KEIMANAN yang kuat akan melahirkan pelbagai kesan pada pemiliknya. Jika kesan ini tidak wujud atau kurang wujud, maka bermakna keimanan seseorang itu masih lemah.
Apakah kesan keimanan ini? Kesan keimanan terlalu banyak dinyatakan oleh kitab Allah Subhanahuwata’ala dan sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kesan-kesan ini seharusnya menjadi sifat-sifat orang yang beriman. Oleh itu, menjadi tanggungjawab seorang muslim membaca ayat-ayat dan hadits-hadits mengenainya, dan merenung serta menilai diri sendiri sejauh mana ia memiliki sifat-sifat ini pada dirinya. Jika sifat-sifat ini wujud pada dirinya, maka bersyukurlah kepada Allah. Sekiranya tiada atau sedikit, maka hendaklah beliau memperkuatkan imannya. Dirinya hendaklah disemai dengan iman yang kuat dan mantap.
Di sini akan dinyatakan beberapa kesan keimanan yang kuat:
1. Cinta Dan Kasih Sayang
Cinta hamba kepada Rabnya dan cinta Rab kepada hambanya merupakan hasil daripada keimanan, sepertimana yang disebut dalam al-Quran:
يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُ
Dia (Allah) kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia…(Al-Maidah: 54)
Cinta adalah salah satu hasil keimanan, malah cinta adalah teras keimanan (keimanan yang berlandaskan ilmu yang yakin terhadap Rab).
Al-Hasan berkata: ”Orang yang mengenali Rabnya, akan mencintai-Nya.”
Apabila ilmu seseorang semakin mendalam, maka semakin kuatlah iman dan semakin tinggilah cintanya kepada Rabnya. Ilmu yang mendalam adalah hasil daripada memikirkan sifat-sifat Allah, keagungan-Nya dan nikmat-Nya. Nikmat paling besar ialah hidayah yang diperolehi oleh seorang hamba (lebih-labih lagi bagi seorang penda’wah). Firman-Nya:
وَنَزَعۡنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنۡ غِلّٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهِمُ ٱلۡأَنۡهَٰرُۖ وَقَالُواْ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِي هَدَىٰنَا لِهَٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهۡتَدِيَ لَوۡلَآ أَنۡ هَدَىٰنَا ٱللَّهُۖ لَقَدۡ جَآءَتۡ رُسُلُ رَبِّنَا بِٱلۡحَقِّۖ وَنُودُوٓاْ أَن تِلۡكُمُ ٱلۡجَنَّةُ أُورِثۡتُمُوهَا بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ٤٣
Dan mereka bersyukur dengan berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk (mendapat nikmat-nikmat) ini padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiknya).”(Al-A’raf:43)
Cinta seorang muslim kepada Rabnya membawa beliau mencintai apa yang disukai oleh Rabnya. Oleh kerana itu, seorang muslim akan mencintai nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam, kerana baginda adalah kekasih Allah.
Beliau juga akan mencintai al-Quran dan semua ajaran Islam kerana semuanya itu adalah risalah Allah.
Beliau juga akan mencintai semua orang beriman kerana mereka adalah hamba-hamba Allah yang taat dan mengabdikan diri kepada-Nya.
Cinta seorang muslim kepada Allah dan segala yang dicintai Allah akan menghasilkan kemanisan iman. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda yang bermafhum:
Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya akan merasai kemanisan iman iaitu iia mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain, ia membenci untuk kembali kekufuran setelah ia diselamatkan oleh Allah sama seperti ia benci dicampakkan kedalam api neraka, ia mencintai seseorang kerana Allah.
