Dasar UmumRumahtangga

Kepentingan Pemilihan Dan Sekufu Dalam Mendirikan Rumahtangga Muslim

Muqaddimah

Individu dan keluarga Islam adalah asas yang penting untuk mela­hirkan masyarakat Islam. Oleh itu amat perlu kita fahami secara umum berhubung al-baitul muslim (rumahtangga muslim) sepertimana yang diterangkan dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah. Terdapat kewajipan-kewajipan yang penting dalam rangka mendirikan rumahtangga muslim.

Sepertimana kita berkewajipan menyediakan individu muslim yang berakhlak dan memiliki contoh yang baik, maka kita juga berkewajipan membentuk rumahtangga muslim.

Rumahtangga muslim yang dipersiapkan dengan baik akan menyediakan persediaan-persediaan awal (persediaan-persediaan Islam) atau suasana awal untuk anak-anak kelak. Pembentukan sahsiah yang baik bermula dalam rumahtangga. Anak-anak sentiasa terkesan dengan lingkungan atau suasana dalam rumahtangga. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

كُلُّ مَوْلُوْدٍ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibubapanyalah yang menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi.

InsyaAllah jika anak-anak dididik dengan didikan Islam dan membesar dalam suasana Islam maka lahirlah anak-anak yang soleh yang bersedia berkhidmat untuk ummah dan Islam.

Rumahtangga Islam tegak di atas asas aqidah Islam dan taqwa.  Kesucian hukum-hukum mengenai rumahtangga Islam berdiri atas kesucian aqidah dan taqwa. Kehidupan rumahtangga Islam dikira sebagai ibadah dan ‘ubudiyah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Semuanya terbit daripada kesucian aqidah Islam. Hendaklah setiap saudara dan saudari muslim meman­dang perkahwinan itu sebagai ibadah untuk mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Perkahwinan adalah amanah Allah Subhanahuwata’ala yang mesti mengikut peraturan-peraturan-Nya. Kewajipan isteri, suami dan ibu bapa semuanya adalah amanah Allah Subhanahuwata’ala. Daripada Ibn Umar, daripada Nabi Sallahu’alaihiwasallam, baginda bersabda:

 أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِه
Ketahuilah setiap daripada kamu adalah penjaga (pemimpin), dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dijaga. Seorang raja adalah penjaga bagi rakyatnya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dijaga. Seorang suami adalah penjaga (pemimpin) bagi anggota keluarganya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri adalah penjaga bagi rumahtangga suami dan anak-anaknya, dan akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dijaganya. Seorang hamba adalah penjaga bagi harta tuannya, dan dia juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dijaganya. Ketahuilah setiap kamu adalah penjaga (pemimpin), dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang kamu jaga (pimpin).

Oleh itu wajiblah kita juruskan haluan kerja-kerja di dunia ini untuk menghampirkan diri kita kepada Allah Subhanahuwata’ala. Makan, minum, riadhah, mencari nafkah, perkahwinan dan seumpamanya adalah untuk Allah Subhanahuwata’ala.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sangat mengambil berat tentang perkahwinan. Bagi pemuda atau pemudi yang ada keinginan dan kemampuan, maka hendaklah mereka berkahwin. Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam Mereka yang sengaja tidak mahu mengambil sunnahnya maka Rasulullah bersabda:

وَعَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوْتِ أزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَسْأَلُوْنَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَلَمَّا أُخْبِرُوْا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوْهَا، وَقَالُوْا: أَيْنَ نَحْنُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ وَقدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ. قَالَ أَحَدُهُمْ: أَمَّا أَنَا فَأُصَلِّيْ اللَّيْلَ أَبَداً، وَقَالَ الْآخَرُ: وَأَنَا أَصُوْمُ الدَّهْرَ أَبَداً وَلَا أُفْطِرُ، وَقَالَ الْآخَرُ: وَأَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَداً.

فَجَاءَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ، فَقَالَ: أَنْتُمُ الَّذِيْنَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا ؟ أَمَا وَاللهِ إِنِّيْ لَأَخْشَاكُمْ لِلهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّيْ أَصُوْمُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّيْ
Daripada Anas Radhiallahu’anhu, beliau berkata, “Ada tiga orang mendatangi rumah isteri-isteri Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam untuk bertanya tentang ibadah Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam . Lalu setelah mereka diberitahukan (tentang ibadah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam ), mereka menganggap ibadah mereka itu sedikit sekali. Mereka berkata, “Kita ini tidak ada apa-apanya dibandingkan dengan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam! Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam telah diberikan ampunan atas semua dosa-dosanya baik yang telah lalu mahupun yang akan datang.” Salah seorang daripada mereka mengatakan, “Adapun saya, maka saya akan solat malam selama-lamanya.” Lalu orang yang lainnya menambah, “Adapun saya, maka sungguh saya akan puasa terus menerus tanpa berbuka.” Kemudian yang lainnya lagi berkata, “Sedangkan saya akan menjauhi wanita, saya tidak akan menikah selama-lamanya.”

Kemudian, Rasûlullâh Sallallahu‘alaihiwasallam mendatangi mereka, seraya bersabda, “Benarkah kamu yang telah berkata begini dan begitu? Demi Allâh! Sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allâh dan paling bertaqwa kepada-Nya di antara kamu. Akan tetapi aku berpuasa dan aku juga berbuka (tidak berpuasa), aku solat (malam) dan aku juga tidur, dan aku juga menikahi wanita. Maka, barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka ia tidak termasuk golonganku.” [Hadith sahih riwayat al-Bukhari (no. 5063) dan Muslim (no. 1401)]

Antara Perkara Penting Dalam Proses Mendirikan Rumahtangga Muslim.

Perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian ke arah mendirikan rumahtangga muslim yang mulia adalah:

1. Pemilihan (Al Ikhtiar)

Yakni memilih bakal isteri atau suami. Demi melahirkan rumahtang­ga muslim maka sejak hari pertama lagi saudara-saudari muslim perlu memilih Azzaujah Assolehah/ Azzauj Assoleh. Yakni bakal suami/isteri yang mempunyai din dan memahami risalah Islam dalam kehidupan.

Isteri yang soleh adalah pembantu suami dalam beramal menegakkan Islam. Isteri yang soleh dapat memperingatkan suami jika berlaku kealpaan (kelalaian). Isteri yang soleh memberikan peransang kepada suami untuk bermujahadah tanpa menghalangnya (begitu juga bagi suami yang soleh – pemimpin rumahtangga). Isteri yang soleh menjaga diri ketika ketiadaan suami di rumah walaupun lama pen­inggalannya. Isteri yang soleh membesarkan anak-anak dengan didikan Islam. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memberikan isyarat:

قَالَ رَسُولُ اللهِ  صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ ِلاَ رْبَعٍ لِمَا لِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَا لِهَا  وَلِدِيْنِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّيْنِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
Telah bersabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:  Perempuan itu dinikahi kerana empat (sebab), (1) kerana kecantikannya, atau (2) kerana keturunannya, atau (3) kerana hartanya, atau (4) kerana dinnya (agamanya). Tetapi pilihlah yang beragama (din Islam), agar selamatlah dirimu. (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh itu hendaklah saudara-saudari mengutamakan yang mempunyai din. Ulama’ telah menjelaskan bahawa sesiapa yang tidak mengambil berat tentang din maka akan rugilah di dunia dan akhirat. Dinlah yang akan menyelamatkan manusia.

Bukanlah bermakna Islam mengenepikan langsung kecantikan, keturunan dan harta, tetapi semua ini jan­ganlah dijadikan matlamat utama dalam pemilihan. Din adalah matlamat dan pemilihan utama. Yang mempunyai din dan akhlak itu dikira cantik pada nilai Islam. Inilah Jamal Haqiqi, bukan Jamal Haiwani.

