SEORANG wanita Islam perlulah memahami kedudukannya sebagai wanita muslimah. Wanita muslimah sentiasa bermatlamat mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala dan iltizam dalam melaksanakan tanggungjawab dalam ruang lingkup yang ditentukan oleh syara’.
Justeru itu wanita muslimah perlu melengkapkan diri dengan pelbagai persiapan. Wanita muslimah perlu memiliki thaqafah. Thaqafah yang dimaksudkan ialah thaqafah syar’iyyah iaitu thaqafah yang berkaitan dengan hukum syara’ terutamanya yang menyentuh fardhu ‘ain (kewajipan yang perlu dilakukan oleh setiap individu muslimah) dan thaqafah ma’sirah iaitu thaqafah yang berkaitan dengan pengetahuan semasa seperti sejarah, peristiwa yang berlaku dalam negara dan juga luar negara.
Wanita muslimah juga berkewajipan melengkapkan diri dengan dengan akhlak yang mulia dan kemahiran yang tertentu agar ia benar-benar ahli dalam melaksanakan tanggungjawabnya sama ada untuk dirinya atau masyarakatnya.
Penjelasan lanjut tentang tanggungjawab wanita muslimah ialah:
- Tanggungjawab terhadap din
Maksud tanggungjawab terhadap din ialah :
- Wanita muslimah hendaklah beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan keimanan yang sampai ke peringkat benar-benar yakin. Juga keimanan yang sampai ke peringkat tama’ninah (kepuasan) mengambil tempat dalam hatinya. Juga keimanan yang memandu ruh atau hatinya untuk mengatur fikiran dan amalannya dengan kebenaran atau al-haq.
Wanita muslimah perlulah memiliki keyakinan yang sampai ke peringkat ia melihat dan merasai bahawa setiap sesuatu dalam kehidupannya mempunyai hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala. Sekiranya ia sering melupakan Allah Subhanahuwata’ala dalam menjalani aktiviti hidupnya bermakna keyakinannya belum mencapai keyakinan yang sebenar. Keyakinannya belum benar-benar jelas dan belum benar-benar berfungsi dalam kehidupannya.
Wanita muslimah yang mempunyai keyakinan yang jelas akan bertajarrud kepada Allah (yakni setiap tindakannya adalah kerana Allah Subhanahuwata’ala semata-mata).
- Wanita muslimah hendaklah yakin terhadap hari akhirat. Dia mestilah merasakan bahawa akhirat adalah matlamat akhir kehidupannya. Hatinya mestilah betul-betul dibentuk dan dipenuhi dengan iman supaya mendapat kebahagiaan hinggalah ke matlamat akhirnya (akhirat).
Masyarakat hari ini tidak memberi perhatian kepada kehidupan akhirat kerana mereka sibuk memberi perhatian kepada kehidupan dunia. Mereka tidak lagi memiliki hati nurani yang bersih yang membolehkan mereka melihat dan menyaksikan kehidupan akhirat.
Lemahnya keyakinan kepada akhirat inilah yang menyebabkan berlaku banyak penyelewengan dalam kehidupan umat Islam hari ini. Walaupun mereka mendakwa mereka yakin kepada akhirat dan menghafal rukun beriman kepada hari akhirat, namun kehidupan mereka jelas menunjukkan tidak kuatnya keimanan kepada hari akhirat.
Bagaimanakah kita dapat membina keimanan kepada hari akhirat sehingga seolah-olah kita dapat menyaksikan siksaan Allah Subhanahuwata’ala dan nikmat Allah Subhanahuwata’ala di hadapan mata kita?.
Jawapannya, kita perlu mencontohi generasi awal yang mengamalkan isi kandungan al-Quran.
Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang memperkatakan tentang azab dan nikmat Allah Subhanahuwata’ala di akhirat. Generasi awal yang telah dididik oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, apabila mereka membaca dan melafazkan ayat tersebut, maka mereka terus nampak dan yakin akan hari akhirat. Mereka terus melaksanakan tuntutan beriman kepada hari akhirat dalam kehidupan mereka di dunia ini.
Pepatah Arab (yang bermaksud):
Tidak ada kampung selepas kematian ini untuk seseorang itu tinggal dalamnya, melainkan apa yang telah dibina dengan amalan-amalannya.
Malangnya keyakinan kepada hari akhirat seperti yang dinyatakan itu tidak lagi benar-benar wujud dalam masyarakat sekarang. Meskipun ayat Allah Subhanahuwata’ala mengenai akhirat dilafazkan kepada mereka, namun ia tidak masuk ke dalam jiwa mereka malah tidak terlintas dalam fikiran mereka dan tidak berkesan dalam hati mereka.
