalathah ini lebih dituntut pada zaman yang kita hadapi sekarang. Zaman ini manusia diselubungi oleh  kegelapan jahiliyah dan kebendaan yang menghalang mereka daripada menerima cahaya kebenaran dan menjauhkan hubungan mereka dengan Allah Subhanahuwata’ala. Fenomena  ini memaksa setiap muslim, lebih-lebih lagi para penda’wah, untuk mengambil bahagian dalam da’wah berdasarkan kemampuan masing-masing. Mereka berkewajipan melakukan apa sahaja cara yang boleh mereka lakukan untuk berda’wah. Ini bermakna muslim dan da’ie perlu bermukhalathah dengan manusia di atas tujuan untuk mengajak mereka kepada Allah Subhanahuwata’ala.

HAD MUKHALATHAH YANG DIWAJIBKAN

Mukhalathah yang wajib ialah mukhalathah yang diperlukan untuk tujuan berda’wah atau mengajak manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala, atau untuk tujuan melaksanakan kewajipan-kewajipan Islam. Mukhalathah seumpama ini adalah mukhalathah yang mempunyai nilai-nilai ukhrawi dan akan mendapat ganjaran yang baik di akhirat nanti. Jika tujuan-tujuan ini tidak dapat dicapai, maka mukhalathah itu tidak lagi diwajibkan, sebaliknya ia akan berubah kepada harus, makruh atau haram.

Mukhalathah yang diharuskan, contohnya, mukhalathah dalam soal jual beli. Mukhalathah yang makruh ialah mukhalathah ini boleh menyebabkan penda’wah kehilangan ganjaran akhirat jika tindakannya itu didorong oleh sesuatu yang tidak baik. Mukhalathah yang haram ialah mukhalathah di jalan ma’siat atau perderhakaan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Oleh itu, penda’wah diharapkan meletakkan tujuannya bermukhalathah dengan manusia hanyalah untuk mengajak mereka kepada Allah Subhanahuwata’ala. Oleh itu apabila dia menziarahi seseorang, berkenalan dengan seseorang, bersahabat, bersama-sama, bersaudara, duduk bersama-sama, bercakap dalam suatu majlis, berpidato dan segala apa yang dilakukan, mestilah didorong oleh keinginannya untuk mengajak manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala ataupun sebagai suatu persediaan ke arah tersebut.

BAGI PENDA’WAH – CINTANYA KERANA ALLAH SUBHANAHUWATA’ALA DAN BENCINYA PUN KERANA ALLAH SUBHANAHUWATA’ALA

Penda’wah yang bermukhalathah  dengan orang ramai sebenarnya ia mewujudkan hubungan atas dasar cintanya kerana Allah Subhanahuwata’ala atau bencinya kerana Allah Subhanahuwata’ala. Maksudnya ialah seorang penda’wah menyukai seseorang sejauh mana orang itu mentaati Allah Subhanahuwata’ala dan  mencari keredhaan-Nya. Sebaliknya penda’wah akan membenci seseorang dalam aspek-aspek ia menderhakai dan melanggar perintah Allah Subhanahuwata’ala.

Apabila  cinta seseorang kepada Allah Subhanahuwata’ala semakin kuat maka semakin kuatlah rasa cintanya kepada kekasih-kekasih Allah Subhanahuwata’ala (orang yang menta’ati Allah Subhanahuwata’ala). Malah ia akan memberikan kesetiaan dan sokongannya untuk mereka dengan nyawa dan hartanya. Apa yang dikatakan ini bukanlah suatu khayalan atau keterlaluan, kerana tidak dapat dinafikan orang yang cintakan seseorang akan juga menyintai orang yang dicintai oleh kekasihnya.

Orang yang menyintai kekasihnya akan bersedia berkhidmat untuknya. Jika perkara ini dianggap biasa di kalangan manusia biasa, sudah tentu soal ini lebih hebat bagi seorang da’ie yang cintakan Allah Subhanahuwata’ala. Ia sudah tentu akan bersedia berkhidmat untuk Allah Subhanahuwata’ala dengan nyawa dan hartanya.

Bagi da’ie yang cintakan Allah Subhanahuwata’ala, maka kencintaannya itu akan mendorongnya untuk mencintai orang yang dicintai oleh Allah Subhanahuwata’ala. Manakala bagi orang yang melakukan ibadah dan dalam masa yang sama melakukan juga ma’siat, da’ie akan menyayangi orang itu kerana ibadah yang dilakukannya dan  membenci orang itu kerana ma’siat yang dilakukannya.

SAHABAT PILIHAN PENDA’WAH

Oleh kerana penda’wah hanya  menyayangi seseorang kerana Allah Subhanahuwata’ala dan membenci seseorang kerana Allah Subhanahuwata’ala, sudah tentu dia akan memilih orang yang tertentu sahaja untuk menjadi sahabat, teman atau saudara karib (sahabat karib) dalam hidupnya. Orang yang mentaati Allah Subhanahuwata’ala dan melaksanakan ibadah adalah sahabat atau saudara pilihannya yang terbaik. Hubungan antara mereka amat erat. Mereka berbangga dengan hubungan ini dan memeliharanya.