Al Imam Ahmad Ibn Hanbal Radhiallahu’anhu semasa hendak berkahwin, telah diberikan dua pilihan wanita. Seorang berwajah cantik tetapi ada kekurangan dari sudut din dan akhlak. Yang seorang lagi mempunyai din dan akhlak tetapi cacat (kelabu) sebelah matanya. Maka Ahmad Ibn Hanbal memilih yang mempunyai din.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

الدنيا متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة
Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah. (HR Muslim no. 1467)

Ini kerana wanita yang soleh akan mendatangkan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

أَلاَ أُخْبِرَكَ بِخَيْرٍ مَا يَكْنِزُ المرأة, المرأة  الصَّالِحَةُ إِذَا نَظرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ، وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
Mahukah aku beritakan kepadamu tentang sebaik-baik perbendaharaan seorang lelaki, iaitu isteri solehah yang bila dipandang akan menyenangkannya, bila diperintah akan mentaatinya dan bila dia pergi si isteri ini akan menjaga dirinya. (HR Abu Dawud no. 1417. Asy-Syaikh Muqbil rahimahullah berkata dalam al-Jami’ush Shahih 3/57, “Hadits ini shahih di atas syarat Muslim.”)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda lagi (bermaksud):

Janganlah kamu mengahwini perempuan kerana kecantikannya semata-mata nescaya kemungkinan kecantikannya akan membinasakannya, dan jangan kamu mengahwini perempuan kerana hartanya nescaya kemung­kinan hartanya menyebabkannya melampaui batas, tetapi kahwinilah perempuan kerana dinnya. Adalah seorang ammah yang berkulit hitam itu, tetapi mempunyai din, lebih baik bagi kamu.

Demikian juga bagi saudari-saudari muslim, sepatutnya mereka tidak menerima bakal suami mereka melainkan daripada pendokong agama (din Islam) yang bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala. Suami yang solehlah yang akan membantunya untuk sama-sama taat kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Islam memberikan peluang kepada saudari-saudari muslim untuk menerima bakal suami yang soleh. Sayyidah Khadijah menerima Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di atas asas akhlak baginda yang mulia.

Tidak selayaknya dalam Islam seseorang mengahwinkan anak perempuan atau saudari perempuan dengan orang yang sema­ta-mata sanggup membayar mas kahwin yang tinggi. Ataupun semata-mata kerana harta dan pangkat tanpa meletakkan keutamaan pada din dan akhlak yang mulia. Wanita itu bukanlah barang dagangan, tetapi wanita adalah amanah daripada Allah Subhanahuwata’ala. Apabila seseorang memilih suami yang soleh untuk anak perempuan atau saudari muslim, maka itu dikira sebagai kebaikan yang sangat mulia untuk sigadis atas saudari perempuan itu. Beginilah amalan para salafusso­leh.

Saidina Umar Al Khattab Radhiallahu’anhu pernah membayangkan untuk mengahwinkan anak perempuannya yang bernama Hafsah dengan Saidina Othman, tetapi Saidina Othman meminta uzur. Kemudian dibayang­kan pula kepada Saidina Abu Bakr, tetapi Saidina Abu Bakr berdiam diri sahaja. Selepas itu dia mengadu kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka baginda menjawab, “Boleh jadi Allah akan mengganti­kan untuk anakmu dengan orang yang lebih baik.” Akhirnya Rasulul­lah mengahwini Hafsah. Dan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengahwinkan pula puteri baginda yang bernama Ummi Kalthom dengan Saidina Othman (selepas kematian Ruqaiyah binti Rasulullah).

Kemudian, pada satu hari Saidina Abu Bakr berjumpa dengan Sai­dina Umar. Berkata Saidina Abu Bakr, “Mungkin pada tempoh hari engkau terasa sesuatu kerana aku tidak berkata apa-apa semasa engkau membayangkan Hafsah kepadaku. Ini kerana aku mengetahui bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah menyebut nama Hafsah dan aku tidak mahu menyebarkan rahsia Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Tetapi sekiranya Rasulullah menolak Hafsah, InsyaAllah aku akan mengahwini Hafsah.”

Oleh itu jelaslah para sahabat memilih suami yang soleh untuk anak-anak mereka.

2. Sekufu (Al-Kafaa-ah)

Yakni sepadan atau sesuai. Al-Kafaa-ah yang dituntut oleh Islam ialah sekufu dalam din dan akhlak. Sekufu itu diberi keutamaan pada din dan bukan pada yang lain.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡ
Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa di kalangan kamu. (Al Hujurat : 13)

Apabila sekufu dari sudut din itu wujud, maka terbatallah segala nilai sekufu yang lain. Tidak disyaratkan dalam Islam persamaan dari sudut kedudukan duniawi, harta, pangkat dan kedudukan dalam masyarakat.

