Fikrah

Kesempurnaan Islam

Sebagai sistem yang dicipta dan diturunkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala Yang Maha Halus Lagi Maha Sempurna, Islam memiliki kesempurnaan yang tidak dimiliki oleh mana-mana sistem buatan manusia. Kesempurnaan Islam memenuhi keperluan setiap zaman, bangsa dan bidang.

  1. Islam memenuhi keperluan setiap zaman

Seluruh nabi dan rasul (daripada nabi pertama hingga nabi yang terakhir) mengajarkan perkara pokok yang sama. Risalah mereka hanyalah satu iaitu membebaskan manusia daripada perhambaan kepada yang lain kepada perhambaan kepada Al-Khaliq (Allah Subhanahuwata’ala). Kesempurnaan ajaran nabi sangat jelas kita dapati pada risalah yang dibawa oleh nabi terakhir, Muhammad Sallallahu‘alaihwasallam, yang menyempurnakan bangunan yang sudah dibangunkan oleh nabi-nabi sebelumnya. Dengan berakhirnya pensyari’atan yang dibawa oleh nabi yang terakhir ini, maka risalah Ilahi mencapai kesempurnaannya. Kerana itu, ia sesuai untuk keperluan manusia hingga ke akhir zaman. Tidak ada nabi dan risalah lagi  selepas ini, kerana Islam telah mencapai kesempurnaannya.

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا كَآفَّةٗ لِّلنَّاسِ بَشِيرٗا وَنَذِيرٗا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ

Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.

(Surah Saba’ : 28)

Islam adalah din yang diturunkan Allah Subhanahuwata‘ala untuk mengatur kehidupan makhluk-makhluk-Nya agar terjadi keselarasan, keharmonian, kedamaian, keselamatan dan kesejahteraan dalam segala aspek.

  1. Islam memenuhi keperluan setiap bangsa

Islam diturunkan bukan terbatas untuk bangsa arab atau bangsa apa pun di bumi ini.  Islam adalah rahmat bagi seluruh alam. Pencipta bagi setiap bangsa ialah Allah Subhanahuwata‘ala. Setiap bangsa adalah anak-anak Adam yang diciptakan daripada tanah. Tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas bangsa yang lain, satu suku kaum ke atas suku kaum yang lain dan satu warna kulit ke atas warna kulit yang lain. Yang membezakan antara hamba-hamba Allah Subhanahuwata‘ala hanyalah taqwa kepada-Nya. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ

Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.

(Surah Al Hujurat : 13)

  1. Islam mencakupi semua bidang

Islam adalah sistem komprehensif dan mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Islam digambarkan umpama sebuah bangunan:

a. Islam dibangunkan di atas tapak atau asas akidah yang sejahtera.

b. Islam menggariskan tatacara yang sempurna mengenai permasalahan hubungan manusia dengan Allah Subhanahuwata’ala (yakni dalam bentuk ibadah) dan juga permasalahan hubungan manusia sesama manusia.

c. Islam menyeru pendokong-pendokongnya berda’wah dan berjihad. Dengan da’wah dan jihad, barulah umat Islam akan terus kukuh,  penganutnya akan terus bertambah dan kemuliaan Islam akan terus terpelihara daripada ancaman musuh.

d. Islam adalah pedoman hidup yang menjamin kebahagiaan manusia sama ada di dunia mahupun akhirat.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗا

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu menjadi agama bagimu.

(Surah Al Maidah : 3)

Disebabkan cakupan Islam itu lengkap dan komprehensif, maka ini menjadikan ia sentiasa lebih unggul berbanding  sistem-sistem ciptaan manusia.

Rujukan:

  1. Materi Tarbiah Edisi Lengkap – Syarah Rasmul Bayan, Bina Insani.
  2. Syarah Tarbiah Rasmul Bayan, Jasiman, Lc, Auliya Press
Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button