WhatsApp Image 2019-04-04 at 2.12.49 PM

KP: MEMELIHARA KUALITI ASAS (1):
Kefahaman Yang Mendalam

Berilmu Sebelum Beramal

BERILMU sebelum beramal ini dinyatakan oleh firman Allah Subahanahuwata’ala:

فَٱعۡلَمۡ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لِذَنۢبِكَ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مُتَقَلَّبَكُمۡ وَمَثۡوَىٰكُمۡ ١٩
Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada ilah yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepada–Nya bagi salah silap yang engkau lakukan.(Surah Muhammad :19)

Ayat ini mengutamakan ilmu sebelum amal. Sebenarnya, berilmu sebelum melakukan sesuatu amal merupakan suatu yang amat penting bagi seseorang yang ingin beramal supaya dia mengetahui tujuan setiap amalnya. Oleh kerana berilmu sebelum beramal ini suatu yang amat penting, sudah tentu bagi seorang pendakwah yang mengajak manusia supaya menyembah Allah adalah lebih penting kerana segala amalnya dikaitkan dengan Allah, Rab sekalian alam.

Jadi seorang pendakwah mestilah sentiasa bertindak berdasarkan ilmu dan tahu tujuan dakwahnya. Dia juga mestilah mengetahui sejauh mana perkataan dan perbuataannya bertepatan dengan syara’. Jika dia tidak mempunyai ilmu yang secukupnya bererti dia seorang jahil dan ini akan menyebabkan dia melakukan kesilapan atau berkata tanpa landasan ilmu. Ini sudah tentu akan lebih membawa keburukan daripada kebaikan. Kemungkinan pendakwah ini akan melarang perkara yang baik atau menyuruh manusia melakukan perkara yang diharamkan oleh syara’.

Dengan ini seorang pendakwah yang mengajak manusia supaya menyembah Allah Subhanahuwata’ala perlu memiliki ilmu mengenai syariat Allah, halal dan haram, apa yang diharuskan dan apa yang tidak, perkara yang dibenarkan berijtihad dan perkara yang tidak dibenarkan berijtihad, perkara yang mempunyai dua kemungkinan atau lebih dan perkara yang tidak ada kemungkinan lain.

Pendakwah juga perlu tahu mengenai dalil-dalil syara’ sama ada daripada al-Quran atau sunnah atau dali-dalil syara’ yang lain. Sebagai seorang muslim, dia perlu sentiasa menambah pengetahuannya mengenai ilmu syara’ supaya dia mengetahui asas-asas da’wahnya dan supaya dia melaksanakan da’wah ini berdasarkan ilmu yang dimilikinya. Dengan ini, dia akan menyuruhkan manusia melakukan sesuatu yang sudah pasti benar atau melarang manusia daripada melakukan sesuatu yang sudah pasti salah.

Kelebihan Ilmu

Kelebihan ilmu dan kelebihan orang yang berilmu sememangnya tidak dapat dinafikan. Soal ini dinyatakan oleh al-Quran dan sunnah nabawiyyah. Malah Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan agar manusia sentiasa menuntut ilmu dan berusaha menambah ilmu pengetahuan. Firman-Nya:

وَقُل رَّبِّ زِدۡنِي عِلۡمٗا ١١٤
Berdoalah dengan berkata: ‘Wahai Rabku, tambahilah ilmuku.(Surah Taha : 114)

يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ
Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat.
(Surah Al-Mujadalah : 11)

Sunnah nabawiyyah pula menyebut:

Orang yang Allah inginkan kebaikan untuknya akan diberikan kefahaman mengenai din ini.

