Fikrah

Sebab Manusia Diciptakan Dan Tanggungjawabnya

Kita perlu perhatikan kepada tiga persoalan asas yang berkaitan dengan seluruh kehidupan kita. Persoalan-persoalan tersebut adalah:

  1. Dari manakah kita datang?
  2. Mengapakah kita didatangkan?
  3. Kemanakah kesudahan kita?

Untuk mencari jawapan yang tepat maka kita perlulah merujuk kepada apa yang telah dinyatakan oleh Allah Subhanahuwata‘ala di dalam al-Quran al-Karim.

Persoalan pertama:  Dari manakah kita datang?

Jawapannya  akan kita dapati dari Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

Surah Al-Hajj : 5

Dengan meneliti ayat tersebut dapatlah kita mengetahui dari manakah datangnya kita.

Persoalan kedua: Mengapakah kita didatangkan atau mengapa kita dijadikan oleh Allah Subhanahuwata‘ala?

Jawapan kepada persoalan ini terdapat di dalam firman Allah Subhanahuwata‘ala:

Surah Az Zariyat: 56

Para ulama’ muktabar telah menghuraikan pengertian ibadah dengan panjang lebar. Ruang lingkup ibadah adalah luas dan sempurna, tidak terhad dengan fardhu solat, puasa, zakat dan haji sahaja.

Tugas atau kewajipan manusia di dunia ini ialah beribadah atau memperhambakan diri kepada Allah Subhanahuwata‘ala berdasarkan firman-Nya seperti yang tersebut di atas.

Untuk menepati kehendak ibadah, maka setiap perbuatan manusia mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah Subhanahuwata‘ala dan mengikut syari’at Islam.

Segala perbuatan yang diharuskan syari’at seperti makan, minum, belajar, bekerja, beriadhah, berkahwin dan mendidik anak adalah merupakan ibadah jika dilakukan semata-mata kerana Allah Subhanahuwata‘ala.

Apabila kita memahami konsep ibadah yang luas, maka semua tempat seperti rumah, sekolah, kilang, pejabat, sawah ladang, padang   permainan dan gedung perniagaan adalah tempat untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata‘ala. Bahkan seluruh bumi Allah Subhanahuwata‘ala ini merupakan ‘masjid’, tempat kita menunaikan ibadah kepada-Nya.

Ibadah meliputi apa sahaja yang diredhai oleh Allah Subhanahuwata‘ala, sama ada tutur kata, perbuatan mahupun tingkah laku.

Professor Dr Yusuf Qaradhawi menyatakan, di dalam bukunya ‘al-Ibadah fi al-Islam’ bahawa:

Sesungguhnya beribadah kepada Allah tidaklah terhad kepada mengerjakan solah, puasa, zakat, haji dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti tilawah al-Quran, zikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sebagaimana fahaman sesetengah golongan Islam (yang mengakui Islam). Ramai yang telah menyangka bahawa apabila mereka telah menunaikan fardu-fardu dan syiar-syiar ini bererti mereka telah menyempurnakan haq Allah terhadap mereka sepenuhnya. Mereka menyangka sudah selesai menunaikan kewajipan ‘ubudiyyah terhadap Allah. Pada hal tanggapan tersebut adalah meleset daripada hakikat yang sebenar

Beliau membuat menjelaskan lagi:

Tidaklah dikira ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala jika seseorang itu berfahaman – aku solat, aku berpuasa, aku berzakat dan aku menunaikan haji tetapi aku bebas memakan daging babi, minum arak, makan riba’, berjudi dan menolak hukum-hukum syari’at Allah yang tidak bersesuaian dengan pandanganku.

Juga tidak dikira ibadah kepada Allah Subhanahuwata‘ala bagi orang yang menganggap ibadahnya hanya ketika berada di kawasan masjid, tetapi apabila ia keluar dari masjid dan menceburkan diri dalam bidang-bidang kehidupan lain, dia menjadi hamba kepada kehendak dirinya sendiri, bebas mengikut hawa nafsunya dan tidak menghiraukan hukum-hukum Allah Subhanahuwata‘ala.

Oleh kerana itu maka setiap orang yang terkeliru mestilah memperbetulkan kefahamannya dan kembali mengenali Islam dan konsep ibadah kepada Allah Subhanahuwata‘ala yang sebenar. Semoga seluruh kehidupannya berada dalam keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala.

Cukuplah bagi seseorang muslim itu berfikir bahawa dia adalah khalifah Allah Subhanahuwata‘ala di muka bumi ini untuk menjalankan tugas dan arahan Allah Subhanahuwata‘ala semata-mata. Memadai dia berbuat demikian untuk mencorakkan segala jenis amalannya dengan corak Islam hinggalah segala perkataan, perbuatan dan diamnya itu menjadi ibadah kepada Allah Subhanahuwata‘ala.

Persoalan ketiga: Ke manakah kesudahan kita?

Persoalan ini tidak memerlukan kepada huraian yang panjang kerana setiap orang menyedari asal usulnya serta mengetahui akan tugas dan kewajipannya. Maka InsyaAllah ia akan menyedari pula ke manakah kesudahannya. Walaupun demikian, jawapannya tetap telah dinyatakan oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam firman-Nya:

Surah An Najm: 42-44
Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button