Cinta seorang hamba kepada Rabnya akan menghasilkan pula pelbagai kesan yang lain. Perhatikan firman Allah Subhanahuwata’ala:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ
Wahai orang yang beriman, sesiapa di antara kamu berpaling tadah daripada agamanya (murtad), maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia, mereka bersifat lemah-lembut terhadap orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang kafir, mereka berjihad di jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. (Al-Maidah: 54)
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi kamu. (Al-Imran: 31)
Berdasarkan kedua-dua ayat ini, dapat difahami kesan-kesan cinta kepada Allah adalah seperti berikut:
1. Merasa rendah diri (tawadhu’) sesama orang yang beriman. Seseorang muslim bersifat lemah-lembut dan penyayang dengan saudara seislamnya. Seorang penda’wah akan mengajak saudara seislamnya ke arah keredaan Allah dengan sifat lemah-lembut. penyayang dan merendahkan diri (setakat yang diizinkan syara’). Sifat inilah yang dinyatakan oleh Allah mengenai sifat Rasulullah dan para sahabat baginda:
رُحَمَآءُ بَيۡنَهُمۡۖ
.. berkasih sayang sesama mereka. (Al-Fath: 29)
2. Bersikap tegas dan gagah terhadap orang-orang kafir. Sifat ini dinyatakan dalam firman Allah Subhanahuwata’ala:
مُّحَمَّدٞ رَّسُولُ ٱللَّهِۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥٓ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ
Nabi Muhammad ialah Rasulullah,dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam).(Al-Fath: 29)
Seorang muslim yang cintakan Allah tidak merasa hina atau lemah atau rendah diri ketika bersama orang kafir samada secara zahir mahupun batin. Beliau merasa dirinya lebih hebat daripada mereka. Pada masa yang sama beliau berlemah lembut dengan orang beriman.
3. Berjihad di jalan Allah Subhanahuwata’ala. Jihad di jalan Allah bermaksud:
– Bermujahadah diri sepanjang masa sehingga diri sendiri tetap dan cekal mentaati Allah Subhanahuwata’ala.
– Berjihad menentang musuh sehingga mereka tidak lagi mendatangkan bahaya kepada Islam.
– Berjihad mengajak manusia supaya menyembah Allah atau menerima hidayah Allah. Jihad yang dilakukan oleh penda’wah untuk mengajak manusia supaya menyembah Allah dapat dilihat melalui tumpuan yang sepenuhnya diberikan untuk da’wah. Juga melalui keutamaan yang diberikan kepada da’wah melebihi keutamaan kepada anak, harta, kesenangan dan dunia amnya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad) : ‘Jika bapa-bapa kamu, anak- anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot , dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya), kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik (derhaka). (At-Taubah: 24)
– Tidak takut kepada cercaan manusia. Maksudnya tiada cercaan atau cacian manusia yang dapat menghalang mereka untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala atau da’wah atau amar makruf, nahi mungkar.
– Mencontohi sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, di samping mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan baginda. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ
Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasul kepada kamu maka terimalah, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka tinggalkanlah. (Al-Hasyr: 7)
Baginda adalah contoh teladan bagi penda’wah. Seorang penda’wah akan mencontohi setiap langkah baginda untuk menjalankan da’wah mengajak manusia kepada Allah. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (Al-Ahzab: 21)
Apa yang paling baik bagi seorang penda’wah muslim ialah dia mempelajari sunnah dan sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam menjalankan da’wah, bermula daripada baginda diutuskan oleh Allah Subhanahauwata’ala sehingga Allah Subhanahuwata’ala menjemput baginda ke sisi-Nya. Ini kerana sirah Rasulullah merupakan suatu terjemahan amali kepada manhaj (metod) Rabbani mengenai da’wah seperti yang dinyatakan oleh ayat-ayat al-Quran.
Penda’wah akan mendapati setiap peristiwa yang dilaluinya ada kecontohannya atau yang hampir sama di dalam sirah Rasulullah dan bagaimana baginda menghadapinya.
Mempelajari sirah Rasulullah selain mempelajari al-Quran terutama yang ada kaitan dengan da’wah akan membolehkan penda’wah memperolehi bimbingan Rab dan mampu membezakan antara yang benar dan salah dalam situasi yang rumit. Salah satu cara yang boleh membantu penda’wah mencontohi Rasulullah adalah dengan cara membayangkan peribadi baginda di dalam fikiran penda’wah. Dia merasakan dia sedang berada bersama baginda dengan jiwa dan perasaaan. Bayangkan kesemua pendirian baginda dan bayangkan sifat-sifat baginda yang begitu mulia dan betapa hebatnya sifat penyayang baginda kepada umat ini. Semua cara ini akan meningkatkan rasa cinta seorang muslim kepada Rasulullah dan apabila semakin tinggi rasa cinta ini semakin kuatlah ikatannya dengan baginda.
