ALLAH Subhanahuwata‘ala mengutuskan para rasul dengan tugas-tugas yang ditentukan-Nya. Secara umumnya, tugas Rasul ialah memikul risalah da’wah dan menegakkan din Allah Subhanahuwata‘ala.
Firman-firman-Nya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُۥۚ وَٱللَّهُ يَعۡصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِۗ
Wahai rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Rabmu, dan jika kamu tidak kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya, Allah memelihara kamu daripada (gangguan) manusia. (Surah Al-Maidah: 67)
شَرَعَ لَكُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِۦ نُوحٗا وَٱلَّذِيٓ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ وَمَا وَصَّيۡنَا بِهِۦٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰٓۖ أَنۡ أَقِيمُواْ ٱلدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُواْ فِيهِۚ
Dia telah mensyari’atkan bagi kamu tentang din, apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah din dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. (Surah As-syura: 13)
1. Tugas Memikul Risalah Da’wah
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَٰلَٰتِ ٱللَّهِ وَيَخۡشَوۡنَهُۥ وَلَا يَخۡشَوۡنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبٗا
(Iaitu) orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah, dan cukuplah Allah sebagai pembuat perhitungan. (Surah Al-Ahzab : 39)
Termasuk dalam tugas memikul risalah da’wah ini ialah:
- Memperkenalkan Al-Khaliq (Allah Subhanahuwata‘ala) kepada Oleh kerana Allah Subhanahuwata‘ala bersifat ghaib, maka pengenalan kepada-Nya hanya dapat dilakukan melalui ayat-ayat-Nya atau tanda-tanda kekuasaan-Nya. Mengenal Allah melalui ayat-ayat-Nya ialah dengan cara membaca dan memahami ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Mengenal Allah melalui tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dengan cara memerhati dan memikirkan bagaimana penciptaan makhluk-makhluk-Nya di alam raya ini. Firman-firman-Nya:
سَنُرِيهِمۡ ءَايَٰتِنَا فِي ٱلۡأٓفَاقِ وَفِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّۗ أَوَ لَمۡ يَكۡفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ شَهِيدٌ
Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas bagi mereka bahawa Al-Quran itu benar. Tidakkah cukup bahawa sesungguhnya Rabmu menjadi saksi atas segala sesuatu? (Surah Fushilat :53)
إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal. (Surah Ali-Imran : 190)
- Mengajar manusia cara ibadah yang Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam tidak mengada-adakan sendiri cara beribadah, bahkan mengikut tunjuk ajar daripada Allah Subahanuhuwata‘ala. Dikatakan, dalam riwayat, bahawa Allah mengutus malaikat Jibril kepada baginda, lalu mengajar baginda bagaimana berwudhu’ dan melakukan solat. Kemudian baginda mengajar pengikut baginda pula.
- Menyampaikan kepada manusia panduan hidup atau din. Lafaz din dalam bahasa Arab memiliki beberapa makna, antaranya ialah sistem hidup. Din yang benar ialah Islam. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:
إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ
Sesungguhnya din (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. (Surah Ali-Imran : 19)
- Mendidik manusia dengan arahan-arahan dan nasihat-nasihat sehingga manusia memiliki sahsiah atau keperibadian muslim sebenar.
2. Tugas Menegakkan Din Allah Subhanahuwata‘Ala
Sistem Islam, betapa pun hebatnya, tidak akan tertegak sendiri tanpa pejuang atau penegakknya. Jika Allah menghendaki, mudah saja bagi Allah untuk menegakkannya tanpa bantuan hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah Subhanahuwata‘ala memberikan kesempatan dan kehormatan kepada hamba-hamba-Nya untuk berperanan (dengan izin-Nya) dalam usaha menegakkan din-Nya di bumi.
Dengan usaha manusia menegakkan din Allah, maka manusialah yang akan mendapat balasan yang baik daripada Allah. Pemimpin yang adil (yang menegakkan din Allah) akan mendapat naungan-Nya pada hari ketika tidak ada naungan selain naungan Allah.
Menegakkan hukum-hukum Allah, memerlukan kedaulatan hukum-hukum itu sendiri. Dalam konteks ini, tugas rasul ialah:
- Menegakkan khilafah
Disebut khilafah kerana manusia mendapat mandat daripada Allah untuk menegakkan syari’at-Nya dan mewujudkan kemasalahatan untuk umat manusia.
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ
Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka din yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa, mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku, dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasik. (Surah An-Nur:55)
Dalam menjalankan tugas kekhalifahan, manusia tidak boleh menyimpang daripada syari’at Allah.
- Membina Pendokong Da’wah (Rijalul Da’wah)
Dibina pendokong-pendokong da’wah adalah untuk berjuang bagi menegak dan membela din Allah. Maka, tugas Rasul ialah membina para pendokong atau pejuang, demi kelangsungan khilafah di bumi. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada mungkar, merekalah orang yang beruntung. (Surah Ali-Imran : 104)
- Mengajar Panduan Berda’wah
Rasul bertugas membimbing pengikut dan pewarisnya manhaj untuk berda’wah (cara-cara berda’wah).
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ
Maka disebabkan rahmat daripada Allah-lah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekeliling kamu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. (Surah Ali-Imran : 159)
- Menegakkan Risalah Dalam Realiti Kehidupan
Rasul Sallallahu‘alaihiwasallam telah memperlihatkan contoh teladan bagaimana untuk mengimplementasikan (menegakkan) risalah Islam dalam realiti kehidupan manusia. Dalam menegakkan risalah Islam dalam kehidupan, baginda bertindak sebagai daie, pendidik sekaligus sebagai pemimpin.
Rujukan:
- Syarah Rasmul Bayan Tarbiah, Jasiman Lc, Auliya Press Solo 2005.
- Materi Tarbiah Edisi Lengkap, Syarah Rasmul Bayan, Bina Insani Press 2006