Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Dakwah / Hadits: Seni Da’wah Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam (5):
WhatsApp Image 2018-07-30 at 12.13.02 PM

Hadits: Seni Da’wah Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam (5):

BAGAIMANA RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM BERDA’WAH KEPADA GOLONGAN INTELEK

عن ابن عباس رضي الله عنهما أن رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ؟ما بَعث مُعاذًا رضي الله عنه على اليمنِ، قال : إنك تَقدُمُ على قومٍ أهلِ كتابٍ، فليكُنْ أولَ ما تدعوهم إليه عبادةُ اللهِ، فإذا عرَفوا اللهَ، فأخبِرْهم : أن اللهَ قد فرَض عليهم خمسَ صلواتٍ في يومِهم وليلتِهم، فإذا فعَلوا، فأخبِرْهم أن اللهَ فرَض عليهم زكاةً من أموالِهم، وتُرَدُّ على فقرائِهم، فإذا أطاعوا بها، فخُذْ منهم، وتَوَقَّ كرائمَ أموالِ الناسِ .(رواه البخاري ومسلم)

Makna hadits:

Daripada Ibn ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma: Bahawasanya ketika mengutuskan Mu’az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu ke Yaman, Rasulullah  Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya engkau akan mendatangi suatu kaum yang memiliki pengetahuan tentang Al-Kitab. Maka hendaklah, yang pertama engkau seru kepada mereka agar beribadah kepada Allah. Apabila mereka telah mengenal Allah, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka solat lima waktu sehari semalam. Apabila mereka telah mengerjakannya, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka zakat yang diambil daripada orang kaya di antara  mereka dan dikembalikan kepada orang miskin  di antara mereka. Apabila mereka telah mentaatinya, maka ambillah zakat daripada mereka dan hindarilah harta benda yang paling dicintai oleh mereka.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

SENI DA’WAH:

  1. Secara kuantitatif, bilangan golongan intelek (bijak pandai) dibandingkan dengan bilangan golongan awam dalam masyarakat, relatifnya adalah kecil. Namun, secara kualitatif, peranan dan pengaruh mereka dalam masyarakat sangat besar. Apabila mereka menyertai da’wah, maka hal ini boleh memberikan impak besar kepada kemajuan da’wah. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mengambil beberapa langkah ketika melancarkan da’wah ke negeri Yaman yang didominasikan oleh golongan ahli kitab yang memiliki kefahaman yang cukup luas tentang ajaran agama yang pernah dibawa oleh para nabi sebelum Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam.
  2. Apabila golongan intelek menerima da’wah Islam, bererti ia satu kemenangan besar bagi kaum muslimin. Kerana itu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memilih seorang da’ie yang paling tepat untuk memikul tugas berat ini. Pilihan baginda  jatuh kepada Mu’az bin Jabal. Dalam proses pemilihan da’ie ini, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mengambil langkah-langkah berikut:
  • Baginda melakukan pemerhatian intensif terhadap Mu’az bin Jabal. Baginda sering berinteraksi dengannya, mengajarnya dan mengungkapkan pelbagai hal tentang dirinya. Baginda pernah  bersabda tentang diri Mu’az: Orang yang paling mengerti halal dan haram di antara umatku adalah Mu’az bin Jabal. Di kesempatan yang lain, baginda bersabda mengenainya: Mu’az bin Jabal akan menjadi pemimpin ulama’ di Hari Kiamat.

  • Baginda melakukan ujian untuk menentukan kelayakan dan kesesuaian, sebelum memandatkan Mu’az sebagai utusan atau da’ie baginda ke Yaman.  Baginda bertanya kepadanya: Dengan apakah engkau  memutuskan hukum wahai Mu’az?. Mu’az menjawab: Dengan kitab Allah. Baginda bertanya lagi: Jika engkau tidak mendapatkannya dalam kitab Allah?. Mu’az menjawab: Aku akan memutuskan hukum dengan sunnah Rasul-Nya. Baginda terus  bertanya: Jika engkau tidak mendapatkannya dalam sunnah Rasul-Nya?. Mu’az menjawab: Aku akan berijtihad dengan menggunakan kemampuan  pemikiranku dan aku tidak akan melampaui batas. Maka berseri-serilah wajah Rasululah Sallallahu’alaihiwasallam, seraya bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufik kepada utusan Rasulullah menuju apa yang diredhai Rasululah. (Udhama’ul Islam : 110)

  1. Di samping melakukan pemerhatian dan ujian, baginda juga mengambil langkah-langkah untuk membangunkan kepercayaan (ketsiqahan) di pihak sasaran da’wah (golongan intelek di kalangan ahli kitab) kepada Mu’az sebagai seorang da’ie. Di antara langkah baginda:
  • Menulis surat kepada penduduk Yaman yang menerangkan tentang diri da’ie utusan baginda. Disebutkan dalam riwayat bahawa di dalam surat itu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menyatakan: Sesungguhnya aku telah utuskan kepada kamu orang yang terbaik daripada keluargaku.  Surat baginda ini sudah tentu dapat memberikan pengaruh besar dan membangunkan kepercayaan yang tinggi pada diri penduduk Yaman terhadap Mu’az bin Jabal. Pertama, kerana Mu’az adalah orang terbaik. Kedua, kerana Mu’az dianggap bahagian dari ahlu bait Nabi Sallallahu’alaihiwasallam. Apa yang dapat difahami di sini, seorang da’ie harus dapat membangunkan kepercayaan sasaran da’wah kepada diri da’ie, terutama bagi sasaran da’wah yang berupa golongan intelek.

