Fiqh Harakah

Tuntutan Berdakwah Secara Gerakan Organisasi

Tuntutan berdakwah secara gerakan organisasi adalah merupakan tuntutan syar’i yang wajib diberi perhatian dan diambil kira oleh setiap da’i yang menyeru manusia kepada Islam sebagai ad-Din (tatacara hidup). Gesaan dan tuntutan ini jelas dari nas-nas al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, antaranya:

Ayat Al-Qur’an:

ولتكن منكم امة يدعون الى الخير ويامرون بالمعروف وينهون عن المنكر واولئك هم المفلحون

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu ummah (jama’ah) yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada mungkar dan mereka itulah orang yang beruntung.”

–Surah Ali Imran, ayat 104.

ان الله يحب الذين يقاتلون في سبيله صفا كانهم بنيان مرصوص

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”

–Surah as-Saff, ayat 4.

وما كان المؤمنون لينفروا كافة فلولا نفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا في الدين ولينذروا قومهم اذا رجعوا اليهم لعلهم يحذرون

“Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan diantara mereka beberapa orang untuk memperdalamkan pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepda kaumnya apabila mereka telah kembali, supaya mereka dapat menjaga diri.”

–Surah at-Taubah, ayat 122.

 Sunnah:

1. Sunnah al-Qaul

عليكم بالجماعة فإن الجماعة رحمة والفرقة عذاب

“(Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda): Hendaklah kamu berada dalam jama’ah (organisasi) kerana sesungguhnya jama’ah itu adalah rahmat dan perpecahan itu merupakan siksa.” [1]

(من فرق فليس منــا، يـد الله مع الجمـاعة، وإنما يــأكل الذئب مــن الغنم القــاصية (رواه طبراني

“Sesiapa yang berpecah belah maka ia bukan dari golongan kami; rahmat Allah bersama-sama dengan jama’ah; dan sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang bersendirian.” [2]

تلزم جماعة المسلمين وإمامهم. فقلت (حذيفة): فإن لم تكن لهم جماعة ولا إمام؟ قال: فاعتزل تلك الفرق ولو أن تمص على أصل شجرة حتى يدرك الموت وأنت على ذلك

“Hendaklah kamu bersama-sama kaum muslimin dan imam mereka.” Aku (Huzaifah) bertanya, “Sekiranya tidak ada imam dan jama’ah bagi mereka?” Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjawab: “Hendaklah kamu menjauhi kumpulan-kumpulan tersebut sekalipun kamu terpaksa menggigit pangkal pokok hinggalah kamu mati di dalam keadaan demikian.” [3]

من خرج من الطاعة وفارق الجماعة ثم مات، مات ميته جاهلية

 “Sesiapa yang keluar daripada ta’at (kepada kepimpinan) dan memisahkan diri daripada jama’ah kemudian mati, matinya itu seperti mati dalam jahiliah.” [4]

2. Sunnah dari perbuatan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam

Sirah daripada perjalanan dakwah yang dihayati, dimanifestasi dan ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di dalam menjalani dakwah dan mendidik satu generasi untuk menjalankan kegiatan dakwah telah memperlihatkan bahawa Junjungan Sallallahu’alaihiwasallam tidak berdakwah secara individu, malah di hari pertama lagi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah menitikberatkan dan mementingkan soal pembentukan gerakan organisasi yang teratur. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memilih beberapa orang tenaga teras (hard core) sebagai kekuatan di dalam mempertahankan dan meneruskan perjalanan untuk menyebarkan Islam[5] sehingga di dalam waktu yang singkat sahaja dunia telah mengetahui, mendengar dan melihat Islam. Akhirnya generasi didikan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ini telah menjadi guru (asatizah) kepada alam.