Maka Allah Subhanahuwata’ala, meletakkan orang yang berilmu sebagai saksi dalam masalah yang paling penting iaitu tauhid. Allah meletakkan persaksian mereka sama dengan persaksian-Nya dan persaksian malaikat sebagai tanda penghormatan dan tanda keyakinan kepada mereka, kerana Allah tidak akan melantik orang yang diragui sebagai saksi. Firman-Nya:

شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ وَأُوْلُواْ ٱلۡعِلۡمِ قَآئِمَۢا بِٱلۡقِسۡطِۚ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ١٨
Allah menerangkan (kepada sekalian makhluknya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada ilah (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian): tiada ilah (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Ali ‘Imran :18)

Orang yang berilmu bukan sahaja akan membawa kebaikan kepada diri mereka sahaja, malah mereka akan membawa kebaikan kepada orang lain. Mereka memimpin dan membimbing manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala. Menurut Imam Ahmad bin Hambal, manusia sebenarnya lebih memerlukan ilmu, berbanding makanan atau minuman. Ini kerana mereka hanya memerlukan makanan dan minuman sekali atau dua kali dalam sehari, tetapi mereka memerlukan ilmu sama seperti nafas mereka. Oleh kerana itu, menuntut ilmu lebih mulia berbanding sembahyang sunat. Perkara yang sama turut diperkatakan oleh Iman As-Syafi’i, Abu Hanifah, Malik dan para ulama’ Islam. Hadits nabawiyyah memberikan khabar gembira kepada mereka ini:

Bagi orang yang berilmu, segala isi langit dan bumi akan memohon keampunan untuknya. Allah dan para malaikat akan mendoakan kepada orang yang mengajar orang lain perkara yang baik.

Jadi menjadi tanggungjawab pendakwah muslim supaya sentiasa mempelajari din ini, menjadi ulama’ dalam soal hukum-hakam agama. Kemudian mengajar manusia perkara yang baik. Moga-moga dia memperolehi apa yang dinyatakan oleh ayat-ayat Al-Quran dan hadits di atas.

Kefahaman yang Mendalam

Salah satu ilmu yang amat besar nilainya tetapi sering diabaikan oleh kebanyakan manusia walaupun disebutkan dengan jelas oleh al-Quran, ialah ilmu mengenai jalan akhirat, yang mampu menghidupkan hati dan mendorong hati ini supaya mengikut jalan akhirat. Orang yang memiliki ilmu ini akan merasakan dirinya adalah seorang perantau di dunia dan dia sentiasa merasakan waktu untuk berangkat menempuh perjalanan yang jauh hampir tiba. Dia tidak akan kembali lagi ke dunia ini dan bekalan yang boleh digunakan ketika itu hanyalah ketaqwaan. Dengan ini, dia akan sentiasa sibuk untuk mempersiapkan diri meraih bekalan ini.

وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ
dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa. (Surah Al-Baqarah :197)

Orang yang berilmu akan sentiasa melihat alam akhirat dan akan meneliti segala perkara yang akan membantunya di dalam perjalanan yang jauh ini. Apakah nasibnya nanti di dalam api neraka? Jika demikian, sudah tentu ini adalah bencana baginya. Apakah mungkin nasibnya di dalam syurga di sisi rab yang Maha Pemurah? Dia sebenarnya tidak tahu apakah nasibnya nanti, kerana itu dia sentiasa berada di antara takut dan berharap.

Takut seorang yang mengetahui adalah jalan penyelamat, bukannya takut seorang yang jahil yang tidak tahu nak buat apa-apa. Berharap seorang yang beramal, bukannya berharap seorang yang berangan-angan. Ilmu pengetahuan seperti inilah yang jarang wujud pada manusia dan pada penuntut ilmu. Tanpa ilmu ini sebenarnya seorang yang berilmu tidak dianggap berilmu walaupun dia menghafal segala teks dan hukum-hakam, walaupun kepalanya penuh dengan segala hukum-hakam ini, walaupun mulutnya fasih menyebutnya. Ilmu inilah sebenarnya kunci kepada segala ilmu. Setiap umat Islam perlu mengetahuinya. Orang yang berilmu lebih perlu mengetahuinya. Pendakwah pula adalah orang yang paling perlu mengetahuinya berbanding orang lain.

