Aqidah

Syirik Dan Kesan-Kesannya

Marilah kita bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sehubungan dengan itu juga marilah kita bersama-sama berpegang dan melaksanakan sunnah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam agar kita benar-benar menjadi pengikut baginda dan pengamal sunnah baginda.

Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini banyak cabaran dan ujian. Antara cabaran yang kita hadapi ialah wujudnya syirik dalam masyarakat.

Syirik merupakan persoalan yang menyentuh aqidah. Ia mestilah kita jauhi. Syirik bermaksud menyekutukan Allah Subhanahuwata’ala dalam ibadah dan perhambaan. Contoh menyekutukan Allah Subhanahuwata’ala ialah menjadikan tuhan-tuhan palsu yang lain setanding dengan Allah Subhanahuwata’ala dan meminta tolong atau menyampaikan hajat kepada perkara-perkara lain selain daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Sebenarnya Islam mendidik kita agar menjadikan segala ibadah yang dilakukan hanya ditujukan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala menegaskan perkara tersebut di dalam Al-Quran:

قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا

Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: “Bahawa sesungguhnya Ilah kamu itu adalah Ilah yang Esa”. Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Rabnya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Rabnya”

(Al-Kahfi : 110)

 Jenis-Jenis Syirik

  1. Syirik akbar (Syirik besar)

    Syirik jenis ini ialah dengan cara menyembah sesuatu yang lain (seperti berhala) yang dianggap sebagai tuhan. Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala tidak mengampunkan dosa orang yang melakukan perbuatan tersebut. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

    لَقَدۡ كَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡمَسِيحُ ٱبۡنُ مَرۡيَمَۖ وَقَالَ ٱلۡمَسِيحُ يَٰبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمۡۖ إِنَّهُۥ مَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ ٱلۡجَنَّةَ وَمَأۡوَىٰهُ ٱلنَّارُۖ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنۡ أَنصَارٖ

    Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih putera Maryam”, padahal Al-Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Israil, sembahlah Allah Rabku dan Rabmu”. Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang zalim itu seorang penolong pun

    [Al-Maidah : 72]
  2. Syirik asghar (syirik kecil)

    Antara bentuk syirik jenis ini ialah meyakini azimat, mentera-mentera, jampi-jampi, dukun danbersumpah dengan sumpah selain daripada Allah Subhanahuwata’ala.

    Termasuk juga dalam syirik kecil ialah sesuatu yang merosakkan keikhlasan dalam beribadah dan ber’ubudiyah kepada Allah Subhanahuwata’ala seperti riya’, takabur dan ‘ujub.

    Syirik jenis ini juga sangat dilarang oleh Allah Subhanahuwata’ala.

Kesan-Kesan Syirik

  1. Penghinaan ke atas manusia

Syirik merupakan penghinaan terhadap kemuliaan manusia dan penurunan martabat serta kedudukannya. Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala menjadikan manusia sebagai khalifah-Nya. Oleh itu manusia tidak patut takut, tunduk atau menyembah sesama makhluk. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

حُنَفَآءَ لِلَّهِ غَيۡرَ مُشۡرِكِينَ بِهِۦۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَتَخۡطَفُهُ ٱلطَّيۡرُ أَوۡ تَهۡوِي بِهِ ٱلرِّيحُ فِي مَكَانٖ سَحِيقٖ

(Beramallah) dengan ikhlas kepada Allah, tidak mempersekutukan sesuatu dengan Dia. Barang siapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh

(Al-Hajj : 31)

2. Sarang tahayul (dongengan)

Syirik adalah sarang tahayul dan kebatilan kerana mempercayai dan meyakini sesuatu (selain Allah Subhanahuwata’ala) mempunyai kuasa serta pengaruh dalam kehidupan. Apa yang lebih membimbangkan ialah yakin kepada sesuatu yang dianggap boleh membuat perubahan melebihi keyakinan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

3. Kezaliman yang besar

Syirik adalah perbuatan dosa yang besar dan merupakan suatu kezaliman ke atas diri sendiri dan kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala. Kezaliman  di sini bermaksud menafikan kebenaran yang di bawa oleh Islam di mana hanyasanya yang layak disembah ialah Allah Subhanahuwata’ala bukannya berhala dan sebagainya.

