Hadith

Semua Amalan Adalah Dengan Niat

(HADITH pertama daripada Himpunan Hadith Arba’in susunan Imam Nawawi)

عَنْ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ أَبِي حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ يَقُولُ: “إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ”

Daripada Amirul Mu’minin Abu Hafs, Umar bin Al-Khattab Radhiallahu’anhu, katanya: “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: ‘Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang dia ingin memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang dia ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.’”

(Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud Kalimah

الحَفْص : Singa danأبو حَفْصٍ adalah gelaran kepada Saidina Umar bin al-Khattab.

إنَّمَا : Bahawasanya. Ia adalah huruf hasr (حصر) yang bertujuan untuk mensabitkan sesuatu yang disebut selepas daripada perkataan ini dan menafikan selainnya.

بِالنِّيَّاتِ : Jamak (plural) kepada نية. Maknanya dari segi bahasa ialah tujuan. Dari segi istilah pula ialah tujuan yang disertai dengan perbuatan.

امْرِئٍ : Setiap orang. Iaitu semua insan sama ada lelaki mahupun perempuan.

هِجْرَتُهُ : Hijrahnya. Hijrah pada bahasa ialah meninggalkan. Dari segi syara’ , hijrah ertinya berpindah dari negara kafir ke negara Islam kerana takutkan fitnah. Yang dimaksudkan dengan hijrah di dalam hadits ini ialah perpindahan dari Mekah dan lainnya, ke Madinah sebelum berlakunya pembukaan kota Mekah.

إلَى اللَّهِ : kepada Allah, iaitu ke tempat yang diredhai oleh Allah Ta’ala dengan niat dan tujuan yang diredhai-Nya.

فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، : Maka hijrahnya itu adalah kerana Allah dan Rasul-Nya. Maksudnya hijrahnya itu diterima dan diberikan ganjaran oleh Allah Ta’ala.

لِدُنْيَا يُصِيبُهَا : Kerana dunia yang akan diperolehinya. Maksudnya kerana tujuan keduniaan yang ingin diperolehinya.

Keterangan hadith:

  1. Niat adalah penting untuk membezakan antara ibadat dengan adat. Niat itu penting untuk membezakan antara amalan yang ditujukan kepada Allah Subhanahuwata’ala atau kepada selain Allah Subhanahuwata’ala.
  1. Ibadah, seperti solah dan puasa, wajib diniatkan kepada Allah Subhanahuwata’ala agar diterima-Nya.
  1. Perkara atau amalan yang diharuskan oleh syara’, jika ditujukan kepada Allah Subhanahuwata’ala, akan menjadi amalan ibadah, menghampirkan seseorang dengan-Nya dan akan diberi pahala oleh-Nya. Contohnya, makan minum, memberi nafkah kepada keluarga dan bergaul dengan isteri – semua itu dikira ibadah sekiranya dilakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. 

Pengajaran

  1. Niat adalah teras segala amalan. Amalan baik mesti disertakan niat yang baik.
  1. Amalan yang buruk, atau ma’siat, tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik.
  1. Amalan yang dianggap baik tetapi dijalankan tidak mengikut peraturan syara’, tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik.
  1. Demikian juga, amalan baik jika diniatkan bukan kerana Allah Subhanahuwata’ala, seperti kerana riya’, menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah.
  1. Ulamak ada berkata: “Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat.” Sesuatu amalan dibalas berdasarkan niat pelakunya.
  1. Hijrah dari Mekah ke Madinah adalah suatu peristiwa besar dalam lslam di mana umat lslam ketika itu diwajibkan berhijrah. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya, dia akan dikurniakan pahala besar, sebaliknya jika kerana dunia atau wanita yang akan dikahwininya, maka dia hanya mendapat apa yang diniatkannya sahaja.
  1. Hijrah yang dituntut hari ini ialah berhijrah daripada ma’siat kepada ta’at kepada Allah Subhanahuwata’ala. Hijrah seperti ini, jika dilakukan kerana Allah Subhanahuwata’ala, juga dianggap hijrah yang akan dikurniakan pahala daripada Allah Subhanahuwata’ala, InsyaAllah.
  1. Keterangan lanjut mengenai amal dan niat:Amal yang diniatkan oleh seseorang untuk dikerjakan ada dua bahagian:
    1. Amal yang ikhlas.
    2. Amal yang tidak ikhlas.

    Meskipun amal-amal ini pada zahirnya mungkin kelihatan sama, namun pada hakikatnya kemungkinan terdapat perbezaan kerana berlainan niat.

    Amal yang ikhlas

    Amal yang didasarkan di atas niat yang baik dan ikhlas akan diterima Allah Subhanahuwata’ala dan diberikan ganjaran. Imam Nawawi dalam keterangannya mengenai amal yang disertai niat yang baik, telah berkata bahawa amal ada tiga bahagian, iaitu:

    1. Amal yang dikerjakan kerana mengharapkan syurga dan pahala daripada Allah Subhanahuwata’ala. Amal ini dinamakan ibadah saudagar.
    2. Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah Subhanahuwata’ala. Amal ini dinamakan ibadah hamba.
    3. Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah Subhanahuwata’ala. Juga dilaksanakan kerana hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang yang masih di dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadah orang yang merdeka.Inilah rupa amal ibadah yang dimaksudkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sewaktu menjawab sungutan Aisyah Radhiallahu ‘anha yang berkata: “Mengapakah Rasulullah bersusah payah berdiri sembahyang waktu malam hingga bengkak-bengkak kedua-dua belah kakinya? Padahal Allah telah mengampunkan dosanya yang lalu dan yang akan datang?”. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjawab: “Tidakkah patutkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”.

     

    Kesimpulannya, amal yang ikhlas ialah amal yang diniatkan kerana Allah Subhanahuwata’ala dan tidak kerana yang lainnya. Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lalu berkata: “Ya Rasulullah! Ada seorang lelaki yang bersedekah dan ia suka supaya dipuji dan diberikan pahala kepadanya”. Rasulullah SAW tidak dapat menjawab apa-apa sehinggalah diturunkan ayat ini:

    فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا

    “Maka barangsiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah kerjakan amal yang soleh. Dan janganlah ia sekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya.”

    (Al-Kahfi: 110)

    Amal yang tidak ikhlas

    Sebab-sebab yang merosakkan amal sehingga ia menjadi amal yang tidak ikhlas ialah:

    1. Perasaan sombongPerasaan ini merosak dan memusnahkan keikhlasan amal meskipun amal itu kelihatan elok dan sempurna pada zahirnya.
    2. Perasaan riya’Saidina Umar pernah berkata kepada Mu’az bin Jabal yang sedang menangis: “Kenapa engkau menangis?”. Jawabnya: “Kerana ada hadits yang aku telah dengar daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang menyatakan bahawa sedikit saja riya’ itu adalah syirik.”Oleh itu ikhlas ialah memaksudkan taat kepada Allah dan tidak memerlukan apa-apa yang lain.Riya’ pula ada dua jenis:
      • Memaksudkan taat kerana manusia.
      • Memaksudkan kerana manusia dan kerana Allah sekaligus.

      Kedua-dua jenis riya’ ini akan memusnahkan amal. Amal yang dicampuri riya’ bukanlah amal yang bersih, malah amal itu menipu diri, mengotorkan jiwa dan menghampakan harapan.

      Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menamakan riya’ sejenis syirik yang paling halus sebagaimana sabdanya: “Yang amat aku takuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil (halus)”. Kemudian ditanya mengenainya, lalu baginda Sallallahu’alaihiwasallam berkata, “Itulah riya’”.

      Riya’ itu biasa wujud pada amal, iaitu amal yang dikerjakan kerana manusia. Atau pun, meninggalkan sesuatu amal kerana manusia. Dalam hal ini, Fudhail Ibn Iyad telah berkata: “Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’. Beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan engkau daripada kedua-duanya.”

      Jelaslah bahawa amal yang dikerjakan dengan riya’ dan amal yang dilakukan bercampur antara kerana Allah Subhanahuwata’ala dengan kepentingan dunia adalah amal yang bersifat sekutu, sedangkan Allah Subhanahuwata’ala tidak mahu menerima amal seperti itu. Imam Ghazali telah berkata: “Bahawa sekutu pada amal yang menghilangkan pahala ialah dengan berperasaan riya’. Adapun sekutu dengan yang lainnya tidaklah menghilangkan pahala sama sekali. Hal ini samalah seperti urusan haji yang dikerjakan dengan maksud berniaga dan urusan perang yang dimaksudkan untuk mempertahankan agama di samping mendapatkan rampasan harta benda. Orang yang mengerjakan haji dengan maksud yang tersebut akan mendapat pahala menurut kadar niatnya, manakala orang yang berperang itu pula akan mendapatkan pahalanya walaupun akan berkurangan daripada yang sepatutnya.”

      Al-Syeikh ‘Izzuddin Ibn ‘Abdal-Salam pernah ditanya orang tentang kelakuan orang yang bersembahyang yang memanjangkan rukun sembahyangnya kerana manusia. Maka jawabnya: “Saya mengharapkan bahawa tidaklah dihapuskan pahalanya jika perbuatan sekutunya itu (iaitu memanjangkan rukunnya kerana manusia) pada sifat amal itu saja. Tetapi jika sekutunya itu didapati pada asal atau dasar amal, iaitu niat sembahyangnya kerana Allah dan kerana manusia, maka teranglah ia tidak akan diterima sembahyangnya.”

Daftar Rujukan:

  1. Al-Wafi (Syarah Hadits 40 Imam Nawawi), Dr. Mustafa al-Bugha dan Muhyiddin Misto, Pustaka Salam Sdn. Bhd., Kuala Lumpuur, 1998.
  2. Syarhul Arba’iina Hadiitsan An-Nawawiyah, Ibnu Daqiqil ‘Ied, Penterjemah: Muhammad Thalib, Media Hidayah Yogyakarta.
  3. Hadits Arba’in Nawawiyah, Muhyiddin Yahya Bin Syaraf Nawawi, Penterjemah: Abdullah Haidhir, Muraja’ah: Dr.Muh. MuInudinillah Bashri & Maerwandi Tarmizi, Maktab Dakwah Dan Bimbingan Jaliyat Rabwah, 2007
Print Friendly, PDF & Email

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button