Aqidah

Ar-Rasul Qudwatuna (Rasul Ikutan Kita)

MUQADDIMAH

TUGAS para rasul ialah menyeru, menyedar dan membentuk manusia agar beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala.  Atau, dengan kata lain, mengajak dan membentuk keperibadian manusia agar tunduk  mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Tugas atau peranan ini dilaksanakan oleh para rasul terhadap umat masing-masing.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula melaksanakannya terhadap seluruh manusia. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّٰغُوتَۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَيۡهِ ٱلضَّلَٰلَةُۚ فَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ
Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan  rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyeru): Sembahlah Allah (sahaja) , dan jauhilah taghut itu. Manakala di antara umat itu ada orang yang diberikan petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang yang  telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakakan (rasul-rasul).  (Surah An-Nahl : 36)

Al-Quran  telah  mengarahkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  supaya  mendidik hati, fikiran, perasaan, tingkah laku dan akhlak manusia ke  paras yang  lebih tinggi dan mulia. Seterusnya,  membentuk  ummah  dan membina daulah. Itulah hakikat tujuan Rasul diutuskan. Itulah contoh yang terbesar.

Hasilnya, dengan kurniaan Allah Subhanahuwata’ala jua, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mengubah corak hidup manusia yang serba pincang kepada corak hidup yang sempurna, aman, damai, bahagia dan bercahaya di bawah sistem yang ditanzilkan Allah Subhanahuwata’ala.  Akhlak dan keperibadian Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memainkan peranan utama dalam perlaksanaan tanggungjawabnya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِير

Adalah  pada  diri Rasulullah itu suri tauladan yang  baik  bagi sesiapa  yang berharap untuk bertemu dengan Allah dan Hari  Akhirat, dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.  (Surah  Al-Ahzab : 21)

PERANAN KITA KINI

Dalam rangka mencontohi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, peranan kita kini ialah melaksanakan da’wah kepada Allah Subhanahuwata’ala kemudian berusaha  membentuk ummah.

Setiap  individu  muslim wajib melaksanakan  tugas  ini  mengikut kemampuan  dan keahlian masing-masing. Al Qur’an sangat  menuntut kita agar melaksanakan kewajipan tersebut. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَٰٓئِكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ 

Orang  mukmin  lelaki  dan  orang  mukmin  perempuan setengahnya  mereka menjadi pembantu kepada setengah  yang  lain, mereka bersama-sama menyuruh ke arah kebaikan dan melarang  daripada kemungkaran, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.   (Surah At-Taubah : 71)

Kewajipan itu tidak akan gugur ke atas setiap muslim selagi mana sistem Ilahi tidak terlaksana di bumi. Selagi  mana  kemungkaran menodai syari’at Allah Subhanahuwata’ala sewenang-wenangnya dan selagi  mana bumi  Allah Subhanahuwata’ala tidak dapat dimakmurkan  dengan  amalan-amalan soleh, maka selagi itulah kewajipan itu mesti dilaksanakan.

UMAT ISLAM KEHILANGAN CONTOH AGUNG YANG DIWARISKAN OLEH RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM

Umat  Islam  kini diselubungi jahiliah sebagaimana  berlaku  di zaman permulaan da’wah Islamiah dahulu. Jahiliah sudah  menyerap ke dalam hati nurani, fikiran, perasaan, tindakan dan akhlak orang  Islam  sendiri. Ini menyebabkan seolah-olah  orang Islam telah kembali ke zaman jahiliah.

Mujahid terkenal, Sa’id Hawwa, dalam bukunya  Jundullah Thaqafatan  Wa Akhlaqan, menerangkan tentang  fenomena  (irtidad) kembali ke zaman jahiliah telah berlaku di kalangan orang Islam sendiri.

Asy-Syahid Sayyid Qutb pula menegaskan bahawa di zaman ini terdapat kalangan mereka yang mengakui keagungan Allah Subhanahuwata’ala, sekaligus mengakui  pula kekuasaan dan kemampuan  manusia seolah-olah Allah Subhanahuwata’ala dan manusia bersaing hebat berlumba-lumba mencapai kebebasan dan kekuasaan di alam ini.

Inilah  antara  ciri-ciri jahiliah yang  telah  meresapi  jiwa, perasaan, pemikiran dan perilaku orang Islam. Hal ini  akan berlanjutan  kiranya  kita  tidak  berusaha  untuk  mengembalikan hakikat  yang hilang daripada kita dan orang Islam.  Antara kehilangan yang besar pada hari ini ialah kehilangan contoh tauladan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Contoh yang agung, lengkap dan merangkumi semua ruang lingkup kehidupan. 

USLUB YANG MENCONTOHI RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM

Di kalangan umat Islam terdapat mereka yang menyedari akan  hakikat jahiliah  yang menguasai dunia. Justeru  itu,   samada  di dunia  Islam atau di dunia bukan Islam, telah  timbul  berbagai-bagai  gerakan  Islam. Kebangkitan ini lahir  daripada  kesedaran bahawa  umat Islam mesti berperanan dalam kepimpinan untuk  menegakkan  penyelesaian yang adil bagi menghadapi permasalahan  atau krisis hidup manusia yang kian meruncing akibat ketidaksempurnaan sistem ciptaan manusia.

Kebangkitan  gerakan-gerakan Islam itu amat  membanggakan.  Namun apa yang menjadi tanda tanya ialah tentang uslub yang  digunakan.  Adakah gerakan-gerakan itu berpandukan kepada uslub  yang  telah dilalui Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda Radhillahu’anhum? Uslub ini telah membawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda Radhiallahu’anhum mencapai kejayaan yang paling besar di sisi Allah Subhanahuwata’ala

Uslub gerakan Islam menjadi tergelincir apabila wujudnya berbagai-bagai aliran, khususnya, aliran-aliran yang menekankan aspek tertentu (yang juz’i) tanpa menekan sifat-sifat  takamul (kesyumulan Islam) yang sebenarnya. Penekanan secara juz’i cepat sekali berkembang. Sebenarnya amal juz’i adalah amal yang senang dan cepat berkembang, tetapi cepat pula gagal apabila menempuh suasana yang menekan. ‘Amal kulli (menyeluruh), ‘amal Islam yang kamil (lengkap) dan ‘amal yang mutawazin (seimbang) berlandaskan contoh  kepimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam merupakan ‘amal yang agak lambat berkembang dan sukar mendapat sambutan yang besar. Ini  kerana ia melalui proses yang terperinci berserta matlamat yang besar untuk mengubah secara keseluruhan, bukan untuk menampung mana-mana yang bocor dan berlubang sahaja.

NATIJAH KEPIMPINAN DAN CONTOH RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM

Kepimpinan dan contoh yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memperlihatkan ‘amal kulli dan mutawazin. Amal yang merangkumi semua aspek kehidupan baik dari sudut fikri mahupun dari sudut siasi. Natijahnya, lahirlah satu ummah yang terpimpin dengan roh al-Quran. Al Qur’an sentiasa mengalir dalam jiwa-jiwa mereka dan memimpin hati-hati mereka hingga tunduk dan patuh kepada Allah Subhanahuwata’ala dan rasul-Nya sahaja. Natijahnya juga, mereka tidak memilih nilai-nilai yang lain selain daripada nilai yang telah diajar oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Mereka telah mempersaksikan keperibadian yang agung dan tinggi hingga keperibadian itu tidak terjejas apabila bertembung dengan berbagai-bagai suasana atau rangsangan jahiliah.