Dalam sirah para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berlaku perkahwinan antara seorang keturunan hamba dengan seorang keturunan Arab Quraisy yang dianggap mulia. Sepertimana Bilal (hamba keturunan Habsyi) dengan adik Abdul Rahman bin Auf (yang mulia dikalangan keturunan bangsawan Quraisy). Begitu juga perkahwinan antara Zaid bin Haritsah dengan Zainab bin Jahs (anak bapa saudara Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam).

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (bermaksud):

Apabila orang yang kamu redha din (agama) dan akhlaknya datang meminang (anak gadismu), hendaklah kamu kahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi. (Hadis Riwayat at-Tirmizi dalam kitab nikah (no. 1080) daripada Abu Hatim al-Munzi)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sendiri mengahwinkan puterinya Fatimah dengan Saidina Ali, seorang yang miskin tetapi ada din dan akhlak. Inilah Kafaa-ah Addin.

Kafaa-ah din tidak dapat ditebus oleh kafaa-ah yang lain. Jika hilang kafaa-ah din, maka ia tidak boleh ditebus oleh harta, keturunan, kecantikan dan sebagainya. Sebaliknya, jika hilang kafaa-ah yang lain, maka kehilangan itu dapat ditebus oleh kafaa-ah din. Dalam sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, keturu­nan kulit hitam dan miskin dapat ditebus oleh kafaa-ah din.

Said bin Musayyab, yang hidup di zaman salafussoleh (zaman tabi-in) telah juga menunjukkan contoh seperti apa yang dinyatakan di atas.

Pada satu ketika anak Said bin Musayyab dipinang oleh Abdul Malik Marwan (daripada Bani Umaiyyah) untuk dikahwinkan kepada anaknya yang bernama Al Walid bin Abdul Malik. Puteri Said bin Musaiyyab dikenali cantik dan kuat dinnya. Juga mendalam kefahamannya terhadap kitab Allah dan Assunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Oleh kerana Said mendapati ada perkara yang tidak syar’i pada keluarga Abdul Malik Marwan, maka Said menolak pinangan itu. Abdul Malik marah lalu memerintahkan agar Said disebat 100 kali.

Selepas beberapa ketika Said pulang ke Madinah. Dia diziarahi oleh seorang muridnya yang bernama Abdullah bin Abi Wada’ah. Bila Abdullah sampai, maka Said bertanyakan khabar. Said mengetahui bahawa isteri Abdullah baru meninggal dunia. Said berkata kepada Abdullah, “Apakah kamu tidak mahu berkahwin lagi?”. Abdullah menjawab, “Semuga Allah merahmati kamu, siapalah yang ingin berkahwin dengan saya. Saya tidak mempunyai wang, melainkan dua dirham sahaja (atau tiga dirham – dalam riwayat yang lain)”. Kata Said, “Kalau demikian, aku kahwinkan anakku dengan engkau dengan maskahwin dua dirham (atau tiga dirham).”

Keutamaan Said Musaiyyab bukanlah kedudukan dan harta tetapi taqwa. Perkahwinan sebenarnya bukanlah bertujuan menjual anak.

Umar Ibn Al Khattab pula, ketika hendak memilih isteri untuk puteranya yang bernama ‘Aasim, dilihat pada keimanan dan ketaq­waan yang terbukti pada seorang wanita anak seorang penjual susu.

Satu malam Saidina Umar keluar menyamar seperti orang biasa untuk melihat keadaan rakyatnya. Tiba-tiba dia terdengar satu suara di mana seorang ibu memaksa anak gadisnya supaya mencampur­kan susu dengan air. Maka berkata anak gadis itu, “Tidakkah ibu tahu bahawa Khalifah Umar telah melarang perbuatan ini. Yang mana utusannya telah menyeru: Jangan kamu campurkan susu dengan air.” Si ibu terus memaksa anak gadisnya dengan berkata, “Umar tidak nampak apa yang kamu lakukan.” Maka dengan serta merta gadis itu menjawab, “Walaupun Umar tidak nampak tetapi Tuhan Umar (iaitu Allah) Maha Mengetahui. Demi Allah saya tetap patuh kepada perin­tahnya samada sewaktu terang atau sulit”.