Ilmu inilah (ilmu yang membawa kepada kebahagiaan di akhirat) yang saya sifatkan sebagai `kefahaman yang mendalam’. Ilmu ini amat difahami oleh para sahabat. Ilmu ini sebati dalam kepala dan hati mereka kerana itu mereka tidak redha masa mereka terbuang begitu sahaja tanpa digunakan untuk Allah Subhanahuwata’ala dan da’wah. Atas sebab yang sama mereka gerakkan tubuh badan mereka supaya beribadat, berjihad dan berdakwah sehinggalah mereka menemui Rab mereka.

Kefahaman Mendalam Melalui Pentadabburan (Penelitian dan Pengkajian) Al-Quran

Kefahaman yang mendalam ini diperolehi dengan cara meneliti dan mengkaji secara berulang kali akan kandungan al-Quran, dengan cara meneroka dan menyelami segala maksud yang tersirat di sebalik kandungannya. Allah Subhanahuwata’ala menurunkan kitab-Nya supaya manusia meneliti kandungan ayat-ayatnya, bukan hanya untuk dibaca tanpa memahami dan meneliti maknanya. Firman-Nya:

كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ مُبَٰرَكٞ لِّيَدَّبَّرُوٓاْ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ ٢٩
(Al-Quran ini) sebuah kitab Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang yang bakal sempurna beringat mengambil takbir.(Surah Sad : 29)

Firman Allah lagi:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَ أَمۡ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقۡفَالُهَآ ٢٤
(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?
(Surah Muhammad : 24)

Membaca al-Quran dengan cara mentadabbur dan meneliti akan membolehkan seorang muslim mengenali Rabnya, mengetahui jalan untuk mencapai keredaan-Nya dan kemuliaan yang bakal diperolehi oleh orang yang mengikuti jalan ini. Dalam masa yang sama dia akan mengetahui tiga perkara iaitu apa yang diingini oleh syaitan, mengetahui jalan yang digunakan oleh syaitan dan azab yang diperolehi jika mengikuti jalan syaitan.

Ilmu ini adalah penting bagi seorang pendakwah kerana ilmu ini akan membawa pendakwah seolah-olah dia sedang berada di akhirat, walaupun kini dia berada di dunia. Melalui ilmu ini, pendakwah dapat membezakan antara yang benar dan yang sesat dalam masalah yang sentiasa dipertikaikan oleh manusia. Dengan ini dia dapat melihat segala kebenaran dan dapat melihat segala kesesatan. Ilmu ini akan memberikan pendakwah neraca dan cahaya supaya dapat membezakan antara yang benar dan yang sesat. Memberikan pendakwah kekuatan di dalam hatinya, di dalam hidupnya, kelapangan dan kesenangan. Hatinya akan sentiasa mengharapkan akhirat dan tidak mempedulikan dunia. Dengan ini seolah-olah dia berada dalam alam yang lain dan manusia jahil berada di alam yang lain.

Teras Bagi Kefahaman Mendalam

Elemen yang menjadi teras kepada kefahaman yang mendalam ini terlalu banyak. Namun begitu pada pandangan saya hanya terdapat dua eleman utama, iaitu:

Pertama:

Pendakwah memahami matlamat hidupnya dan kedudukannya di dalam masyarakat manusia.

Kedua:

Menjauhkan diri daripada bergantung dengan kehidupan dunia dan sentiasa mengharapkan akhirat. Kita akan huraikan kedua-dua perkara ini.

Huraian Pertama: Pendakwah Memahami Matlamat Hidup Dan Kedudukannya

Apakah matlamat hidup manusia? Apakah ada matlamat lain selain matlamat ini?

Al-Quran memberikan jawapannya kepada persoalan ini dan membahagikan manusia kepada dua golongan.

