KAUM kafir Quraisy telah membuat keputusan sebulat suara untuk membunuh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Keputusan ini disampaikan kepada Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib. Tetapi Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib enggan menyerahkan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam kepada kaum kafir Quraisy.
Setelah rancangan membunuh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam tidak berjaya, maka kaum Quraisy merancang pemulauan. Mereka bermuafakat untuk memulau baginda, orang Islam yang bersama baginda serta kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang mempertahankan baginda. Untuk mencapai tujuan ini, mereka telah menandatangani satu perjanjian bertulis yang menyatakan mereka tidak akan mengahwini, tidak berjual-beli, menyekat sumber rezeki, tidak menerima sebarang perdamaian dan tidak akan berbelas kasihan kepada Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, melainkan jika Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam diserahkan kepada mereka untuk dibunuh.
Naskhah perjanjian ini digantung di Ka’bah. Maka kaum kafir Quraisy berpegang kepada perjanjian itu selama tiga tahun. Bermula dari bulan Muharram tahun ketujuh hingga tahun kesepuluh selepas kebangkitan baginda sebagai Rasul Allah.
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersama-sama orang Islam bertungkus-lumus berjuang bersungguh-sungguh selama tiga tahun. Ujian atas mereka terlalu berat. Diceritakan bahawa mereka terpaksa memakan daun-daun dan pucuk kayu.
Al-Suhaili menceritakan jika terdapat unta-unta perniagaan tiba di Mekah, kemudian salah seorang sahabat Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam datang untuk membelikan bahan makanan untuk keluarganya, maka Abu Lahab pun melaungkan katanya: “Wahai peniaga naikkan harga barang kamu ke atas sahabat-sahabat Muhammad supaya mereka tidak mampu membeli sesuatu pun daripada kamu.” Lantas peniaga-peniaga itu pun melipat gandakan harga jualan mereka sehingga sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam terpaksa pulang dengan tangan kosong menemui anak-anak di rumah yang menjerit kelaparan.
Sebaik sahaja memasuki tiga tahun tempoh pengepungan, satu puak daripada Bani Qusai memarahi kalangan sendiri. Kelompok mereka bersepakat untuk melanggar perjanjian itu. Di masa yang sama Allah Subhanahuwata’ala mengutuskan anai-anai menggigit dan mengerit naskhah perjanjian yang tergantung di Ka’bah. Tidak ada suatu pun yang tertinggal kecuali perkataan Allah ‘Azzawajalla sahaja. Kejadian ini telah diceritakan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam kepada bapa saudaranya Abu Talib. Setelah ditanya oleh Abu Talib: “Apakah Tuhan engkau telah memberitahu kepada engkau.” Jawab Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam: “Ya”. Kemudian Abu Talib pun bersama beberapa orang kaumnya pergi menemui kaum Quraisy dan meminta mereka membawa datang naskhah perjanjian mereka dulu. Mereka pun membawa keluar naskhah itu dalam keadaan masih berlipat. Lantas berkatalah Abu Talib: “Anak saudaraku telah memberitahu aku dan hingga kini beliau belum pernah berbohong, di mana Allah Ta’ala telah menghantar anai-anai untuk menggigit naskhah perjanjian kamu ini dan memakan setiap nas perjanjian yang zalim dan yang memutuskan hubungan silaturrahim. Sekiranya kata-katanya itu benar, sedarlah kamu dan kembalilah semula daripada jalan jahat kamu itu kepada Allah. Kami tidak akan menyerahnya kepada kamu. Biar kami mati kesemuanya tetapi kalau apa yang diceritakannya itu dusta maka kami akan serahkannya kepada kamu dan lakukanlah apa yang kamu suka ke atasnya.” Lalu mereka menjawab: “Ya kami setuju dengan segala apa yang kamu ucapkan itu.” Mereka pun membuka naskhah perjanjian itu dan didapatinya tepat seperti mana diceritakan oleh Al-Sadiq al-Masduq (yang benar lagi membenarkan) Sallallahu‘alaihiwasallam. Tapi mereka menjawab: “Ini adalah sihir anak saudara kamu itu.” Maka mereka makin bertambah sesat dan semakin kuat menunjukkan sikap permusuhan.
Selepas peristiwa itu lima orang pemuda Quraisy keluar melanggar perjanjian dan menamatkan pengepungan pihak Quraisy. Mereka ialah: Hisham Bin ‘Amru Bin Al-Harith, Zuhair bin Umayyah, Al Mut’am Bin ‘Adi, Abu Al-Bakhtari bin Hisham dan Zam’ah bin Al-Aswad. Orang yang mula-mula bergerak melanggar perjanjian ialah Zuhair Bin Ummayah. Beliau membelah masuk di tengah orang ramai di Mekah sambil melaung: “Wahai penduduk Mekah. Apakah layak kita memakan makanan dan memakai pakaian sedangkan Bani Hasyim dan Bani ‘Abdul Mutalib dimamah kebinasaan dan tidak siapa berjual-beli dengan mereka. Demi Allah aku tidak duduk saja sehinggalah aku menentang perjanjian pemulauan yang kejam ini.”
Kemudian empat orang lain pula bangun dan menyuara nada yang sama. Al-Mut’am Bin ‘Adi bangun dan meluru ke arah naskhah perjanjian lalu mengoyakkannya. Lepas itu kelima-lima mereka bersama-sama bergerak menuju ke tempat Bani Hasyim, Bani ‘Abdul Mutalib dan orang Islam. Mereka menyeru agar orang yang dipulau itu keluar dari rumah mereka, supaya mereka bebas daripada pemulauan kaum Quraisy.
PENGAJARAN
- Pemulauan yang dilakukan oleh musyikin Quraisy adalah satu amalan yang kejam. Bani Hasyim dan Bani ‘Abdul Mutalib telah menanggung kesengsaraan dan penderitaan. Kelompok yang dipulau ini terdiri daripada dua golongan:
- Keturunan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang musyrikin dan bersama Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam atas dasar kekeluargaan serta enggan menerima kehinaan sekiranya mereka melepaskan Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam ke tangan musyrikin Quraisy. Amalan mereka tidak diterima oleh Allah Subhanahuwata’ala kerana kemusyrikan mereka, meskipun mereka menempuh kesusahan. Pada nilai Allah Subhanahuwata’ala, mensyirikkan-Nya dikira sebagai kezaliman yang paling besar. Firman-Nya:
إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِيمٞ
Sesungguhnya mensyirikkan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar. (Luqman : 13)
- Orang Islam diketuai oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Mereka bersabar hanyalah kerana mematuhi suruhan Allah Subhanahuwata’ala dan mengutamakan akhirat daripada dunia.
- Mengapakah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat baginda sanggup berhadapan dengan pelbagai tekanan dan siksaan? Apakah matlamat yang mereka harapkan di sebalik penderitaan yang mereka alami? Jawapannya ialah kerana mereka telah beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya dengan iman yang benar. Dan mereka memburu keredhaan Allah Subhanahuwata’ala yang tidak boleh diganti dengan sesuatu yang lain. Bagi mereka keredhaan Allah Subhanahuwata’ala adalah suatu yang sangat agung. Mereka tidak merasa rugi meskipun dunia terlepas daripada tangan mereka atau kekuasaan beredar daripada mereka.
- Generasi pertama Islam ini telah dididik dari awal-awal lagi supaya tidak mencintai dunia. Cinta mereka ialah kepada kebahagiaan di akhirat meskipun terpaksa menempuh kesusahan di dunia. Ini terbukti ketika mana mereka berjaya menawan Rom dan Parsi, maka kekayaan dan kekuasaan yang terbentang di hadapan mereka tidak menawan atau merosakkan hati mereka.
Dalam peperangan Al-Qadasiyah, Rub’i bin ‘Amir Radiallahu‘anhu ketika masuk ke dalam singgahsana Rustam yang terhias dengan permaidani, lalu menikam-nikam permaidani itu dengan tombaknya sehingga carik-carik, maka beliau berkata kepada Rustam: “Sekiranya kamu memeluk din Islam, kami akan tinggalkan kamu, bumi kamu dan harta kamu…..” Ungkapan ini membuktikan bahawa misi dan jihad mereka bukanlah semata-mata inginkan dunia dan kekuasaan, tetapi misi mereka yang hakiki ialah untuk menyebarkan din Islam dan mencapai keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.
Rujukan:
- Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Fiqh Al-Sirah 1, Diterjemah Oleh: Mohd Darus Sanawi, Dewan Pustaka Fajar, 1983.
- Mustafa As-Shiba’ie, Sirah Nabi Muhammad SAW – Pengajaran & Pedoman, Pusaka Salam Sdn. Bhd., 2010.
- Sumber imej (foto): Video – Muhammad Utusan Terakhir
berapa banyak golongan ummat nabi muhammad?