Penda’wah tidak akan bersahabat karib dan bersaudara karib dengan orang  yang melakukan dosa, fasiq dan orang yang menderhaka terhadap Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala.

فَأَعۡرِضۡ عَن مَّن تَوَلَّىٰ عَن ذِكۡرِنَا وَلَمۡ يُرِدۡ إِلَّا ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا

Maka berpalinglah (hai Muhammad) daripada orang yang berpaling daripada peringatan Kami, dan tidak mengingini kecuali kehidupan duniawi.   (Al-Najm : 29)

Amat penting untuk difahami di sini, walaupun penda’wah tidak bersahabat atau bersaudara (karib) dengan orang fasiq dan pelaku-pelaku dosa, namun penda’wah akan tetap mengajak mereka kepada Allah Subhanahuwata’ala dan mendoakan agar mereka beroleh hidayah dan rahmat-Nya. Penda’wah tetap berkewajipan untuk bermukhalathah dengan mereka dalam kontek untuk mengajak mereka kepada Allah Subhanahuwata’ala.

ADAB PENDA’WAH DENGAN SAHABAT KARIB DAN ORANG FASIQ

Penda’wah  semestilah memahami  adab-adab persahabatan sesama orang yang ta’at kepada Allah Subhanahuwata’ala, dan akan memastikan dirinya menunaikan adab-adab itu. Antara adab-adabnya ialah:

1. Menghormati sahabat-sahabat karib.
2. Membantu sahabat-sahabat apabila ada keperluan.
3. Merahsiakan kelemahan sahabat-sahabat kerana tiada manusia yang tiada kelemahan.
4. Menegur sahabat dengan cara yang hilkmah atau bijaksana, kerana melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah kewajipan bagi setiap muslim.
5. Bersedia memaafkan sahabat-sahabat dan menerima kesilapan mereka.
6. Orang beriman akan sentiasa membayangkan kebaikan saudara-saudaranya

Ada pun adab-adab penda’wah dengan orang yang fasiq dan suka melakukan dosa ialah:

1. Tidak mewujudkan pertelagahan dengan mereka dan menasihati mereka agar kembali kepada Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا

Dan hamba-hamba bagi Rab Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.
(Al-Furqan : 63)

2. Menjauhkan diri daripada orang fasiq yang melakukan dosa atau kesalahan yang memudharatkan penda’wah atau Islam, setelah mereka diberikan peluang dan dinasihati. Ini kerana, sering terdapat orang fasiq yang tetap berdegil melakukan dosa yang memaksa mereka dijauhi. Misalnya:
– Mereka melaku dosa yang memecah belahkan ikatan dan ukhuwah di kalangan orang beriman.
– Melakukan konspirasi jahat yang mendatangkan kemudharatan kepada umat Isalm.
– Menzalimi dan menindas umat Islam.

Maka, terhadap mereka, penda’wah menjauhkan diri buat sementara waktu, untuk memberi tumpuan kepada orang lain yang lebih bersedia menerima da’wahnya. Dan apabila pendakwah bertemu atau mendapati ada kesempatan atau peluang yang sesuai untuk berdakwah kepada orang fasiq itu, maka bolehlah beliau kembali berdakwah kepadanya.

UZLAH BAGI PENDA’WAH

Mukhalathah adalah langkah permulaan bagi da’wah. Sebagai penda’wah usaha  bermukhalathah tidak dapat dielakkan, bahkan merupakan suatu yang wajib dalam suasana Islam dipinggirkan dan kebatilan menutupi kebenaran.

Namun demikian, penda’wah tetap berkewajipan untuk beruzlah atau bersendirian pada ketika tertentu. Ini dinyatakan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah: Seorang hamba perlu suatu masa untuk bersendirian supaya dapat berdoa, berzikir, melakukan solah, bertafakur, menilai diri dan membaik pulih hatinya.

Terdapat beberapa cara bagi penda’wah untuk beruzalah:

1. Uzlah dilakukan pada waktu-waktu yang digalakkan oleh syara’ seperti waktu beriktikaf di bulan ramadhan, waktu berqiyamulail di malam hari dan waktu duduk di masjid sambil menunggu waktu solat. Beruzlah di waktu-waktu ini dengan melakukan ibadah seperti solah, zikir dan doa merupakan suatu bentuk uzlah yang amat baik. Walau pun masanya mungkin singkat namun kesannya bagi diri penda’wah amat mendalam.

2. Jika penda’wah memerlukan masa yang lebih untuk beruzlah, misalnya bersendirian di rumah selama beberapa hari kerana ingin berehat, memulihkan tenaga, menilai semula diri sendiri, menilai kesilapan yang dilakukan dan memperbaiki diri, maka uzlah seperti ini adalah dibenarkan. Dan, uzlah tersebut mestilah bertujuan mempersiapkan diri supaya dirinya lebih kuat dan lebih berkemampuan untuk berda’wah. Ibarat seorang pejuang yang meninggalkan sementara medan perang dengan tujuan mengasah pedangnya, memberi kudanya makan, membaiki tombaknya atau merawat lukanya, sedangkan hatinya sentiasa berkeinginan meneruskan jihad dan berharap dapat kembali ke medan jihad secepat mungkin. Dalam keadaan ini, dia sebenarnya masih dianggap berada dalam medan jihad kerana setiap amalan bergantung pada niat.