Golongan Pertama:

Manusia yang menjadikan matlamat hidup mereka ialah makan, minum dan kenikmatan yang dikecapi oleh tubuh manusia. Bagi mereka tiada matlamat lain selain daripada matlamat ini. Mereka mengambil kesempatan usia yang ada untuk menikmati segala kenikmatan yang boleh. Bagi mereka yang memiliki hati yang mati ini, kehidupan ini hanya berakhir dengan mati. Mereka ini adalah manusia yang paling buruk dan jahat. Firman Allah:

وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يَتَمَتَّعُونَ وَيَأۡكُلُونَ كَمَا تَأۡكُلُ ٱلۡأَنۡعَٰمُ وَٱلنَّارُ مَثۡوٗى لَّهُمۡ ١٢
Dan (sebaliknya) orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.(Surah Muhammad : 12)

Mereka ini tidak berbeza sama sekali dengan haiwan. Bezanya hanyalah rupa serta bentuk, dan mereka akan masuk ke dalam neraka. Ini adalah matlamat golongan ini. Dalam hidup ini pula mereka dikategorikan sebagai sesat dan rosak. Akhirnya mereka semua akan dimasukkan ke dalam neraka. Firman Allah:

أُوْلَٰٓئِكَ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلنَّارِۖ وَٱللَّهُ يَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱلۡجَنَّةِ وَٱلۡمَغۡفِرَةِ بِإِذۡنِهِۦۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ ٢٢١
Yang demikian ialah kerana orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izin-nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran daripadanya.
(Surah Al-Baqarah : 221)

Golongan Kedua:

Golongan manusia yang memahami hakikat dan matlamat hidup mereka. Mereka memahami bahawa mereka dijadikan untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala dan mereka memahami bahawa mereka akan kembali menemui Allah. Firman-Nya:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku. (Surah Adz-Dzaariyat : 56)

يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡإِنسَٰنُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَىٰ رَبِّكَ كَدۡحٗا فَمُلَٰقِيهِ ٦
Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Rabmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang telah engkau usahakan itu (tercatit semuanya). (Surah Al-Insyiqaq : 6)

Matlamat hidup mereka ialah menyembah Allah Subahanahuwata’ala sahaja termasuklah berjihad demi Allah, mengajak manusia supaya menyembah Allah, memakmurkan bumi dengan amal kebaikan, membimbing manusia yang leka kepada kebenaran dan memimpin manusia menjalani kehidupan ini. Ini matlamat kehidupan dunia mereka. Di sebalik matlamat ini, ada satu lagi matlamat yang lebih besar bagi mereka iaitu mencari keredaan Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱرۡكَعُواْ وَٱسۡجُدُواْۤ وَٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمۡ وَٱفۡعَلُواْ ٱلۡخَيۡرَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ۩ ٧٧ وَجَٰهِدُواْ فِي ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦۚ هُوَ ٱجۡتَبَىٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ مِّلَّةَ أَبِيكُمۡ إِبۡرَٰهِيمَۚ هُوَ سَمَّىٰكُمُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ مِن قَبۡلُ وَفِي هَٰذَا لِيَكُونَ ٱلرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيۡكُمۡ وَتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِۚ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱعۡتَصِمُواْ بِٱللَّهِ هُوَ مَوۡلَىٰكُمۡۖ فَنِعۡمَ ٱلۡمَوۡلَىٰ وَنِعۡمَ ٱلنَّصِيرُ ٧٨
Wahai orang yang beriman, ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadahlah kepada Rab kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar–benarnya. Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan dinnya), dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberkatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu; ‘Orang Islam’ semenjak dahulu dan di dalam al-Quran ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah solah, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya), Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (Surah Al-Haj : 77-78)

Ini adalah matlamat hidup seorang muslim iaitu menyembah Allah dan berjihad demi Allah. Demi mencapai matlamat ini, dia mendidik dirinya supaya mentaati Allah dan menjauhi maksiat. Dia berjihad menggunakan pena, lidah, harta dan tangannya demi Allah sehingga Kalimah Allah dimartabat dan seluruh manusia menikmati sinar Islam.

