Surah/ayat Pilihan

TADABBUR SURAH AL-BAQARAH (Siri 1)

TADABBUR SURAH AL BAQARAH – SIRI 1

NAMA SURAH

Nama surah dikenali dengan nama:
1. Al-Baqarah (Sapi Betina).
2. Fustat al-Quran (Astaka/Balai al-Quran).
3. Sanam al-Quran (Pundak al-Quran).

Dibincangkan oleh Imam al-Alusi dalam kitab tafsirnya Ruh al-Maaniy pada awal Islam tidak digalakkan menyebut surah ini dengan namanya, melainkan dengan menyatakan bahawa ia surah yang menyebut kisah sapi betina. Ini kerana orang kafir mempersendakan namanya. Namun riwayat ini dhaif, kerana diriwayatkan oleh Khalid bin Mi’dan secara Mauquf [1] manakala beliau adalah siqah [2].

SEBAB DINAMAKAN SURAH AL-BAQARAH

Para mufassirin menyebut bahawa surah ini dinamakan al-Baqarah kerana peristiwa yang berlaku pada Bani Israel ketika ada seorang lelaki yang telah dibunuh pada zaman nabi Musa tetapi tidak diketahui pembunuhnya. Maka mereka meminta nabi Musa menghidupkan mayat itu bagi mengetahui siapa pembunuhnya. Bagi memenuhi permintaan itu Allah SWT mensyaratkan mereka menyembelih seekor sapi . Kisah secara terperinci akan dikisahkan pada tafsir ayat tersebut. Kisah inilah yang diangkat sebagai nama kepada surah yang agung ini.

KELEBIHAN SURAH INI

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ وَهُوَ ابْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْقَارِيُّ عَنْ سُهَيْلٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
Daripada Abi Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah. (Riwayat Imam Muslim)

عن أبي أمامة الباهلي :…اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ
Diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahiliy r.a berkata:  Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: … bacalah oleh kamu Surah al-Baqarah maka sesungguhnya mengambilnya adalah barakah, meninggalkannya adalah kerugian, dan sihir tidak mampu ke atasnya.”  ( Riwayat Imam Muslim)

Ia adalah surah Madaniyah. Diriwayatkan oleh Imam al-Wahidiy  an-Naisabury daripada Ikrimah: Surah pertama yang diturunkan di Madinah ialah Surah al-Baqarah. Ia mengandungi 286 ayat.

GOLONGAN SASARAN YANG BAKAL MENDAPAT HIDAYAH

بسم الله الرحمن الرحيم
الم (1) ذَلِكَ الْكِتَبُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ (2) الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلوةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ (3) وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ   إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ (4) أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون(5) (5
1. الم K2. Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.
3. (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.
4. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.
5. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Rabb mereka dan merekalah  orang yang beruntung

1. الم (Huruf Abjad Arab yang bertujuan mencabar orang Arab dalam seni berbahasa mereka dan sehingga kini tiada siapa yang boleh menyahut cabaran untuk menandingi penyusunan ini ataupun mendatang suatu yang standing dengannya. Bahkan menurut Ibnu Taimiyah [3] menyatakan bahawa setiap surah yang dimulakan dengan huruf-huruf sebegini akan dituruti dengan pernyataan membela al-Quran dan mengagungkannya. Gabungan huruf huruf ini merupakan antara keajaiban al-Quran dari segi bahasa dan susunannya.

ذَلِكَ الْكِتَبُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ  .2
Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.

Inilah dia al Quran yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w, tiada keraguan lagi bahawa ia daripada Allah azza wa jalla dan segala isi kandungannya adalah petunjuk bagi mereka yang bertaqwa kepada Allah daripada kalangan orang mukmin. Menurut Ibnu Katsir : Iaitu mereka yang melakukan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. 

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلوةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ .3
(Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.

AYAT INI MENGHURAIKAN CIRI-CIRI ORANG BERTAQWA, YANG DISEBUT DALAM AYAT SEBELUMNYA, IAITU:

a.  Mereka membenarkan apa yang tidak dapat dilihat atau didengar oleh pancaindera mereka seperti syurga, neraka , ganjaran pahala dan azab neraka, hari kiamat dan apa yang berlaku selepasnya.

b. Mereka mendirikan solat dengan menyempurnakan rukun, syarat dan tertib dengan sempurna.

c. Mereka juga membelanjakan apa yang Allah s.w.t kurniakan kepada mereka untuk meraih redha Allah, samada dalam bentuk sedekah ataupun perbelanjaan harian mereka. Ibnu Abbas menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan di sini ialah zakat wajib bagi harta. Ibnu Katsir mengingatkan: Bahawa zakat dan solat yang sering digandingkan dalam al-Quran memberi pemahaman bahawa Allah s.w.t tidak memisahkan antara keduanya kerana solat adalah lambang hubungan kita dengan Allah s.w.t manakala zakat adalah lambang hubungan kita dengan manusia agar kita menyumbang apa yang Allah s.w.t kurniakan kepada kita.   

وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ .4
Dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.

Mereka juga beriman dengan al-Quran dan kitab-kitab terdahulu seperti taurat, injil dan zabur tanpa membezakan antaranya dalam keimanan mereka. Dan mereka mengetahui hakikat akan berlakunya hari akhirat dan mereka yakin sepenuhnya.

أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ .5
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Rabb mereka dan merekalah  orang yang beruntung.

Mereka yang memiliki komponen atau ciri-ciri taqwa tersebut, bakal mendapat hidayah daripada Allah s.w.t, iaitu apa yang terkandung dalam  al-Quran. Mereka juga akan menjadi pemenang sejati dengan mendapatkan Syurga Firdaus, yakni syurga tertinggi.

RUMUSAN DAN TADABBUR

Surah ini surah yang agung, dinamakan dengan nama Sapi Betina (al-Baqarah). Dapatlah direnungkan di sini suatu hikmah yang besar, kerana betapa banyak surah dengan nama-nama yang agung tetapi tidaklah mengandungi perbahasan sebesar apa yang dibincangkan dalam surah ini. Ini memberi petunjuk kepada kita bahawa dalam mengamati sesuatu bukanlah kita terikat pada namanya sahaja tetapi, pada hakikat sebenar perkara itu.

Ia juga satu cetusan agar kita mengamati penciptaan haiwan yang bernama sapi itu, betapa ia bertebaran di mana-mana memberi manfaat kepada manusia, namun yang memelihara sapi, jumlah yang sangat kecil. Begitu juga surah ini, manfaatnya sangat besar, namun yang menghafaznya, membacanya dalam solat dan  mengamalkannya, bilangan mereka sangatlah sedikit.

Surah ini merupakan surah awal al-Quran, muqaddimah surah ini membela al-Quran dengan tegas bahkan mencabar manusia menandingi akan kebenaran dan keajaibannya. Tetapi manusia tidak terdaya menyahut cabarannya.

Allah s.w.t menyebutkan tentang peranan al-Quran sebagai hidayah. Allah s.w.t tidak menghuraikan, dalam muqaddimah ini, apakah definisi dan pendetilan hidayah itu tetapi pengkhususan ditekankan kepada siapakah yang mampu menerima hidayah ini? Dijelaskan apakah ciri-ciri mereka. Perenggan pertama mengutarakan empat ayat untuk menjelaskan siapakah golongan sasaran yang akan mendapat manfaat daripada al-Quran sama ada di dunia mahupun  di akhirat ini. Empat ayat ini menghuraikan kepada kita definisi al-Muttaqin (orang bertaqwa).

Maka di sini kita boleh memahami bagaimana sahabat generasi awal dahulu menerima al-Quran, dalam ungkapan mereka yang ringkas, di mana mereka pernah mengungkapkan: Kami adalah kaum yang diberi keimanan sebelum al-Quran. [4]

PERENGGAN KEDUA:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنْذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ (6) خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (7)(7
6. Sesungguhnya orang kafir, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak juga akan beriman.
7. Allah telah mengunci-mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka siksa yang amat berat.

SEBAB NUZUL

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa dua ayat ini merujuk kepada kaum Yahudi di Madinah. Manakala daripada Rabi’ bin Anas berkata: Dua ayat ini merujuk kepada pihak al-Ahzab dalam peperangan ahzab.

TAFSIRAN RINGKAS

Mereka yang mengingkari ayat-ayat Allah s.w.t dan mendustakan kerasulan Rasulullah s.a.w sama sahaja keadaan kufur mereka itu, sama ada diberi amaran/peringatan ataupun tidak. Ini kerana Allah s.w.t telah menutup pintu hati mereka daripada hidayah-Nya. Kesemua pancaindera mereka tidak lagi dapat menerima cahaya keimanan. Maka kesudahan mereka adalah azab yang pedih dan berkekalan.

RUMUSAN DAN TADABBUR

Mereka yang enggan mencari pedoman daripada al Quran adalah penentang al-Quran. Merekalah yang menolak al Quran. Maka Allah s.w.t menutupi hati mereka daripapa al-Quran sehingga cahaya al-Quran tidak membangkitkan iman dan taqwa di hati mereka.

Antara sebab, mereka bergantung dengan pancaindera mereka dalam menolak perkara ghaib. Allah s.w.t mengurung mereka dalam alam material sehingga pancaindera mereka langsung menjadi cacat daripada berfungsi melihat kebenaran dan menyentuh cahaya  iman atau cahaya al-Quran. Walaupun al-Quran datang berdentum di telinga mereka, mereka tetap tidak mendengar kebenarannya. Walaupun kebenaran al-Quran terpampang di hadapan mata mereka mereka tetap tidak nampak pentunjuknya. Walaupun al-Quran meruntun emosi dan perasaan mereka, mereka tidak menjiwainya. Jadilah mereka orang cacat di alam material dan gagal mengecapi hidayah al-Quran.

Maka pengakhiran mereka sangatlah menakutkan, di mana kesesatan mereka umpama permulaan bagi perjalanan seorang musafir yang membinasakan. Azab yang tidak ada noktah perhentian sedang menanti mereka.

Susunan:
USTAZ MOHAMMAD UMAR AIMAN OSMAN
– Guru Tafsir & Ulum Al-Quran Maahad Tahfiz al-Aqsa
– BA (Sastera Arab), Universiti Antarabangsa Afrika, Khartoum
– BA (Ulum al-Quran & Tafsir), Universiti Antarabangsa al-Madinah
(18/7/2019)

_______________________

[1] Terhenti pada sahabat tanpa sampai kepada Nabi s.a.w.
[2] Perawi yang diterima hadisnya.
[3] Ruj. Sofwatu al-Tafasir oleh Syeikh Muhammad Ali Assobuniy.
[4] Hadis riwayat Ibn Majah dan Baihaqi.

Print Friendly, PDF & Email
Tags

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close