Huraian Ulama’ Berhubung dengan Tuntutan Berdakwah Secara Gerakan Organisasi dari Ayat 104 Surah Ali Imran

  1. Menurut Ibnu Kathir r.a.: Maksud ayat ini hendaklah wujud di sana satu kumpulan (gerakan organisasi) dari umat Islam yang menjalankan kerja dakwah walaupun ianya wajib kepada setiap individu, kerana berdasarkan hadith yang telah terbukti di dalam Sahih Muslim dari Abu Hurairah r.a. yang bermaksud: “Siapa di antara kamu melihat kemungkaran maka hendaklah ia merubah dengan tangannya, jika ia tidak sanggup maka hendaklah dengan lidahnya, jika tidak sanggup hendaklah dengan hatinya.”Di dalam riwayat yang lain ditambah, “tidak ada lagi iman selepas itu walaupun sebesar biji sawi.”[6]
  1. Sayyid Qutb di dalam menghuraikan ayat ini berpendapat bahawa semestinya wujud satu jama’ah (gerakan organisasi) untuk menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah mungkar, malah perlu wujud kekuasaan di bumi ini untuk menyeru kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran. Yang membuktikan perlu adanya kekuasaan ialah petunjuk nas al-Quran itu sendiri. Di sana adanya dakwah kepada kebajikan, akan tetapi di sana juga ada perintah supaya melakukan ma’ruf dan mencegah mungkar. Jika sekiranya kerja-kerja dakwah boleh dilaksanakan tanpa kekuasaan, tetapi perintah dan cegahan tidak akan terlaksana tanpa memiliki kekuasaan. Inilah konsep (tasawur) Islam bagi masalah ini, mesti ada kekuasaan untuk memerintah dan mencegah. Kekuasaan yang ditegakkan atas dakwah kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan kejahatan. Kekuasaan yang berpadu dan bersatu diikat dengan ikatan Islam (tali Allah) dan persaudaraan kerana Allah[7] untuk menegakkan sistem Allah bagi kehidupan manusia.
  1. Muhammad Jamaluddin al-Qasimi pula menegaskan bahawa hendaklah ada di kalangan kamu satu ummah iaitu satu jama’ah (organisasi). Dinamakan demikian kerana organisasi ini mengepalai kumpulan manusia di dalam menyeru manusia kepada kebaikan, dan mereka mengikut organisasi ini.[8]
  1. Al-Radhi di dalam menghuraikan ayat ini di dalam tafsirnya menerangkan bahawa tafsiran minkum itu terdapat dua pendapat:

Pendapat Pertama:

Minkum adalah untuk menerangkan (li al-Tabyin) bukan untuk menentukan kepada sebahagian sahaja (li al-Tab’id) yang wajib berdakwah atas dua alasan:

a. Allah Subhanahuwata’ala telah mewajibkan menyuruh kepada yang baik (ma’ruf) dan mencegah daripada yang mungkar kepada semua umat Islam dengan firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 110:

كنتم خير امة اخرجت للناس تامرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله ولو امن اهل الكتاب لكان خيرا لهم منهم المؤمنون واكثرهم الفاسقون

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, supaya menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran…”

b. Setiap mukallaf wajib menjalankan amar ma’ruf dan mencegah mungkar sama ada dengan tangan, lidah atau dengan hati, dan wajib menolak sebarang kemudharatan dari dirinya. Dengan terbuktinya demikian maka pengertian ayat ini ialah:

“Hendaklah kamu menjadi satu umat yang berdakwah kepada kebajikan memerintah mengerjakan ma’ruf dan mencegah dari melakukan kemungkaran…”

Pendapat Kedua

Min untuk sebahagian (li al-Tab’id) iaitu dakwah itu wajib kepada sebahagian umat Islam kerana di sana terdapat orang yang tidak terdaya menjalankan amar ma’ruf dan mencegah mungkar. Al-Radhi menghuraikan lagi pendapat golongan ini dengan mengatakan bahawa tanggungjawab dakwah ini khusus kepada golongan ulama’ kerana berdakwah kepada kebajikan disyaratkan berilmu, mengetahui kebajikan, ma’ruf dan mungkar. Dengan demikian jelaslah bahawa dakwah dikenakan kepada ulama’, bukan kepada orang-orang jahil dan ulama’ adalah sebahagian daripada ummah[9]. Pendapat ini dikemukakan di dalam Tafsir al-Qurtubi dan al-Jassas.

