Ukhuwah

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGHINDARI KEROSAKAN UKHUWAH

Muqaddimah

Ukhuwah adalah suatu nikmat yang manis. Ukhuwah yang benar dan sah lahir dari iman. Persaudaraan atau kasih sayang yang lahir dari perasaan ta’sub kesukuan dan kebangsaan adalah ukhuwah palsu yang tidak mendapat tempat di sisi Allah Subhanahuwataala.

Iman bagi seseorang yang tidak  melahirkan ukhuwah menunjukkan dua kemungkinan:

  1. Imannya palsu
  2. Imannya benar tetapi diserang oleh penyakit tertentu yang menyebabkan ia tidak berupaya menghasilkan natijah.

Kita, yang beriman kepada Allah Subhanahuwataala hendaklah berwaspada daripada kemungkinan kedua di atas.

Tujuh langkah menghindari kerosakan ukhuwah

Allah Subhanahuwataala, dalam surah Al Hujurat, telah memaparkan tujuh langkah untuk menghindari kerosakan ukhuwah, iaitu:

  1. Tabayyun (تبين )

Tabayyun bererti mencari penjelasan maklumat. Yakni, mencari bukti kebenaran sesuatu maklumat yang diterima. Sikap terburu-buru menerima sesuatu maklumat mengenai saudara seIslam boleh mengakibatkan kerosakan ukhuwah.

Musuh Islam memang cemburu melihat ukhuwwah yang terjalin rapi. Mereka akan menghebahkan sesuatu berita dengan tujuan untuk memporak-purandakan ukhuwwah orang Islam. Di samping itu, disebabkan kelalaian atau kecuaian, seseorang muslim mungkin juga akan menghebahkan sesuatu berita yang boleh mencemarkan ukhuwah di kalangan orang Islam. Atau, memburukkan lagi keadaan ukhuwah yang telah sedia terganggu.

Di sinilah perlunya sikap tabayyun.  Sehinggalah maklumat atau berita yang tidak betul dapat dibendung dari awal-awal lagi. Allah Subhanahuwataala berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ ٦
Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Surah Al Hujurat : 6)

Ayat ini mempunyai hubung kait dengan kisah hadithulfik (berita dusta) yang menimpa Sayyidah ‘Aisyah yang cukup menggoncangkan keadaan di zaman Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam.

Kalau berita yang datang daripada orang fasiq harus diteliti, maka apatah lagi berita yang dihebahkan oleh musuh-musuh Islam yang nyata seperti yahudi, musuh dari barat dan seumpamanya.

  1. ‘Adamus Sukhriyyah (عدم السخرية )

Ertinya tidak memperolok-olokkan orang atau kelompok lain. Firman Allah Subhanahuwataala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٞ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرٗا مِّنۡهُمۡ
Wahai orang yang beriman, janganlah satu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olokkan).”
(Surah Al Hujurat : 11)

Seseorang atau suatu kelompok yang suka memperolok-olokkan orang lain atau kelompok lain, biasanya menganggap dirinya atau kelompoknya lebih baik daripada yang lain.  Padahal Allah Subhanahuwataala menegaskan bahawa orang yang diperolok-olokkan itu boleh jadi lebih baik daripada orang yang memperolok-olokkan.

Dengan sikap sukhriyyah (memperolok-olok) ini, suasana ukhuwah antara individu-individu atau antara kelompok-kelompok yang bersih boleh menjadi keruh. Yang sedia keruh akan bertambah keruh.

Pada masa ini terdapat banyak kelompok atau organisasi dakwah yang menyebarkan Islam. Antara mereka sering kali ada perbezaan-perbezaan tertentu. Ada yang meletakkan al hadaful a’la (sasaran tertinggi)nya untuk menegakkan khilafah Islamiah. Ada pula yang menetapkan pembaikan ibadah dalam bidang tertentu sebagai sasaran tertingginya. Keadaan ini,  kadang-kadang melahirkan suasana tanafus (persaingan) yang tidak sihat. Persaingan ini semakin tidak sihat sekiranya satu kelompok mencemuh atau memperolok-olokkan kelompok yang lain.

