KAUM muslimin telah mengenali sistem kementerian lebih awal. Peraturan sistem kementerian telah disusun pada zaman khalifah ‘Abbasiyyah. Ia telah menjadi salah satu daripada badan pelaksana yang penting kerana ia memikul tugas terbesar dalam mentadbir manusia. Konsep kementerian-kementerian (الوِزَارَةُ) berasal daripada perkataan (الْوِزْرُ) yang bermaksud beban dan tanggungan, atau perkataan (الْوزَر) yang bermaksud tempat yang dicari, atau perkataan (الْأَزْرُ) yang bermaksud bahagian belakang badan.
Maksud istilah pula adalah suatu tugas pentadbiran yang diserahkan oleh khalifah, bagi sesiapa yang boleh menjalankan tugas khalifah (mewaikili khalifah), untuk memudahkan urusan negara, atau melaksanakan sesuatu urusan pentadbiran.
Sejarah Konsep Kementerian dalam Islam
Perkataan (الوِزَارَةُ) disebutkan di dalam al-Qur’an al-Karim melalui kata-kata Nabi Musa AS:
وَٱجۡعَل لِّي وَزِيرٗا مِّنۡ أَهۡلِي . هَٰرُونَ أَخِي ٣٠ ٱشۡدُدۡ بِهِۦٓ أَزۡرِي . وَأَشۡرِكۡهُ فِيٓ أَمۡرِي
Dan jadikanlah untukku seorang penyokong daripada keluargaku. Iaitu Harun saudaraku. Kuatkanlah pendirianku dengan sokongannya. Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku. [Taha: 29-32].
Para sahabat di zaman Rasulullah SAW menggunakan gelaran al-wazir pada Abu Bakr RA ketika baginda SAW masih hidup. Diriwayatkan bahawa Abu Bakr berkata kepada kaum Ansar di Saqifaf Bani Sa‘adah selepas kewafatan Rasulullah SAW: Kamu semua adalah menteri manakala kami adalah penguasa. Semua ini menunjukkan bahawa masyarakat Arab dan kaum muslimin menggunakan perkataan ini untuk menggambarkan maksud penolong dan pembantu ketua dalam memudahkan urusan pentadbiran dan pengurusan rakyat.
Pada zaman Umawiyah, timbul jawatan al-Katib yang berperanan seperti Wazir ketika menggunakan sistem Khalifah. Antara tokoh yang terkenal memegang jawatan ini adalah ‘Abd al-Malik yang berperanan sebagai menteri pada zaman Khalifah Marwan bin Muhammad. Pada zaman Abasiyah, konsep wizarah masih kekal dan menjadi suatu jawatan politik yang tetap. Ia mempunyai peranan, tugas dan syarat yang tertentu. Kemudian, peranannya mula berkembang dan menjadi salah satu daripada badan pelaksana terpenting dalam pentadbiran negara. Antara menteri yang popular pada zaman Abbasiyah adalah Ja‘far bin Yahya al-Barmuki yang bertugas pada pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid.
Jenis-jenis Kementerian dalam Fiqh Islami
Fiqh Islami membahagikan kementerian kepada dua iaitu:
1. Wizarah al-Tafwid (وزارة التفويض)
Ia dinamakan dengan wizarah tafwid disebabkan ketinggian dan keluasan skop tugas bagi menteri ini. Khalifah menyerahkan segala urusan secara mutlak sebagai pengganti Khalifah bagi memudahkan urusan pentadbiran negara secara keseluruhan. Antaranya:
a. Melantik dan melucutkan gabenor, wakil kerajaan dan qadi.
b. Mengagihkan harta pada tempat yang dibenarkan serta mengutip hasil dari tempat yang dibenarkan.
c. Menghantar tentera, mengisytiharkan perang dan memeterai perjanjian.
Perlu dimaklumi bahawa sesiapa yang berada di jawatan yang diserahkan oleh Khalifah ini perlu menjalankan tugas daripada arahan Khalifah, mendapatkan persetujuan dan tandatangannya.
2. Wizarah al-Tanfiz (وزارة التنفيذ)
Kedudukan menteri ini adalah lebih rendah daripada wizarah tafwid. Tugas dan peranannya terhad kerana khalifah melantik seseorang untuk mentadbir sesuatu bidang atau urusan negara, atau melaksanakan sesuatu tugas tertentu seperti yang dikehendaki oleh ketua negara. Boleh jadi ia melibatkan pengurusan harta, pertanian, pengairan, pembaikan jalan, pembinaan jambatan dan lain-lain. Oleh sebab itu, para fuqaha meletakkan kementerian ini terikat dengan arahan yang diputuskan oleh khalifah supaya melaksanakannya dengan sempurna, bukan diserahkan secara mutlak kepada menteri yang memerlukannya berijtihad dan berfikir sendiri.
Selepas melihat dua jenis kementerian ini serta perbandingannya dengan kementerian pada zaman kini, maka wizarah tafwid boleh disamakan dengan Ketua Menteri atau Ketua Kerajaan (Head of Government) yang telah diserahkan urusan pentadbiran oleh Ketua Negara (Perdana Menteri atau Presiden) kepadanya, untuk memudahkan urusan negara dalam segenap aspek, berdasarkan situasi politik umum, perancangan yang telah dikemukakan dan sistem kerja yang menyeluruh. Manakala wizarah tanfiz, ia boleh disamakan dengan menteri tertentu dalam skop tugas yang terhad seperti menteri pendidikan, menteri kewangan, menteri ekonomi dan sebagainya. Tugasnya terhad dan terikat kepada politik kerajaan dan dilaksanakan berdasarkan arahan dan cadangan Ketua Menteri.
Penting untuk disebutkan bahawa pecahan yang dibuat oleh para fuqaha kepada wizarah tafwid dan wizarah tanfiz ini adalah perkara baru yang melibatkan pengurusan dan politik yang terikat dengan ijtihad yang bergantung kepada keperluan semasa dan maslahah pada zaman tersebut. Ia bukanlah hukum syarak yang bersifat wajib.
Syarat Menteri
Disebabkan terdapat perbezaan yang besar antara wizarah tafwid dengan wizarah tanfiz dari segi martabat dan tugas, para fuqaha turut berbeza pandangan mengenai syarat yang perlu dipenuhi:
1. Syarat Wizarah Tafwid
Para fuqaha mensyaratkan perkara yang sama dengan syarat yang diperlukan oleh Ketua Negara secara umum iaitu;
– Islam
– Adil
– Berilmu
– Lengkap
– Mukallaf
– Lelaki.
2. Syarat Wizarah Tanfiz
Berikut adalah syarat yang telah diletakkan oleh para fuqaha’ bagi wizarah tanfiz
– Berilmu dan berpengalaman dalam bidang diamanahkan.
– Amanah dan ikhlas.
– Mempunyai jati diri, berani dan proaktif.
– Mampu melaksanakan dan menilai semula tugas.
Para fuqaha tidak meletakkan syarat Islam dan lelaki pada wizarah tanfiz, tetapi menjadikannya sebagai syarat di wizarah tafwid kerana ia berperanan seperti Khalifah dari segi tugas dan peranan, tidak seperti wizarah tanfiz.
PENERBIT DAN NAMA KITAB ASAL:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
al-Anzimah al-Islamiyyah (Sistem-Sistem Islami),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est), hal. 26-29