- Wanita muslimah hendaklah meneliti betul-betul akan perintah Allah Subhanahuwata’ala sama ada yang bersangkutan dengan suruhan mahupun tegahan-Nya. Dia hendaklah melaksanakan semua suruhan Allah Subhanahuwata’ala dan meninggalkan semua tegahan Allah Subhanahuwata’ala tanpa cuai.
Itulah antara kewajipan wanita muslimah terhadap dinnya. Banyak lagi kewajipan terhadap din yang perlu dilaksanakan. Perkara di atas hanya beberapa contoh kewajipan yang perlu dilakukan oleh setiap wanita muslimah.
Untuk menjalankan kewajipan terhadap din maka wanita muslimah perlu memiliki ilmu dan kefahaman. Kewajipan terhadap din tidak akan dapat dijalankan tanpa kesungguhan untuk memahami dan meneliti ajaran Allah Subhanahuwata’ala.
Adakah masyarakat hari ini benar-benar meneliti ajaran Allah Subhanahuwata’ala – suruhan dan tegahan-Nya?. Jika sekiranya mereka meneliti ajaran-Nya serta mengamalkannya, maka tentulah tidak akan wujud amalan jahiliah yang bertaburan di merata-rata tempat.
Penelitian yang bersungguh-sungguh terhadap ajaran Allah Subhanahuwata’ala akan melahirkan kefahaman dan kesedaran yang betul pada jiwa umat Islam. Kesedaran dan kefahaman yang betul akan mengelakkan umat Islam daripada mencampurkan Islam dengan jahiliah dalam pelbagai aktiviti hidup. Malangnya realiti kini yang sering berlaku ialah masyarakat merasakan ada hubungan dengan Allah dan akhirat ketika solat akan tetapi selepas solat mereka bergelumang dengan pelbagai amalan jahiliah.
Penelitian yang bersungguh-sungguh akan dapat mengatasi permasalahan Islam diterima melalui adat dan warisan sahaja. Islam itu sewajibnya diterima melalui kefahaman, kesedaran dan keyakinan yang betul. Islam itu mesti diterima sepertimana ia diterima oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat. Manusia tidak ada hak untuk mengubah din Allah Subhanahuwata’ala.
- Tanggungjawab terhadap akal fikiran
Wanita muslimah hendaklah membekalkan akal fikirannya dengan ma’rifah terhadap Allah Subhanahuwata’ala sebagai ilmu yang paling asas. Ia adalah punca segala ilmu yang lain. Sekiranya ma’rifah ini tidak ada maka ilmu yang lain akan mengambil tempat yang utama dalam akal fikiran.
Banyak bidang ilmu pada hari ini telah menjadi sesat kerana tidak dilandaskan atas ma’rifah terhadap Allah Subhanahuwata’ala. Apabila induk ma’rifah tidak jelas maka ma’rifah yang lain akan menjadi induk kepada ilmu pengetahuan. Justeru, lahirlah keangkuhan seperti yang sering berlaku dalam masyarakat kini. Orang yang berilmu bermegah dengan ilmunya. Ilmunya digunakan untuk menekan manusia lain. Maka berlakulah kezaliman dan penindasan di kalangan manusia kerana memahami ilmu tidak dengan cara yang betul.
Seandainya ma’rifah Allah Subhanahuwata’ala menjadi punca kepada ilmu yang lain maka akan tunduklah semua ilmu kepada ma’rifah Allah Subhanahuwata’ala. Ilmu akan difahami dengan lebih baik. Tidak ada orang yang berilmu menjadi angkuh, megah, sombong dan takbur. Juga tidak ada orang yang berilmu akan mempergunakan ilmunya untuk kepentingan dirinya. Sebaliknya orang berilmu akan menggunakan ilmunya sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Subhanahuwata’ala.
Ma’rifah Allah Subhanahuwata’ala mestilah bermula dengan keimanan yang betul kepada-Nya dan kepada prinsip-prinsip keimanan yang lain. Ma’rifah Allah Subhanahuwata’ala mestilah diambil daripada sumbernya yang sahih iaitu al-Quran al-Karim, sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Ma’rifah Allah Subhanahuwata’ala tidak boleh diambil daripada sumber yang lain. Kalau diambil daripada sumber yang lain, maka tidak akan berjumpa ma’rifah Allah yang sebenarnya. Seterusnya akan berlakulah kesesatan.
