CIRI 2: KESERAGAMAN DALAM MATLAMAT DAN JALAN
Wujudnya keseragaman dalam matlamat mampu memberikan suatu perbendaharaan tenaga yang amat banyak. Ia terpelihara daripada dicurahkan kepada perkara yang sia-sia dan perkara yang tidak berhubung dengan matlamat sama ada secara dekat atau jauh serta terselamat pula daripada perkara yang tidak diingini yang boleh menjejaskan perjalanan gerakan sesebuah organisasi.
Matlamat asal Islam ialah untuk menjadikan manusia hamba kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua urusan, di semua tempat dan masa serta menolak seluruh metodologi ciptaan manusia yang mana, dari segi tabiatnya, lemah dan gagal untuk menegakkan kemanusiaan manusia itu sendiri. Metodologi itu juga akan menuntun manusia menjadi hamba kepada sesama manusia yang mana ia mencabul hak perhambaan manusia terhadap Allah[1] dan mencabul kehakiman Allah Subhanahuwata’ala.[2]
Di dalam menjalankan kerja dakwah, pemusatan kerja adalah ditumpukan kepada amal yang boleh membawa perubahan pada akar umbi masyarakat secara total dan menolak sebarang bentuk penempelan pada bahagian-bahagian yang rosak atau membaiki perkara zahir sahaja. Islam mempunyai keluasan ruang lingkupnya yang berkemampuan untuk menyelesaikan permasalahan hidup manusia di semua peringkat, keadaan dan tempat.
Dalam usaha pencapaian objektif, jalannya ialah melalui jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang merupakan asas yang mesti dipegang pada setiap masa dan tempat kerana sejarah baginda telah mendedahkan cara (uslub) yang baik dan selamat dalam rangka beramal untuk Islam. Sejarah hidup Baginda telah menunjukkan taktik dan teknik berdakwah, serta cara bergaul dengan manusia. Seterusnya menunjukkan cara menghadapi masyarakat jahiliah dan cara menumpaskannya.[3]
Cara-cara yang ditunjukkan ialah:
1. Mengisytiharkan perhambaan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Dengan ini matlamat akan jelas kepada pendakwah dan mereka yang didakwahkan. Pengisytiharan ini dibuat dan dikemukakan dalam berbagai bentuk tetapi keseluruhannya menuju kepada satu pengertian sahaja iaitu pengabdian manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua urusan hidup.
2. Mewujudkan kelompok yang bergerak, yang diikatkan dengan ikatan akidah dan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Juga tunduk dan patuh dalam penyusunan (tanzim) dan gerakan bawah kepimpinan yang sedar dan berjalan atas petunjuk Allah Subhanahuwata’ala. Kumpulan ini yang tidak meraba-raba dalam sebarang tindakan. Seterusnya tidak diganggu dengan perkara sampingan atau permasalahan yang remeh temeh dan menghalang daripada meneruskan kerja dan membuat persediaan untuk mencapai objektif yang lebih besar. Kumpulan ini mengikat masa depan mereka dengan masa depan Islam yang melewati batas kepentingan peribadi, kebendaan dan masa.
3. Menentang dan menghadapi jahiliah secada menyeluruh dengan penuh kesedaran dan waspada. Ini kerana objektif Islam memerlukan perubahan yang menyeluruh di dalam semua bidang kehidupan. Antaranya perubahan dalam pemikiran dan akidah, perubahan dalam cara hidup dan adat istiadat dan perubahan dalam sistem dan undang-undang. Tugas ini memerlukan barisan orang beriman yang membuat persediaan yang cukup, sesuai dengan cabaran dan amanah yang berat serta matlamat yang besar. Dakwah pula hendaklah bersifat salafiah dan sunnah[4] seperti yang dijalankan oleh generasi awal. Persediaan mestilah menyeluruh serta lengkap sama ada dalam ibadah, didikan (tarbiah), pemikiran mahupun ilmu pengetahuan. Juga perlu persediaan dalam penyusunan, perancangan, latihan dan jihad. Semua persediaan ini dilakukan menurut kepentingan semasa dan sejajar dengan peringkat amal, dengan mengambil kira kuantiti, kualiti dan situasi yang ada.
Setiap orang yang menggabungkan diri dalam gerakan organisasi hendaklah berpegang teguh dengan kaedah bahawa matlamat tidak dapat menghalalkan cara. Yang baik itu ialah apa yang dipandang baik oleh syarak manakala yang buruk ialah apa yang dipandang buruk oleh syarak. Berpegang teguh dengan hakikat bahawa perjalanan ini jauh, panjang dan sukar. Dengan ini dakwah dapat dijalankan dengan penuh kesedaran. Tujuan asas ialah mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, agar tidak layu dan surut ke belakang di tengah-tengah jalan serta tidak pula tergesa-tergesa untuk mencapai hasil sebelum sampai masanya, seperti yang pernah diingatkan oleh al-Syahid Hasan al-Banna RA:
“…Memang jalan ini jauh tetapi tidak ada di sana jalan yang lain. Kepahlawanan itu lahir dengan sebab sabar, cekal hati, sungguh-sungguh dan kerja yang berterusan. Sesiapa yang ingin mengambil buah sebelum masak atau memetik bunga sebelum mekar, maka saya tidak ingin bersama-samanya walaupun seketika, lebih baik baginya menarik diri dari dakwah ini dan pergi kepada dakwah-dakwah lain. Siapa yang sabar bersamaku sehingga benih ini tumbuh, besar pohonnya, masak buahnya dan dapat dipetik maka balasannya adalah di sisi Allah. Sekali-kali tidak akan hilang dari kita dua kebaikan, sama ada berjaya dan hidup mulia atau syahid dan berbahagia.”[5]
Andai kata dengan izin Allah daulah Islamiah berhasil dicapai dan hukum Allah Subhanahuwata’ala dapat dilaksanakan, maka para da’i bersyukur atas anugerah Allah itu. Ini kerana mereka sedar bahawa kerja menegakkan daulah hanyalah jalan untuk mencapai matlamat sebenar iaitu mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.