Mereka tetap beradab dengan Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya samada sewaktu senang atau susah, aman atau damai, bahkan dalam suasana perang dan genting. Contohnya dalam satu peperangan Allah Subhanahuwata’ala menceritakan keadaan mereka:

وَمَا كَانَ قَوۡلَهُمۡ إِلَّآ أَن قَالُواْ رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسۡرَافَنَا فِيٓ أَمۡرِنَا وَثَبِّتۡ أَقۡدَامَنَا وَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ 

Tiada doa mereka selain daripada ucapan: Ya Rabb kami, ampunilah akan dosa-dosa  kami  dan  tindakan-tindakan  yang   berlebih-lebihan, tetaplah  pendirian kami dan tolonglah kami terhadap  orang kafir.   (Surah  Ali-Imran : 147)

Betapa  tinggi  adab  mereka dengan Allah  Subhanahuwata’ala .  Mereka  tidak meminta  sedikit pun nikmat kesenangan pahala dan balasan  dunia. Mereka  hanya meminta supaya Allah Subhanahuwata’ala mengampunkan  dosa-dosa mereka dan menetapkan pendirian mereka serta memberi  pertolongan ke  atas meraka terhadap orang kafir. Tindakan  mereka  itu menterjemahkan keyakinan mereka kepada pimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Mereka mengambil Rasul sebagai contoh untuk membentuk keperibadian mereka sendiri.

TUNTUTAN BERIMAN KEPADA RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM

Apabila kita beriman kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka wajiblah kita tunduk dan patuh kepada apa yang dibawanya dan menjauhi apa yang dilarangnya tanpa merasa tertekan, malu, segan, berat atau susah. Juga tanpa mempertimbangkan sama ada sesuai atau pun tidak sesuai. Jika kita ragu, membantah dan melaksanakan sebahagian sahaja suruhan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka keadaan ini sudah tentu berlawanan dengan keimanan, ikrar, janji dan bai’ah kita kepadanya. Sesungguhnya keimanan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menuntut kita taat, patuh  dan mencontohi contoh teladannya yang mulia. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ 

Dan taatilah Allah dan Rasul agar kamu diberi rahmat.    (Surah  Ali-‘Imran : 132)

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ 

Katakanlah  jika kamu benar-benar mencintai Allah maka  ikutilah aku, nescaya  Allah mengasihi kamu dan mengampun dosa-dosa  kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.  ( Surah  Ali-‘Imran : 31)

Jalan  untuk mencintai Allah Subhanahuwata’ala ialah mengikuti  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dengan  penuh rela dan patuh seikhlas hati. Juga mencintai  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lebih daripada diri sendiri, anak-anak,  harta  benda dan  manusia  seluruhnya.

Kecintaan  kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mestilah diterjemahkan  dalam setiap gerak geri dan tingkah laku yang mengikuti apa yang  disukai Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan menjauhi apa yang tidak disukainya.

GENERASI ISLAM PERTAMA ADALAH CONTOH KITA

Generasi  Islam pertama adalah contoh untuk kita. Mereka  telah dididik  dan dipimpin oleh  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang melalui proses  tarbiah yang  tersusun  rapi. Pada diri mereka telah  lahir  contoh  yang sempurna dalam segala bidang kehidupan, baik dari segi fikri mahupun dari segi siasi. Contoh yang syumul jelas nampak dalam  hidup mereka.

Mereka yakin kepada pimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan bercontohkan keperibadian baginda sepenuhnya. Mereka hidup dalam suasana aman, damai, berbahagia dan mendapat nur yang terpancar daripada sinar al-Quran yang menjadi dustur hidup mereka.

Pendekatan  mereka  kepada al-Qur’an bukanlah  semata-mata  untuk mempelajari,  membaca dan menggali rahsia-rahsianya tanpa  menyedari tuntutan sebenar iaitu menghayatinya dalam kehidupan dan memikul amanah Allah Subhanahuwata’ala yang besar di bumi. Al-Qur’an membimbing dan melengkapkan hidup mereka dengan  akhlak yang mulia. Seluruh pemikiran dan tindakan dibimbing supaya tidak melewati batas-batas yang ditentukan oleh Allah Subhanahuwata’ala.

PENUTUP

Tuntutan kefahaman terhadap kerasulan Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dan keimanan kepada baginda ialah mencontohi dan mengikuti kepemimpinan baginda. Seandainya umat Islam tidak kembali kepada hakikat ini, umat Islam akan terus menjadi lemah seperti buih di permukaan air. Umat Islam tidak akan menjadi arus yang kuat untuk menumpaskan jahiliah.

Susunan Ustaz Ahmad Rejab                                                                                              

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button