4. Sumber ketakutan

Syirik adalah sumber ketakutan dan kegelisahan. Apa yang berlaku dalam masyarakat kita terjadinya ketakutan kepada kubur, wali-wali, pokok besar, jin-jin dan kepada sesuatu yang lain. Ini semua adalah kepercayaan yang tidak berasas dan dilarang oleh Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah Ali-Imran:

سَنُلۡقِي فِي قُلُوبِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ ٱلرُّعۡبَ بِمَآ أَشۡرَكُواْ بِٱللَّهِ مَا لَمۡ يُنَزِّلۡ بِهِۦ سُلۡطَٰنٗاۖ وَمَأۡوَىٰهُمُ ٱلنَّارُۖ وَبِئۡسَ مَثۡوَى ٱلظَّٰلِمِينَ

Akan Kami masukkan ke dalam hati orang kafir rasa takut disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah sendiri tidak menurunkan keterangan tentang itu. Tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal orang yang zalim

[Al -Imran: 151]

5. Melemahkan jiwa

Syirik mengajar penganutnya berserah diri dan bertawakkal kepada sesuatu yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Ini akan menyebabkan seseorang itu akan lemah pergantungannya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sedangkan segala sesuatu yang lain itu tidak mempunyai sebarang kuasa pun melainkan dengan izin Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَيَعۡبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمۡ وَلَا يَنفَعُهُمۡ وَيَقُولُونَ هَٰٓؤُلَآءِ شُفَعَٰٓؤُنَا عِندَ ٱللَّهِۚ قُلۡ أَتُنَبِّ‍ُٔونَ ٱللَّهَ بِمَا لَا يَعۡلَمُ فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَلَا فِي ٱلۡأَرۡضِۚ سُبۡحَٰنَهُۥ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشۡرِكُونَ

Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudharatan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata: “Mereka itu adalah pemberi syafa´at kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah: “Apakah kamu mengkhabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya baik di langit dan tidak (pula) di bumi?” Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka mempersekutukan (itu)

[Yunus: 18]

6. Akibat yang buruk di Akhirat

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengingatkan kepada umatnya agar menjauhi perbuatan syirik kerana perbuatan tersebut balasannya adalah neraka. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

يُشرِكُ باللهِ شيئًا دخَل النارَ

Barangsiapa yang berjumpa dengan Allah (meninggal dunia) dalam keadaan syirik kepada Allah dengan sesuatu, maka dia akan memasuki neraka

(Riwayat Bukhari – Sahih Al-Bukhari, hadits no: 1238)

Penyelesaian bagi permasalahan syirik

Kesucian aqidah seseorang akan terpelihara jika beliau tidak melewati batas-batas yang telah digariskan oleh Al-Quran dan As-sunnah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam. Untuk menghapuskan syirik hendaklah kita kembali kepada langkah-langkah sepertimana yang terdapat dalam surah Al-Ikhlas.

  1. Mengesakan Allah Subhanahuwata’ala.

    Firman Allah Sallallahu’alaihiwasallam dalam surah al-Ikhlas.

    قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ

    Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha Esa [Al Ikhlas : 1]

    Ini bermakna dasar pertama di dalam aqidah Islam ialah Allah Subhanahuwata’ala itu Maha Esa.

  2. Memohon, bergantung dan menuju hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala

     ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ

    Allah adalah Rab yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu [Al Ikhlas : 2]

    Hanya sanya kepada Allah kita memohon hajat atau pertolongan.

  3. Meyakini Allah Subhanahuwata’ala tidak beranak, tidak berbapa dan tidak menyerupai sesuatu

     لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ .  وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ

    Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia

    [Al Ikhlas : 3-4]

    Ini bermaksud Allah Subhanahuwata’ala tidak beranak, tidak diperanakkan dan tidak serupa dengan manusia atau makhluk lain baik dari segi rupa, zat, sifat mahupun perbuatan.

Kesimpulan

Marilah kita sama-sama menjauhi amalan, perbuatan dan rasa hati yang boleh membawa syirik kepada Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala, Dialah Maha kuasa, Maha bijaksana serta Maha mengetahui segala-galanya.

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button