Seharusnya setiap kelompok itu berusaha ke arah penyatuan hakiki, atau berlapang dada untuk mewujudkan suasana ta’awun, bagi menghadapi konspirasi taghut yang kini menghentam Islam dari berbagai sudut.

  1. ‘Adamul Lamz (عدم اللمز‎‎‎‎‎ )

Ertinya ialah tidak mencela orang lain. Ini ditegaskan oleh Allah Subhanahuwataala dengan firmanNya:

وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ
Dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri  (Al Hujurat : 11)

Berdasarkan ayat ini, perbuatan mencela sesama muslim dianggap mencela diri sendiri.  Ini kerana pada hakikatnya kaum muslimin dianggap satu kesatuan. Kemenangan Islam hanya akan dapat dicapai dengan adanya kekuatan aqidah dan ukhuwah. Adalah sukar untuk mencapai kemenangan Islam jika tidak ada cinta sebagai pengikat ukhuwah lantaran sebahagian mukmin mencela sebahagian yang lain. Apatah lagi jika celaan itu berkaitan dengan permasalahan pangkat dan kebendaan.

Allah Subhanahuwataala menyuruh Rasul dan orang-orang beriman bersabar di atas segala kekurangan orang mukmin yang lain. FirmanNya:

وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ رَبَّهُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجۡهَهُۥۖ
Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Rab mereka di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya (Surah Al Kahfi : 28)

Cela mencela itu adalah salah satu kebiasaan orang munafik. Allah Subhanahuwataala menjelaskan kepada kita:

وَمِنۡهُم مَّن يَلۡمِزُكَ فِي ٱلصَّدَقَٰتِ فَإِنۡ أُعۡطُواْ مِنۡهَا رَضُواْ وَإِن لَّمۡ يُعۡطَوۡاْ مِنۡهَآ إِذَا هُمۡ يَسۡخَطُونَ ٥٨
Dan di antara mereka ada orang yang mencelamu tentang (pembahagian) zakat (iaitu orang munafik). Jika mereka diberi sebahagian daripadanya, mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadanya, serta merta mereka menjadi marah (Surah At Taubah : 58)

  1. Tarkut Tanabuz (ترك التنابز‎‎‎‎ )

Iaitu meninggalkan panggilan-panggilan yang tidak baik terhadap sesama muslim. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwataala:

وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ ١١
Dan janganlah kamu saling memanggil dengan sebutan-sebutan (yang buruk) (Surah Al Hujurat : 11)

Tanabuz yang paling buruk ialah memanggil orang mukmin dengan panggilan yang membawa maksud ‘kafir’.  Atha, salah seorang mufassirin mengatakan, “Tanabuz adalah nama atau sebutan yang engkau tujukan kepada seseorang yang mengandungi erti bahawa orang itu bukan muslim (Tafsir Fathul Qadir vol V hal. 64).

Contohnya apabila seorang muslim menolak dakwah seorang pendakwah maka janganlah dengan mudah pendakwah itu berkata, “Ah, orang itu bersikap seperti Abu Talib… !”

  1. Ijtanibu Kathiran Minadzan (اجتنبوا كثيرا من الظن‎‎‎‎ )

Allah subhanahuwataala berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ
Wahai orang yang beriman jauhkanlah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian prasangka itu dosa.
(Surah Al Hujurat : 12)

Pada dasarnya seorang muslim dengan muslim yang lain bersikap  berbaik sangka, kecuali jika ada bukti-bukti yang jelas bahawa dia melakukan kesalahan. Sebaliknya, kaum muslim harus berperasaan curiga dan berhati-hati terhadap musuh atau orang kafir.

Prasangka buruk terhadap sesama muslim boleh menjurus kepada kebinasaan ukhuwah Islamiah. Kita telah bertemu dengan banyak kumpulan-kumpulan orang Islam yang dilanda krisis ukhuwah, yang mana kalau diteliti, adalah berpunca daripada prasangka buruk yang tumbuh subur di kalangan mereka.

Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermafhum):

Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu adalah paling dusta. (Riwayat Bukhari)

  1. ‘Adamut Tajassus ( عدم التجسس‎‎‎‎ )

Iaitu tidak mencari-cari kesalahan atau aurat orang lain. Perbuatan ini amat dicela oleh Islam. Allah Subhanahuwataala amat suka apabila hambaNya berusaha untuk menutup ‘aib saudaranya. Dengan sikap ini, akan terbukalah kesempatan bagi mereka yang khilaf atau lalai  itu untuk kembali masuk ke dalam bi’ah solehah. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَ لَا تَجَسَّسُواْ
Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan (dan aurat) orang lain  (SurahAl Hujurat : 12)

Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermafhum):

Janganlah kamu sekelian saling mendengki, saling membenci dan janganlah pula saling mencari kesalahan.

Diriwayatkan bahawa ‘Umar bin Khattab berjalan-jalan di kota pada waktu malam untuk meninjau-ninjau keadaan rakyatnya. Tiba-tiba beliau mendengar seorang lelaki menyanyi-nyanyi dari dalam sebuah rumah. Maka Umar pun naik ke atas dinding pagar rumah itu dan masuk ke dalamnya lalu berkata: “Wahai musuh Allah, apakah kamu mengira bahawa Allah akan menutupi perbuatan dosamu itu?”.

Orang itu pun menjawab: “Engkau jangan terburu-buru menghukum aku bersalah wahai Amirul Mukminin. Jika aku melakukan kesalahan, maka engkau telah melakukan tiga kesalahan sekali gus. Pertama engkau telah masuk ke dalam rumah ini bukan melalui pintu padahal Allah berfirman:

وَأۡتُواْ ٱلۡبُيُوتَ مِنۡ أَبۡوَٰبِهَاۚ

Dan masuklah ke dalam rumah-rumah itu dari pintu-pintunya. (Surah Al Baqarah : 189)

Kedua, engkau telah masuk ke dalam rumah ini tanpa izin penghuninya, pada hal Allah telah berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتًا غَيۡرَ بُيُوتِكُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُواْ وَتُسَلِّمُواْ عَلَىٰٓ أَهۡلِهَاۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ ٢٧
Hai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. (Surah Al Nur : 27)

Dan, yang ketiga, engkau telah melakukan tajassus (mencari-cari kesalahan), pada hal ia jelas dilarang oleh Allah dengan firmanNya:

وَ لَا تَجَسَّسُواْ
Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan (dan aurat) orang lain (Surah Al Hujurat : 12)

Lalu Umar berkata pula: “Mahukah engkau memaafkan aku?”. Orang itu menjawab: “Sudah tentu!”. Lalu Umar pun keluar dan meninggalkannya. (Hayatus Sahabah, 2:240).

  1. Ijtinabul Ghibah (اجتناب الغيبة‎‎‎‎ )

Allah Subhanahuwataala menegaskan:

وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ
Dan janganlah kamu mengganjing sebahagian yang lain. (Surah Al Hujurat : 12)

Ghibah sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam adalah menceritakan keburukan atau kelemahan orang lain.

Apabila seseorang menceritakan kelemahan orang lain, maka ada dua kemungkinan yang merugikan. Pertama, apa yang dicerita itu benar berlaku, maka perbuatan itu dinamakan ghibah. Kedua, apa yang diceritakan itu tidak berlaku atau tidak benar, maka perbuatan itu dinamakan fitnah.

Begitu besar dosa ghibah sehingga Allah Subhanahuwataala menyamakan orang yang melakukannya dengan orang yang memakan daging saudaranya yang telah mati. Dalam sebuah hadith diterangkan, ketika Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam dimi’rajkan, baginda dipersaksikan dengan seorang yang berkuku tembaga sedang mencakar-cakar wajah dan dadanya. Baginda bertanya kepada Malaikah Jibril: “Apakah dosa orang itu wahai Jibril?”. Jibril menjawab: ”Dia adalah orang yang suka memakan daging saudaranya ketika di dunia (ghibah).”

Penutup

Demikianlah Al Qur’an dan As Sunnah menuntut agar umat Islam sentiasa berada dalam suasana ukhuwwah Islamiah yang indah.  Tujuh langkah di atas merupakan jalan-jalan utama untuk menjaga kekuatan ukhuwwah Islamiah. Semoga Allah selalu mengikat hati-hati kita yang beriman kepada-Nya.

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button