Pada keesokan hari, Saidina Umar memanggil anaknya ‘Aasim dan memberitahunya bahawa di hujung kampung sana ada seorang gadis yang mukmin (bertaqwa). Kamu pergilah ke sana. Kalau dia tidak ada apa-apa kemasyghulan maka kamu kahwinilah dia. Mudah-mudahan Allah memberikan rezeki dan berkat kepada kamu.

Kebahagiaan Dalam Rumahtangga

Rumahtangga Islam yang hakiki telah banyak hilang kini. Banyak rumahtangga tidak mengecapi kebahagiaan hakiki (Assa’adah Al Haqiqiyyah). Kebahagian hakiki tidaklah akan tercapai dengan keindahan, ban­gunan rumah dan perabut-perabut mahal tetapi sebenarnya datang daripada jiwa yang bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala Allah-lah yang akan memberikan kebahagiaan. Kebahagiaan itu dirasakan dari dalam, bukan dari luar. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir. (Ar-Rum: 21)

Allah Subhanahuwata’ala menciptakan manusia maka Allah-lah yang memberikan perasaan kepada manusia. Kasih sayang dan rahmah adalah anugerah Allah Subhanahuwata’ala. Kasih sayang dan rahmah tercetus daripada jiwa yang yakin dn beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala

Mustafa Al Masyhur dalam Tariqudda’wah membawa rangkap pujangga Arab Islam yang bermaksud:

Aku tidak nampak kebahagiaan itu terletak pada kerja-kerja meng­himpunkan harta tetapi orang yang bertaqwa itulah yang merasai kebahagiaan sebenar.

Setiap sesuatu ada asasnya. Asas keluarga Islam ialah taqwa. Taqwa itulah yang menjinakkan hati-hati suami isteri. Melembutkan tingkah laku, membersihkan jiwa, menyedarkan tanggungjawab kepada Allah Subhanahuwata’ala, memudahkan pengurusan, mencegah kejahatan dan mendorong kepada kebaikan. Kata-kata seorang pujangga yang lahir daripada ruh Al Qur’an dan AsSunnah: Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dalam semua hal. Janganlah kamu menolak taqwa kerana mengutamakan keturunan semata-mata. Sesungguhnya Islam telah mengangkat darjat Salman Al Farisi, dan kekufuran telah menjatuhkan martabat Abu Lahab.

Kata yang lain pula: Hendaklah kamu bekalkan diri kamu dengan taqwa. Sesungguhnya kamu tidak mengetahui, apabila datang waktu malam apakah kamu akan hidup sampai waktu fajar. Berapa banyak orang yang sihat tetapi menemui maut tanpa sebab. Berapa banyak orang yang sakit tetapi telah hidup dalam jangka waktu yang panjang. Berapa banyak pemuda, samada petang atau pagi, ketawa riang sedangkan kain kapannya sedang ditenun tanpa diketahuinya.

Jika terdapat taqwa pada kedua-dua pasangan hidup lelaki dan perempuan, maka itu faktor terbesar untuk melahirkan suasana mesra, kasih dan kerukunan yang sebenarnya. Allah-lah yang mem­berikan kasih sayang dan menjinakkan hati-hati mereka.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ
Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (An-Anfal : 63)

Kasih sayang dan rahmah bukan ciptaan manusia. Bukan juga perkara yang boleh dibuat-buat tetapi ia adalah anugerah Allah Subhanahuwata’ala. Peristiwa Puak Aus dan Puak Khazraj yang pada asalnya bergaduh, tetapi bersaudara dan jinak setelah menerima Islam membuktikan kebenaran ayat-ayat Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Ali Imran : 103)

Jelaslah, Allah-lah yang berkuasa ke atas hati-hati manusia. Dengan ketaqwaan kepadanya, hati yang keras menjadi lembut dan hati yang menderita akan merasai bahagia.

Bagi wali-wali dan penjaga-penjaga anak perempuan, hendaklah mereka mengutamakan apa yang diutamakan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Jangan­lah nilai iman dan taqwa diketepikan.

