PENYAKIT PERIBADI YANG MENJEJASKAN KEHIDUPAN BERORGANISASI

Oleh Ustaz Omar Hi Salleh
15.1.2019

USTAZ Said Hawa menjelaskan bahawa ada 4 penyakit peribadi yang boleh menghalang daripada lahirnya kehidupan berorganisasi yang selaras dengan ajaran Islam, iaitu:

1. شح (syukh), yakni sifat bakhil dan tamak yang dipatuhi.
2. Hawa nafsu yang diikuti.
3. Dunia yang menguasai.
4. Kagum dan keras dengan pendapat sendiri.

Sebahagian daripada penyakit di atas ada dinyatakan dalam riwayat berikut:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ثلاث مهلكات : شح مطاع، وهوى متبع، وإعجاب المرء بنفسه
(رواه البزار والطبراني وحسنه الألباني)
Sabda Rasulullah SAW: Tiga perkara yang membinasakan: Bakhil dan tamak yang dipatuhi, hawa nafsu yang diikuti, dan kagum dengan pendapat sendiri.

Tidak mungkin  wujud kehidupan berorganisasi atau kehidupan berjama’ah atau hayah jama’iyah yang sebenar jika ada penyakit-penyakit ini dalam diri individu muslim. Sebuah organisasi, lebih-lebih lagi organisasi Islam, tidak akan dapat hidup atau berfungsi dalam erti kata sebenar dengan bercambahnya penyakit-penyakit ini. Maka, diperingatkan kepada para murabbi dan pendakwah supaya membersihkan diri daripada penyakit-penyakit ini agar organisasi Islam boleh terus hidup dan membimbing masyarakat, bukan sekadar nampak wujud organisasi sahaja.

Untuk membersihkan diri daripada penyakit ini semua, ia memerlukan proses tarbiah yang berterusan.

Ustaz Said Hawa menyarankan agar penyakit-penyakit ini dirawat seperti berikut:

1. Penyakit شح (bakhil dan tamak) dapat dirawat dengan membiasakan diri berinfaq di jalan Allah SWT. Jiwa mesti ditarbiahkan dengan sifat pemurah agar penyakit tersebut dapat disembuhkan InsyaAllah.

Permasalahan ini tidaklah mudah untuk diselesaikan, bahkan mungkin sangat berat, kerana penyakit ini sentiasa hadir dalam jiwa manusia. Jika jiwa ingin bersedekah, maka sifat شح itu akan datang.

Firman Allah SWT:

وَإِنِ ٱمۡرَأَةٌ خَافَتۡ مِنۢ بَعۡلِهَا نُشُوزًا أَوۡ إِعۡرَاضٗا فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡهِمَآ أَن يُصۡلِحَا بَيۡنَهُمَا صُلۡحٗاۚ وَٱلصُّلۡحُ خَيۡرٞۗ وَأُحۡضِرَتِ ٱلۡأَنفُسُ ٱلشُّحَّۚ وَإِن تُحۡسِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٢٨ [سورة النساء,١٢٨] Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya nusyuz (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) untuk  membuat perdamaian antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai), sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabi’at semula jadi yang ada pada diri manusia dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan) dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. [An Nisa’: 128]

Ini bermakna, sifat ini sentiasa hadir dalam jiwa manusia. Namun, hamba yang beriman mestilah melawan dan memerangi sifat ini dengan cara mengingati akan janji-janji Allah SWT. Allah SWT akan gantikan apa yang dikorbankan di jalan-Nya dengan sebaik-baik pembalasan.

Firman-Nya:

قُلۡ إِنَّ رَبِّي يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ مِنۡ عِبَادِهِۦ وَيَقۡدِرُ لَهُۥۚ وَمَآ أَنفَقۡتُم مِّن شَيۡءٖ فَهُوَ يُخۡلِفُهُۥۖ وَهُوَ خَيۡرُ ٱلرَّٰزِقِينَ ٣٩
Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Rabb-ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga  menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah sebaik-baik Pemberi rezeki.  [Saba’ : 39]

2. Penyakit hawa nafsu yang diikuti, boleh dirawat dengan membiasakan diri memerangi hawa nafsu kerana takut dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Firman-Nya:

وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ ٤٠ فَإِنَّ ٱلۡجَنَّةَ هِيَ ٱلۡمَأۡوَىٰ ٤١
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Rabb-nya (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu.
Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.  [An Nazi’at : 40-41]

Inilah janji Allah SWT. Orang yang takut kepada Allah SWT dan melawan hawa nafsu, maka syurgalah baginya.

Ayat ini juga mengisyaratkan kepada kita bahawa خشية الله  (takut kepada Allah SWT) ada hubungan rapat dengan jihad melawan hawa nafsu. Sesiapa yang tidak ada rasa takut kepada Allah SWT dalam qalbunya, maka dia tidak akan berjaya menguasai diri dan nafsunya. Walaupun mungkin dia berjaya dalam beberapa hal, tapi dia akan gagal dalam pelbagai hal yang lain. Contohnya, mungkin dia berjaya dalam hal menunaikan solat, tetapi dia gagal dalam hal menutup aurat.

خشية الله (Takut kepada Allah SWT) dapat dibina dengan cara kita benar-benar mengenali Allah SWT. Hanya orang yang benar-benar mengenali Allah SWT sajalah yang akan takut kepada-Nya.

Firma Allah SWT:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ وَٱلدَّوَآبِّ وَٱلۡأَنۡعَٰمِ مُخۡتَلِفٌ أَلۡوَٰنُهُۥ كَذَٰلِكَۗ إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ ٢٨
Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya. Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. [Fatir : 28]

Mengenal Allah SWT bukanlah cukup sekadar معرفة عقلية  (kenal dalam fikiran atau mental exercise sahaja), bahkan kita dikehendaki mengenal Allah SWT dengan معرفة ذوقية (merasai keagungan Allah SWT dalam hati, perasaan  dan syu’ur). Kenal Allah SWT seperti inilah yang akan menyuburkan rasa takut kepada Allah SWT dalam jiwa seseorang dan tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu.

3. Penyakit ketiga ialah dunia menguasai. Ini bukan bermakna kita tidak mahu kehidupan dunia, tetapi kita jadikan dunia sebagai wasilah menuju akhirat. Kata Imam Ghazali: Jangan letak dunia dalam kalbu (hati) walaupun dunia berada dalam tangan.

Penyakit ini boleh dirawat dengan sentiasa ingatkan akhirat. Kita perlu didik hati dan jiwa kita dengan matlamat ukhrawi dalam semua hal. Kata Al-Marhum DKB Ustaz Dahlan: Akhiratkan yang akhirat, akhiratkan yang dunia.

Kita perlu selalu kenangkan saat kematian. Ini kerana kematian itu pasti. Juga saat sesudah mati (barzakh, mahsyar dll – semuanya pasti). Jadi  beringat-ingatlah bahawa hidup ini adalah untuk mencari redha Allah SWT. Kita perlu sentiasa sedar di mana letak nilai dunia berbanding nilai hidup bahagia di akhirat.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ ٣٨
Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jika dibanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.  [At-Taubah : 38]

Kalau Allah SWT kata sedikit maknanya memang benar bahawa ia amat sedikit.

4. Penyakit keempat ialah kagum serta berkeras dengan pendapat/ pemikiran sendiri. Penyakit ini boleh dirawat dengan menyedari bahawa akal manusia ini sangatlah terbatas. Setinggi mana pun ilmunya, akalnya tetap terbatas. Akal sekali-kali tidak mampu untuk berfikir perkara-perkara ghaib (tanpa bimbingan wahyu Allah SWT).

Anggota organisasi Islam perlu sedar akan keberkatan pemikiran dalam syura yang matang. Sebab itu organisasi Islam perlu bersyura, berunding dan bermusyawarah.

Firman Allah SWT:

فَمَآ أُوتِيتُم مِّن شَيۡءٖ فَمَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيۡرٞ وَأَبۡقَىٰ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ ٣٦ وَٱلَّذِينَ يَجۡتَنِبُونَ كَبَٰٓئِرَ ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡفَوَٰحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُواْ هُمۡ يَغۡفِرُونَ ٣٧ وَٱلَّذِينَ ٱسۡتَجَابُواْ لِرَبِّهِمۡ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَهُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ ٣٨ وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَابَهُمُ ٱلۡبَغۡيُ هُمۡ يَنتَصِرُونَ ٣٩ وَجَزَٰٓؤُاْ سَيِّئَةٖ سَيِّئَةٞ مِّثۡلُهَاۖ فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّٰلِمِينَ ٤٠
Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (daripada pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Rabb-nya.
Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.
Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menyahut dan menyambut perintah Rabb-nya serta mendirikan solat dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepadanya.
Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas).
Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya. Dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlaku zalim.  (As-Syura : 36-40)

 

Print Friendly, PDF & Email

About Abu Taqiy Hussein

Ketua Editor

Check Also

WhatsApp Image 2018-03-29 at 12.03.33 PM

FAKTOR-FAKTOR YANG MENGANDALAKAN GERAKAN ORGANISASI (FAKTOR2): FAKTOR LAURAN

 (FAKTOR 2): FAKTOR LUARAN 1. Musuh-musuh Islam berada di barat dan di timur. Mereka sentiasa …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *