HadithMutiara Al Hadith

HADITH MULIA 3:
ZIKIR KEPADA ALLAH SWT

PENDAHULUAN

عن أبي هريرة رضي الله عنه ؛ عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: ” كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ, ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ, حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ; سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ”
(متفق عليه).

Diriwayatkan daripada Abu  Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: “Ada dua kalimat zikir yang ringan diucapkan di lidah, tetapi berat, besar pahalanya pada timbangan amal kebaikan, dan sangat dicintai oleh Ar-Rahman (Allah Ta’ala yang  Maha Luas Rahmat-Nya), iaitu: Subhaanallaahi wa Bihamdihi, Subhaanallahil ‘Azhiim (Maha  Muci Allah dengan memuji-Mya, dan Maha Suci Allah Yang Maha Agung).”

PERAWI HADITH

Abu Hurairah ialah seorang sahabat nabi yang mulia. Nama sebenar beliau ialah Abdur Rahman bin Sakhr ad-Dausi RA. Beliau memeluk islam pada tahun ke-7 hijrah. Beliau sering bersama Rasulullah SAW dan menghafal banyak hadith. Nabi SAW telah mendoakan untuknya penghafalan yang baik dan Allah Ta’ala telah mengkabulkannya. Beliau seorang yang zuhud, rendah diri dan pemurah. Saidina Umar al-Khattab telah melantik beliau sebagai pemerintah di Bahrain. Beliau wafat di Madinah pada tahun 57 hijrah

KOSA KATA

ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَان Seseorang yang beriman itu layak baginya ganjaran yang besar bagi kedua-dua perkataan yang diucapkan itu, pada hari kiamat nanti.

سُبْحَانَ اللَّهِ Maha Suci Allah daripada segala kekurangan yang tidak layak baginya.

SYARAH HADITH:

Rasulullah SAW menyarankan kita supaya sentiasa konsisten dalam beribadah kepada Allah SWT. Seseorang muslim itu mestilah sentiasa berzikir mengingati Allah Ta’ala di dalam solatnya, puasa dan dalam keseluruhan amalannya. Walaupun sedang melakukan kerja harian, itu tidak akan menghalang dirinya daripada berzikir mengingati Allah. Maka layaklah baginya ganjaran dan pahala. Dengan berzikir mengingati Allah, seseorang muslim dapat menghilangkan kebimbangan daripada hatinya, menghadirkan kegembiraan dan keseronokan, serta menguatkan lagi rasa cinta kepada Allah Ta’ala di dalam hati orang yang beriman. Allah Ta’ala berfirman :

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوب
Maksudnya: “Ketahuilah dengan “ZIKRULLAH” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d (13): 28)

ZIKIR-ZIKIR YANG BOLEH DILAZIMI OLEHSESEORANG MUSLIM ITU BANYAK. DI DALAM HADITH INI, RASULULLAH SAW MENYEBUTKAN KEPADA KITA SALAH SATU DARIPADANYA YANG MENDAPAT GANJARAN BESAR DI SISI ALLAH SWT.

CONTOHNYA: GANJARAN PAHALA TASBIH DAN TAHMID

Rasulullah SAW bersabda :

من قالَ سبحانَ الله وبحمده في اليومِ مائةَ مرةٍ حُطَّتْ عَنْهُ خطاياه ولو كانتْ مثلَ زَبَدِ البَحْرِ
(رواه البخاري)
Maksudnya, “Sesiapa yang mengucapkan ‘SUBHANALLAH WABIHAMDIHI’ sebanyak  seratus kali dalam sehari, digugurkan dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)…..

* Dimaksudkan dengan digugurkan dosa-dosanya itu ialah diampunkan dosanya.

Rasulullah SAW bersabda:

ﻣَﻦْ ﻗَﺎﻝَ ﺳُﺒْﺤَﺎﻥَ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ ﻭَﺑِﺤَﻤْﺪِﻩ ، ﻏُﺮِﺳَﺖْ ﻟَﻪُ ﻧَﺨْﻠَﺔٌ ﻓِﻰ ﺍﻟْﺠَﻨَّﺔِ – رواه الترمذي
Maksudnya, “Sesiapa yang membaca (SUBHANALLAHIL ‘ADZIM WABIHAMDIHI) maka akan ditanamkan baginya sebuah pohon kurma di dalam syurga.” (Diriwayatkan oleh At-Tirmizi)

Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ قاَلَ سبحانَ اللهِ وبحمدِهِ كانَ مثلَ مائةِ بدنةٍ إذا قالهَا مائةَ مَرَّة – رواه الطبراني
Maksudnya, “Sesiapa yang mengucapkan ‘SUBHANALLAH WABIHAMDIHI’ ianya seperti 100 ‘haiwan sembelihan Makkah yang badan berisi gempal’. Sekiranya dia mengucapkan sebanyak 100 kali…” (Diriwayatkan oleh At-Tabrani)

* Yang dimaksudkan haiwan sembelihan di sini ialah unta.

