Surah ini merupakan surah Makkiyyah dan mengandungi enam ayat. Nama An-Nas diambil daripada An-Nas yang berulang kali disebut dalam surah ini yang bererti manusia.
Pokok kepada surah ini ialah Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan agar manusia berlindung kepada-Nya daripada segala kejahatan yang datang ke dalam jiwa manusia, samada ia datang daripada jin mahupun manusia.
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ١
- Katakanlah: “Aku berlindung kepada Rab (yang memelihara dan menguasai) manusia
مَلِكِ ٱلنَّاسِ ٢
- Raja manusia
إِلَٰهِ ٱلنَّاسِ ٣
- Sembahan manusia
مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ ٤
- Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi
ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥
- yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia
مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ ٦
- daripada (golongan) jin dan manusia”
Pengajaran
- Di dalam surah ini, Allah Subhanahuwata’ala telah mengajar kita – sebagai satu rahmat untuk kita – bagaimanakah cara memohon perlindungan daripada syaitan manusia dan syaitan jin.
- Allah Subhanahuwata’ala melindungi mereka yang memohon perlindungan-Nya daripada tipu daya syaitan, daripada bahaya yang menimpa din (agama) dan daripada bahaya yang menimpa kehidupan dunia serta kehidupan akhirat.
- Terdapat tiga sifat Allah Subhanahuwata’ala yang diketengahkan dalam surah ini:
a) Rububiyyah (daripada ayat 1: قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ – Katakanlah: Aku berlindung kepada Rab (Pencipta, Pemelihara dan Penjaga) manusia).
Maksud Rububiyyah ialah Allah Subhanahuwata’ala Pencipta, Pemelihara dan Penjaga makhluk-Nya. Allah Subhanahuwata’ala menyebut bahawa Dia adalah “Rab manusia”, sedangkan Dia adalah Rab bagi semua makhluk. Ini kerana:
i) Allah Subhanahuwata’ala mahu memuliakan manusia. Maka Dia mengisytiharkan bahawa Dia adalah Rab kepada manusia.
ii) Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan manusia agar memohon perlindungan-Nya daripada kejahatan makhluk. Lantaran itu Dia menisytiharkan bahawa dengan menyebut nama-Nya, Dia akan melindungi manusia daripada kejahatan.
b) Penguasa atau Raja (daripada ayat 2: مَلِكِ ٱلنَّاسِ – Raja manusia).
Allah Subhanahuwata’ala adalah Raja (Pemilik) manusia yang sebenar, meskipun ada raja-raja lain di dunia ini. Kepada-Nya manusia patut meminta pertolongan. Naungan-Nya yang semestinya diharapkan.
c) Uluhiyyah (daripada ayat 3: إِلَٰهِ ٱلنَّاسِ – Sembahan manusia).
Sifat uluhiyyah bermaksud kepada Allah Subhanahuwata’ala semestinya manusia mensyukuri, memuja dan memperhambakan diri. Tidak ada sesuatu yang lain yang berhak diperhambakan diri melainkan Allah Subhanahuwata’ala jua.
- Surah ini menjelaskan pembisik kejahatan itu sama ada daripada syaitan jin atau syaitan manusia. Hassan berkata: “Kedua-duanya adalah syaitan, samada syaitan jin yang menimbulkan bisikan di hati manusia atau syaitan manusia yang menggoda manusia secara terang-terangan”.
- Qatadah berkata: “Di kalangan jin ada syaitan. Di kalangan manusia juga ada syaitan. Maka hendaklah kamu memohon perlindungan Allah Subhanahuwata’ala daripada syaitan manusia juga syaitan jin”.
Daftar Rujukan:
- Tafsir Al-Munir, Juz 30, Dr. Wahbah Al-Zuhaily (Terjemahan). Penerbit: Persatuan Ulama Malaysia dan Intel Multimedia And Publication, Selangor, 2001.
- Tafsir Fi Zhilalil Qur’an (Di Bawah Naungan Al-Qur’an), Sayyid Quthb. Penerbit: Gema Insani, Jakarta, 2001.
- Mukhtashar Tasir Ibn Katsir (Ringkasan Tafsir Ibn Katsir), Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni. Penerbit: Jabal, Bandung, 2013.
- Tafsir Al-Wadih, Dr Muhammad Mahmud Hijazi (Terjemahan). Penerbit: Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 2005.
- Al-Qur’an dan Terjemahnya. Penerbit: Jaffar Abdullah Bajrai, Batu Pahat, Johor.