Beberapa kesan cinta seorang muslim kepada Rabnya yang dipetik dari al-Quran, sunnah dan konsep cinta itu sendiri seperti yang berikut:
– Sentiasa mengingati Allah Subhanahuwata’ala dalam apa jua keadaan. Lidah seorang penda’wah tidak kedekut untuk menyebut nama-Nya dan hatinya tidak pernah leka untuk mengingati-Nya. Jadi salah satu tanda orang yang mencintai Allah ialah mereka yang selalu membaca kitab Allah. Al-Quran menjadi penyeri hati, teman ketika keseorangan dan cahaya yang menyinari jiwa mereka. Mereka juga sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan. Oleh itu, penda’wah digalakkan supaya berdisiplin dengan wirid-wirid tertentu yang terkandung dalam sunnah nabawiyah. Wirid ini dibaca sesudah solah subuh, keluar rumah, ketika ingin tidur, masuk rumah, makan, minum, memakai pakaian, bermusafir, bermukim dan ketika bangun malam.
– Merasa seronok bermunajat kepada Allah Suhanahuwata’ala seorang diri. Tidak merasa berat atau susah sebaliknya mencari kesempatan untuk bermunajat.
– Merasa seronok untuk mentaati Allah Subhanahuwata’ala. Seorang kekasih akan sentiasa seronok untuk melakukan sesuatu untuk kekasihnya. Oleh kerana itulah solah menjadi penyeri bagi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan untuk merehatkan diri selepas berhadapan dengan dunia. Menurut Al-Junaid, tanda orang yang mencintai Allah Subhanahuwata’ala adalah dia cergas untuk mentaati-Nya.
– Tidak merasa sedih atas apa saja kehilangan selain Allah Subhanahuwata’ala. Dia akan merasa sedih sekiranya masa yang berlalu disia-siakan tanpa mengingati Allah atau tanpa melakukan sesuatu demi khidmat dan taat kepada Allah.
– Sentiasa mengutamakan sesuatu yang disukai Allah Subahanahuwata’ala lebih daripada sesuatu yang disukai oleh dirinya sendiri. Seorang yang benar-benar mencintai kekasihnya akan mengutamakan apa saja yang disukai oleh kekasihnya walaupun terpaksa menghadapi rintangan dan kesusahan demi untuk mengutamakan yang dicintanya. Merasa sensitif dangan hak Allah. Tanda rasa sensitif ialah merasa marah apabila larangan Allah dicabuli. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tidak pernah marah jika perkara itu membabitkan dirinya tetapi baginda akan marah sekiranya larangan Allah dicabuli. Rasa sensitif ini juga akan menjadikan seorang muslim merasa sedih apabila umat Islam melanggar syari’at Allah.
Diriwayatkan bahawa seorang sahabat (Abu Darda’) masuk ke dalam rumahnya sambil menangis. Lalu dia ditanya: “Mengapa engkau menangis?” Dia menjawab: “Saya masuk ke dalam masjid dan saya dapati mereka tidak mendirikan solat sama seperti mana yang saya pernah lihat di zaman Nabi Sallallahu’alaihiwasallam”
2. Takut
Salah satu kesan atau hasil keimanan yang mantap ialah rasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sesungguhnya kemuncak ilmu adalah takut kepada Allah. Orang yang mengenali Allah akan merasa takut dengan-Nya dan orang yang takut kepada Allah tidak akan merasa takut dengan mana-mana manusia lain sebaliknya manusia yang merasa takut dengannya. Jelasnya, ketakutan ialah satu perasaan bimbang di dalam hati disebabkan oleh sesuatu yang dibimbangi akan berlaku di masa hadapan.
Punca perasaan takut ialah mengetahui sesuatu yang boleh menyebabkan apa yang dibimbangkan akan berlaku di masa hadapan. Rasa takut dengan Allah terjadi apabila seseorang muslim mengetahui sesuatu yang boleh menyebabkan dia menerima hukuman Allah – seperti dia menderhakai Allah atau tidak melakukan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Rasa takut ini akan semakin bertambah, sekiranya orang itu mengetahui betapa besarnya jenayah yagn dilakukan apabila menentang perintah Allah. Apatah lagi apabila dia mengetahui bahawa apabila Allah mahu membinasakan alam ini, tiada siapa yang boleh melarangnya.
Faktor utama yang membantu meningkatkan rasa takut ini ialah apabila hamba Allah meneliti ayat-ayat al-Quran yang mengandungi ancaman kerana semua ancaman adalah benar. Ancaman ini bukan setakat untuk menakutkan dan bukan khayalan. Setiap hamba Allah akan diberikan balasan berdasarkan amalan mereka, walau sebesar manapun kebaikan dan kejahatan yang mereka lakukan.