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan:

“Pendapat yang pertama yang dikemukakan oleh al-Radhi adalah pendapat yang terkuat dan lebih sahih kerana dalil yang dikemukakannya, dan itulah juga yang disebut oleh Ibnu Kathir secara terperinci yang mana dakwah itu wajib kepada setiap individu dan di samping itu semestinya wujud sebuah organisasi yang bergerak menjalankan urusan dakwah.”[10]

Daripada nas-nas di atas (al-Quran dan Sunnah Sallallahu’alaihiwasallam) serta huraian daripada beberapa ulama’, maka jelaslah bahawa berdakwah di dalam wadah jama’ah atau dalam bentuk gerakan organisasi, adalah merupakan tuntutan syar’i  dan tidak boleh dinafikan lagi. Lebih-lebih lagi di mana suasana hari ini Islam telah menjadi dagang (ghurbah), menularnya sekularisme, materialisme dan isme-isme yang lain serta bermaharajalelanya jahiliah baik di segi pemikiran, peraturan dan cara hidup.

Justeru itu Abu al-A’la Mududi telah memberi peringatan kepada para da’i yang bergerak di dalam wadah organisasi bahawa seseorang mujahid dakwah tidak cukup sekadar mempunyai keunggulan sifat-sifat individu. Bahkan, di samping itu, masih perlu mempunyai sifat-sifat jama’iyyah (berorganisasi) yang baik, untuk memungkinkannya menyesuaikan diri dengan peranannya sebagai suatu unit daripada sebuah jentera jama’ah (berorganisasi) dengan segala rangkaian sistem, skim dan rencananya.[11]

Oleh: Ustaz Abdul Hadi Osman

[1] Lihat Yakan, Fathi, Kaifa Nad’u Ila al-Islam, cetakan 3, (Bairut, Muassasah al-Risalah, 1397H), h. 166

[2] Ibid., h. 166

[3] Muslim, Imam Abi al-Husain, al-Jami’u al-Sahih, jilid 3, j.6, (Beirut, Mansyurat al-Kutub Li al-Tijari Wa al-Nasyr Wa al-Tauzi’, tanpa tarikh), h. 20. (Keratan dari sebuah hadith yang panjang diriwayatkan oleh Huzaifah al-Yamani)

[4] Ibid., h. 21 (Keratan dari sebuah hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.)

[5] Yakan, Fathi, Kaifa Nad’u Ila al-Islam, h. 165-166

[6] Ibnu Kathir, Abi al-Fida’ Ismail, Tafsir Ibnu Kathir, j.1, (‘Isa al-Babi al-Halabi wa Syirakahu, tanpa tarikh), h. 390

[7] Qutb, Sayyid, Fi Zilal al-Quran, jilid 2, cetakan 3, (Beirut, Lubnan, Ihya’ al-Taurath al-‘Arabi, 1961), h. 25

[8] Al-Qasimi, Muhammad Jamaluddin, Tafsir al-Qasimi al-Musamma Mahasinu al-Ta’wil, jilid 4, cetakan 1, (Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiah, ‘Isa al-Babili al-Halabi wa Syirakahu, 1376H), h. 920

[9] Ibid., h. 302

[10] Zaidan, ‘Abdul Karim, Usul al-Da’wah, cetakan 3, (Baghdad, Maktabah al-Manar al-Islamiyah, 1396H) h. 302

[11] Al-Maududi, Abu al-A’la, Tazkirah al-Du’at al-Islam, cetakan 1 (Beirut, Dar Li al-Tiba’ah wa al-Nasyr, 1385), h. 60

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button