Orang yang bertaqwa kepada Allah tidak pernah kekeringan kemuliaannya dalam din. Pangkat di sisi Allah semakin bertambah dengan bertambahnya taqwa dan ketaatan kepada-Nya. Allah Subhanahuwata’ala menjanjikan kehidupan yang baik pula untuk mereka. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

مَنۡ عَمِلَ صَٰلِحٗا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنٞ فَلَنُحۡيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةٗ طَيِّبَةٗۖ وَلَنَجۡزِيَنَّهُمۡ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ
Sesiapa yang beramal soleh, lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan.  (An Nahl : 97)

Dalam menafsirkan ayat di atas, Sayyid Qutb menyatakan: Amalan salih itu semestinya mempunyai asas yang asli untuk amalan yang soleh itu bertambah. Asas itu ialah iman kepada Allah Subhanahuwata’ala (Al-Imanubillah).

Selain daripada asas iman, maka sesuatu amalan tidak boleh berdiri dengan betul. Bahkan menjadi sia-sia seperti debu yang berterbangan di udara.

Kata Sayyid Qutb lagi: Amalan soleh yang tegak di atas dasar ini, balasannya ialah kehidupan yang tayyib. Kehidupan yang tayyib bukan semestinya menjadi jutawan.

Harta benda dalam rumahtangga bukanlah matlamat tetapi sekadar keperluan. Yang memberikan kebahagiaan kepada jiwa ialah perhubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala. Jiwa kaya, meski pun ketiadaan harta yang banyak. Redha dengan Allah dan berpuas hati dengan-Nya.

Hayyatan Toyyibah

“Hayyatan Toyyibah” adalah kurniaan Allah Subhanahuwata’ala. Taqwa  kepada Allah membuka jalan ke arahnya. Juga taqwa kepada Allah membuka jalan terhadap rezeki yang tidak disangka-sangka.

Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda:

Sesungguhnya saya mengetahui satu ayat kalau sekiranya manusia sudah mengetahui, maka sudah memadai (mengambil dan menghayati­nya), iaitu ayat (At-Thalaq : 2,3):

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجٗا . وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا
Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya),

Serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (ingatlah) sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya setiap sesuatu. (At-Thalaq : 2-3)

Harapan Yang Tinggi

Apakah yang kita inginkan atau harapkan daripada pembentukan baitul muslim?

Kita inginkan fitrah dan naluri manusia manusia terpelihara dengan baik mengikut syara’. Perkahwinan, bermakna menyahut panggilan fitrah secara sah. Kita juga inginkan lahirnya zuriat yang soleh. Lahirnya generasi yang mewarisi pusaka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٖ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Rabb kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang bertakwa. (Al Furqan : 74)

Kita ingin melihat rumahtangga muslim di mana berlaku di dalamnya perlaksanaan ajaran dan akhlak Islam. Suami muslim bertanggungjawab terhadap keluarga, membuat persediaan-persediaan, memelihara adab-adab Islam dan memberikan kefahaman Islam kepada orang dibawah jagaannya.

Kita ingin melihat isteri yang solehah menjadikan rumahtangga seperti taman yang memberikan ketenangan kepada suami dan menjadi pembantu suami yang taat kepada Allah.

Kita ingin melihat ibu-ibu muslimah lagi solehah menjaga anak-anak atas landasan syara’ kerana ibulah sekolah yang pertama bagi anak-anak. Musuh-musuh Islam telah melakukan berbagai-bagai cara dan program untuk merosakkan wanita-wanita Islam. Bila wanita-wanita Islam rosak, tidak lahirkan ibu-ibu yang solehah dan seterusnya tidak lahirlah zuri’at yang soleh, dan seterusnya lagi tidak lahirlah generasi yang soleh. Keadaan seperti ini telah banyak berlaku dalam masyarakat kita.

Kita ingin melihat anak-anak muslim dan putera-puteri muslim yang sentiasa mengabdikan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala. Menjaga hak-hak ibu bapa. Bergaul dengan rakan-rakan mereka dengan adab-adab Islam.

Kita ingin melihat rumahtangga muslim yang menjadi contoh yang baik dengan sifat-sifat Islam dan jauh daripada sifat-sifat jahiliah.

Juga kita ingin melihat rumahtangga muslim yang menjadi tapak pelancaran kerja-kerja dakwah. Ini kerana ummah terbaik adalah ummah dakwah (iaitu ummah yang menegakkan ma’aruf dan mencegah kemungkaran) sepertimana firman Allah Subhanahuwata’ala:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ
Kamu (wahai ummah Muhammad) adalah sebaik-baik ummah yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik. (Ali Imran : 110)

 

 

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button