TAHAP-TAHAP ZIKIR

Zikir dalam din (agama kita) bukanlah sekadar hanya seseorang menggerakkan lidahnya dan melantunkan perkataan, tetapi tidak memberi kesan kepada hati dan peribadinya. Bahkan seseorang insan itu layak mendapat ganjaran ke atas zikirnya kepada Allah Ta’ala mengikut sejauhmana zikir itu memberi terhadap hati dan peribadinya.

MANUSIA YANG BERZIKIR KEPADA ALLAH ITU ADA BEBERAPA TAHAP

Tahap satu: Orang yang mendapat ganjaran terbanyak ialah mereka yang berzikir mengingati Allah dalam hati dan sekali gus bertutur pada lisan mereka.

Tahap kedua: Orang yang berzikir mengingati Allah dalam hatinya tanpa melantunkannya atau menuturkannya pada lisannya. Dan dia sering mengingati Allah dalam hatinya dan merasai penjagaan Allah terhadap dirinya.

Tahap ketiga: Orang yang berzikir dengan lisannya sahaja. Dia tetap layak menerima ganjaran atas perbuatannya itu dengan izin Allah Ta’ala.

BAGAIMANA SEORANG MUSLIM ITU BERZIKIR MENGINGATI ALLAH SWT?

Zikir-zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sangat banyak. Antaranya ialah yang dikhususkan dengan waktu tertentu seperti zikir sebelum dan selepas tidur, selepas azan, selepas solat dan sebagainya. Juga ada antaranya tidak dikhususkan dengan waktu seperti ucapan seorang muslim itu: “SUBHAANALLAAHI WABIHAMDIHI, SUBHAANALLAHIL ‘AZHIIM” atau dia mengucapkan ‘ALHAMDULILLAH’ dan ‘LAILAHA ILLA ALLAH’. Seorang muslim boleh melakukan zikir seperti ini pada setiap waktu walaupun sedang melakukan sebarang pekerjaan. Ia adalah ibadah yang sangat ringan dan boleh mendapat ganjaran yang besar.

PELAJARAN DARIPADA HADITH

1. Seorang muslim perlu melazimi zikir, antara yang dianjurkan ialah: ‘SUBHAANALLAAHI WABIHAMDIHI, SUBHAANALLAHIL ‘AZHIIM’

2. Zikir ialah ibadah yang mulia. Seorang muslim akan menerima ganjaran yang besar daripadanya.

3. Seorang muslim sewajar berzikir mengingati Allah SWT dalam setiap keadaan dan waktu.

4. Seorang muslim yang berzikir mengingati Allah SWT dengan hati dan lisannya akan beroleh manfaat atau kesan terhadap keperibadiannya.

AKTIVITI

Tuliskan hadith Nabi SAW yang baginda ajarkan pada kita tentang apa yang harus diucapkan oleh seseorang muslim apabila dia bangun daripada tidurnya.

LATIHAN PENGUKUHAN

1. Nyatakan dua faedah zikir yang memberi kesan kepada peribadi seseorang muslim.

2. Tuliskan zikir yang diajarkan oleh nabi ketika seseorang muslim itu berada di waktu pagi.

3. Apa makna sabda Rasulullah saw : ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَان ?

4. Apakah gambaran ganjaran yang akan diberikan bagi amalan : ‘SUBHAANALLAAHI WABIHAMDIHI, SUBHAANALLAHIL ‘AZHIIM’?

5. Bulatkan pada jawapan yang betul. Tahap tertinggi dalam zikir:

  • Zikir dengan hati dan lisan.
  • Zikir dengan hati tanpa lisan.
  • Zikir dengan lisan tanpa di hati.
  • Kesemua jawapan yang disebutkan
Print Friendly, PDF & Email
Tags

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close