CIRI 5: BERANSUR-ANSUR DAN BERPERINGKAT DI DALAM GERAKAN (AL-TADARRUJ FI AL-KHATAWAT)
Oleh kerana perjalanan terlalu jauh dan sukar serta matlamatnya pula terlalu besar maka dengan cara beransur-ansur dalam semua tahap gerakan serta memberikan hak yang sepatutnya kepada setiap tahap akan membolehkan gerakan organisasi mencapai matlamat yang ingin diperjuangkan.[1] Al-Syahid Hassan al-Banna telah membataskan tahap-tahap dakwah ini kepada tiga peringkat iaitu:
- Peringkat di’ayah, ta’rif dan penyampaian idea Islam kepada semua lapisan masyarakat.
- Peringkat pembentukan ialah membuat pemilihan penyokong dan pembantu serta penyediaan perajurit dakwah. Justeru menyusun barisan di kalangan mereka yang di dakwahkan secara langsung.
- Seterusnya ialah pada peringkat pelaksanaan dan pencapaian hasil.
Ketiga-tiga tahap ini berganding antara satu sama lain kerana kesatuan dakwah akan terhasil apabila adanya ikatan antara ketiga-tiga peringkat ini.[2]
HURAIAN TIGA PERINGKAT
- Peringkat di’ayah dan ta’rif
Peringkat ini merupakan peringkat penyebaran pemikiran Islam secara umum kepada masyarakat. Iaitu memberi dan membangunkan kesedaran, memberi bimbingan, mewujudkan badan-badan yang bermanfaat serta lain-lain cara yang praktikal.
- Peringkat Pembentukan
Peringkat ini merupakan peringkat pemilihan penyokong dan pembantu serta menggabungkan mereka dalam barisan da’i untuk menjadi perajurit kepada kebenaran bagi meneruskan usaha jihad untuk mengembalikan manusia kepada sistem Allah Subhanahuwata’ala. Bergerak secara berperaturan dan serasi dengan kehendak organisasi. Kata Fathi Yakan:
“…Sistem dakwah di peringkat ini adalah sistem sufi di sudut rohani dan sistem perajurit di peringkat praktik. Di peringkat ini orang yang akan menggabungkan diri ialah orang yang benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab jihad yang akan memakan masa yang sangat panjang dan menempuh berbagai-bagai rintangan…”[3]
- Peringkat Pelaksanaan
Peringkat ini merupakan peringkat jihad yang tidak mengenal erti rehat. Usaha kerja yang berterusan untuk mencapai matlamat. Dakwah di peringkat ini akan berdepan dengan berbagai jenis ujian. Tidak mampu dan akan tidak sabar untuk menghadapinya kecuali oleh orang yang benar-benar jujur di jalan Allah Subhanahuwata’ala.
وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ ٣٥
Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan kecuali kepada orang yang sabar dan tidak dianugerah kecuali kepada orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.
(Surah al-Fussilat : 35)
وَلِيُمَحِّصَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَمۡحَقَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ١٤١
Dan agar Allah membersihkan orang yang beriman dan membinasakan orang-orang kafir.
(Surah Ali-Imran : 141)
Kejayaan dakwah di peringkat ini tidak akan terjamin kecuali (gerakan organisasi) yang memiliki orang yang mempunyai ketaatan yang sempurna[4] kepada siasah gerakan organisasi dan kepimpinannya di dalam rangka keabdian kepada Allah Subhanahuwata’ala. Justeru itulah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mengingatkan supaya selalu berlaku taat dan jangan berpecah. Sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu’anhu yang bermaksud:
Sesiapa yang keluar dari ketaatan dan meninggalkan jama’ah maka matinya adalah sama dengan mati jahiliah…[5]
Oleh itu tarbiah sangat penting untuk melahirkan orang yang tidak menyeleweng daripada perjuangan dan melahirkan orang yang terus berjihad sehinggalah mereka kembali menemui Allah Subhanahuwata’ala. Al-Syahid Hassan al-Banna menjadikan tarbiah salah satu daripada rukun dakwah yang tiga iaitu: ilmu, tarbiah dan jihad.[6]
Tanpa ilmu mungkin pedakwah akan tertipu dengan golongan yang hanya melaungkan dan menjadikan Islam sebagai alat untuk tujuan yang tertentu. Ilmu sahaja semata-mata tanpa tarbiah tidak mungkin benar-benar berfungsi di dalam mengendalikan hidup pendakwah sejajar dengan ilmunya. Selain itu tidak pula dapat benar-benar melahirkan keikhlasan dan jihad yang berterusan. Lebih-lebih lagi di peringkat pelaksanaan yang amat memerlukan kepada kesungguhan, kesabaran dan pengorbanan. Tanpa jihad, matlamat yang diharapkan tidak akan mungkin tercapai. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمۡ يَرۡتَابُواْ وَجَٰهَدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّٰدِقُونَ ١٥
Sesungguhnya orang yang sebenarnya beriman hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang yang benar (beriman).
(Surah al-Hujurat : 15)
[1] Yakan, Fathi, Maza Ya’ni Intima’i Li al-Islam, h. 117
[2] Al-Banna, Hasan, Majmu’at Rasail, h. 254
[3] Yakan, Fathi, Maza Ya’ni Intima’i Li al-Islam, h. 117
[4] Yakan, Fathi, Maza Ya’ni Intima’i Li al-Islam, h. 117
[5] Lihat Muslim, al-Jami’u al-Sahih, Jil. 3, Juzu’ 6, h. 21
[6] Hawwa, Sa’id, al-Madkhal Ila Da’wah al-Ikhwan al-Muslimin,h. 29