3. Penda’wah juga mempunyai cara lain untuk beruzlah iaitu dengan cara mengasingkan hati dan perasaannya, sedangkan jasadnya bersama-sama mereka (uzlah syu’uriyah). Uzlah ini amat diperlukan ketika penda’wah terpaksa berada bersama-sama manusia seperti orang yang tidak baik, orang yang mengumpat dan orang yang bercakap perkara yang tidak benar, sedangkan ia tidak mampu menjauhkan jasadnya daripada mereka dan tidak mampu mengubah suasana yang dihadapi. Dalam keadaan ini dia mengasingkan rohnya atau perasaannya walau pun jasadnya masih kekal bersama-sama mereka. Di mana rohnya tetap memelihara hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala.

4. Cara yang berikut bagi penda’wah untuk beruzlah ialah dengan cara mengasingkan diri daripada orang kafir atau orang yang menolak da’wah dan memberikan perhatiannya kepada orang yang dianggap lebih bersedia untuk menerima da’wah. Ini dilakukan jika didapati memberikan tumpuan kepada mereka (orang kafir atau orang yang menolak da’wah) adalah sia-sia, membazir masa atau kemungkinan untuk mereka menerima da’wah buat ketika itu adalah jauh sekali, atau mereka akan memberi tindak balas yang memudharatkan. Dengan itu, penda’wah perlu mengubah tumpuan kepada orang lain supaya dapat mengajak orang itu pula kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Uzlah seperti ini dilakukan kerana tenaga dan masa penda’wah sangat terhad. Jika mereka yang dida’wahkan tidak mahu menerima da’wahnya, maka dia perlu beralih kepada orang lain. Dia terpaksa meninggalkan mereka untuk tempoh tertentu. Perkara ini ada dinyatakan oleh firman Allah Subhanahuwata’ala yang menceritakan kisah Nabi Ibrahim AS:

وَأَعۡتَزِلُكُمۡ وَمَا تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَأَدۡعُواْ رَبِّي عَسَىٰٓ أَلَّآ أَكُونَ بِدُعَآءِ رَبِّي شَقِيّٗا

Dan aku akan menjauhkan diri daripadamu dan daripada apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Rabku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Rabku”. (Maryam : 48)

 Begitu juga firman Allah Subhanahuwata’ala yang menceritakan kisah Nabi Musa AS:

وَإِن لَّمۡ تُؤۡمِنُواْ لِي فَٱعۡتَزِلُونِ

Dan jika kamu tidak beriman kepadaku maka biarkanlah aku (memimpin Bani Israil)”. (Ad-Dukhan :21)

Dan juga kisah penghuni gua:

وَإِذِ ٱعۡتَزَلۡتُمُوهُمۡ وَمَا يَعۡبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأۡوُۥٓاْ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ يَنشُرۡ لَكُمۡ رَبُّكُم مِّن رَّحۡمَتِهِۦ وَيُهَيِّئۡ لَكُم مِّنۡ أَمۡرِكُم مِّرۡفَقٗا

Dan apabila kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung di dalam gua itu, nescaya Rabmu akan melimpahkan sebagian rahmat-Nya kepadamu dan menyediakan sesuatu yang berguna bagimu dalam urusan kamu. (Al-Kahfi : 16)

PENUTUP

Para penda’wah berkewajipan untuk bermukhalathah dengan manusia agar ia dapat menyedarkan manusia dan menyebarluaskan Islam di muka bumi ini. Kewajipan ini sangat dituntut dan dianggap daruri dalam suasana Islam yang dagang dan jahiliyah berleluasa pada hari ini.

Manakala uzlah pada ketika tertentu adalah satu keperluan bagi penda’wah untuk memperkuatkan diri sama ada dari sudut ‘aqal, roh dan jasad. Setelah penda’wah mendapat kekuatan kurniaan Allah SWT daripada uzlahnya, maka penda’wah semestinyalah terus berda’wah dengan lebih gigih lagi.

Uzlah juga boleh berlaku dalam bentuk uzlah syu’uriyah (uzlah dari segi perasaan atau dalam hati) di ketika mana penda’wah bermukhalathah dengan orang fasiq. Dalam keadaan ini perasaan atau hati penda’wah tetap memelihara hubungan yang betul dengan Allah Subhanahuwata’ala, manakala jasadnya atau fizikalnya berinteraksi dengan orang fasiq, dalam batasan syara’, untuk maslahah da’wah.

Penyusun:

  1. Mohamad ‘Adi Ismail
  2. Abu Taqiy Hussein

Rujukan:

  1. “Usul Ad-Da’wah (Terjemahan: Islam & Dakwah)”, Dr Abdul Karim Zaidan, Pustaka Salam, 2002.
  2. Kuliah Al-Marhum Ustaz Dahlan Mohammad Zain pada 15/6/1979.
Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button