Melalui keimanan yang mantap ini dia dapat merasakan akibat daripada dosa yang dilakukan. Dia dapat merasakan betapa halusnya penilaian dan bagaimana Allah memiliki kuasa penuh dia hari perhitungan nanti. Semua ini akan melahirkan rasa takut dengan Allah di dalam hatinya dan akan mendorong muslim untuk menjauhi segala larangan-larangan yang boleh menjerumuskan dirinya ke dalam situasi yang tidak diingini dan membimbangkan.
Sebab itu, seorang yang beriman akan kelihatan ketakutan seperti orang yang ditimpa kesedihan. Dia tidak bergurau, berseronok atau ketawa melainkan hanya tersenyum. Orang yang kesedihan dan ketakutan tidak akan ada masa untuk berseronok. Rasa takut ini sudah tentu akan memberi kesan. Orang yang takut dengan sesuatu perkara akan menjauhkan dirinya dari perkara itu. Orang ini akan memelihara dirinya dari perkara ini. Orang yang takut dengan Allah akan melarikan diri daripada dosa dan maksiat. Dia akan menggantikan dosa dan maksiat ini dengan mentaati Allah.
Penda’wah muslim yang takut kepada Allah akan menjauhkan diri daripada melanggar perintah Allah sebaliknya akan mengambil langkah untuk memelihara dirinya daripada seksaan api neraka. Langkah yang paling utama ialah menanam ketakwaan kepada Allah dan berjihad di jalan Allah, antaranya, berda’wah mengajak manusia supaya menyembah Allah. Dengan rasa takut yang ada di dalam dirinya ini Allah akan kurniakan kepadanya hidayah dan rahmat-Nya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
هُدٗى وَرَحۡمَةٞ لِّلَّذِينَ هُمۡ لِرَبِّهِمۡ يَرۡهَبُونَ
..Petunjuk dan rahmat, bagi orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Rab mereka (daripada melanggar perintah-Nya) (Al-A’raf: 154)
Jelas di sini bahawa hidayah dan rahmat Allah adalah untuk orang yang merasa takut bukan untuk orang yang merasa aman dan selesa.
3. Berharap
Salah satu kesan keimanan yang mantap ialah sentiasa berharap dan tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Sebabnya Allah telahpun memberikan janji-Nya kepada orang beriman sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kitab-Nya dan Allah melarang mereka daripada berputus asa.
Sifat orang yang memiliki keimanan yang mantap ialah yakin dengan janji ini yang dinyatakan oleh rab Yang Maha Berkuasa dan Maha Pengasih. Sikap berharap mendorong orang yang beriman untuk mencari segala faktor yang mampu merealisasikan harapan ini iaitu melaksanakan ketaatan kepada tuhan termasuklah melaksanakan da’wah mengajak manusia kepada Allah.
Berharap bermaksud kesediaan hati menanti sesuatu yang diingini setelah memenuhi segala faktor yang diperlukan. Jika hanya menanti tanpa melaksanakan segala faktor yang perlu, ia sebenarnya suatu tindakan yang bodoh atau angan-angan sahaja. Mengharapkan rahmat, bantuan dari Allah hanya akan diperolehi setelah memenuhi segala faktor-faktor yang dipelukan seperti yang dinyatakan dan dijanjikan oleh Allah.
Seorang muslim yang mempunyai keimanan yang mantap akan memenuhi segala faktor ini dengan segala kemampuannya tanpa berlengah dan bertangguh kerana dia mengharapkan semoga Allah memimpinnya untuk melakukan perkara yang betul dan sentiasa berusaha untuk memperolehinya. Ibarat orang yang menabur benih ke tanah yang subur dan baik lalu disiram air dan diberikan baja. Usaha ini diteruskan sehinggalah tiba musim menuai sambil dia mengharapkan semoga Allah memelihara tanamannya daripada sebarang bencana.
Penda’wah muslim mestilah sentiasa berharap dan tidak sekali-kali berputus asa kerana dia yakin dengan janji Allah Subhanahuwata’ala yang diberikan kepada orang-orang yang beramal dan berda’wah; mereka akan beroleh kemenangan dan bantuan serta ganjaran pahala yang amat besar. Jadi seorang penda’wah telah dijamin akan beroleh kemenangan dan sokongan daripada Allah yang Maha Mulia.
Rujukan: Usul Ad-Da’wah, Dr. ‘Abdul Karim Zaidan.