Kepelbagaian Sistem

Kepelbagaian Sistem Dalam Islam (2): Konsep Asas Sistem Siyasah (Politik)

SISTEM siyasah (politik) (النظام السياسي) dikira sebagai salah satu daripada sistem sangat penting dalam Islam. Ia  memberi kesan yang besar dalam kehidupan. Ini kerana, sistem siyasah bertanggungjawab menjaga semua sistem yang lain. Ia juga memelihara aktiviti manusia serta menjaga hak dan kebebasan individu berdasarkan kaedah syarak.

Matlamat penciptaan manusia secara ringkasnya ialah:

1. Matlamat berkaitan hubungan dengan Pencipta alam dan bumi. Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah
dan beribadah kepada-Ku. [Adz-Dzariyat : 56]

Ini bermakna manusia berkewajipan di mana-mana saja dan dalam apa suasana sekali pun untuk menyembah dan beribadah kepada Allah SWT semata-mata. Maka kewujudan pelbagai sistem dalam Islam, pada hakikatnya, adalah merupakan gabungan sistem untuk beribadah kepada Allah SWT.

2. Matlamat berkaitan pengurusan bumi. Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيْفَةً
Dan ketika Rabb kamu berkata kepada malaikat: Aku ingin menciptakan khalifah di bumi. [al-Baqarah: 30].

Maka, manusia ditugaskan sebagai khalifah (wakil Allah SWT) di bumi yang bertanggungjawab untuk menguruskan bumi ini mengikut panduan-panduan yang ditentukan oleh Pemilik bumi ini.

Sistem siyasah dalam Islam menentukan satu mekanisma yang terbaik untuk memilih satu pasukan hamba-hamba-Nya yang layak menguruskan bumi atau layak melaksanakan fungsi kekhalifahan manusia itu sendiri. Justeru, pelaksanaan sistem siyasah dalam Islam sewajarnya diposisikan dalam masyarakat yang memiliki kefahaman dan kesedaran yang baik terhadap Islam serta  berpegang kepada kayu ukur yang betul untuk memilih pemimpin yang baik dan berwibawa untuk mentadbir bumi. Oleh itu, menjadi tanggungjawab penting bagi negara untuk mendidik rakyatnya agar memahami matlamat hidup untuk beribadah kepada Allah SWT dan memahami kesempurnaan Islam sepertimana diajar oleh junjungan Nabi Muhammad SAW.

Maksud Siyasah (Politik)

(السياسة) dari segi bahasa bermaksud pentadbiran yang baik dan melakukan sesuatu yang boleh memberi kebaikan kepada manusia.

Dari segi istilah pula, ia adalah pentadbiran terhadap seluruh manusia untuk mencapai maslahah, mentadbir urusan dan mengelakkan mudarat daripada menimpa manusia.

Justeru, sistem siyasah (politik) (النظام السياسي) adalah suatu himpunan kaedah dan hukum syarak yang menyusun urusan negara, hal ehwal perundangan dan pentadbiran, serta hak individu dan kebebasannya.

Menurut Dr Abdul Karim Zaidan sistem siyasah ialah suatu sistem yang terdiri daripada beberapa dasar dan peraturan yang berkaitan dengan pemerintahan atau ketua negara, kaedah pemilihan, kedudukannya dari segi undang-undang, hubungan rakyat dengan ketua negara, matlamat yang dicapai melalui siyasah dan sebagainya.

Kewujudan sistem siyasah dalam Islam memang nyata kerana Islam itu bersifat syumul (lengkap). Dalam al-Quran boleh ditemui perintah supaya melaksanakan syura, perintah supaya mentaati pemerintah, menjalankan pemerintahan menurut hukum Allah SWT dan sebagainya. Dalam sunnah nabawiyah pun kerapkali diulang istilah ketua, imam, kesetiaan dan ketaatan kepada ketua selagimana tidak menderhakai Allah SWT. Melalui ijtihad para ulama yang berpandukan nas-nas al-Quran dan hadis nabawiyah banyak menyebut hukum dan dasar yang penting berhubung kait dengan siyasah.

Oleh itu dapat dinyatakan di sini bahawa Islam mempunyai sistem siyasahnya sendiri yang mulia dan suci. Ia tidak sewajarnya dicemari oleh penyakit-penyakit keji seperti gilakan pangkat, tamakkan kuasa, mendedahkan aib individu tertentu di hadapan khalayak ramai, mengamal rasuah, menyebarkan fitnah, bercakap bohong dan pelbagai sifat tercela.

Kaedah Sistem Siyasah

Sistem siyasah terdiri daripada himpunan kaedah utama yang tetap, antaranya ialah:

Pertama: Syariat Islam menjadi panduan. Maksudnya, syariat Islam menjadi rujukan utama dan tidak ada panduan lain yang mengatasinya. Syariat Islama menjadi rujukan dalam penggubalan undang-undang dan sistem. Rujukan utama dalam sistem siyasah Islam ialah Syariat Islam. Manakala sumbernya ialah al-Qur’an dan al-Sunnah al-Nabawiyyah.

Perlembagaan negara wajib bersandar kepada syariat Islam dan tidak boleh bertentangan dengan kaedah dan prinsip asas syariat Islam. Semua pihak perlu tunduk kepada hukum-hakam syariat, tanpa mengira sama ada pihak pemerintah atau rakyat, orang miskin atau kaya, orang lemah atau kuat. Tiada siapa yang terkecuali daripada pelaksanaan hukum syarak, tidak kira setinggi mana pangkat dan kedudukannya. Sabda Nabi SAW: 

وَاللهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْت مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
Demi Allah, jika Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya saya akan memotong tangannya.

Kedua: Kuasa pada umat (yakni umat yang memahami Islam dan berpegang pada prinsip-prinsip Islam. Sistem siyasah dalam Islam mengambil kaedah “Umat (kaum muslimin) adalah pemilik kuasa yang hakiki”. Allah SWT tidak menganugerahkan kuasa kepada individu tertentu, keluarga atau rakyat, sebaliknya suruhan-Nya dituju kepada kaum muslimin. Oleh itu, kebanyakan taklif dalam syariat Islam adalah dalam bentuk (sighah) umum. Konsep kuasa kepada umat ini disimpulkan dalam beberapa noktah:

Umat yang menentukan pemerintah dan mewakilkan pemerintah untuk menguruskan hal ehwal negara.

1. Umat yang akan menilai, mengawasi dan memperbetulkan pemerintah.

2. Umat yang akan memilih wakil untuk urusan syura, nasihat dan pengawasan.

3. Umat yang akan melucutkan pemerintah pada waktu yang diperlukan dan menggantikan dengan pemerintah lain.

Oleh itu, pemerintah dalam negara Islam digelar dengan panggilan ‘Khalifah’, ‘Imam’ atau ‘Amirul Mukminin’ yang bermaksud wakil umat dalam urusan melaksanakan hukum-hakam syariat Islam dan menguruskan hal ehwal umum mereka. Mereka dilantik ke jawatan pemerintah melalui kaedah bai‘ah dari umat dan wakil umat Islam yang telah dilantik.

Ketiga: Syura. Maksudnya ialah pemerintah akan merujuk kepada rakyat untuk urusan umum dan pemerintah tidak memutuskan semua urusan bersendirian, malah dia wajib bermesyuarat dengan pakar (أهل الرأي والخبرة) dalam perkara yang penting, berisiko dan melibatkan kepentingan kaum muslimin secara keseluruhan. Firman Allah SWT: 

وَشَاوِرْهُمْ فِي الَأَمْرِ
Dan bermesyuaratlah dalam setiap urusan. [Ali Imran: 159].

Allah SWT menyuruh para pemerintah supaya bermesyuarat sebagai satu suruhan wajib, kerana umat adalah pemilik sebenar kuasa. Maka, mereka wajib merujuk kepada umat dalam urusan yang berkaitan umat Islam, serta memberi maslahah dan mentadbir urusan mereka. Firman Allah SWT:

وَأَمْرُهُمْ شُوْرَى بَيْنَهُمْ
Dan urusan antara mereka dilakukan secara bermesyuarat. [al-Syura: 38].

Keempat: Keadilan. Maksud keadilan ialah menyampaikan hak kepada orang yang berhak, menghalang penzalim daripada melakukan kezaliman. Allah SWT telah menyuruh supaya berlaku adil antara manusia dan menghukum mereka dengan hak. Firman Allah SWT: 

وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيـْنَ النَّاسِ أَنْ تَـحْكُمُوا بِالْعَدْلِ
Dan apabila kamu berhukum sesama manusia, maka jatuhkanlah hukuman dengan adil. [al-Nisa’: 58].

Berlaku adil kepada manusia adalah salah satu daripada kewajipan dan tugas terpenting pemerintah. Ini kerana, ia mampu menyelesaikan pertikaian dan meleraikan pergaduhan yang timbul antara individu berdasarkan syariat Islam. Pemerintah wajib menjauhi kezaliman. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman: 

يَا عِبَادِيْ، إِنِّيْ حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلاَ تَظَالَـمُوْا
Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman pada Diri-Ku dan Aku juga menjadikannya haram antara kamu, maka janganlah berlaku zalim. [Hadis Qudsi, Sahih Muslim].

Para pemerintah perlu berlaku adil antara muslim dan bukan muslim kerana ayat al-Qur’an menyebutkan manusia secara umum, tidak hanya terhad kepada kaum muslimin sahaja.

Kelima: Kesamarataan. Maksudnya, adalah persamaan antara manusia dalam melaksanakan hukum-hakam. Kesamarataan antara mereka dalam menikmati pengawasan negara dan memikul tanggungjawab. Tidak dibenarkan sebahagian kumpulan melebihi kumpulan lain, atau sebahagian kelompok melebihi kelompok lain melalui bantuan dan pengecualian tertentu. Bentuk kesamarataan disimpulkan dalam perkara berikut:

  1. Kesamarataan terhadap undang-undang.
  2. Kesamarataan terhadap tugas negara.
  3. Kesamarataan terhadap tanggungjawab dan bebanan.

DAFTAR RUJUKAN:

  1. ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
    al-Anzimah al-Islamiyyah (Sistem-Sistem Islami),
    ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
    (Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est), hal. 10-13.
  2. PUSTAKA SALAM,
    Usul Da’wah (Islam & Dakwah),
    Dr. Abdul Karim Zaidan, hal. 230-231
Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button