  • Memberi pesanan secara khusus agar memelihara kualiti diri dengan sentiasa bertaqwa kepada Allah, memperbanyak zikir dan bertaubat kepada-Nya apabila terlanjur  melakukan sesuatu kesalahan. Atha’ bin Yasar menyatakan bahawa Nabi Sallallahu’alaihiwasallam mengutuskan Mu’az ke Yaman, lalu Mu’az berkata: Wahai Rasulullah, berikanlah aku wasiat. Baginda bersabda: Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dengan semaksima kemampuan. Sebutlah nama Allah Azza wa Jalla setiap kali engkau melintasi batu-batuan dan pohon-pohonan. Apabila engkau melakukan kesalahan, maka iringilah dengan taubat – kesalahan yang tersembunyi dengan taubat yang tersembunyi, kesalahan yang terang-terangan dengan taubat yang terang-terangan. (Ash-Shahihah : 3662)

  1. Apakah isi da’wah yang pertama untuk golongan intelek?

Ketika berhadapan dengan golongan intelek, seringkali da’ie tertanya-tanya – apakah isi da’wah yang pertama untuk dida’wahkan kepada mereka?. Berkaitan hal ini, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berpesan kepada Mu’az: Maka hendaklah, yang pertama engkau seru kepada mereka agar beribadah kepada Allah. Pesanan baginda kepada Mu’az agar mengawali isi da’wah dengan seruan untuk beribadah kepada Allah, memiliki beberapa nilai da’awiyah, iaitu:

  • Da’ie disarankan memulakan da’wah dengan hal-hal yang dipersetujui oleh sasaran da’wah. Ketika berhadapan dengan golongan intelek, hendaklah da’ie memulai da’wahnya dengan hal-hal yang disepakati. Dalam konteks ahli kitab, beribadah kepada Allah adalah ajaran yang telah diakui oleh semua ahli kitab dan pengikut mereka. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

قُلۡ يَٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ كَلِمَةٖ سَوَآءِۢ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡ‍ٔٗا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ

Katakanlah: Wahai ahli kitab marilah berpegang kepada suatu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah.

(Surah Ali-Imran : 64)

Maka, membatasi isi da’wah dengan hal-hal yang disepakati akan  membawa da’ie kepada kejayaan da’wah. Sasaran da’wah akan terdorong untuk menerima da’wah dengan baik, InsyaAllah.

  • Da’ie disarankan memulakan da’wah dengan perkara yang penting dan prinsip, yakni beribadah kepada Allah sebagai tujuan asasi penciptaan jin dan manusia. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.

(Surah Adz-Dzariyat: 56)

  • Da’ie disarankan memulakan da’wah dengan perkara yang pokok dan usul sebelum perkara yang cabang, ranting dan furu’. Ini kerana, lazimnya, golongan intelek memiliki kecenderungan untuk terlebih dahulu melihat perkara-perkara yang pokok, usul dan komprenhensif sebelum perkara-perkara bersifat detail, cabang dan furu’. Kerana itu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memerintahkan Mu’az agar menyeru kepada konsep ibadah dalam Islam yakni beribadah kepada Allah sahaja. Setelah itu, barulah dijelaskan bentuk-bentuk ibadah lain yang perlu mereka kerjakan, terutama solat dan zakat.
  1. Berda’wah secara bertahap

Segala sesuatu harus dilakukan secara bertahap, termasuk da’wah yang disasarkan kepada  golongan intelek. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengajarkan Mu’az agar mengajak manusia untuk memperhambakan diri dan beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala terlebih dahulu, setelah itu menyeru agar menunaikan solat dan setelah itu menyeru pula agar membayar zakat.

  • Secara umumnya da’ie perlu memelihara tahap-tahap da’wah. Da’wah perlu bermula dengan mengajak manusia kepada syahadah. Implikasi dari syahadah yang benar ialah perhambaan dan peribadatan yang total kepada Allah Ta’ala. Setelah itu menyeru kepada bentuk-bentuk ibadah yang khusus – seperti solat dan zakat. Dari sudut urutan keutamaan, syahadah lebih utama daripada solat, manakala solat lebih utama daripada zakat. Ini kerana syahadah adalah rukun Islam yang pertama, solat rukun Islam yang kedua dan zakat rukun Islam yang ketiga. Maka da’ie hendaklah memelihara da’wahnya dengan mendahulukan isi-isi da’wah mengikut keutamaan yang betul.

