Fiqh Dakwah

Seni Da’wah Rasulullah Saw (3): Bagaimana Rasulullah Saw Berda’wah Kepada Orang Dewasa

BAGAIMANA RASULULLAH SAW BERDA’WAH KEPADA ORANG DEWASA

عن أبي هريرة أن رسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم دخَلَ المسجدَ ، فدَخَلَ رجلٌ فصلَّى ، ثم جاءَ فسلَّمَ على رسولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم ، فرَدَّ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم السلامَ . قال: ارجِعْ فصَلِّ ؛ فإنك لم تُصَلِّ . فرَجَعَ الرجلُ فصلَّى كما كان صلَّى ، ثم جاءَ إلى النبيِّ صلى الله عليه وسلم فسلَّم عليه . فقال رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : وعليك السلامُ ، ثم قال : ارجِعْ فصَلِّ ؛ فإنك لم تُصَلِّ. حتى فَعَلَ ذلك ثلاثَ مراتٍ ، فقال الرجلُ : والذي بعَثَك بالحقِّ ! ما أُحْسِنُ غيرَ هذا ، عَلِّمْني . قال : إذا قُمْتَ إلى الصلاةِ فكَبِّرْ ، ثم اقرأْ ما تَيَسَّرَ معك مِن القرآنِ ، ثم اركَعْ حتى تَطْمَئِنَّ راكعًا ، ثم ارْفَعْ حتى تَعْتَدِلَ قائمًا ، ثم اسجُدْ حتى تَطْمَئِنَّ ساجدًا ، ثم ارفَعْ حتى تَطْمَئِنَّ جالسًا ، ثم افعلْ ذلك في صلاتِك كلِّها .

MAKNA hadits:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasululllah Sallalahu’alaihiwasallam memasuki masjid, lalu masuk  seorang lelaki ke masjid untuk melakukan solat. Selesai solat, ia mendatangi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, baginda berkata, “kembalilah ke tempatmu dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum mengerjakan solat!”. Ia pun kembali ke tempatnya dan mengerjakan solat seperti yang telah ia kerjakan tadi. Kemudian ia mendatangi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lagi seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, baginda berkata, “kembalilah ke tempatmu dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum mengerjakan solat!”.

Hal ini berulang sampai tiga kali. Lalu ia berkata, “Demi Dzat yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak boleh mengerjakan yang lebih baik daripada ini, maka ajarilah aku!”. Baginda pun mengajarnya, “Apabila  engkau berdiri untuk solat, maka bertakbirlah, kemudian bacalah yang mudah daripada Al-Quran, kemudian ruku’lah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan engkau ruku’, kemudian bangkitlah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan engkau i’tidal, kemudian bersujudlah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan sujud, kemudian duduklah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan duduk. Lakukanlah hal ini dalam semua solatmu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

SENI DA’WAH:

1. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berhadapan dengan mad’u yang telah dewasa, iaitu mad’u yang memiliki ciri-ciri:

  • Yang telah mencapai kematangan berfikir.
  • Yang telah memiliki persepsi dan amalan kebiasaan yang kukuh serta dominan pada dirinya, sehingga agak sukar bagi seorang da’i untuk menyesuaikan persepsi dan amalan kebiasaannya itu dengan ajaran Islam sebenar.
  • Mad’u, apabila meningkat umur, agak sukar untuk belajar dan mengingati sesuatu pengajaran baru dengan cepat.

2. Perilaku baginda terhadap orang dewasa berbanding remaja/pemuda adalah berbeza:

  • Bagi mad’u remaja/pemuda (seperti yang dapat difahami daripada hadits-hadits sebelum ini), baginda mengajak mad’u untuk duduk dekat  atau hampir dengan baginda.
  • Manakala bagi mad’u yang sudah dewasa, baginda menyuruhnya kembali ke tempatnya yang agak berjauhan dengan baginda.

3. Dalam mendidik orang dewasa, baginda memberikan ruang dan jarak yang agak jauh sedikit berbanding dengan golongan remaja/pemuda. Antara hikmahnya ialah:

  • Baginda tidak mahu mendominasikan pentas da’wah apabila berhadapan dengan orang dewasa. Proses belajar bagi orang dewasa memerlukan ruang untuk berfikir sendiri, memahami sendiri dan membuat keputusan sendiri.
  • Baginda mahu mad’u baginda yang dewasa itu percaya kepada diri sendiri. Tidak mahu ia rasa dikongkong dan tertekan, bahkan memberi peluang kepadanya untuk mencari kesalahan-kesalahannya sendiri.

4. Baginda bersabar menunggu kesediaan hati mad’u untuk menerima pengislahan. Ini dapat difahami daripada kisah hadits di atas:

  • Lelaki itu mengulangi solatnya sebanyak tiga kali sehinggalah beliau betul-betul bersedia untuk menerima nasihat daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.
  • Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menunggu sehingga mad’unya berkata: ’allimni – yang bermaksud: ajarilah aku.

5. Baginda bersabar menunggu mad’u dewasa sehingga pintu hatinya benar-benar terbuka. Sebenarnya, orang dewasa tidak boleh tergesa-gesa ditegur. Sesungguhnya apabila hati seseorang telah benar-benar bersedia, maka penjelasan yang ringkas sudah boleh membawa perubahan pada dirinya.

6. Dalam hadits ini baginda tidak menjelaskan semua rukun solat kepada lelaki tersebut. Baginda hanya menjelaskan hal-hal yang baru dan belum diketahui. Pada umumnya orang dewasa tertarik kepada hal-hal yang baru dan belum diketahui. Dalam konteks hadits ini, antara perkara yang ingin dijelaskan oleh baginda (di samping beberapa perkara lain) ialah mengenai permasalahan toma’ninah – yakni berhenti sebentar antara beberapa rukun solat:

  • Toma’ninah semasa ruku’.
  • Toma’ninah semasa i’tidal.
  • Toma’ninah semasa sujud.
  • Toma’ninah semasa duduk antara dua sujud.

7. Baginda memberi fokus kepada beberapa kesalahan yang ketara sahaja, kerana tidak semua perkara boleh dicapai pada satu masa.

8. Pangajaran penting daripada hadits ini (dari sudut fiqh ad-daw’ah) ialah:

  • Mewujudkan kesediaan hati pada diri mad’u yang dewasa adalah penting agar da’wah dan tarbiah berkesan.
  • Para penda’wah hendaklah bersabar menunggu zuruf yang munasabah (keadaan yang sesuai) untuk memberi nasihat dan tidak boleh tergesa-gesa dalam berda’wah. Apabila telah ada zuruf munasabah, maka penda’wah tidak boleh lagi bertangguh-tangguh untuk berda’wah kepada mad’u.
  • Para penda’wah hendaklah menyesuaikan isi da’wahnya setara dengan kemampuan mad’u.

Rujukan utama:

Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah SAW, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani.

 

 

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button