Ramai manusia pada hari ini, meskipun berilmu pengetahuan yang tinggi namun masih terdapat penyelewengan kerana ilmu mereka tidak berindukkan kepada ma’rifah Allah Subhanahuwata’ala. Seandainya kita menerima ilmu seperti mereka maka kita pun akan turut menyeleweng. Kita juga tidak akan nampak penyelewengan mereka. Bahkan mungkin kita akan berbangga dengan mereka. Kita akan kagum dan takut dengan mereka. Kita akan menjadi orang yang takut kepada selain daripada Allah Subhanahuwata’ala, seperti takutkan ejen musuh. Takutkan ejen musuh kerana menganggap mereka pandai, cekap dan sebagainya. Kita tidak akan menjadi orang yang takut kepada Allah Subhanahuwata’ala yang maha mengetahui segala sesuatu dan segala yang ada dalam jiwa manusia.
Sekiranya kita tidak mencari ma’rifah yang induk yakni ma’rifah Allah terlebih dahulu, maka ma’rifah lain akan rosak. Terdapat ma’rifah lain yang menafikan kewujudan Allah Subhanahuwata’ala. Komunis misalnya, ma’rifahnya menolak kewujudan Allah. Suatu masa dahulu ada seorang pemimpin Russia dengan ilmunya menolak kewujudan Allah Subhanahuwata’ala. Russia telah pergi ke angkasa lepas untuk melihat tuhan. Apabila mereka tidak nampak tuhan di angkasa lepas, maka pemimpin tersebut berkata, Tuhan tidak ada. Terjadinya sebegini kerana ilmu yang ada padanya itu tidak tunduk kepada ma’rifah Allah. Oleh itu hendaklah kita meyakini bahawa ma’rifah Allah Subhanahuwata’ala adalah punca bagi segala ilmu yang lain.
Begitulah juga seorang wanita muslimah hendaklah memahami sejarah Islam, peperangan dalam Islam, siasah dalam Islam dan pelbagai kegiatan ‘aqli dalam Islam. Pada masa yang sama wanita muslimah hendaklah bermujahadah untuk mendidik jiwa dan melengkapkan diri dengan sifat-sifat yang baik.
Dengan memiliki ilmu yang seumpama itu barulah seorang wanita muslimah boleh melahirkan tasdiq amali iaitu melahirkan amalan dalam kehidupan. Kita tidak mahu ilmu menjadi ilmu semata-mata atau perhiasan otak yang tidak terlaksana dalam kehidupan, atau ilmu menjadi bahan perbincangan untuk memuaskan kehendak otak atau akal sahaja tanpa dilahirkan dalam bentuk kenyataan dalam hidup. Ilmu seumpama ini adalah ilmu yang kurang bermanfaat dan tidak berindukkan kepada ma’rifah Allah Subhanahuwata’ala.
Seterusnya wanita muslimah perlu mendalami ilmu realiti, ekonomi, kesihatan, sains dan seumpamanya. Semua ilmu ini diperlukan oleh wanita Islam, kerana pada masa kini bukan lelaki sahaja yang ditaklifkan melaksanakan amal Islami, akan tetapi wanita juga dituntut sedemikian. Cuma skop pelaksanaan amal Islami bagi wanita disesuaikan oleh Islam dengan fitrah kewanitaan mereka.
Kemampuan wanita Islam untuk melaksanakan amal Islami akan diukur pada tahap kemampuan ilmunya, di samping keutuhan imannya dan kemantapan akhlaknya juga. Sebagai contohnya Sayidatina Aisyah, beliau sangat memahami ilmu syara’ dan ilmu realiti. Apabila para sahabat bertanyakan kepada beliau tentang hukum maka beliau dapat memberikan fatwa.
Sebagai kesimpulannya, wanita muslimah perlu memiliki thaqafah istibanah. Thaqafah istibanah terbahagi kepada dua iaitu ilmu syara’ dan ilmu waqi’ (ilmu realiti). Gabungan antara ilmu syara’ dan ilmu waqi’ sangat diperlukan supaya wanita muslimah dapat menilai dan membuat keputusan yang betul terhadap sesuatu perkara atau permasalahan. Oleh itu adalah perlu bagi seorang wanita muslimah membaca akhbar harian, majalah bulanan dan seumpamanya untuk memahami ilmu waqi’.
Sekiranya waqi’ atau realiti tidak diketahui maka adalah sukar bagi seseorang untuk menghukum. Para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan wanita Islam di zaman awal Islam mengetahui secara terperinci tentang realiti. Misalnya Asma’ binti Abu Bakr memahami tentang realiti. Fatimah binti al-Khattab orang yang cergas dalam kegiatan Islam di zaman generasi pertama Islam bukan sahaja memahami secara terperinci tentang realiti bahkan memahami siasah pergerakan yang dibangunkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Wanita muslimah hari ini perlu mencontohi mereka.
Begitulah tugas seorang wanita muslimah dalam hal menambah ilmu.
- Tanggungjawab terhadap rumahtangga
Dalam usaha untuk mewujudkan rumahtangga Islam maka hendaklah rumahtangga itu berasaskan taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala sejak hari pertama lagi. Tidak boleh ia berasaskan kepada adat, nafsu atau nilai-nilai masyarakat semata-mata. Pada hari ini ternyata kebanyakan rumahtangga ditegakkan di atas asas yang lain daripada asas taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala.
Rumahtangga muslim hendaklah menjadi rumahtangga yang dipenuhi dengan amalan-amalan yang diredhai oleh Allah Subhanahuwata’ala.
Hendaklah dalam rumahtangga muslim itu dimakmurkan dengan bacaan ayat-ayat Allah, mempelajari hikmah-hikmah Allah dan mengingati Allah Subhanahuwata’ala.
Hendaklah segala tuntutan dan keperluan dalam rumahtangga itu berada dalam batas yang mencukupi iaitu tidak berlebihan dan tidak pula kurang. Segala keperluannya dipenuhi dengan cara yang sederhana kerana tidak ada kebaikan dalam pembaziran. Al-i’tidal (kesederhanaan) dalam semua hal adalah sifat yang sangat mulia bagi seorang muslim atau muslimah. Segala urusannya sederhana kerana Islam adalah din wasath (din pilihan atau sederhana).
Janganlah seseorang itu bersifat keterlaluan dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Namun bukanlah bermakna seseorang itu tidak boleh menggunakan nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahuwata’ala. Saidina Osman Radiallahu’anhu misalnya, kudanya, rumahnya dan hamparannya adalah lebih baik dan lebih cantik daripada apa yang dimiliki oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Ini kerana beliau lebih berkemampuan untuk menggunakan nikmat Allah Subhanahuwata’ala.
Menggunakan nikmat Allah Subhanahuwata’ala adalah satu cara bersyukur kepada-Nya. Yakni penggunaannya dizahirkan dalam rangka mensyukuri nikmat Allah Subhanahuwata’ala. Oleh itu penggunaan nikmat Allah Subhanahuwata’ala itu mestilah berdasarkan iman dan bukan berdasarkan kepada hawa nafsu. Sekiranya ia berdasarkan kepada hawa nafsu, maka akan lahirlah sifat-sifat tercela seperti suka menunjuk-nunjuk.
- Tanggungjawab terhadap masyarakat
Sekiranya kita tidak berhubung dengan masyarakat maka kita akan terpisah daripada masyarakat. Maka masyarakat yang kita pisahkan itu tidak akan mengenali unsur-unsur atau nilai-nilai Islam. Kita mestilah bersama-sama dengan masyarakat dan melahirkan tindakan-tindakan atau amalan-amalan Islam dalam masyarakat. Dengan cara itu masyarakat akan menyaksi dan mempelajari Islam melalui amalan-amalan dipersaksikan.
Kita perlu berjuang bersungguh-sungguh untuk menegakkan kebenaran Allah Subhanahuwata’ala dalam masyarakat. Kita tidak perlu takut kepada ugutan dan gangguan demi menegakkan kebenaran daripada Allah Subhanahuwata’ala. Sememangnya dalam usaha menegakkan kebenaran akan wujud pelbagai jenis ujian. Malah kadangkala ujian itu datang daripada orang yang mengaku hendak melaksanakan kebaikan.
Dalam melaksanakan kerja Islam dan membentuk kembali masyarakat Islam, perjuangan wanita muslimah adalah sangat perlu dan sangat besar peranannya. Wanita muslimah perlu memahami fikrah Islamiah. Dan, melaksanakannya dan menyampaikannya kepada manusia lain. Wanita muslimah perlu bergiat bersungguh-sungguh dalam dakwah Islamiah.
Kini bilangan wanita yang mengakui Islam tetapi tidak memiliki kefahaman Islam yang sebenarnya sangatlah ramai. Kita memerlukan tenaga yang besar dalam kalangan wanita muslimah yang sedar untuk memberikan kefahaman yang betul kepada masyarakat. Pada masa yang sama wanita muslimah itu tidak takut dan tidak gentar kepada ugutan dan ancaman daripada manusia yang jahil.