Allah telah memilih umat Islam untuk melaksanakan tugas yang amat penting ini. Tugas membimbing manusia, memimpin mereka ke arah kebenaran dan mengeluarkan mereka  daripada kegelapan kepada cahaya. Tugas yang amat mulia, malah penghormatan yang amat besar ini sebenarnya tidak sepatutnya ditolak oleh umat Islam. Mereka perlu melaksanakannya dengan penuh keredaan dan kesyukuran kepada Allah.

Huraian Kedua: Menjauhkan Diri Daripada Bergantung Dengan  Kehidupan Dunia Dan Sentiasa Mengharapkan Akhirat

Tiada yang lebih merosakkan hati selain rasa kebergantungan dengan dunia dan mengutamakan dunia melebihi akhirat. Perasaan ini akan menyebabkan seorang muslim leka untuk mengingati dan beramal untuk akhirat. Ia juga menyebabkan seorang muslim tidak mahu berjihad dan melaksanakan tugas dakwah. Sudah tentu hati yang rosak dan sakit tidak mempunyai kekuatan untuk melaksanakan tugas dakwah yang mengajak manusia supaya menyembah Allah Subhanahuwata’ala. Dunia ini mempunyai pelbagai unsur yang mengasyikkan. Rasulullah Sallalllahu’alaihiwasallam menggambarkan dunia ini sebagai:

Sesungguhnya dunia ini manis dan indah, Allah melantik kamu di dunia ini. Oleh itu, perhatikanlah apa yang kamu lakukan. Takutlah (akibat) dunia dan takutlah akibat (wanita).

Allah telah mengingatkan kita agar tidak terpedaya dengan perangkap dunia.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقّٞۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِٱللَّهِ ٱلۡغَرُورُ ٥
Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh (kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).
(Surah Fathir : 5)

Dunia ini amat mengasyikkan dan memperdaya kerana terdapat pelbagai perkara yang menyeronokkan dan enak yang dapat dinikmati oleh manusia. Malah secara tabiinya, nafsu manusia amat menyukainya.

كَلَّا بَلۡ تُحِبُّونَ ٱلۡعَاجِلَةَ ٢٠  وَتَذَرُونَ ٱلۡأٓخِرَةَ ٢١
(Sedarlah wahai orang yang lalai. Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan) untuk hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).(Surah Al-Qiyaamah : 20-21)

Jika nafsu ini dibiarkan sudah tentu keinginan ini akan semakin bertambah akhirnya bertukar menjadi matlamat dan impian hidupnya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

فَأَعۡرِضۡ عَن مَّن تَوَلَّىٰ عَن ذِكۡرِنَا وَلَمۡ يُرِدۡ إِلَّا ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا ٢٩ ذَٰلِكَ مَبۡلَغُهُم مِّنَ ٱلۡعِلۡمِۚ
Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling dari pengajaran Kami, dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata. (kepentingan dunia). Itulah sahaja tujuan terakhir dari pengetahuan yang dicapai oleh mereka. (Surah An-Najm : 29-30)

Apabila nafsu manusia dibiarkan hingga ke tahap ini, segala pertimbangannya akan hilang dan dalam keadaan ini nasihat dan peringatan sudah tidak berguna lagi. Sudah semestinya manusia yang mempunyai nafsu sebigini tidak lagi layak untuk menjadi pendakwah mengajak manusia menyembah Allah.

Apakah jalan penyelasaian bagi membebaskan hati daripada dibelenggu oleh dunia? Bagi menyelesaikan masalah ini hati perlu dididik supaya menyakini bahawa dunia ini akan hancur dan akan ditinggalkan. Meyakini bahawa akhirat pasti tiba dan kekal abadi. Dengan membandingkan antara dunia dan akhirat ini pasti menyebabkan hati akan lebih mengutamakan akhirat. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَآ أُوتِيتُم مِّن شَيۡءٖ فَمَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَزِينَتُهَاۚ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيۡرٞ وَأَبۡقَىٰٓۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ ٦٠
Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia perhiasannya. Dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal, maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya?.
(Surah Al-Qashash : 60)

قُلۡ مَتَٰعُ ٱلدُّنۡيَا قَلِيلٞ وَٱلۡأٓخِرَةُ خَيۡرٞ لِّمَنِ ٱتَّقَىٰ وَلَا تُظۡلَمُونَ فَتِيلًا ٧٧
Katakanlah(wahai Muhammad): ‘Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun. (Surah Al-Nisa : 77)

مَا عِندَكُمۡ يَنفَدُ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٖۗ
Sebenarnya apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal. (Surah Al-Nahl: 96)

Apa yang diyakini ini perlu sentiasa menjadi bahan renungannya. Tidak cukup setakat itu, segala impian dan angan-angan perlu diketepikan. Sebaliknya dia merasakan bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara. Dia merasakan bahawa dunia ini mungkin akan ditinggalkannya pada bila-bila masa.

Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang berkaitan:

Ketika waktu pagi janganlah kamu berbicara tentang waktu petang dan ketika waktu petang janganlah kamu berbicara tentang waktu pagi.

Apalah aku ini dengan dunia. Aku dan dunia hanyalah ibarat penunggang yang berteduh di bawah pokok kemudian pergi meninggalkannya.

Apabila syaitan cuba membisikkan dan memperdaya dengan mengatakan bahawa dia masih muda, kuat dan masih sihat, buangkan bisikan syaitan ini dan cuba ingatkan pemuda-pemuda yang meninggal dunia dan mereka kini sedang berada di dalam kubur. Apabila bisikan syaitan ini masih bermain di kepala, cuba pergi ke kubur dan kiralah berapa ramai pemuda yang telah meninggal dunia seawal usia muda. Setelah itu, kembalilah ke rumah dan kira pula bilangan orang tua yang masih hidup. Nescaya bilangan mereka tidak lebih sepuluh peratus daripada jumlah penduduk. Ini bermakna pemuda yang telah meninggal dunia jauh lebih ramai. Hanya segelintir sahaja yang berjaya sampai ke usia tua.

Apabila segala impian di dalam hidup ini dibataskan, akan lahir semangat untuk bersiap sedia menghadapi akhirat terutama melalui amal-amal ibadat kerana tiada siapa tahu bila ajalnya akan tiba.

Apabila pendakwah muslim ini dapat membebaskan dirinya daripada kebergantungan kepada dunia dan dapat membuang segala racun yang ada di dalam hatinya serta menghalakan hidupnya kepada akhirat, dengan sendirinya dia akan merasakan betapa asingnya dunia ini. Jiwanya akan menjadi tenang dan semangatnya berkobar-kobar untuk melakukan perkara yang diredai Allah Subhanahuwata’ala terutama berdakwah dan membimbing manusia.

Penat, susah, sakit, musafir, berjaga malam dan berkorban tidak menjadi penghalang kepadanya kerana semua ini dirasakan sebagai bekalan yang pasti akan membawa faedah kepadanya di sepanjang perjalanannya yang jauh menuju negeri akhirat. Sebaliknya dia merasakan kepenatan ini sebenarnya suatu kerehatan, kesakitan yang dialami sebagai suatu yang amat menyeronokkan, pengorbanan yang diberikan adalah untuk keuntungan yang pasti akan diperolehinya. Apa yang saya katakan ini bukanlah suatu khayalan atau keterlaluan. Orang yang berada jauh daripada keluarga yang telah lama ditingalkan akan berasa rindu untuk menemui mereka dan akan berasa seronok di sepanjang perjalanan untuk menemui mereka, walaupun perjalanan tersebut memenatkan dan terpaksa berjaga malam. Namun hanya yang pernah melaluinya sahaja yang dapat memahaminya.

Rujukan:

Usul Ad-Da’wah, Dr. ‘Abdul Karim Zaidan.

 

Print Friendly, PDF & Email

About Ali Ahmad Foudzi

Check Also

KP: MEMELIHARA KUALITI ASAS (3):
Hubungan Yang Intim Dengan Allah SWT

MAKSUD dan Kesannya Apa yang dimaksudkan dengan hubungan yang intim ialah seorang penda’wah muslim mestilah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *