HAK Milik dalam Islam
Sistem ekonomi Islam terbina di atas prinsip kepemilikan (الملكية) yang diurus dan ditadbir dengan baik. Sistem ini membawa kepada keselesaan, kestabilan, menghalang kezaliman dan menafikan perselisihan/pergaduhan.
Konsep Kepemilikan
Maksud (الملكية) adalah mengelilingi sesuatu. Manakala definisi istilah adalah hak terhadap sesuatu yang menjadi pemiliknya berhak menggunakan barang tersebut dan mengambil manfaat daripadanya melalui cara yang dibenarkan syarak. Setiap manusia yang memiliki sesuatu menjadi satu-satunya pihak yang berhak menggunakannya. Tiada manusia lain dibenarkan menggunakannya melainkan dengan izin pemiliknya.
Jenis Kepemilikan
Terdapat beberapa jenis kepemilikan dalam Islam, antaranya:
1. Kepemilikan Individu
Seseorang individu yang memiliki sesuatu barang, akan menjadikannya boleh menggunakan barang tersebut dan mengambil manfaat daripadanya berdasarkan kehendaknya sendiri, tanpa perlu izin atau wasiat daripada orang lain. Islam melihat bahawa kepemilikan individu adalah salah satu daripada cara pengembangan dan pelaburan harta, serta salah satu daripada prinsip umum ekonomi Islam. Ia juga adalah jalan untuk maju dan berkembang.
2. Kepemilikan Umum
Ia adalah kepemilikan yang merujuk kepada sekumpulan individu dalam masyarakat. Setiap pihak berkongsi hak untuk menggunakan dan mengambil manfaat daripadanya, tanpa memberi kesan kepada hak pihak lain untuk menggunakannya. Antara contoh kepemilikan jenis ini adalah jalan raya, sumber air, masjid, sungai dan laut.
3. Kepemilikan Negara
Kepemilikan jenis ini merujuk kepada hak pemerintah negara terhadap sesuatu perkara. Pemerintah adalah entiti yang mewakili kerajaan. Mereka mempunyai hak menggunakan dan mengambil manfaat sesuatu perkara selari dengan peruntukan undang-undang yang digunakan untuk maslahah umum, seperti peruntukan yang diperlukan untuk sistem ketenteraan negara, pembinaan jalan dan projek pembangunan. Semua perkara ini akhirnya akan kembali kepada kepemilikan umum, namun ia lebih spesifik kerana kepemilikan negara, kerana ia akan kembali kepada tugas negara, bukan keseluruhan rakyat.
Kaedah Kepemilikan yang Dibenarkan Syarak
Islam telah meletakkan beberapa cara untuk memilik sesuatu harta. Berikut adalah ringkasannya:
1. Tangkapan: Tangkapan yang dibenarkan pada perkara yang belum dimiliki dan digunakan oleh orang lain seperti menangkap haiwan daratan dan ikan di lautan, atau kayu kayan yang belum dimiliki. Maka ia dibenarkan memilikinya.
2. Kontrak harta: Kontrak antara dua pihak untuk membentuk persepakatan, memindahkan atau memansuhkan, seperti kontrak jual beli yang membawa kepada pemindahan barang daripada penjual kepada pembeli. Maka, kontrak dikira sebagai jalan untuk memiliki barang yang dibenarkan syarak.
3. Harta warisan: Ia adalah perpindahan harta seseorang selepas kematiannya. Syariat Islam telah menetapkan bahagian tertentu bagi setiap waris berdasarkan jenis kerabat. Pewarisan adalah kaedah yang dibenarkan syarak untuk memiliki barang.
4. Penghasilan daripada setiap perkara/harta yang dimiliki: Setiap hasil daripada perkara yang dimiliki akan menjadi milik tuannya. Sesiapa yang memiliki lembu, maka anak lembu yang dilahirkan akan menjadi milik tuan lembu tersebut. Begitu juga dengan orang yang memiliki pokok, dia akan memiliki buah yang terhasil daripada pokok itu.
5. Pekerjaan/Kerjaya: Sebagai contoh, orang yang bekerja menggali telaga atau membina rumah dengan gaji atau upah tertentu. Maka, pekerjaan tersebut diiktiraf oleh syarak sebagai salah satu cara mendapatkan harta.
6. Zakat dan sedekah: Harta yang diperolehi golongan fakir miskin melalui bantuan zakat dan sedekah akan menjadi milik mereka secara sah.
Peraturan yang Ditetapkan Syarak
Syariat Islam telah membenarkan kepemilikan individu dan memberikan setiap pemilik barang menggunakan dan mengambil manfaat daripada barangnya sendiri. Namun, kebebasan ini tidak bersifat mutlak, sebaliknya syariat telah menetapkan beberapa peraturan untuk menguruskan kepemilikan tersebut. Ia mestilah mencapai objektif dan tujuan sebenar. Antara peraturan yang telah ditetapkan adalah:
1. Menggunakan harta pada tempat yang dibenarkan syarak: Tidak dibenarkan menggunakan harta pada perkara memudaratkan orang/pihak lain, lebih-lebih lagi jika memudaratkan din (agama), nyawa dan keturunan. Sabda Rasulullah SAW:
لا ضرر ولا ضرار
Terjemahan: “Tiada mudarat dan tidak memudaratkan”.
2. Menyimpan harta tanpa digunakan: Tidak boleh menyimpan harta tanpa digunakan atau dilaburkan. Ini kerana, ia membawa kepada sekatan peranan wang/duit dan pengembangan harta.
3. Larangan israf dan pembaziran: Israf adalah menggunakan harta melebihi had yang sepatutnya, manakala membazir adalah menggunakan harta pada perkara yang tidak bermanfaat. Islam menuntut hikmah dan ketepatan dalam menggunakan harta, tanpa pembaziran atau kedekut.
4. Membayar zakat: Islam mewajibkan setiap muslim yang mempunyai harta membayar zakat jika cukup nisab dan mencapai haul. Dia wajib membayar zakat pada nilai tertentu daripada harta tersebut dengan cara yang tertentu.
5. Memberi nafkah: Islam mewajibkan setiap muslim yang berkemampuan memberi nafkah kepada ahli keluarganya. Islam telah meletakkan sistem nafkah tertentu.
Kerja yang Tidak Dibenarkan Syarak
Islam telah mengharamkan beberapa pekerjaan, antara pekerjaan yang jelas dilarang adalah:
1. Mencuri: Iaitu mengambil hak orang lain secara sembunyi dari kawasan tuan barang. Islam telah mengharamkan pencurian dan menjadikannya jenayah yang wajib dikenakan hukuman tertentu.
2. Merampas: Mengambil hak orang lain secara terang-terangan dengan kuasa dan paksaan. Jenayah ini menyebabkan pelaku dikenakan hukuman takzir yang ditentukan oleh undang-undang, berdasarkan tahap dan kesan jenayah yang dilakukan terhadap individu dan masyarakat
3. Monopoli: Iaitu menyembunyikan barang supaya harganya meningkat. Cara ini menyebabkan sekatan pada keperluan asasi rakyat dan mengaut keuntungan dengan cara yang salah.
4. Riba: Pertambahan modal dengan cara yang salah. Pemilik harta akan meningkatkan bayaran hutang disebabkan penangguhan.
5. Perjudian: Ia adalah cara mendapatkan harta tanpa perlu bekerja dan berusaha, sebaliknya bergantung kepada beberapa permainan dengan daun terup, dadu, nombor ekor dan sebagainya.
Islam telah mengharamkan perjudian sebagai cara mendapatkan harta kerana ia tidak membawa kepada pertambahan dan pelaburan harta, sebaliknya membawa kepada fitnah dan kerugian. Firman Allah SWT:
إِنَّـمَا الْـخَمْرُ وَالْـمَيْسِرُ وَالأَنْصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوْهُ
Terjemahan: “Sesungguhnya arak, judi, puja berhala dan tilik nasib dengan batang lidi, semua itu adalah kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, jauhilah ia.” [al-Ma’idah: 90].
6. Menjual barang haram – seperti arak, dadah dan daging busuk. Semua perkara ini menyebabkan mudarat kepada individu dan masyarakat.
7. Rasuah, penipuan dan cara lain yang membawa kepada pengumpulan harta secara batil daripada orang lain dengan cara yang salah.
PENERBIT DAN NAMA KITAB ASAL:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
al-Anzimah al-Islamiyyah (Sistem-Sistem Islami),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est), hal. 15-19.