  • Dari sudut orientasi isi da’wah juga perlu mengikut tahap. Syahadah atau tauhid lebih berorientasikan amalan hati, solat lebih berorientasikan amalan anggota fizikal dan zakat pula lebih berorientasikan amalan berkaitan harta benda. Maka da’ie hendaklah menjaga da’wahnya dengan hal-hal berkaitan hati terlebih dahulu, kemudian hal-hal berkaitan anggota fizikal dan kemudian hal-hal berkaitan harta benda.

  • Dari sudut kecenderungan dan kemudahan sasaran da’wah untuk menerima da’wah juga perlu mengambilkira tahap-tahapnya. Ajakan kepada syahadah atau tauhid lebih bersifat memahami konsep, tasawwur atau teori. Ajakan kepada solat lebih bersifat amalan fizikal yang melibatkan anggota tubuh badan dan ajakan kepada menunaikan zakat lebih bersifat pengorbanan harta benda. Lazimnya manusia lebih cenderung dan mudah menerima sesuatu secara teori, sebelum melaksanakannya dengan anggota tubuh badan. Begitu juga, lazimnya manusia lebih mudah melaksanakan sesuatu dengan anggota tubuh badannya, sebelum bersedia mengorbankan harta benda. Maka da’ie hendaklah menjaga da’wahnya dengan mendahulukan hal-hal yang mudah diterima oleh sasaran da’wahnya. Setelah sasaran da’wah dapat memahami konsep-konsep yang penting, dan beriman pula dengannya, maka da’ie mengemukakan kewajipan-kewajipan yang menuntut kerja fizikal dan pengorbanan harta benda.

  1. Mengelak penolakan da’wah.

Pesanan terakhir Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kepada  Mu’az: Maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka zakat yang diambil daripada orang kaya di antara mereka dan dikembalikan kepada orang miskin di antara mereka. Apabila mereka telah mentaatinya, maka ambillah zakat daripada mereka dan hindarilah harta benda yang paling dicintai oleh mereka.

Pesanan ini sangat penting agar da’ie menghindarkan diri daripada hal-hal yang memungkinkan penolakan terhadap da’wah dan menghancurkan keberhasilannya.

  • Da’ie hendaklah berusaha menutup pintu tohmahan dan buruk sangka, yang mungkin akan menimpanya, diakibatkan oleh salah faham terhadap isi da’wahnya. Berdasarkan pesanan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, dapat difahami bahawa zakat yang diwajibkan  itu bukanlah bertujuan untuk memperkayakan  para da’ie atau pegawai-pegawai di pusat pemerintahan, tetapi bertujuan untuk membela orang miskin. Sekali gus memelihara keamanan masyarakat, menghapuskan kedengkian dan melindung harta kekayaan orang kaya daripada sasaran kecurian dan perompakan yang mungkin akan dilakukan oleh orang miskin dan kelaparan.

  • Da’ie hendaklah menghindarkan diri daripada tindakan-tindakan yang menyakitkan hati dan perasaan sasaran da’wah setelah ia menerima da’wah dengan baik. Kerana itu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berpesan: Apabila mereka telah mentaatinya, maka ambillah zakat daripada mereka dan hindarilah harta benda yang paling dicintai mereka. Ini kerana mengambil harta yang paling dicintai seseorang akan menyakitkan hati pemiliknya. Hal ini boleh menjadi benih-benih awal penolakan dan penentangan terhadap da’wah.

  1. Memetik hasil da’wah kepada golongan intelek

Dengan taufiq daripada Allah Subhanahuwata’ala, usaha yang maksima dan metod yang tepat, menjadikan da’ie berhasil dalam da’wahnya. Itulah yang berlaku terhadap projek da’wah yang digagaskan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan dilaksanakan oleh Mu’az bin Jabal di negeri Yaman. Kita dapati, keadaan di Yaman setelah berjalannya kerja-kerja da’wah Mu’az bin Jabal, berubah  menjadi negeri akhlak, negeri iman dan negeri hikmah.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda (yang bermaksud): Telah datang kepadamu penduduk Yaman. Mereka adalah orang yang paling lembut hatinya dan paling peka nuraninya. Iman adalah iman ahli Yaman, hikmah adalah hikmah ahli Yaman.

(Hadits Riwayat Bukhari)

Suntingan: Abu Taqiy Hussein

Rujukan utama:

Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah SAW, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani.

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

WhatsApp Image 2018-07-12 at 12.51.08 PM

Hadits: Seni Da’wah Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam (1)

BAGAIMANA RASULULLAH SALLAHU’ALAIHIWASALLAM BERDA’WAH TERHADAP GOLONGAN REMAJA عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *